Home Novel Cinta Tentang Martin
Tentang Martin
Ann Hann
5/12/2018 08:08:26
16,879
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

Tiga jam berikutnya…

“Ok, standby, ada meeting… kejap lagi,” Mina melaung kuat dari luar pintu dan cepat-cepat dia ke Ruang Perbincangan menyusun atur bangku yang berterabur di sana sini sebelum perkeja lain masuk kemudian.

Aku dan Bella menurut arahan. Ikut sahaja Kak Mimi ke ruang perbincangan. Pekerja lain, masing-masing mula mengambil tempat. Ruangan itu memang berbeza dari yang aku bayangkan sebelum datang ke sini. Kerusinya jenis rendah dengan meja rendah juga. Aku duduk dengan lututku hampir separas perutku. Ruangannya agak terbuka, tidaklah begitu besar tetapi kelihatan mula sesak bila semua pekerja mula berkumpul termasuk dari bahagian suntingan.

Kak Mimi menyuruh aku dan Bella duduk di depan bersamanya kerana kami perlu memperkenalkan diri sekejap lagi. Walaupun semua orang duduk secara rawak tetapi masih dekat dan mudah untuk kami bercerita. Mina dan Azila sudah tidak sabar nak dengar aku bercerita pasal pertandingan lalu.

“Pandai betul semua pesertanya tutup mulutkan. Aku dengar, mereka boleh disaman kalau ada cerita bocor pasal tu sebelum main kat tv,” adu Mina dengan mulut kecilnya tetapi boleh tahan untuk diberi perbandingan dengan murai.

“Betul, kami dah kena bagi amaran untuk…” aku membuat isyarat zip mulut. Bella turut terangguk-angguk di sebelahku.

Mina membuat mulut berbentuk ‘ooo’ lalu mengangguk faham.

“Tapi dengarnya, itu percubaan program terbaru E-Rose Tv, maksudnya disiarkan secara ekslusif ke?” Kak Mimi pula mencelah. 

Tetapi tiada sesiapapun menjawab pertanyaannya sewaktu Suhan muncul kelam-kabut, ada seseorang di belakangnya yang membuatkan kakiku terasa kejang tiba-tiba. Aku terpaku di tempat dudukku. Macam anak kecil yang terkejut disergah kerana telah melakukan kesalahan. Aku tak tahu seberapa pucat wajahku sampai aku berharap moga-moga bangunan itu runtuh serta-merta biar kami semua tertimbus di dalamnya.

Ketika dia duduk di atas kerusi kayu, jantungku mula beraksi kencang. Perasaan itu lebih teruk dari terperangkap dalam permainan dadu yang menyeramkan. 

“Assalamualaikum,” dia menyapa.

“Waalaikumussalam…” jawab mereka beramai-ramai.

“Lawa baju hari ni Martin,” puji Mina.

“Thanks Mina, baju lama.”

Ya, aku tak salah dengarkan dan mataku jelas menangkap wajah kacak Martin dan matanya yang bercahaya itu. Apa aku nak buat? Dia pun ditawarkan kerja di sini ke? Aku tak dengar pula dia turut diberikan pekerjaan di sini. Cuma aku dan Bella saja yang ditawarkan bekerja dan boleh tak aku letak jawatan sekarang? Dan lepaskan peluang sebaik ini. Aku cuba menyembunyikan muka dari balik bahu Kak Mimi yang kehairanan.

“Ok, pekerja baru dah masuk hari ini?” tanya Martin. Aku hanya mendengar suara parau itu tanpa melihat orangnya.

“Sudah, Bella sila kenalkan diri dulu,” minta Kak Mimi.

 Aku tidak mampu mendengar lagi, tak dapat fokus kepada Bella lagi. Ingatanku saat itu kacau-bilau. Kemunculan Martin buat aku jadi tidak tentu arah. Kali ini bukan sebab dia kacak tetapi sebab duitnya yang telah aku salah gunakan. Tak. Mak aku yang salah gunakan! Tiba-tiba bahuku dicuit…

Kak Mimi memandangku dengan isyarat mata. Aku mengangkat kening mahu bertanya ‘kenapa?’ Tapi Kak Mimi yang jelas faham maksud kening aku tadi terus bercakap. “Kenalkan diri…” nadanya macam dah mula hilang sabar bila aku ternganga sahaja lalu aku tersedar.

