Home Novel Cinta SEBELUM NAFAS TERHENTI
SEBELUM NAFAS TERHENTI
16/1/2014 09:51:09
56,659
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

BIBIK Sunarti tergesa-gesa mengemaskan meja di dalam bilik anak muda itu. Sesekali bibir tuanya merungut-rungut. Telinganya mendengar bunyi pancuran air dari dalam bilik air. Tangannya sibuk mengutip pinggan mangkuk kotor di atas meja. Banyak makanan yang tidak dihabiskan. Setengah daripada lauk-pauk yang dihidangkan langsung tidak berusik.

“Kenapalah dengan Aldi ini? Setiap hari membazir sahaja. Dimasak itu enggak mau makan, dimasak ini enggak berkenan!” Bibik Sunarti mengutip pinggan dan cawan yang bergelimpangan di atas meja sambil merungut-rungut. Kain alas meja berwarna putih dan bersulam lebat diwarnai dengan warna hitam kicap.

“Iya, jika enggak mahu makan sudah. Tapi mengapa semuanya dilintang pukang di atas meja ini. Semalam mahu dibawa turun ke bawah tidak diberi. Marah-marah. Aduh...” Bibik Sunarti terus membebel dengan suara perlahan. Selesai menyusun pinggan mangkuk yang terisi makanan yang sudah mengeluarkan bau yang kurang enak ke atas troli, alas meja diganti dengan yang lain. Yang bersih. Setelah itu Bibik Sunarti menuju ke bilik air apabila tidak mendengar lagi bunyi pancuran air.

“Aldi! Aldi! Sudah selesai mandi nak?Bibik mau ambil semua pakaian kotor ya.” Bibik Sunarti mengetuk-ngetuk pintu bilik air.

Beberapa ketika kemudian pintu bilik air terbuka dan Aldi keluar sambil menggerakkan kerusi rodanya perlahan-lahan. Aldi berkain pelikat yang hampir basah dan tubuh yang tidak berbaju ditutupnya dengan tuala juga yang hampir basah. Rambutnya yang basah berjuraian dengan titisan air menitis di atas karpet.

Bibik Sunarti merungut-rungut lagi. Sebaik sahaja kerusi roda yang membawa anak muda itu keluar dari bilik air, dia segera masuk untuk mengutip kain baju yang terlonggok di atas lantai bilik air. Semuanya sudah basah lencun. “Aldi, lap rambut kering-kering dulu nak!” Leternya lalu mencapai tuala dan ingin mengelapkan rambut anak muda itu.

“Bibik!!! Mana pakaian saya hah!!!”

Bibik Sunarti tersentak, tidak sempat tangannya menyentuh kepala dan rambut anak muda itu. Wanita separuh umur itu terlari dan menerkam ke almari pakaian.

“Aduh... Aduh... Bibik lupa nak!” Terlatah-latah perempuan itu mengeluarkan beberapa helai baju dan meletakkannya di atas ribaan Aldi.

Wajah Aldi masam mencuka sebaik sahaja melihat pakaian yang terlambak di atas pangkuannya, spontan bibirnya bertempik. “Bibik! Apa ni? Eh! Bibik keluarlah dari bilik ini! Keluar!” Aldi terus bertempik. Dua tiga helai baju kemeja melayang ke udara. Troli yang terisi dengan pinggan mangkuk yang berada hampir dengannya pun menjadi mangsa. Habis bertaburan segalanya di atas lantai setelah ditepis oleh Aldi yang tiba-tiba naik angin.

“Keluarrr!!!” Aldi benar-benar marah dan geram dengan pembantu rumahnya itu.

Bibik Sunarti terkocoh-kocoh berlari keluar dari bilik. Diturutkan hati, tidak ingin dia bekerja di rumah itu kerana terpaksa melayani pemuda gila seperti itu. Bermacam-macam bisikan datang ke hati Bibik Sunarti.

