MARIAH
menatap seketika bekas makanannya yang sudah kosong. Bekalannya sudah habis
dimakan. Setiap hari dia membawa nasi
dengan sedikit lauk. Makanan ringkas itu
sudah cukup buat perutnya. Mariah
bersyukur dengan rezeki itu. Acap kali rakan-rakan pejabat mengajaknya makan di
luar dia akan menolak secara halus. Dia lebih berselera mengisi perut dengan
bekalan yang dibawanya dari rumah.
Ruang
pejabat sangat luas untuk dirinya yang tinggal seorang diri ketika itu. Semua
rakan pejabat keluar makan tengah hari. Kesunyian itu membuatkan Mariah menguap
beberapa kali namun dia tidak akan berani melelapkan mata. Dia tidak pernah lalai menjaga diri walaupun
ada pengawal keselamatan berjaga di luar pintu utama pejabat.
Adakalanya
dia berasa takut keseorangan. Ruang pejabat itu sungguh sunyi, sepi dan dingin.
Pelbagai perasaan yangtimbul mengusik benaknya. Kadangkala dia berasa seram. Teman-temannya
mengusik, sengaja menakut-nakutkan dia kononnya
ada penunggu dalam pejabat itu pada waktu malam.
Bagi menyenangkan hati, Mariah menganggap itu hanya
gurauan. Enam bulan Mariah bekerja di syarikat guaman
itu, namun perasaan kurang selesa tetap bertandang di
benaknya sekali-sekala.
“Ah, lambat pula
masa ni berlalu...” gumam Mariah yang kian disapa sepi sambil matanya menatap
jam dinding di ruang pejabat.
Mariah teringat
sesuatu lalu membuka laci dan mengeluarkan beg tangannya. Dikeluarkan sekeping
sampul berwarna putih. Sampul bercetak nama Cik Mariah Binti Mohd Tawin.
Ditatap sampul itu dengan senyuman terukir di bibirnya. Perlahan-lahan jarinya
menarik keluar isi kandungan sampul itu. Wang kertas bernilai RM100 sebanyak 12
keping itu merupakan gajinya bagi bulan yang keenam. Dia baru sahaja
mengambilnya daripada bahagian akaun syarikat itu pagi tadi. Dua hari lagi dia akan
kembali ke kampung menemui papa, emak dan adik-beradiknya.
Kian lebar gadis
itu tersenyum. Banyak keperluan sekolah adik-adiknya dapat dia sediakan. Gaji
sebanyak RM1200 itu dirasakan sangat berbaloi dengan kemahirannya yang cetek
ketika memulakan tugasnya enam bulan yang lalu. Dia tidak mempunyai pengalaman
bekerja namun dia berusaha bersungguh-sungguh. Sejak mula bekerja sehingga ke
hari ini dia belum cuai menjalankan tanggungjawabnya. Semua kerja yang diarah dapat diselesaikan
dengan pantas.
Sampul surat itu
dimasukkan semula ke dalam beg tangannya lalu disimpan kembali di dalam laci.
Mariah menarik nafas lega. Ditadahkan tangan, bersyukur dengan rezeki itu lalu
lembut telapak tangannya mengusap wajah.
“Mariah!”
Sapaan itu
memeranjatkan Mariah. “Kak Dayang!”
“Aik, terkejut?
Sedang teringatkan siapa? Ini mesti sedang teringatkan Encik Abang!” usik
Dayang, bergurau.
“Mengarutlah Kak
Yang ni...” Mariah tersengih lalu wajah wanita bertubuh agak gempal itu
dipandang sekilas.
“Mengarut apa
pulak? Tadi termenung jauh akak tengok. Mesti
teringat katboyfriend!”
Mariah menggeleng
lalu tertawa. Dayang yang peramah dan suka berjenaka itulah selalu menjadi
teman sembangnya di dalam pejabat. Rakan yang lain bukan tidak peramah tapi dengan
Dayang dan Mary lebih mesra. Kedua-dua wanita itulah sering ambil berat
terhadap dirinya.
“Tak adalah, kak.”
“Mustahil! Mariah
tu yang memilih sangat.” Dayang seperti tidak berpuas hati.
Mariah ketawa
lagi. Adakala dia hairan, tidak jenuhkah Dayang mengusiknya dengan perkara yang
sama hampir setiap hari? Atau Dayang memang sengaja ingin mengorek rahsia
hatinya?
