Home Novel Cinta Benci Itu Rindu
Benci Itu Rindu
Angela Engkuan
4/2/2014 09:44:47
94,800
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 22

Azizan terpegun, hampir tidak percaya dengan pandangan matanya sendiri. Dia terpaku dari jarak yang hanya beberapa meter. Penglihatannya tidak mungkin salah. Dalam hati dia berharap agar gadis itu menoleh sekali lagi. Dia ingin mendekati tetapi langkah gadis itu semakin panjang, kian menjauh. Akhirnya terpaksa dilepaskan daripada pandangan. Azizan tersentak tatkala bahunya disentuh dari belakang.

“Apa yang awak pandang tu? Ralit sangat,” tegur Tuan Haji Sulaiman.

“Oh! Tak adalah, Encik Sulaiman,” Azizan tersengih, wajah Tuan Haji Sulaiman ditatap.

“Apa kata kita pergi minum kopi kat luar sana sebelum saya balik. Awak nak beli barang ke?” Tuan Haji Sulaiman merenung wajah kacak Azizan.

“Tak ada apa nak dibeli.” 

Azizan melayangkan pandangan sekali lagi ke arah gadis itu. Tidak mungkin dia akan kembali ke situ. Bisik hati Azizan. Ada rasa berbuku di hatinya. Langkah Tuan Haji Sulaiman yang perlahan disaingi. Fikirannya sarat dengan bayangan seorang gadis. Dalam tempoh dua tahun tidak bersua, tidak banyak yang berubah. Apa yang ketara hanyalah keayuan dan manisnya senyuman di bibir gadis itu.

Azizan yakin, gadis itu tidak sempat melihatnya sebentar tadi. Jika terpandang sekali pun mungkin gadis itu tidak mengenali dirinya lagi. Dua tahun berlalu tidak sedikit pun Azizan melupakan setiap inci raut wajah itu. Sejak mengenali gadis itu, bayangannya tidak pernah luput daripada ingatan.

“Malam ni awak ada apa-apa rancangan ke, Azizan?” tanya Tuan Haji Sulaiman.

Senyap tanpa jawapan. Tuan Haji Sulaiman menoleh ke sisi, memandang wajah sahabatnya yang sudah dianggapnya sebagai adik itu.

“Azizan...”

“Ya? Err... Encik Sulaiman kata apa tadi?” tanya Azizan lalu ketawa sambil tangannya melurut rambutnya.

“Awak jalan sambil termenung, Azizan!” Tuan Haji Sulaiman tersenyum, kepalanya digelengkan.

Azizan tersengih. “Encik Sulaiman, takkanlah.”

“Azizan, selama saya kenal awak, tak pernah awak macam ni. Setahu saya, awak paling tak suka termenung. Awak kata buang masa!”

Azizan ketawa. “Err... tak ada apa-apalah. Perubahan masa agaknya,” ujarnya.

Tuan Haji Sulaiman turut ketawa. “Agaknyalah. Hmm, jomlah, tekak saya ni dah kering,” katanya, bahu Azizan ditepuk perlahan.

Sebuah kedai makan yang kelihatan bersih menjadi pilihan Tuan Haji Sulaiman. Seperti biasa, Tuan Haji Sulaiman seorang teman sembang yang mengagumkan Azizan. Lelaki yang bertugas sebagai jurutera kanan itu sangat berpengalaman. Dia tidak pernah lokek berkongsi pendapat dengan Azizan. Sebagai pemilik syarikat yang mendapat projek pembinaan terbesar di Johor Bahru, Azizan sering memerlukan khidmat nasihat dan Tuan Haji Sulaimanlah orang yang tepat bagi Azizan.

“Malam ni awak ada apa-apa rancangan, Azizan?” Tuan Haji Sulaiman bertanya, sebenarnya mengulangi pertanyaannya sebentar tadi.

“Malam ni tak ada apa-apalah. Kenapa?”

“Kak Lela... telefon tadi katanya dia masak lebih malam ni. Azizan makan malam ni kat rumah, ya.”

“Tak ada masalah. Rezeki jangan ditolak. Insya-ALLAH...saya datang.” Azizan ketawa.

Setiap kali dia berada di Johor Bahru, seperti sudah menjadi kewajipan Azizan memperuntukkan ‘satu malam’ bagi memenuhi permintaan makan malam bersama Tuan Haji Sulaiman sekeluarga.