Hati anak muda itu panas membakar. Kemeja lengan panjang yang bertaburan di atas lantai dipandangnya dengan perasaan kecewa, lantas matanya terus merenung kakinya yang tidak berdaya. Kelakuan Bibik Sunarti tadi seolah menghiris tangkai jantungnya. Sengaja ingin menambah penyeksaan batinnya yang saban hari semakin sarat. Tanpa disedari, ada air mata yang menitis dipipinya. Kejam. Dunia ini amat kejam. Tuhan amat kejam. Orang-orang di sekelilingku terlalu zalim. Hatinya bagai disiat-siat. Udara yang disedut seolah beracun. Aldi menampar-nampar kepalanya sendiri dengan perasaan yang amat kesal dan sedih.

SUASANA di ruang makan Vila Kencana Emas sunyi sepi. Datuk Haris masih mengadap sarapan pagi itu. Sejak dari tadi, belum ada suara yang memecah keheningan ruang itu. Datuk Haris dan Datin Rabiatul, pasangan suami isteri yang menetap di vila itu. Mereka hanya memiliki dua orang anak. Kedua-duanya lelaki. Aldi anak sulung berumur 24 tahun. Adzman anak bongsu baru mencecah 23 tahun.

“Adzman di mana? Pagi-pagi lagi dah menghilangkan diri? Tak tahu nak duduk di rumah?”Mata Datuk Haris mengerling ke arah isterinya yang sedang menuang Nescafe ke dalam cawan.

Datin Rabiatul diam. Matanya hanya merenung Datuk Haris sambil bibirnya melarik senyuman.Datuk Haris yang memakai baju T berlengan pendek, berwarna maroon dan berseluar warna beige tua diperhati dengan pandangan kasih sayang seorang isteri. Datuk Haris seorang lelaki yang bergaya juga. Umurnya sudah melebihi 50 tahun, namun wajahnya seperti lelaki berumur 40-an sahaja. Bertubuh sederhana, berwajah sedikit bujur dan berkulit cerah kemerahan. Rambut lurus dan berdahi luas. Datuk Haris sentiasa berpakaian kemas, walaupun berada di rumah.

“Adzman tak balik dari semalam.” Datin Rabiatul menjawab dengan tenang. Cawan yang telah dipenuhi Nescafe dihulurkan kepada Datuk Haris.

“Ke mana dia pergi? Saya dah berulang kali suruh dia datang ke pejabat.Datanglah belajar sikit-sikit bagaimana menguruskan syarikat kita tu! Asyik nak berjoli saja!” Datuk Haris meleteri Adzman yang tiada di hadapannya. Tangan kanannya mencapai cawan Nescafe. Nescafe yang masih panas itu dicicipnya perlahan.

“Anak muda begitulah.Suka berhibur dan berseronok. Nak buat macam mana. Takkan nak kurung dia di rumah ni macam anak dara!” Datin Rabiatul menjawab sambil menarik kerusi di hadapan Datuk Haris lalu melabuhkan pinggulnya.

“Dah berapa hari dia tak balik ke rumah?” Datuk Haris menyoal lagi. Seingatannya sudah beberapa hari dia tidak melihat wajah anak bongsunya itu. Susah sangat mendapat peluang untuk makan bersama. Berbual-bual bersama.

“Aldi dah sarapan?” Tanpa menanti jawapan daripada isterinya itu tentang Adzman, Datuk Haris teringat kepada anak sulungnya pula. Matanya menyorot ke wajah Datin Rabiatul. Datin Rabiatul mengenakan blaus labuh ke lutut berwarna pinang masak dan berseluar hitam.

Wanita bertubuh sederhana itu tersenyum apabila melihat Datuk Haris tidak berkelip matanya. “Kenapa bang? Cantik sangat ke saya sampai mata abang tak berkelip begitu?” Datin Rabiatul cuba berseloroh. Matanya bertemu pandang dengan mata Datuk Haris yang masih memerhatikannya.

“Cantik? Paling cantik di dalam rumah ni.” Datuk Haris ketawa meleret.

Datin Rabiatul turut ketawa kerana memahami gurauan suaminya itu. Siapalah lagi wanita di dalam rumah itu kecuali dirinya dan pembantu rumah mereka yang lebih tua daripadanya?

“Anak sulung awak dah makan, Tun?” Datuk Haris mengulangi pertanyaannya tentang Aldi. Pandangan matanya tertumpah ke wajah isteri yang dicintai. Datin Rabiatul memang seorang isteri yang baik. Selalu tenang dan lemah lembut melayaninya serta anak-anak.

“Dah, bang. Tadi saya dah bawakan makanan ke biliknya.” Datin Rabiatul menerangkan. Selalunya makanan untuk Aldi akan dihantar oleh Sunarti, orang gaji mereka yang diimpot dari Indonesia. Sunarti sudah empat tahun bekerja dengan mereka.

“Bibik mana?” Datuk Haris sedikit kehairanan. Selalunya Bibik Sunarti yang akan membawakan hidangan untuk anak muda itu pada setiap hari.

“Biasalah, bang. Dia takut dengan Aldi, bila budak tu naik angin.” Sambil tersenyum, Datin Rabiatul bercerita.

“Tapi makannya tak banyak. Sesudu dua sahaja. Minum pun begitu juga.” Suara Datin Rabiatul bernada sedih. Tangan kanannya mencapai roti yang sudah sedia dibakar. Roti itu disalutnya pula dengan butter dan jem marmalade sebelum disuapkannya ke mulut.

“Macam mana dengan budak tu?” Datuk Haris menyoal lagi. Mengenangkan Aldi, hatinya berasa risau dan kecewa. Bagaimana dengan masa depan anak itu jika masih di kerusi roda? Sampai bila?

“Macam itu juga bang. Asyik bersedih sepanjang hari. Risau saya, bang. Dah hampir lapan bulan peristiwa itu berlaku tetapi dia seolah tidak dapat melupakannya. Asyik menangis siang dan malam.” Datin Rabiatul mencapai pinggan dan cawan untuk dirinya. Mee goreng yang berada di dalam mangkuk di tengah meja itu menjadi santapannya pula.

“Hai, sikit sangat tu Tun. Diet ke?” Datuk Haris cuba berseloroh apabila dilihatnya Datin Rabiatul mengambil mee goreng hanya sesudip sahaja.

Datin Rabiatul tersenyum. Dia tidak menjawab gurauan suaminya itu kerana fikirannya memikirkan tentang anak sulung mereka. “Begini bang! Saya risau, jika Aldi berterusan begitu.” Tidak sanggup Datin Rabiatul menghabiskan ayat itu. Biarlah orang lain sahaja yang tergamak menyebut perkataan itu dan membuat anggapan begitu kepada anak sulungnya itu. ‘Aldi anak Datuk Haris, gila.’

“Dah puas saya menasihati. Doktor jiwa pun saya dah bawakan ke rumah untuk merawat dia. Lepas seorang-seorang... tapi langsung tak ada perubahan. Selagi dia tidak boleh menerima kenyataan, selagi itulah dia tidak boleh sembuh.” Datuk Haris seolah mengeluh.

“Itulah! Bantah lagi cakap ibu bapa! Suruh belajar di universiti tempatan, nak pergi oversea. Studi entah ke mana. Menikah tak menyempat.Kahwin baru dua hari, isteri dah mati. Diri sendiri merana sampai begitu.Kehidupan ini masih panjang lagi. Tak sedar-sedar lagi!” Suara Datuk Haris turun naik. Sesal dan kecewanya berbaur.

“Sudahlah tu, bang! Kemarahan awak ni masih belum padam lagi rupanya. Budak tu kecewa. Bukannya awak tak faham dengan dia. Susah hendak berdampingan dengan perempuan.Susah nak jatuh cinta. Hanya Arishal tu saja yang boleh memikat hatinya. Itulah yang paling dia sayang.Dia cinta. Tiba-tiba takdirnya jadi begitu. Tentulah dia tak sanggup hendak terima kenyataan itu. Dia tak inginkan kehilangan, tapi itulah yang mendatang dalam hidupnya. Kita sebagai ibu dan bapa sepatutnya memberi sokongan dan membantu dia memulihkan jiwanya.” Datin Rabiatul bersuara panjang lebar.

“Yalah-yalah! Macam inilah Tun, saya rasa si Aldi ni kita nikahkan saja. Carikan dia seorang perempuan untuk layani dan membelainya setiap hari. Lambat laun tentu dia dapat melupakan Arishal.” Datuk Haris memberi cadangan. Perkahwinan mungkin boleh menjadi ubat yang paling mujarab bagi anaknya itu.

“Kahwin? Dengan siapa? Perempuan mana yang sanggup melayani lelaki yang begitu? Silap sikit, pinggan mangkuk melayang ke luar pintu. Tersentuh sedikit dihatinya, dihalaunya orang dari bilik itu macam kucing kurap! Mengapalah dia jadi begitu?” Datin Rabiatul seolah berbisik dengan dirinya sendiri.

Lagipun bukankah semua kawan-kawan rapatnya telah menganggap anak sulung mereka itu telah tidak siuman kerana kematian isteri? Lalu anak siapakah yang akan dipinangnya nanti untuk dijadikan isteri buat Aldi?Pinangan itu tentu akan ditolak mentah-mentah. Ke mana harga dirinya di waktu itu?

“Semua mereka menganggap Aldi tu...” Datin Rabiatul tidak sanggup menghabiskan ayatnya itu.Dadanya tiba-tiba terasa sebak. Sebak yang menyesakkan.

“Aldi tidak gila!!!” Datuk Haris seolah dapat menduga apa yang ingin dikatakan oleh isterinya itu. Lantas bibirnya cepat mengeluarkan patah perkataan yang menafikan sangkaan hati Datin Rabiatul.

“Pagi tadi dia naik angin dengan Sunarti lagi. Dihalaunya orang tua itu keluar daripada biliknya macam kucing kurap. Ditepisnya pinggan mangkuk sehingga semuanya habis jatuh ke lantai dan semua makanan bertabur di atas karpet. Penat Sunarti tu kena membersihkan bilik dia setiap hari.” Datin Rabiatul cuba mengadu.

“Mesti ada sebab dia naik angin!” Datuk Haris seolah membela Aldi.

“Sunarti pun satu hal juga. Cepat melatah jika mendengar si Aldi tu bertempik. Ada ke pagi ini dia beri si Aldi tu kemeja lengan panjang dua tiga helai untuk dipakai. Siap mengeluarkan tali leher dari almari pakaian tu...” Datin Rabiatul tidak dapat menghabiskan bicaranya kerana hatinya bagai digeletek teringatkan cerita Sunarti pagi tadi.

“Hisy... Patutlah budak tu telan kepala angin!Dia terasa disindir dan diperlekehkan. Dia kan dah begitu!” Datuk Haris mengulum senyuman.

Dentuman pintu kereta yang dihempas kuat menarik perhatian mereka suami isteri yang sedang berbual.

“Tengok tu! Anak awak yang lagi seorang, si Adzmanlah tu. Entah dari mana, pergi merayap ke mana agaknya!” Datin Rabiatul merungut sendiri.

“Lain macam bunyi enjin keretanya!” Datuk Haris pula merungut. Pandangan matanya beralih ke porch melalui tingkap kaca.

“Mak! Ayah! Selamat pagi!” Terjengul saja mukanya di pintu menghala ruang makan, Adzman bersuara riang.

“Hmm... Adzman! Bawa kereta siapa pula tu. Mana kereta kamu?” Datuk Haris melontarkan pertanyaan.

“Kereta saya masuk workshop! Remuk!Entah, semalam saya terlanggar kambing agaknya, tak perasan!” Adzman menarik kerusi di sebelah ibunya.

Datuk Haris dan Datin Rabiatul pandang memandang. Datin Rabiatul terbayangkan Nurlisa yang terlantar di hospital.

“Ai! Kamu langgar orang ke langgar kambing? Mana ada orang bela kambing tengah-tengah bandar ni!” Suara Datuk Haris agak serius. Dahinya berkerut sambil memandang Adzman yang sedang menuang Nescafe ke dalam cawan. Adzman menunjukkan wajah yang selamba.