Perlahan aku berdiri, cuba tidak memandang ke depan, tak sanggup hendak berhadapan, malu dan sudah tentulah rasa bersalah yang mengapi-apikan naluri tetapi mataku enggan memberi kerjasama suka betul tengok wajah Martin. Akhirnya, dengan rasa berat hati, pandangan kami bertembung dengan jaraknya hanya beberapa langkah.

“Hai Lila,” tegur Martin beserta senyuman manisnya.

“Err… hai,” sahutku dengan nada yang paling rendah dan cuba tersenyum yang kurasa macam dibuat-buat, langsung tidak menunjukkan keikhlasan.

“Awak dah okey?” tanya Martin prihatin, mungkin pasal hari itu.

 Jadi aku jawab. “Ok…”

“Sila kenalkan diri awak pada yang lain,” arah Martin macam seorang ketua. Dia memandang wajahku tepat, menunggu dalam beberapa saat.

“Err… saya Lila,’ ucapku dengan gagap.

“Lila aje ke?” tanya satu suara lelaki entah dari arah mana.

“Panggil Lila saja.” Aku malas nak bersoal jawab. Tetapi Suhan pula bertanya.

“Lila pernah masuk modelling tak, awak kurus sangat!” Suhan tersenyum panjang memandangku.

“Ok, itu bukan soalan, tak perlu jawab Lila,” Martin mencelah.

Aku cuba tersenyum dan bersuara meskipun serba-salah tiba-tiba menghujani hatiku. “Saya dari Bahagian Idea dan Skrip.”

“Dah tahu…” sahut suara mereka beramai-ramai.

Aku ketawa dan tunduk hormat. “Tolong berikan saya tunjuk ajar sebagai pekerja baru dan terima kasih kerana menerima saya sebagai rakan sekerja di sini.”

Mereka semua bertepuk tangan. Aku mula lega tetapi dalam masa yang sama tetap bimbang. 

“Baiklah…” Martin meleraikan keriuhan dengan suaranya yang memang aku akui mempunyai kuasa tarikan. “Kita berada di sini sebagai satu pasukan, saya memerlukan idea-idea yang segar yang boleh menarik penonton dan paling penting penaja. Saya tidak berminat dengan pekerja yang sambil lewa, anda boleh blah kalau anda mahu,” jelas Martin tegas kemudian dia tersenyum lebar memandang ke setiap orang di hadapannya sebelum pandangannya singgah sekejap kepadaku.

Cepat-cepat aku menoleh kepada Mina yang membuat wajah manja dan begitu terpesona dengan Martin. 

Lantas aku berbisik pada Mina. “Diakah kekasih gelap awak tu?” aku bertanya.

“Hmm, betul…” sahutnya manja dengan menongkat dagunya dengan tangan. 

Pantas Azila mengetuk kepalanya. “Jangan perasan, laki kau nak letak kat mana…”

“Kat rumahlah, yang ni kat office,” jawabnya masih merenung wajah Martin.

Aku, Kak Mimi dan yang berhampiran ketawa mengekek. “Apa jawatannya kat sini?” aku bertanya pada Kak Mimi.

“Dialah Head of Department, dia pun baru juga, lebih kurang lima bulan lalu. Ketua lama tu dah berhenti. Martin baru habis kursus kat luar negara.”

“Ohhhh…” sambil mengangguk aku berfikir adakah Martin memang tahu semua pasal pertandingan hari itu. Aku tak suka kalau kemenangan aku pada hari itu dikaitkan dengan posisinya sebagai ketua kami. Rasanya macam tak adil. Tetapi bila kufikirkan semula, game hari itu kulihat sebagai subjektif. Kami berdua saling mengagak, meneka-neka jawapan selain bergantung dengan nasib baik sewaktu bermain dadu. Jadi, kenapa agaknya dia ada di dalam pertandingan itu kalau jawatannya cukup besar dalam departmen ini?

“Ok, saya ada kerja untuk team idea dan skrip,” Martin tiba-tiba membuat pengumuman. “Cuba tulis beberapa idea untuk satu rancangan talk show berbentuk humor tetapi berinformasi,” katanya dengan lagak ketua. “Boleh?”

“Boleh…” sahut Suhan dan Kak Mimi. 

Bella sedang mencatat nota, sementara aku jadi pendengar.

