Home Novel Cinta Tentang Martin
Tentang Martin
Ann Hann
5/12/2018 08:08:26
53,116
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

Awal pagi lagi aku berkejar dengan bas kerana lewat sepuluh saat. Setiap bas ada jadual tetap di kawasan perumahan Swan Flat. Penghuni flat yang bekerja pagi mohon jangan jadi macam aku hari ini, aku terlambat sebab kasut tinggi aku hilang sebelah. Kucing Mak Jah bawa lari entah ke mana. Sudahnya aku kelam-kabut mencari kasut lain. Kucing Mak Jah sebenarnya comel dan suka sangat pada kasut tinggi aku. Aku syak kucing itu dah jatuh cinta pada aku! Ya, semenjak aku dicop orang yang banyak hutang kepala aku dah jadi sewel!

Setelah tercungap-cungap berlari dengan berkaki ayam, dapat juga aku menaiki bas itu. Pemandu basnya sekadar tersengih kepadaku. “Kenapa lambat?” tegurnya.

Aku tersengih. Penumpang lain yang kehairanan memandang aku berkaki ayam tidakku pedulikan ketika aku mengimbas kad top up untuk tambang perkhidmatan. Kemudian aku pun duduk di bahagian hadapan sekali lalu menyarung kasut jenis bertali warna hitam yang kelihatan sudah lusuh warnanya. 

Cuaca agak mendung di bandar Iskandar. Musim tengkujuh yang melanda pantai timur pada hujung tahun ini melampiaskan suhu sejuk dan hujan ke serata negeri seluruh semenanjung. Sabah dan Sarawak pun diberitakan mengalami perkara yang sama. Tetapi wilayah borneo yang berdekatan dengan Filipina dikhabarkan mungkin bakal terkena tempias bahana ribut memandangkan Filipina negara yang menjadi laluan ribut dan taufan kerana kedudukannya yang terletak di lingkaran api pasifik dan berhampiran khatulistiwa. Begitulah berita yang kudengar dari tv 50 inci pagi tadi. huh!

Setengah jam perjalanan menaiki bas, perhentian yang aku tujui pun sampai. Tetapi aku kena berjalan kaki sedikit menuju ke pusat pengawal yang dengan ramah memberi tunjuk arah. Selepas berjalan kaki di jalan beraspal hingga ke ruangan utama barulah aku bersyukur kasut tumit tinggiku dibawa lari kucing Mak Jah, sekurang-kurangnya taklah kaki aku sakit sangat. 

Dan sebaik terpandang replika besar huruf-huruf E-ROSE-TV di tepi pintu masuk menyambut kehadiranku rasa penat tadi hilang serta-merta. Keadaan di situ agak sibuk dengan pekerja-pekerja keluar masuk. Melihat krew-krew yang mengangkat peralatan, ada wartawan yang berlari masuk macam mengejar sesuatu dan kelihatan mungkin pekerja pejabat yang baru hendak masuk bekerja begitu mengujakan perasaanku. Aku tidak sabar hendak memulakan hariku di syarikat ini.

Perkara pertama yang perlu aku buat, bertanya di kaunter pertanyaan…

“Selamat pagi boleh saya tolong cik?” sambut seorang gadis penyambut tetamu berkulit hitam manis.

“Selamat pagi,” ucapku juga. “Saya nak ke bahagian rancangan err.” aku terkial-kial membaca semula surat tawaran di tanganku.

“Yang mana satu? Boleh saya lihat surat anda.”

Aku segera menghulurkan surat tawaranku.

“Oh, Variety and Talk Show Department,” dia mengangguk faham. “Sila naik lif ke tingkat dua, belok kiri, jalan terus. Cik boleh nampak signboard Variety and Talk Show Department dengan mudah.” Jelas gadis itu teliti.

“Terima kasih.”

“Sama-sama, selamat bekerja.” Ucapnya dengan senyuman ramah.

Aku mengikut arahan yang diberikan. Menunggu di depan lif bersama beberapa pekerja lain. Sekejap saja pintu lif terbuka dengan lebarnya, bagai pak turut aku mengikut pekerja di hadapanku. Salah seorang dari pekerja tadi sudah pun menekan tingkat 2. Dalam beberapa saat pintu lif terbuka semula. Aras 2 tertera jelas di hadapan. Di luar lif kepalaku langsung menoleh ke arah kiri. Lengang saja keadaannya. Tiada sesiapa yang keluar masuk, tidak seperti ruang di bawah tadi. Pekerja yang sama-sama dengan aku tadi semuanya membelok ke kanan. 

“Betul ke tak maklumat yang aku dapat ni?” aku berkata sendirian tetapi terus berjalan ke hadapan. Bukannya jauh, cuma aku yang lambat sangat. Sambil melangkah sambil aku menggumam dengan bibir terkumat-kamit, membaca doa yang kutahu saja sebagai bekal pertahanan diri. Suasana baru begini selalu buat aku mudah berasa janggal, buruk sangka dan hilang selera makan.

Variety and Talk Show Department

Satu signboard kecil di sebelah pintu menjadi petunjuk yang jelas. Aku menolak pintu kacanya perlahan. Pejabat itu agak luas, di bahagikan kepada beberapa bahagian mengikut kriteria jawatan. Aku membaca setiap signboard kecil di luar setiap bahagian, Bilik Peralatan dan Keperluan, Bilik Bahagian Suntingan yang tertutup rapat dengan nota larangan ‘di larang masuk tanpa keperluan’

Selain itu, bilik, Head of Department yang bersebelahan dengan bilik suntingan dan terletak betul-betul dibahagian tengah ialah Ruang Perbincangan yang agak terbuka, rak almari yang dah macam perpustakaan sekolah, dengan meja dan kerusi yang berterabur. Aku percaya tempat itu selalu digunakan. 

“Hello miss…” 

Seorang lelaki menyapaku dari belakang. 

“Cari siapa?” 

“Saya pekerja baru, Lila.”

Lelaki itu terkejut, menutup mulutnya bagai tidak pernah jumpa pekerja baru.

“Ketua bahagian idea dan skrip…?”

“Betul,” jawabku kehairanan.

“Nama awak ada disebut dalam meeting semalam, tak sabar nak tengok game tu kat tv,” dia terus bercerita sebelum sedar aku ternganga saja. “Ok ikut saya,” dia mengajakku terus menuju ke bahagian yang patut kutuju. 

“Lila!” panggil satu suara halus.

Aku pantas menoleh ke kiri. “Bella?” aku terkejut melihat Bella ada sama di situ. Kami berpelukan.

“Dia pun pekerja baru juga, baru masuk semalam, tapi awak ketua bahagiankan, selamat berkenalan Lila…saya Suhan,” Suhan menunjukkan tempat dudukku di bahagian belakang sedikit, lebih besar dengan tanda nama di atas mejanya yang membuatkan hidungku kembang-kempis.

“Jadi, awak tolak tawaran kerja supervisor tu?” soalku pada Bella lalu duduk.

“Betul, rasanya lebih seronok kot kerja kat sini.” riak Bella segar dan ceria.

“Definitely!.” sahut Suhan yang tinggi lampai dan peramah sangat. 

“Haiii guys…” sapa seseorang penuh ceria.

Aku dapat rasakan aura keceriaan dalam bilik itu terlalu serasi dengan aku yang pada awalnya kekok dan takut jika rakan sekerjaku jenis kuat marah.

“Saya Kak Mimi, happy to see you Lila, Bella,” sapanya gembira dan memberikan pelukan. “Lila boleh arahkan kakak apa-apa saja, saya menurut perintah hihi…”

“Terima kasih Kak Mimi,” aku menyahut gembira.

“Maimunah binti Pardi, kau ada belikan aku nasi lemak? Aku dah lapar, kang aku gigit Kak Mimi nanti,” Suhan

 “Ada… jomlah kita sarapan dulu, Kak Mimi beli banyak ni,” pelawa Kak Mimi.

Sebagai orang baru, Suhan dan Kak Mimi menjadi sumber maklumat yang paling baik. Tentang siapa berlagak macam bos, siapa kuli, siapa banyak songeh. Bos besar E- Rose tv namanya Puan Rosni Sulaiman. Jadi, nama syarikat ini memang dia realisasikan namanya sendiri. Selepas bersarapan di pantri kami memulakan kerja. Bukan buat kerja, sebaliknya sesi berkenalan dengan rakan sekerja dari bahagian lain. Ruang bilik itu hampir dipenuhi dengan pekerja lain yang buatkan aku rasa rendah diri bila mereka sudi menemui aku dan Bella.

“Yang mulut becok dan kuat makan ni namanya Mina,” Suhan memperkenalkan Mina yang bermata sepet, kulit putih dan memang jenis banyak mulut. “Mereka berdua dari bahagian props, kalau Lila perlukan apa-apa cari mereka.”

Awal-awal lagi dia dah pesan pada aku yang dia ada kekasih gelap dalam pejabat.

“Jangan nak perasanlah…” Kak Mimi mencelah.

 “Ingat Lila, jangan main mata ok, Bella pun!” katanya bergurau.

Aku dan Bella ketawa. 

Kak Mimi terus menjadi jurucakap yang memperkenalkan semua orang kepada kami berdua. “Bella, Lila… yang ini pula Azila.”

Aku terus menjabat tangan Azila. Orangnya agak anggun bergaya, cantik dan sedikit pendiam namun tetap juga ramah dan menegurku mesra. Aura keseronokan dalam departmen itu semakin mula dirasakan bila semua rakan-rakan sekerjaku peramah dan suka buat lawak terutama Suhan yang tinggi lampai, hidungnya mancung dan paling penting dia satu team dengan aku di bahagian Skrip dan Idea.


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.