“Kalau langgar orang, tunggu sajalah, bila masanya polis datang untuk tangkap saya. Orang yang kena langgar mesti buat laporan polis. Kalau tak ada polis mencari saya, maknanya saya langgar kambinglah, emak, ayah!” Adzman menjawab sambil tersengih-sengih.

“Kamu biar betul Adzman! Perkara begini dijadikan gurauan pulak. Kalau orang yang kamu langgar mati, tak ada saksi yang melihat kejadian tu! Boleh ke polis datang cari kamu? Semalam kamu pergi mana?” Datuk Haris menyoal lagi. Geram pula rasa hatinya dengan perangai anak bujangnya yang terlalu asyik bersuka ria dan mengambil mudah kepada semua perkara.

Adzman diam tidak menjawab. Datuk Haris bangun lalu meninggalkan kedua beranak itu di meja makan. Dia bercadang untuk ke padang golf pada hari ini. Sudah Beberapa bulan dia tidak menyentuh kayu golfnya.

“Kalau kamu yang kena begitu macam mana?” Datin Rabiatul pula menyampuk.

Adzman masih tidak menjawab. Keresahan jiwanya dilindungi dengan pura-pura tidak mendengar pertanyaan daripada emaknya.

“Adzman, lepas makan nanti tolong bawa abang keluar dari bilik tu!” Datin Rabiatul bersuara dengan agak lembut dan perlahan. Matanya merenung Adzman yang sedang mengusap-ngusap rambutnya yang ikal kasar dan dibiarkan panjang sehingga ke bahu. Nada suaranya berbeza daripada tadi.

“Tolak kerusi roda abang? Heee... malaslah mak! Pak Dollah ke mana? Biarlah, abang tak payah keluar, duduk saja dalam bilik tu! Alah mak, kalau dia keluar pun bukannya sembuh jiwa dia tu. Sakit merana ni susah cari ubatnya mak.” Adzman menjawab dengan nada sinis.

“Tengok tu! Sampai hati cakap begitu kepada abang sendiri! Adzman, mak nak tanya ni dalam satu minggu berapa kali Adzman pergi jenguk Abang Aldi di dalam biliknya dan berbual-bual dengan dia?”Datin Rabiatul bertanya dengan nada sedikit marah.

“Memanglah tak ada mak! Habis tu macam mana nak bersembang dengan dia? Abang tu asyik nak peluk dan hidu baju isteri dia saja. Lepas tu asyik tengok gambar-gambar Kak Arishal yang di gantungnya di sekeliling bilik tu. Kalau boleh di lantai pun dia nak lekatkan gambar Kak Arishal tu! Nasib baik dia tidak terfikir hendak letak gambar isteri dia di dinding. Buat besar-besar. Hmm... jadi wallpaper! Saya bukan apa mak.

Saya kasihan sangat pada dia. Risau pun ada kalau-kalau Abang Aldi menjadi buta... macam Kasim Selamat di dalam filem Ibu Mertuaku tuu!” Kata-kata yang diluahkan oleh Adzman terhenti seketika. Dia menghirup minumannya.

“Ramai lagi perempuan di dunia ni... bukannya Arishal seorang sahaja. Abang Aldi tu apa kurangnya. Rupa paras? Dia lebih handsome dari saya.” Adzman menyambung kembali hujahnya yang belum selesai.

“Kekayaan? Sudah tentu.Semuanya ada. Harta ayah berlambak-lambak, takkan ke mana perginya nanti.” Adzman masih berleter. Menurut fikirannya perlakuan Aldi itu adalah suatu perkara yang amat tidak wajar. Menyeksa diri kerana seorang wanita. Bunga bukan sekuntum.

“Sudahlah tu Adzman!Membebel tentang Abang Aldi kau pula!Sama macam ayah kau! Pergilah bantu dia...” Datin Rabiatul cuba memujuk. Ada anak dua orang pun membawa haluan masing-masing.

“Alah mak! Macam kata pepatah Inggeris tu, You can lead horse to water but you cannot make it drink. Abang Aldi ni, tak mahu bantu diri dia untuk melupakan kisah silam, orang-orang sekelilingnya tak akan dapat berbuat apa-apa.Buat buang masa saja!” Adzman menghabiskan sisa minumannya.

“Baiklah, mak. Saya nak mandi!” Pemuda itu terus meninggalkan si emak yang masih ingin berbual dengannya. Adzman terus berjalan dengan agak pantas menuju ke kamarnya. Sesekali hatinya terdetik dan mengenangi peristiwa semalam. Selepas mandi dia ingin berehat dan tidur.

Semalaman dia tidak lena tidur kerana diganggu oleh mimpi yang mengerikannya. Di ruang matanya asyik terbayang kelibat perempuan yang dilanggarnya pada petang semalam. Perempuan berbaju kurung biru tua berbunga kuning. Entah perempuan tua atau muda, dia pun tidak dapat meneka kerana sewaktu itu kereta dipandunya laju.

“Man! Pergi gunting rambut hari ini juga. Mak tidak suka tengok anak lelaki mak menyimpan rambut panjang begitu!” Suara Datin Rabiatul agak kuat kerana kelibat Adzman sudah hampir hilang daripada pandangannya.


DARI satu pasu ke satu pasu, Datin Rabiatul membelek bunga-bunga orkid yang di tanamnya. Di bibirnya menguntumkan senyuman apabila melihat bunga yang berkembang walaupun tidak banyak. Entah mengapa bunga-bunga di tamannya susah sangat hendak berbunga. Setiap kali membeli pokok-pokok bunga, Datin Rabiatul akan memastikan yang pokok yang dibeli sedang berbunga mekar.

Pada waktu itu, tamannya akan kelihatan indah dan berseri. Seminggu dua selepas itu, bunga-bunga yang berkembangan akan gugur ke bumi, tamannya kembali sunyi daripada warna warni. Bunga-bunga tidak pernah menjadi. Bunga-bunga berkembang seminggu dua sahaja. Pokok-pokoknya kurus dan nampak tidak segar walaupun di baja.

“Abang, petang nanti saya rasa nak pergi melawat Nurlisa. Entahlah bang, saya rasa kasihan pula kepada budak itu dan keluarganya.” Datin Rabiatul meluahkan keinginannya kepada Datuk Haris. Datuk Haris yang berada tidak jauh darinya sedang membetul-betulkan susunan batu-batu yang menghiasi taman mereka.

“Kasihan? Mengapa pula?” Datuk Haris menghampiri Datin Rabiatul sambil mengusung sebuah pasu. Besar pasu yang sedang diusung oleh lelaki itu sehingga memaksa dia berhenti dua tiga kali untuk berehat seketika.

“Pokok ni kena diletakkan di tempat redup! Tengok ni, dah hampir lecur.” Datuk Haris menunjukkan Datin Rabiatul pasu yang dibawanya, yang tertanam pokok paku pakis berdaun halus. Pasu itu diletakkannya di atas tanah berhampiran pokok keladi.

Datin Rabiatul membantu Datuk Haris mengalihkan kedudukan pasu berisi pokok keladi yang daunnya lebar-lebar. Pasu itu agak besar juga.

“Letak di sinilah bang. Redup! Cahaya matahari pun tak banyak di sini sebab pokok-pokok yang kita tanam di sini jenis berdaun rimbun.” Datin Rabiatul memberi cadangan.

“Hah! Tadi... tu yang awak kata awak kasihan pada keluarga Nurlisa tu, apa yang tak kenanya?” Datuk Haris menyoal kembali. Dia berdiri tegak setelah mengubah pasu dan bernafas agak tercungap. Membatalkan hasratnya untuk bermain golf, Datuk Haris membantu isteri menyusun atur pasu-pasu di taman mereka. Sesekali beriadah begitu, mungkin lebih baik daripada bermain golf.

“Keluarga dia susah dan miskin! Melihat keadaan rumah mereka, sedihnya rasa hati saya. Rumah arnab peliharaan kita pun lebih elok lagi!” Datin Rabiatul bersuara sayu. Sungguhpun waktu malam dan rumah tempat tinggal Nurlisa yang dijengahnya semalam tidak begitu jelas di pandangan matanya kerana agak samar-samar cahayanya, Datin Rabiatul dapat meneka kedaifan rumah mereka.

“Saya dulu pun susah dan miskin! Ini hakikat kehidupan, kenalah usaha sikit jika mahu hidup senang!” Datuk Haris seolah merungut.

“Sekarang ni abang dah kaya raya, kenalah bantu orang yang susah!” Datin Rabiatul cuba menduga. Wajah suami yang berpeluh diperhatikannya.

“Tun! Setiap tahun saya keluarkan zakat untuk perniagaan saya, zakat wang dan macam-macam lagi! Wang zakat ni untuk bantu orang-orang miskinlah! Saya membantu mengikut saluran yang betul.” Datuk Haris memandang ke wajah isterinya yang berpeluh.

“Itu saya tahulah, bang! Tapi saya rasa nak bantu dengan cara yang lain.” Datin Rabiatul seolah berfikir.

“Cara yang lain? Yang bagaimana? Dirikan mereka rumah batu?Hulurkan wang sehingga satu guni? Beri makanan untuk satu tahun? Macam yang selalu awak tengok di TV tu?” Datuk Haris seolah menyindir.

“Itu semua, cuma dapat membantu sementara saja Tun! Sampai bila orang kita hendak disuap? Mereka kena berusaha untuk keluar daripada kelompong kemiskinan! Kena ingat, eh! Kan Rasulullah dah berpesan, bekerja dan berusahalah kamu seolah kamu akan hidup untuk selamanya!”Datuk Haris bersuara agak serius sambil menarik nafas panjang. Peluh di dahi dilap dengan belakang tangannya.

“Abang ni! Apa salahnya saya hendak membantu orang lain.Manalah tahu dengan kebaikan itu, Allah akan pulihkan kembali si Aldi tu.” Datin Rabiatul seolah merajuk dengan kata-kata yang dilemparkan oleh suaminya itu. Wanita itu juga mengelap peluh yang membasahi tepi pipinya.

Mendengarkan ungkapan yang dikeluarkan oleh isterinya itu, Datuk Haris ketawa kecil. “Tengok tu, itu dah tak ikhlas namanya. Berbuat sesuatu kebaikan untuk mendapatkan ganjaran pula.Niatnya dah tak betul lagi dah.” Datuk Haris seolah menempelak.

“Niat saya baik, bang. Saya nak bantu keluarga itu. Ganjaran daripada Allah tu, terpulanglah kepada-Nya. Hanya yang saya harapkan ialah Allah akan memulihkan kembali si Aldi itu. Harapan dan doa seorang ibu bang!” Nada suara Datin Rabiatul agak sedih.

“Lagipun, takkan abang tak tahu hadis Rasulullah tu, selain Rasulullah menyatakan bekerjalah kamu seolah kamu hidup selamanya. Rasulullah juga menyatakan, beramal ibadatlah kamu seolah kamu akan mati esoknya!” Datin Rabiatul bersuara perlahan sambil tangannya melibas-libas nyamuk yang terbang berkeliaran di sekelilingnya.

“Kita berbuat kebaikan kepada orang lain, bukan ke satu amalan baik yang pahalanya akan mengikut kita sehingga ke hari kiamat nanti.” Datin Rabiatul terdiam seketika.

“Tak taulah pula, kalau harta benda dan wang ringgit abang akan ikut sama.” Sambung Datin Rabiatul lagi sambil tersenyum dan menjeling suaminya.

“Menyindir sayalah tu!” Datuk Haris seolah merungut.

“Bukan menyindir! Saya ingin mengingatkan abang!” Datin Rabiatul bersuara lembut sambil merenung ke wajah Datuk Haris. Bibirnya mengukir senyuman cuba memujuk suami yang hatinya mungkin tercalar.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.