Tuan Haji Sulaiman meneguk baki kopi dalam cawannya.  Setelah menjelaskan harga minuman, dia minta diri. 

“Jumpa malam nanti, Azizan,” katanya sebelum keretanya beredar.

“Insya-ALLAH...”

Azizan memerhati kereta Tuan Haji Sulaiman meluncur hilang dari pandangannya. Azizan membawa langkah, dia ingin balik saja ke bilik hotel untuk berehat. Ketika berdiri di hadapan pintu lif hotel The Zon Regency, Azizan berfikir semula sama ada naik ke hotel ataupun masuk semula ke pusat membeli belah.

Pintu lif terbuka, beberapa orang yang menunggu segera masuk sebaliknya Azizan berundur dan terus melangkah ke pintu masuk ke tempat membeli belah. Itulah keistimewaan hotel The Zon Regency, berkembar dengan pusat membeli belah yang terkenal dengan barangan bebas cukai. Langkah Azizan semakin pantas menuju ke pusat perniagaan The Zon.

Pusat membeli-belah yang terbesar di dalam bangunan itu. Azizan berharap, gadis itu masih berada di sekitar kawasan itu lagi.  Melilau mata Azizan memandang ke kiri dan kanan.  Dijelajahnya setiap tingkat. Dia akan menghentikan langkah di hadapan setiap premis berjual pakaian wanita, setiap butik dan setiap premis berjual kasut. Hampa.

“Dah sejam berlalu... agaknya dia dah balik,” bisik Azizan.

Bayangan gadis itu benar-benar sudah lesap. Akhirnya Azizan pasrah. Tidak ingin lagi membuang waktunya untuk mencari. Dia berpatah balik ke hotel. Sebentar lagi waktu solat Maghrib akan masuk.


TEPAT pukul 7.40 malam, Azizan tiba di rumah Tuan Haji Sulaiman. Dihulurkan plastik berisi buah anggur, buah tangannya sebagai adat orang bertandang kepada tuan rumah.

Belum lama dia duduk, kedengaran seseorang memberi salam di muka pintu utama. Hajah Norlela menyambut salam. Dua orang gadis masuk dengan wajah yang ceria lantas bersalaman mesra dengan Hajah Norlela.

Demi terpandang wajah salah seorang gadis itu, Azizan tergamam. Ditegakkan tubuhnya. Dia menarik nafas dengan tenang namun dadanya bergetar. Kebetulan yang sukar diterima akalnya buat beberapa detik.

“Dah balik pun anak dara berdua ni. Kak Lela sudah mula risau sebab kamu belum balik. Maklumlah ada orang tu hampir tiga jam terceruk kat dapur...” usik Tuan Haji Sulaiman.

“Abang ni!” Hajah Norlela menjeling namun bibirnya menguntum senyum ramah.

“Maaflah, bang. Shopping tadi, tak sedar masa dah nak malam rupanya,” jelas Sofina, tersengih malu.

“Abang tahulah adik abang ni, kakishopping! Patut pun abang jemput tadi belum nak balik lagi.”

Azizan memandang tanpa berkelip, seperti bermimpi.  Dia mengulum senyuman. Petang tadi bagai nak rak dia mencari Mariah di dalam sebuah pusat beli-belah. Alih-alih muncul pula di hadapan mata. Pelik… tapi benar! Azizan ralit memerhati. Entah mengapa sekarang dia sungguh berharap gadis itu memandang ke arahnya.

“Sofi, Mariah, kenalkan ni kawan Abang Man, Azizan dari Kuala Lumpur. Dia ni pakar dalam perniagaan, ahli korporat muda yang berjaya!” Tuan Haji Sulaiman memperkenalkan sahabatnya dengan pujian.

“Encik Sulaiman terlalu memuji. Tak adalah macam tu,” sanggah Azizan. Segan dengan pujian melambung seperti itu.

“Sofi ni adik bongsu saya. Mariah ni kawan Sofi, sama-sama menuntut di UiTM,” jelas Tuan Haji Sulaiman lagi.

Sofina dan Mariah saling berpandangan seketika. Ketika bersalaman, Azizan menggenggam jari-jemari Mariah lebih lama dan erat. Wajah Mariah yang bersih ditatap tajam. Hati berharap, Mariah mampu mengenali dirinya.

