Home Novel Cinta Tentang Martin
Tentang Martin
Ann Hann
5/12/2018 08:08:26
53,428
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

“Kenapa Lila lambat balik semalam?” 

Aku sedang membuat milo panas ketika disergah begitu. Mak baru balik dari pasar malam beli barang dapur. Mungkin aku tidur sampai tengahari siang tadi dia tak sempat tak tanya apa-apa. Malam sikit baru mak teringat bertanya hal itu padaku.

“Lila ada kerja kat studio.”

“Mak risau tau, baik kau kahwin je. Bingung kepala mak ni kalau kau tak kahwin, aku tak tahu apa kau buat kat luar sana, ntah-ntah maksiat ke apa ke?” sembur mak melulu.

“Mak! Apa ni? Tolong jangan anggap saya ni buruk boleh tak?”

Kemudian mak ikut duduk di meja menyertaiku. Aku melihat mata mak yang bersinar gembira lain macam hari ini.

“Lila, abang kau suruh mak tanya kalau ada orang kaya suka Lila macam mana ok tak?” 

Aku menggeleng, malas nak dengar. 

“Lelaki tu orang senang Lila, dua tiga biji kereta, rumah besar, tak apalah jadi bini kedua. Nanti dia belikan kau rumah, tak payahlah kita menyewa lagi kat sini.”

“Aduh mak, tolonglah, jangan mula lagi.”

Mak aku yang jenis tak suka dibantah terus naik angin dan marah-marah. 

“Kau nak jadi anak dara tua ke? Umur kau tu dah patut kahwin. Tunggu kau cari laki entah bilalah kau dapat!” tengking mak tiba-tiba.

Grrr… mak aku hampir jadi singa betina. Aku tinggalkan saja mak di dapur dan terus bersiap-siap pergi kerja.

Beberapa hari kemudian pertengkaran dengan topik yang sama tercetus lagi. Antara aku dan mak yang semakin luar biasa mood singanya. Aku baru habis mandi, baru nak berehat selepas pulang dari kerja yang sibuk sepanjang hari selepas hampir seminggu bekerja. Sedang enak-enak menikmati secawan milo dan biskut kering tiba-tiba mak mengomel macam orang hilang akal.

“Kalau ada orang pinang kau mak terima terus, senang, kau jangan bantah-bantah lagi.”

“Mak tolonglah, kenapa mak sibuk urusan Lila kahwin ke atau tak. Lila baru dapat kerja, ada cita-cita yang nak dicapai. Tak payah risau sangat,” aku cepat-cepat menghabiskan milo, membawa cawanku ke sinki dan membasuhnya sekejap.

“Kau jangan melawan mak Lila, susah hidup kau nanti!” amuk mak yang mengekori aku hingga ke dapur.

Ya, mak aku pun pula menyumpah. 

“Lila tak lawan mak, tapi hal kahwin ni biarlah Lila yang tentukan dengan siapa,” aku mengelap tangan.

Tiba-tiba mak datang menerkamku macam orang gila. Rambutku ditarik kuat dan ditolak hingga kepalaku terhantuk ke dinding konkrit. Pandanganku berpinar jadinya. Sakitnya. Sekali lagi aku tegaskan aku bukan nak melawan. Ini sebenarnya perkara biasa pernah berlaku dalam hidupku. Apalah setakat lebam di dahi, aku dah pernah rasa lebih teruk dari ini. Aku terus meninggalkan dapur dan masuk ke bilik.

“Mak dah nekad Lila!” jerit mak dari luar bilikku.

Pantas aku mengambil handphone dan mencari nombor Andy. Tempat mengaduku yang jauh di mata. Sekejap saja dia menyambut video call yang aku buat.

“Akak ok ke, kenapa menangis?” tanya Andy yang nampaknya sedang sibuk buat kerja di meja belajarnya.

“Tak payah tanya, siapa lagi…” jawabku dan ketawa kecil sambil menunjukkan lebam di dahiku. “Tanda baru.”

“Baik kakak bawa mak pegi pskiatri, Andy rasa ada yang tak kena dengan mak tu. Dah nampak jelas sikap mak terbawa-bawa dengan kisah lama. Dia selalu ingat kakak tu masih berumur 14 tahun.”

“Mak ada masalah ingatan benci yang tak berakhir pada kakak,” kataku sayu. Airmataku jatuh setitis.

“Nanti Andy balik cuti semester kita bawa dia jumpa doktor,” kata Andy yang senyum memujuk hati laraku. “Andy rindu dengan kakak, macam mana tempat kerja baru?”

“Ok, kerja semua ok, yang tak ok kat rumah je,” aku ketawa kecil.

“Nanti bagi nombor ofis kakak, senang Andy cari kalau ada emergency, selalu call handphone tak dapat, sibuk betul ke atau dating dengan Martin... hehehe,” usiknya lagi.

“Dating? hahaha.”

Andy mengangguk, senyum mengetap bibir. Aku banyak cerita kisah hal aku dengan Martin pada Andy. Dan begitu juga Andy, suka berkongsi ceritanya dengan aku. Kami berdua saja. Mak dan Along tidak termasuk dalamnya. 

“Oklah Andy. Pergilah buat homework, kakak nak tidur ni.”

“Ok, bye… jaga diri, jaga kesihatan.”

Aku tersenyum sebelum menutup talian.


***

Keesokan paginya aku cuma sempat membelikan Martin mee goreng dari dewan makan E-Rose TV, seperti biasa aku menitipkan nota ringkas untuk Martin. Saya beli yang ringkas je, sorry. 

Selepas itu aku buat kerja bersendirian. Merangka idea yang baru keluar dari kepalaku seperti permintaan Martin semalam. Kesibukan di bilik pejabat buat aku leka berjam-jam.

Tak cukup duduk di meja, aku duduk di lantai, bersandar pada dinding sambil menyusun ideaku ke dalam buku nota. Tidak mahu terganggu dengan kesibukan Bella yang sedang menaip skrip, Suhan yang sibuk menyemak kerjanya. Kak Mimi pula baru lepas kena tegur oleh Martin pagi tadi, mukanya murung saja. Tentu pasal rancangan Teka Siapa. Entah sudah berapa jam aku terus khusyuk membuat kerjaku. Dahiku mula rasa berat memikirkan idea-idea yang boleh ditambah. 

“Lila, buat apa kat situ?” tiba-tiba Kak Mimi muncul dengan kepalanya terjengul dari mejaku.

“Cari idea.” Aku melebarkan senyuman.

“Oh, thanks untuk semalam Lila, mujur ada Lila, lepas ni tolong Kak Mimi lagi ya, kakak bingung ni,” dia mengadu jujur.

“Ok, lepas Lila siapkan kerja.”

“Kenapa dengan dahi Lila tu, lebam.” Kak Mimi mula pelik menunjuk dahiku yang lupa kusembunyikan.

“Tak apa, terhantuk sikit,” aku tersengih. “Ketara ke?” tanyaku pasal lebamku itu.

Kak Mimi mengangguk dan mengerlingku ragu-ragu dengan mulutnya muncung sebelum mengajak. “Jom makan.”

“Dah masuk tengahari ke?”

“Dah petang Lila, angau ke?” Kak Mimi ketawa mengekek. “Ada kek ni Martin belanja. Tadi dia tanya kakak, Lila buat apa, tu kakak intip ni…”

Aku ketawa lalu berdiri. Kek coklat yang dihidang Kak Mimi begitu mencairkan perasaan. Kami semua duduk berkumpul di meja Kak Mimi.

“Martin sekarang sejak ada Lila, Kak Mimi dah tak laku. Mina apalagi tolak ke tepi terus,” Suhan mencelah dan menarik sekeping kek.

“Betul, kan… kejap-kejap cari Lila, tanya Lila, Kak Mimi dah boleh pencen. Tapi bagus jugak tu Suhan, hilang stress Kak Mimi kalau Lila ada,” cerita Kak Mimi lalu melentokkan kepala kepadaku.

“Betul tu,” Bella menyampuk. “Dari first jumpa lagi Martin kalau tengok Lila lain macam aje.”

“Dah, dah, sambung makan jangan merepek. Nanti Martin dengar, dia ingat kita grup penggosip pulak…” aku mencelah dan disambut gelak ketawa mereka. Kalau aku beritahu yang aku banyak hutang dengan Martin mungkin heboh satu department. Mungkin juga ada yang menjauhkan diri. Kami menyambung makan kel hingga licin kotaknya. Seronok makan sambil berbual pasal isu-isu hangat artis. Suhan memang pakar kalau pasal mengorek rahsia artis yang biasa dijumpanya dalam rancangan temubual.

Sekejap sahaja masa kerja tamat. Lebih kurang pukul tujuh malam pejabat sudah kosong. Aku yakin bilik suntingan pun kakitangannya sudah pulang. Cuma aku yang masih berlegar dalam bilik berpura-pura membuat kerja yang kujadikan alasan utama. Sebenarnya aku merajuk. Aku berkecil hati dengan mak, terima kasih lebamnya! 

Malam ini tidak normal, pulang ke rumah bukan lagi hal utama. Memikirkan di mana hati seorang ibu buat aku tawar hati untuk terus bertahan dengannya. Hampir tenggelam dalam kekecewaan lantas aku ke pantri, membuat secawan kopi untuk menenangkan hati. Sambil menghirup kopi, dari tingkap kaca yang tertutup aku melihat refleksi sendiri. Rambut pendek melepasi bahu, kurus dan mata yang selalu basah adalah duka yang tetap menjadi milikku, orang lain tak akan memahaminya. Kadang-kadang aku terfikir tentang masa depan yang sempurna. Bahagia dengan kasih sayang yang ditaburkan, tetapi…

Hidup dengan emak yang membenci anaknya menjadikan aku kuat dan hampir tidak memerlukan sesiapa dalam hidupku lagi. Begitupun aku perlu meneruskan hidup dan menuruti semua pesanan Tuhan tentang berbaiklah dan kasihani orang tua, ingatlah jasa mereka. Pesanan itulah yang selalu menjadikan aku seorang pemaaf. Tidak kira seberapa banyak aku berkecil dengan ibuku tetapi dalam masa yang sama aku tetap menyayanginya sepenuh hatiku.

Aku baru terfikir-fikir hendak tidur di mana… sebelum tiba-tiba kalut. “Ohh…alamak,” kelam-kabut aku bersembunyi di bawah meja. Kalau sekuriti tadi boleh saja aku bagi alasan ada kerja nak buat. Aku kekal berdiam di situ sambil memeluk lutut. 

  Kenapa dia belum pulang lagi. Dah jam berapa ni? Setahu aku mana ada program penting hari ini. Telingaku jelas mendengar seseorang sedang mengambil cawan dari rak. Aku seakan-akan menahan nafas kerana takut hendak mengeluarkan sebarang bunyi dari bawah meja.

“Seronok menyorok di situ Lila?”

Gulp! Aku menutup mulut terkejut. Martin tahu. Tetapi aku tetap berdiam di situ. Memalukan betul lah bila ketahuan begitu. 

“Marilah minum Lila,” suara Martin semakin kuat. Aku melihat kakinya dari bawah meja yang tertutup separuh oleh penghadang.

Perlahan-lahan aku keluar dari persembunyianku dan tersengih menayang muka selamba. “Err… macam mana awak tahu?”

Jari telunjuk Martin mengarah ke tingkap kaca yang menampakkan bayanganku. Aku menepuk dahiku.

“Kenapa sembunyi?”

Aku nak jawab apa? Hanya menatap Martin. Tak penting untuk dia tahu kenapa aku masih berada di pejabat pada jam sembilan malam.

“Kenapa?” Martin mengulang pertanyaannya lebih ringkas. 

Aku terbatuk kecil. Sebelum aku menjawab mata Martin mengecil melihat sesuatu diwajahku. Ada yang tak kena? Ke?

“Kenapa dahi awak lebam?” ini soalan ketiga yang belum kujawab dan aku tak tahu macam mana nak jawab.

“Oh,” aku cuba menutup lebam itu dengan membetulkan rambutku sambil memikirkan jawapan yang baik, yang tidak disalah anggap. “Saya,” mulutku bagai digam sementara menunggu otakku mencari perkataan dalam kamus ingatan. “Saya lari dari mak saya, malam ini je, mungkin esok juga, saya tak tahu macam mana nak selesaikan… macam makin teruk.”

Aku fikir aku akan kesal menceritakan masalahku kepada Martin yang tidak begitu kukenal. Tetapi tidak! Aku rasa lega meluahkannya seolah-olah hatiku yang berbolak-balik tadi lebih kosong dan kembali tenteram tanpa sebarang fikiran meresahkan. Bagus juga kalau Martin faham masalahku.

“Mak awak ke yang sebabkan lebam tu?” tanya Martin dengan pandangan yang macam nak cari gaduh pada lebam didahiku.

Aku mengangguk sambil berfikir samada nak beritahu Martin yang aku tidur di pejabat saja malam ini. Mungkin bahaya juga kalau ada yang tahu.

Martin masih dengan kening yang berkerut sambil jari-jarinya sedang main piano meja. Sesekali dia mengerlingku pelik ketika meneguk kopinya. Sebaik bibirnya lepas dari cawan dia bertanya lagi. “Awak selalu kena pukul dengan mak awak ke?”

“Ada apa-apa soalan lagi, dah berapa banyak soalan awak ni saya kena jawab.” Aku ketawa kecil sambil memegang cawan kopiku. Tetapi apabila Martin langsung tidak ketawa jadi aku cuba menjelaskan kenapa. “Mak saya cuba paksa saya kahwin, bunyinya macam dia dah ada calon tapi saya bantah.”

Tangan Martin yang main piano tadi terus beralih mengurut dahinya. Sudah tentu dia pelik dengan masalahku yang semakin pelik. Aku malu, Martin sepatutnya tidak perlu tahu. Tetapi aku tetap juga ceritakan semua kepadanya.

“Hubungan kami berdua memang krisis, jadi bila mak cuba melibatkan diri dalam hal peribadi saya termasuk cari calon suami, saya rasa ada sesuatu yang tak kena. Harap-harap bukan pasal duit lagi,” jelasku yang selalu terkena dengan helah mak.

“Mungkin awak patut kahwin,” Martin yang bersandar hampir separuh badan di kerusinya tadi kini duduk tegak.

“Eh, untuk apa? Saya bermalam kat ofis ni sebab saya membantah nak kahwin.”

“Sebab jenis mak awak yang ala-ala diktator tulah saya rasa awak patut kahwin. Sekurang-kurangnya bila awak dah kahwin mak awak secara automatik hilang kuasa terhadap awak.”

Aku jadi terfikir pula dengan kata-katanya.

“Maksudnya bukan kahwin dengan pilihan mak awak tu, carilah seorang lelaki yang awak suka,” tambah Martin lagi.

“Awak rasa patut ke?” 

Martin mengangkat bahunya dengan mulut menyenget. Aku memandangnya dengan perasaan bercampur baur. Geram, pelik dan mula naik angin. Rasanya, itu cadangan yang buat aku sakit kepala saja.

“Mungkin awak rasa hidup saya macam cerita lawak, pendapat awak tu macam nak menangkan sebelah pihak je,” nadaku tiba-tiba kasar kerana menyangka Martin hanya memperlekehkan masalahku.

“Sebelah pihak? Yang mana satu?”

“Lelaki. Saya kahwin pun masalah ni takkan selesai. Mak saya takkan berubah.” Aku yakin.

Martin kelihatan kesal seolah-olah aku baru saja menolak lamarannya. “Game yang kita menang tu disiarkan malam esok. Feedback dari laman web E-Rose Tv sangat bagus, ramai yang tertunggu-tunggu,” pantas dia menukar topik perbualan kami.

“Awak baliklah dulu kalau dah selesai buat kerja,” kataku.

“Saya risau awak kat office ni, gelap, ingat lagi game tu…” Martin cuba menakutkan aku pula.

Aku risau dengan tingkahnya. Aku risau kalau ada sesiapa marah melihat Martin selalu saja dekat denganku. Perasaan tertanya-tanya itu mendorong aku bertanya kepadanya.

“Martin, awak tak ada teman wanita ke?”

“Ada.”

Jantungku tiba-tiba berdegup kencang walaupun zahirku nampak sahaja tenang. “Apakata kalau awak balik, nanti dia tahu awak dengan saya kat sini…”

“Tak. Dia kerja dengan E-Rose Tv juga, saya sedang tunggu dia pulang,” jawabnya.

“Baiklah. Selamat malam, saya nak tidur, tolong kunci pintu di depan kalau awak keluar.”

“Kejaplah, saya habiskan kopi dulu. Hati-hati Lila, terus call saya kalau ada apa-apa ok.” Martin tersenyum-senyum melihat kopinya.

Aku mengangguk tanpa memandangnya. Ada sesuatu yang menyelinap dalam hatiku. Sesuatu yang tidak ingin aku resahkan. Bermimpi sajalah Lila.


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.