“Sampai sini saja meeting kita hari ni, semua orang boleh beredar, kecuali Lila, sila masuk ke dalam bilik saya.” selesai bercakap Martin terus berdiri dan keluar dari ruangan itu.

Habis mendengarnya aku ternganga lagi di tempat dudukku. Terbayang pemecatan di hari pertamaku bekerja. Adakah Martin hendak bertanya pasal duitnya? Boleh tak aku sembunyi dulu, petang sikit baru jumpa dia, setelah semua orang pulang. Sekurang-kurangnya tidak ada sesiapa nampak Martin maki hamun aku dalam pejabat.

“Apa lagi Lila, pergilah. Mungkin dia nak tahu visi awaklah tu…” Suhan mengejutkan aku dari lamunan yang tidak masuk akal.

“Pergi cepat Lila, Martin tu ok je, tak makan orang…” Kak Mimi pula mendesakku.

Bella menepuk bahuku ketika aku sedang membaca doa tolak bala. Aku menoleh kepadanya.

“Nanti tengahari kita keluar makan sama-sama?” tanya Bella.

“Ok.” Sahutku tanpa melihat Bella, aku masih kaku di tempat duduk ketika semua orang bergantian beredar keluar.

Oh Tuhan, apa yang aku nak buat ni, lari? Ada tak dalam kontrak kalau aku akan didakwa mengikut undang-undang jika melanggar kontrak bekerja? Hmm… aku mengeluh, lebih kepada merintih perlahan sebelum berdiri. Bella tidak ada di sebelahku, mungkin sudah masuk ke dalam bilik pejabat. Sementara aku berpusing ke arah kanan, menuju ke bilik Head Of Department membawa debaran jantungku yang macam tak stabil. Otakku sedang memikirkan ayat-ayat yang baik untuk disampaikan, ayat yang menggoda agaknya… aku berharap, harap sangat Martin tergoda err…siapa tahu itu boleh mengurangkan hutangku. Aku pejam mata sesaat di depan pintu bilik pejabat Martin dan menghela nafas resah.

“Masuk Lila…”  dengan gambaran pantas Martin tiba-tiba berdiri di depan pintu yang terbuka lebar. 

“Err, macam mana tuan tahu?” tanyaku penuh formal dan hormat kemudian berjalan masuk ke dalam.

“Lama sangat saya tunggu,” Martin menjemputku duduk. “Panggil saya Martin, semua orang di sini panggil saya Martin, ok,” dia mengangkat kening dan duduk semula di tempatnya. 

Kami saling berhadapan.

Setiap kali Martin berdehem, aku ikut tersentak kecil, dia khusyuk menyelak fail di hadapannya beberapa saat dan selepas menutup fail itu Martin memeriksa kalendar besar di atas mejanya pula sebelum memandang padaku. Aku tersentak lagi tetapi cepat-cepat mengawal rasa berdebarku bimbang ketahuan bersalah.

“Saya selaku orang yang bertanggungjawab, sangat berharap awak dan team awak dapat berbincang dan hasilkan idea yang bagus. Awak boleh minta sumbangan idea dari team awak ataupun idea awak sendiri. Saya dan pihak atasan akan buat penilaian samada idea itu boleh diguna pakai nanti,” jelasnya teliti, gayanya hari ini berbeza betul dengan pertemuan pertama kali kami.

“Saya boleh claim idea itu sebagai idea saya biarpun dibantu rakan lain?” aku serius ingin tahu.

“Ya. Sudah tentu. Idea asal akan tetap diberi pada orang yang mencetuskan idea. Sementara bantuan rakan lain kita sebut sebagai Assistant Writer ok, faham?”

“Faham.”

“Idea itu sebenarnya… boleh saja dari sesiapa. Samada saya, awak atau dari pekerja suntingan ataupun dari bos besar ataupun penonton di luar. Itu biasa berlaku. Jadi tugas team awak untuk mencantikkan idea itu dengan skrip penulisan yang baik. Rasanya awak tahu skop kerja ini bagiamana sebab awak pun belajar dalam bidang kreativiti. Betulkan?” Martin sedang membaca fail biodataku sekali lagi. “Oleh sebab syarikat E-Rose Tv taklah segah Kota Media, jadi awak mungkin akan dilantik sebagai penerbit juga, awak tahu kerja-kerja penerbit rancangan?”

Aku menggeleng laju tetapi teruja mendengarnya.

“Macam uruskan tetamu, jadual, keperluan artis… apa yang mereka mahu atau tak suka itu ini, banyak karenah akan awak jumpa dalam bidang ni yang buat kita rasa mual,” bibirnya mengherot sedikit yang aku tahu dia sudah melalui itu semua. “Kadang awak akan benci dengan mereka-mereka tu tetapi pengalaman akan buatkan kita kuat. Penerbit orang yang paling penting dalam tugas cari penaja, pandai berkomunikasi dengan baik, lancar dan saya rasa awak menepati ciri-ciri itu semua. Awak boleh tanya Kak Mimi dia ada tahu semua kerja-kerja di sini… dan di sebabkan kita kekurangan tenaga produksi jadi saya berharap semua orang boleh buat dua, tiga kerja dalam satu-satu masa,” jelasnya panjang lebar.

Aku mengangguk penuh disiplin dan terus mendengar cerita Martin.

“Di Kota Media atau Stesen Astra, sistem mereka agak berbeza dengan E-Rose Tv.”

“Maksudnya?” soalku.

“Kota Media contohnya sebuah rancangan diuruskan oleh satu kumpulan dengan seorang penerbit. Itu disebabkan mereka  mempunyai rating dan penonton yang ramai. Tapi, di E-Rose Tv, departmen Variety and Talk Show menguruskan lebih dari lima rancangan dalam satu team yang besar. Jadi, bila-bila masa awak mungkin akan diangkat sebagai penerbit rancangan jika bos besar nampak potensi awak. Sekarang ni, tugas semua orang dalam departmen ni ialah bekerja keras untuk memastikan semua rancangan televisyen berjalan lancar mengikut tugas masing-masing, sebab itu saya kata idea itu boleh datang dari sesiapa saja. Tapi kalau kita boleh bersaing dengan Kota Media nanti tak mustahil bos besar akan mengupah lebih banyak pekerja supaya satu rancangan diuruskan oleh satu kumpulan sahaja,” terang Martin lebih jelas.

Aku memahami semua yang dikatakan lelaki itu lebih-lebih lagi cara Martin bercakap dengan bahunya dan mimik wajahnya buat aku fokus dan mengangguk laju tanda faham sangat.

“Ada apa-apa soalan lagi?” 

Soalnya lantas duduk tegak yang mengecutkan perutku tiba-tiba. Aku kaku beberapa saat memandang wajah kacaknya sebelum tergagap-gagap bertanya. “Err… saya nak tahu kenapa awak ada dalam pertandingan itu, adakah…?” soalanku tergantung.

Martin memintas. “Adakah saya tahu pasal game yang kita lalui tu semua?” dia senyum beberapa saat lalu menyambung ceritanya. “Tidak. Orang yang membuat idea itu adalah Haqiem dari bahagian grafik. Dia dan teamnya yang melakar semua permainan tanpa pengetahuan yang lain. Saya, Abraham dan Zara hanya dipilih untuk merasai pengalaman itu. Maksudnya saya pun peserta macam awak dan yang lain. Saya langsung tak terlibat dalam pembuatan game seram begitu.”

Aku lega mendengarnya. Jadi, kami menang atas dasar usaha kami sendiri dalam Mystery Game itu. “Saya… emm, terima kasih.” Ucapku gugup.

“Ada apa-apa soalan lagi awak nak tanya?” tanya Martin yang suka mengangkat keningnya dan memandang tepat ke wajahku.

“Err…” aku melamun seketika sebelum menjawab. “Tak,” jawabku yakin, bodohnya kau Lila. Aku takut nak beritahu Martin pasal masalahku sebenar.

“Ok, selamat bekerja Lila, moga kita boleh bekerjasama dengan baik,” kata Martin dengan senyuman manisnya mengakhiri perbualan ringkas kami.

Pantas aku berdiri, biarpun bagai ada tangan seperti menahan kakiku dari bawah meja aku tetap juga berdiri dan cepat-cepat keluar dengan rasa resah yang mula menggila dalam dadaku. Di tepi luar pintu bilik Martin yang masih terbuka lebar aku bersandar seketika sambil mengeluh kecewa. Berkali-kali aku memukul dahiku dengan tapak tangan. 


Previous: Bab 6
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ann Hann