“Ini Encik Azizan, kan?” tanya Mariah. Besar matanya menatap wajah lelaki itu.

“Ingatkan Mariah dah tak kenal saya lagi,” kata Azizan sambil tersenyum.

“Tadi tak perasan, Encik Azizan. Tak sangka kita jumpa kat sini,” ujar Mariah sedikit teruja. Sungguh tidak disangka, setelah dua tahun baru di bersua dengan lelaki itu.

“Awak tak pernah hubungi saya walhal saya dah beri kad pada awak.” Azizan melekapkan pandangan ke wajah itu.

“Oh... minta maaflah, Encik Azizan. Saya...”

“Awak tak sudi pun beritahu masa awak masuk universiti.  Senyap-senyap saja, ya!” pintas Azizan.

“Bukan begitu, Encik Azizan. Sebenarnya saya segan nak beritahu,” nafi Mariah tapi itulah sesungguhnya.

“Kamu berdua ni dah kenal rupanya?” kata Tuan Haji Sulaiman sambil ketawa.

“Ya, Encik Sulaiman. Sebelum melanjutkan pelajaran, Mariah bekerja kat syarikat guaman kawan saya di Kota Kinabalu. Dari situlah saya mengenali Mariah,” beritahu Azizan bagi pihak dirinya dan Mariah.

“Jadi, selama dua tahun ni tak pernah jumpa?” tanya Hajah Norlela, memandang Azizan dan Mariah silih berganti.

Azizan dan Mariah serentak mengangguk. Sama-sama tersenyum memandang wajah Tuan Haji Sulaiman dan Hajah Norlela.

“Tak sangka dipertemukan kamu berdua di sini. Inilah jodoh namanya,” usik Hajah Norlela.

“Ha’ah akak. Kalau dah jodoh takkan ke mana. Kan, Mariah?” usik Sofina pula. Lengan Mariah dikuis.

“Agaknyalah...” jawab Azizan. Matanya tertancap pada wajah Mariah yang tersenyum.

Tidak lama kemudian, Mariah dan Sofina minta diri.  

Di dalam bilik, Sofina sudah tidak sabar lagi. Sejak di ruang tamu tadi, otaknya mula mencipta soalan padat buat sahabatnya.

“Mariah, dia handsome sangatlah,” mukadimah Sofina.

Boyfriend awak ke?” tanya Mariah lurus.

Boyfriend saya memang handsome... tapi bukan dia yang saya maksudkan,” balas Sofina.

“Habis tu siapa?” tanya Mariah lagi.

“Tu kawan Abang Man.” Sofina ketawa.

“Oh... biasalah, Sofina. Orang kaya-raya... Penampilan dia aje dah cukup buat dia handsome. Pendapat saya aje.”  Mariah turut ketawa.

“Awak dengan dia tak ada apa-apa ke? Serius?” Sofina mula memancing.

“Eh, ada apa-apa pulak? Tak adalah...” Mariah mengerutkan kening.

“Dah dua tahun awak berdua kenal. Takkan sikit pun tak ada perasaan dalam hati? Saya tengok cara dia pandang awak... Hulamak! Hampir nak tersembul biji mata.”

Mariah ketawa mengekek, geli hati melihat tingkah sahabatnya itu. Sofina tersengih lalu menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

“Err, serius... awak dengan dia tak ada apa-apa ke?” Sofina mengulangi pertanyaannya.

Mariah menggeleng beberapa kali. Sungguh kelakar sahabatnya itu.

“Tapi... cara dia tenung muka awak begitu asyik. Saya yakin, dia suka awaklah, Mariah. Betul... saya boleh nampak mata dia berbinar-binar, cerah bila renung muka awak. Sungguh... Saya tak bohong!”

“Sofina sudah-sudahlah tu. Apa hal awak ni berimaginasi sangat?” Mariah menghela nafas.

“Saya bukan berimaginasi, itu kenyataan! Awak tak perasan, dia selalu tersenyum, ketawa...”

“Sofina, dahlah tu. Saya nak mandi.”

Tinggallah Sofina terkebil-kebil duduk bersila di atas katil mengenangkan Azizan dan Mariah.


