Home Novel Cinta Tentang Martin
Tentang Martin
Ann Hann
5/12/2018 08:08:26
16,879
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

Ketika hampir sejam, kami menunggu Nazim dan Bella keluar aku sedang bercerita dengan Farhana dan juga Gita… dan dalam lima minit kami tersentak lagi bila Haznil mengumumkan secara mendadak yang Nazim dan Bella sudah berjaya keluar. Kami semua berdiri, bertepuk tangan mengalukan kejayaan mereka keluar. 

Bella berlari-lari kecil menuju ke arah kami bertiga dengan wajahnya pucat dan maskaranya luntur sedikit. Mungkin dia menangis. Emmm…

“Seram ke?” laju saja Gita bertanya kepada Bella. 

Bella membuat gaya menggigil sebelum menjawab. “Seram sangat dah macam Conjuring!”

“Gila punya game!” keluh Nazim pula.

Aku dan Farhana turut melopong dengan aku merengek resah mendengar cerita Bella yang ketakutan sepanjang masa. Tetapi disebabkan pertandingan itu menawarkan RM 30,000. Mereka harus menutup mulut untuk terus bercerita.

Kemudian Nazim dan Bella dipanggil untuk buat temuramah. Aku sekejap-kejap melihat jam di skrin handphone, hampir sejam juga Bella dan Nazim di dalam tadi. Aku menganggar kira pertandingan itu akan selesai awal malam, mungkin lebih lewat kalau mengambil kira kumpulan pertama dapat menyelesaikan misi mereka sejam lebih. Selepas itu Gita dan Farhana pula masuk ke dalam studio.

“Good luck Gita, Farhana,” ucapku sambil menepuk bahu Farhana dengan riak kerisauan terpamer di wajahnya. Aku ketawa.

Ketika kumpulan Farhana sudah lebih setengah jam berada di dalam, aku duduk sendirian di bangku yang kusandarkan di tepi tiang bulat. Aku tak suka menggambarkan perasaan resahku sepanjang mendengar lolongan tangisan dan teriakan mereka berdua di dalam. Ia menakutkan aku juga. Cuba teka apa yang aku sedang fikirkan? Hantu? Ya. Tetapi aku sedang berfikir permainan apa agaknya yang begitu menyeramkan? Mungkin zombie, filem zombie di mana-manapun selalu buat kita tak senang duduk. Sesekali aku menghafal fakta-fakta sejarah dunia. Tujuh benda ajaib di dunia yang terkenal dengan keajaiban ciptaan manusia. Siapa tahu diperlukan nanti. Kan? yalah tu! Aku terus menghafal sambil telingaku terus menghadam suara pekikan dan lolongan ketakutan Farhana dan Gita beberapa minit seterusnya.

Aku cuba kekal tenang bagi mengelakkan perutku memulas jika telampau bimbang. Malahan aku sengaja mengasingkan diri dari peserta-peserta lain yang sedang berkumpul bercerita dan bergelak ketawa. Suara manja Zara yang tak henti-henti menyebut nama Martin jelas kedengaran dari belakang yang cuba tidakku pedulikan. Aku fokus merenung buku nota kecilku. Contengan di sana-sini dengan tulisan cakar ayam sebagai identitiku. Masa sekolah dulu cikgu Bahasa Melayu form 5 selalu menegur tulisanku sangat buruk.

“Awak okey?”

Satu suara memecah kenanganku. Aku mengangkat muka dan berpaling ke kanan. Martin sudah pun duduk di sebelahku. 

Perlahan aku mengangguk tanpa suara kerana tekakku terasa kering. Seolah-olah dia tahu keadaanku Martin lalu menghulurkan sebotol air mineral yang baru dibukanya. Aku segara mengambilnya dari tangan Martin dan meneguknya sekali dua untuk melegakan tekakku. Kami berdualah satu-satunya kumpulan yang langsung tidak begitu berkomunikasi berbanding Nazim dan Bella yang kelihatan mesra. Malahan Zara dan Abraham pun berbual ramah di bangku hadapan.

“Sedia?” tanya Martin dengan suara serak yang begitu memukau.

Sekali lagi aku menjawab dengan anggukan kecil.

Akhirnya Gita dan Farhana berjaya keluar. Belum ada pengumuman berapa rekod masa yang mereka berdua catatkan. Aku dan Martin diarahkan bersedia sekarang.

 

***


Cahaya samar menyambut kedatanganku dan Martin sebaik pintu dibuka, laungan guruh bergema sayup-sayup kedengaran dari suasana mendung di kejauhan pemandangan luar tingkap yang aku tahu sekadar tingkap props dan cuma rakaman bunyi guruh sahaja tetapi cukup buat aku tersentak sedikit. Aku amat… amat berharap tidak ada benda yang melompat keluar ketika aku sedang memerhatikan bilik kecil segiempat itu, agak selesa, memudahkan aku bergerak

Sebaik pintu ditutup muzik mendayu menyapa telinga. Muziknya berentak lullaby yang sayu. Punat ON, Player DVD yang terletak di tepi pintu bernyala merah dengan sendirinya. Aku berpaling pada Martin, dia sekadar mengangkat bahu. Bukan dia… pemain cd itu berbunyi secara automatik. Tentu orang yang buat permainan ini sudah setkan masanya.

“Tengok depan sana, Room 2,” kataku kepada Martin sambil berlari ke arah pintu berwarna hitam itu dan terus mencapai tombolnya.

Berkali-kali aku memusing tombolnya tetapi ia berkunci. “Ish!” aku menepuk dahiku sendiri. Kerana terlupa tujuan asal kenapa kami berdua berada dalam bilik itu.

“Kita kena cari kunci,” Martin menjawab kedunguanku.

Sambil menggaru kepala aku ketawa kecil. Martin senyum selamba lalu menghampiri sebuah skrin tv sebesar 40 inci yang melekat pada dinding tengah. Aku memerhatikan tangannya menekan button on. Dalam sesaat, warna kebiruan memenuhi keseluruhan skrin sebelum memaparkan dua gambaran puzzle. Salah satunya lengkap dan yang sebelah pula tunggang-langgang. 

Aku tahu permainannya bagaimana, kami kena betulkan puzzle yang berterabur itu dengan petunjuk gambar sebenar. Sebuah kabin dalam hutan yang tenang. Nampak macam susah, daun-daun dari pepohon kelihatan agak sama antara petak-petaknya tetapi tak ubah macam dalam game telefon pintar, jadi mungkin aku boleh.

Dengan rasa teruja aku berdiri di tengah skrin itu. Aku menolak Martin dengan bahuku minta dia ke tepi yang beberapa minit tadi terpinga-pinga sahaja. Lincah tanganku membuat swap kotak-kotak bawah tolak ke tengah, dari tengah kemudian ke atas. Memang sudah kuduga daun-daun itu agak mengelirukan. Aku terus fokus.

Dalam masa 03 minit 32 saat. COMPLETE! Perkataan itu berkelip-kelip. Bukan rekod terbaikku tetapi aku tetap bangga.

“Wow!” Martin terpaku di tempatnya berdiri. “Macam mana awak buat?” 

“Playstore banyak game puzzle,” jawabku berlagak. Inilah masanya buat muka sombong. 

Kemudian 4 digit nombor terpapar pada skrin yang kembali kebiruan gelap sebagai klu untuk kami gunakan.

“8 0 1 7.” Sebutku sambil menghafal. Martin pun turut sama menghafal nombor-nombor tersebut. Untuk apa agaknya nombor itu macam satu kod pembuka. Tidak syak lagi.

Mereka perlu menyelesaikan satu-persatu permintaan yang dimahukan oleh pengaturan game tersebut untuk melepaskan diri. Kepalaku berpaling ke kiri dan kanan, berdiri secara tidak tetap pada suatu tempat demi mencari sesuatu untuk mengaktifkan kod tadi. Dua, tiga rak buku aku selongkar kalau-kalau ada benda yang tersembunyi.

“Cari peti, mungkin peti kecil,” kataku kepada Martin yang dengan mudah menolak rak buku tersebut dan mencari di belakang rak itu.

Kemudian Martin mengangkat tangannya dan menggoyang sebagai dia isyarat tidak menemui apa-apa. Bibirku mula senget, aku perlu berfikir dengan cepat. Masa terus berjalan, membuang masa di bilik pertama akan merugikan kami berdua.

“Haissh!” tiba-tiba desisan itu keluar dari mulutku. Silap, aku patut tahu kalau semuanya tersembunyi dengan penyamaran rapi. Malas memerah otak aku menarik keluar satu-persatu buku-buku dari dalam rak, kesemuanya berkulit tebal, berat yang memang menyerupai buku. Tidak ada pada rak pertama, aku beralih ke rak kedua dan ketiga. Semakin banyak buku aku keluarkan. 

Martin turut meniru kerjaku. Gerakannya yang agak perlahan buat aku curiga ‘dia tahu tak yang mereka kena cepat’ aku berharap dia berniat untuk menang, sebab aku memang teringin nak menang. Tawaran wang besar RM30,000 dan bonus automatik bekerja di stesen media E-Rose Tv merupakan satu peluang besar untuk aku.

Fikiranku mula leka seminit dua sebelum tersentak ketika Martin menghulur sebuah buku kepadaku. Mata kami bertembung dengan riak pertanyaan yang tidak dapat kubaca dan seperti segan hendak berbicara pada lelaki itu.

Aku mengambil buku itu dari tangan Martin, eh… ringan. Sedar yang aku masih tidak faham ada apa dengan buku itu, Martin memusingkan buku yang masih di tanganku secara melintang dan jari telunjuknya menguis sedikit garisan yang sepatutnya helaian kertas sebuah buku. Tetapi pelik, buku itu tidak mempunyai sebarang garisan hanya kulit keras yang tebal. Bagaimanapun, terdapat satu lagi garisan berbentuk segiempat yang ketara. Di situlah jari telunjuk Martin menguis lagi sedikit lalu mendedahkan empat petak kecil seperti jam digital dengan skrin sentuh.

“Masukkan kod tadi pada setiap petak tu,” arah Martin.

Ok… Lila, tak patut sungguh aku salah anggap pasal Martin yang agak perlahan tadi, sebenarnya dia lebih teliti dari aku yang sedikit kelam-kabut. Tengok, dia yang menemui peti kod. Aku minta maaf dalam hati dan mengukir senyuman manis kepadanya.

Dia membalas senyumanku. 

Ohh… dia benar-benar kacak, berbanding Tony pujaanku. Dadaku berdebar yang tak bersangkut paut dengan kod pembuka. Aduhh.. fokus Lila fokus…

Laju jariku menekan nombor-nombor mengisi setiap petak. 8   0   1   7 angka yang mungkin akan aku ingati sehingga umurku 50 tahun kerana nombor-nombor itu yang kuhafal berkali-kali sebaik berjaya menyelesaikan puzzle tadi. Dengan satu bunyi ‘klik’ buku itu terbuka. Sebenarnya sebuah peti yang menyerupai sebuah buku. Di dalam peti itu terdapat sebatang kunci perak dan sekeping nota.

“Yesss!” aku mengangkat tapak tangan yang disambut oleh Martin. “High five…” raih kami berdua. “Terima kasih Martin.”

“Kitakan partner,” jawabnya.

 Intro muzik In The End bergema dalam bilik itu bagai dimainkan seseorang. Lagu kumpulan Linkin Park yang terkenal itu begitu mengujakan perasaan. Aku turut menyanyi lirik yang aku tahu. “Kau minat Linkin Park?” tanya Martin dengan senyum segaris dari pipinya.

“Minat? Tak, saya hardcore fan!” 

Martin mengangkat keningnya sebelah. “Macam tak percaya, tengok dari muka awak, jenis kaki drama korea…”

“Itu pun saya minat.” 

Martin kelihatan ketawa walaupun dia menyelindungkan wajahnya.

Lantas aku membaca nota tadi.

“Adakah anda pasangan sejati. Awas ada yang memerhati!” aku membaca dengan kuat nota itu.

“Maksudnya?” tanya Martin yang terus berpaling kepadaku.

Aku mengangkat bahu turut sama memikir tulisan pada nota itu. Dengan kunci tadi aku membuka pintu Room 2 berhati-hati dan mengintai seketika ke dalamnya. Bunyi berkeriut panjang dari pintu itu membuat perasaan takutku semakin menjalar. Cahaya samar-samarnya lebih gelap dalam bilik kedua itu dan agak aneh sedikit dari bilik pertama. Biasan lampunya kemerahan dan berselang-seli dengan cahaya kekuningan. Aku rasa dalam bilik inilah suara Bella, Gita dan Farhana kudengar memekik ketakutan. 


Previous: Bab 1
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ann Hann