“Kak Dayang,
sudahlah tu. Belum tiba masanya lagi saya hendak berkasih-kasih. Saya banyak
tanggungjawab, kak.” Mariah menatap
wajah wanita itu dengan wajah ramah.
“Apa-apa pun kak
selalu doakan Mariah. Semoga dapat jodoh yang baik. Tak pun, tak payah
susah-susah. Calon ada kat depan mata.” Dayang tertawa mengekek.
“Depan mata?
Mengarutlah akak ni.” Terjongket kening Mariah.
“Mariah dengan
Encik Ramli tu sepadan benar akak tengok. macam mana?” bisik Dayang sambil
menguis lengan Mariah.
“Kak Dayang! Tak
baiklah. Ada-ada sajalah.” Mariah tidak dapat menahan rasa lucu di hatinya.
“Tapi ada orang
dah jatuh hati kat abang peguam Mariah tulah,” kata Dayang lagi.
“Hah? Siapa, kak?
Bukan saya ya... tolong sikit!”
“Emm... kak
tahulah. Mariah tu hati batu. Patung... tak ada perasaan!” Dayang mengejek.
Bibirnya dijuihkan.
“Patung tak
bernyawalah, kak. Saya ada nyawa. Akak rasalah nadi saya ni.” Mariah
menghulurkan tangannya.
Dayang ketawa
sambil menepis lembut lengan gadis itu. Dia
suka mengusik gadis comel itu sementelah Mariah tidak pernah marah dengan
usikannya. Mariah tersenyum-senyum. Jika
Dayang tidak mengusiknya memang tidak sempurnalah hidup wanita itu sehari itu
agaknya. Namun dia sukakan Dayang, yang peramah, prihatin dan baik hati.
GUMPALAN rindu mereka sekeluarga terlerai
sebaik sahaja Maria menjejakkan kaki ke rumah keluarganya setelah tidak bersama
beberapa bulan. Tawin dan Milah tersenyum-senyum memerhati Atina, Adila dan
Amizan yang saling bertingkah, berebut ingin berbual dengan Mariah. Sungguh sabar
Mariah melayani pertanyaan adik-adiknya. Riuh suara
mereka ketawa.
Sudah lama mereka tidak seperti itu.
“Sudahlah tu.
Kakak kamu tu penat, bagilah kakak tu rehat dulu,” tegur Milah.
“Biarlah ma, tak
apa.” kata Mariah dengan senyuman yang masih segar.
Milah menatap
wajah kemerahan Mariah. Peluh masih merenek keluar di dahi dan hidungnya yang
agak mancung. Milah menggeleng perlahan.
Semakin rancak anak-anaknya berborak dan ketawa.
“Atina, pergilah
buat air dulu. Papa kamu tu penat,” kata Milah lagi, menghala pandangan pada
Atina yang begitu asyik dengan buah tangan daripada Mariah.
Pelantar rumah
kayu sederhana besar yang menjadi tempat mereka sekeluarga berkumpul itu
menjadi senyap seketika. Atina bingkas dan terus melangkah masuk ke dalam rumah.
Sepuluh minit kemudian Atina keluar sambil menatang talam. Melihat sepinggan
ubi rebus turut dihidangkan Atina, Mariah tersenyum ceria. Ubi rebus kegemarannya
dan dia rindu akan harum dan keenakan makanan itu. Mariah menelan liur.
“Emm... sedapnya
ubi rebus ni. Lama kakak tidak makan. Sedap!” kata Mariah dengan ceria.
Seketul,rebusan ubi kayu sudah masuk ke mulutnya.
Tawin dan Milah
berbalas senyuman. Mariah tidak pernah berubah, masih seperti sebelum ke
bandar. Ubi kayu dicecah madu lebah asli memang kegemaran anak-anak mereka. Tawin
menghirup kopinya perlahan. Kepulangan anak gadisnya membuatkan hatinya riang.
Sejak kepergiaan Mariah ke bandar, dia risau setiap masa. Usia Mariah baru 18
tahun. Mariah masih terlalu mentah
dibiarkan hidup sendirian, jauh daripada pandangan dan pengawasan ibu bapa.
Hampir setiap
malam nama Mariah meniti di bibirnya dan Milah. Setiap kali waktu makan,
anggota keluarganya kurang seorang. Hati Tawin tidak pernah tenteram apatah lagi
terlalu payah mendengar khabar Mariah di bandar. Bukan Tawin tidak melarang tetapi apabila
Milah memujuknya, Tawin terpaksa merelakan dengan berat hati. Bagi Tawin, biarlah mereka sekeluarga hidup dalam
serba kekurangan dengan pendapatannya yang tidak seberapa
asalkan
anak-anaknya dapat dilihat setiap hari.
Berganda
runsingnya tatkala memikirkan keberadaan anak gadisnya yang jauh di bandar.
Tawin risau jika Mariah tidak tahu menjaga diri. Manusia terlalu banyak ragam
dan sifatnya. Tidak kurang pula yang ‘bertopeng’. Dia tidak mahu Mariah menjadi
mangsa dan paling ditakutinya jika Mariah
lupa diri. Terpengaruh dengan budaya sosial yang tidak sihat
di tengah bandar
raya. Namun, Tawin hanya mampu berdoa agar Mariah terhindar dari segala
kejahatan itu.
“Mariah cuti
berapa hari?” tanya Tawin. Membuang jauh fikirannya yang bukan-bukan.
“Dua hari saja,
pa.” jawab Mariah dengan senyuman.
“Kerja apa Mariah
di bandar tu? Berapa gaji Mariah dapat?” tanya Tawin lagi.
Setelah beberapa
bulan anaknya menerima gaji, baru kini Tawin ingin mengambil tahu. Sebenarnya
bukan gaji yang dia pentingkan, dia lebih risaukan bagaimana keadaan
anaknya di bandar.
Keselamatan anak gadisnya itu paling penting baginya.
“Mariah kerja kat
syarikat guaman, pa. Bos Mariah baik cuma kerja agak banyak. Mariah dibayar
gaji RM1200 sebulan tapi bos tu kata dia akan naikkan gaji kalau kerja Mariah
bagus.”
Renungan mata
Mariah bersinar seolah-olah minta sokongan membuatkan Tawin mengangguk-angguk. Diturutkan
hati, dia tidak perlukan gaji Mariah. Dia lebih rela membanting tulang empat
keratnya asalkan anaknya itu sentiasa di hadapan matanya. Tawin yakin
anak-anaknya tetap selamat apabila sentiasa berada di depan matanya namun
sampai bila? Tiba masanya anakanaknya pasti terpaksa akan pergi juga. Tidak
mungkin dia menahan. Dia tahu, anak-anaknya ada kehidupan mereka sendiri suatu
hari nanti.
Tawin bukan tidak
pernah bersyukur dengan pemberian-NYA tetapi hingga kini dia belum mampu
mengubah corak hidup keluarganya. Setiap kali menjual kepingan getah, dia tahu
isterinya berusaha untuk berjimat. Anding memerlukan rawatan. Anak sulungnya
itu tidak mungkin diabaikan.
“Papa...”
Lamunan Tawin
terhenti. Matanya segera terarah ke wajah anak gadisnya.
“Papa tak usahlah
risau pasal duit tambang bas dan belanja sekolah adik-adik, ya? Mariah tolong
bayarkan. Buku rujukan dan alat tulis adik-adik pun Mariah ada beli sikit-sikit. Dapat gaji nanti Mariah akan belikan lagi,”
kata Mariah dengan tulus.
Cukupkah gaji
Mariah tu? Mariah perlu bayar sewa bilik.”
“Cukup. Sewa bilik
RM300, Mariah kongsi dengan Sue. Seorang
bayar RM150 saja. Mariah boleh kirim ke sini RM300 ringgit sebulan buat tambah
belanja rawatan abang.”
Tawin menelan
liur. Dia terkedu sebenarnya. Mariah terlalu lurus, sejak dari kecil itulah
sikapnya. Hatinya tidak tenang namun apa yang mampu dia katakan lagi. Jika
bukan kerana berdepan masalah, anak gadisnya pasti tidak perlu menanggung
beban, tidak perlu menampung perbelanjaan keluarga. Belum tiba masanya lagi.
Sepatutnya Maria masih di bangku sekolah, menamatkan persekolahan.
“Papa jangan
risau, Mariah janji akan jaga diri.”
Tawin terangguk-angguk lemah.