WAKTU tepat pukul 1.45 pagi. Hampir dinihari sebenarnya.  Berkali-kali Azizan mengusap dagunya yang terasa kasar meskipun baru dua hari tidak bercukur. Dia menatap dokumen yang terpapar di skrin komputer ribanya. Dibaca dalam hati, berulang-ulang. Setelah hampir dua jam laporannya belum juga selesai. Tidak pernah berlaku kejadian seperti ini.

Lazimnya, dia akan menyiapkan laporannya dalam tempoh kurang dari dua jam.  Sejak tadi tumpuannya tersasar ke arah lain. Bayangan gadis bernama Mariah itu mengusik ketenangannya. Bagaikan terdengar-dengar suara lembut Mariah bercakap dengannya.

“Encik Azizan ada pejabat kat JB ni ke?” tanya gadis itu.

Azizan tersenyum. “Ya. Ada projek baharu kat sini.”

“Hebat Encik Azizan. Projek merata negeri. Patutlah Kak Lela kata Encik Azizan sangat kaya.”

“Tak adalah kaya mana. Biasa-biasa saja. Mariah dah berapa kali datang JB ni?”

“Baru pertama kali ni, Encik Azizan. Setiap kali cuti Sofina ajak saya datang sini. Kali ni baru menjadi!”

“Sekali-sekala bercuti apa salahnya? Seronok kan dapat jalan-jalan. Awak shopping petang tadi, kan?”

Mariah mengangguk sambil tersenyum. Dan, senyuman itulah yang terbayang-bayang di mata Azizan.  Dia menatap ruang bilik itu. Sunyi sepi, hanya deruan penghawa dingin yang kedengaran. Bilik itu terlalu luas dan mewah buat dirinya yang keseorangan. The Zon Regency Hotel memang pilihannya setiap kali datang ke Johor Bahru.

Azizan mendengus perlahan. Fikirannya tidak tenang sejak petang tadi. Disebabkan pertemuannya dengan Mariah.  

“Ah! Kenapa aku melayani perasaan seperti ini?” 

Azizan mengusap wajahnya. Lama dia memejamkan mata untuk melegakan kocakan perasaan. Entah kenapa bayangan Mariah melekat kukuh dalam benaknya.

Syamsul. Dia teringat pada sahabatnya itu. Tanpa melihat waktu, Azizan mencapai telefon bimbitnya. Nombor yang ditekan kini sedang berdering. Panggilannya disambut oleh suara garau Syamsul.

“Assalamualaikum, Syam!”

“Waalaikumussalam. Izan, kenapa?”

“Aku tak apa-apa. Cuma ada perkara nak beritahu kau,

Syam.” Azizan menghela nafas.

“Apa hal kau berjaga sampai Subuh? Hah, perkara apa tu?” tanya Syamsul yang terganggu tidurnya.

“Syam, maaflah... Sebenarnya aku nak beritahu kau, aku jumpa Mariah tadi.”

“Mariah? Kat mana?”

“Kat Johor Bahru.”

“Apa dia buat kat sana? Kau kata dia kat UiTM Shah Alam?”

“Bercuti dengan kawan dia, Syam. Kawan dia pula adik Haji Sulaiman.”

“Elok sangatlah tu... kau dah jumpa dia. Taklah macam cacing kepanasan bila dah balik kat sini, kan?”

“Hisy! Mengarutlah kau ni, Syam.”

“Kau tu yang mengarut lagi angau! Kalau tak angau, takkan telefon aku tengah-tengah malam buta ni? Dari dulu lagi aku nasihatkan kau terus terang saja pada dia. Tengok sekarang siapa yang susah?” Panjang lebar bebelan Syamsul.

“Syam, janganlah membebel. Aku cuma nak beritahu kau. Mariah tu... dua tahun kami tak jumpa tapi dia masih kenal aku lagi, Syam.”

“Syukur alhamdulillah. Itu tandanya jodoh korang berdua dah semakin hampir!”

“Astaghfirullah... kau ni Syam.” Azizan menggeleng.

“Kau jangan menyangkal takdir, Izan. Jodoh pertemuan pun ketetapan ALLAH Taala!”

“Baiklah, Syam. Kau menang!”

“Okey, sekarang aku nak sambung tidur, okey? Kau nak berjaga sampai pagi pun tak apa.”

Terkulat-kulat Azizan menatap telefon bimbitnya. Syamsul benar-benar sudah menamatkan perbualan mereka.

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan