Home Novel Cinta SEBELUM NAFAS TERHENTI
SEBELUM NAFAS TERHENTI
16/1/2014 09:51:09
56,664
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12

Seluruh warga Roda Emas Sdn.Bhd menjadi kecoh.Datuk Haris diserang sakit jantung di pejabatnya. Semuanya gara-gara berita yang disampaikan kepadanya. Sebahagian bangunan 20 tingkat yang sedang dalam pembinaan oleh syarikat miliknya di selatan tanah air runtuh dan meragut nyawa tiga orang pekerja Indonseia.

Datuk Haris dikejarkan ke hospital oleh setiausahanya yang secara kebetulan masuk ke bilik itu untuk menghantar air suam yang diminta. Suzi segera menelefon ambulans apabila mendapati Datuk Haris tercungap-cungap sambil menekan-nekan dadanya.

Sama seperti di pejabat, penghuni Vila Kencana Emas turut menjadi kecoh apabila mendengar perkhabaran itu.Apatah lagi berita bencana itu tersiar di dalam berita televisen.

“Lisa, panggil Wak Dollah ke sini!”Suara dari interkom berkumandang di seluruh vila itu.

Belum sempat Nurlisa memanggil Wak Dollah, lelaki tua itu masuk ke rumah terlari-lari dan tergesa-gesa pula menaiki tangga menuju ke bilik anak lelaki sulung majikannya.

“Encik Aldi! Saya baru balik dari menjenguk Datuk di hospital. Datin juga ada di sana.” Wak Dollah tercungap-cungap memberitahu.

“Datuk masih belum stabil tetapi keadaannya tidak membimbangkan. Dia minta encik pergi ke Johor Bharu dan tengok apa sebenarnya yang telah berlaku di tapak projek tu!” beritahu Wak Dollah dengan nada lembut. Dia merenung ke wajah Aldi.

Aldi tertunduk seketika. Dia berasa serba salah. Matanya merenungi kaki yang belum mampu berjalan sepenuhnya. Hatinya berasa sedih dan pilu.

“Tak dapat hubungi Adzman ke?” Aldi menyoal Wak Dollah sambil kotak fikirannya ligat berfikir untuk membuat keputusan. Jika pergi ke tapak projek itu, tidak dapat tidak dia akan dikerumuni oleh pemberita yang inginkan penjelasan. Apatah lagi projek yang terlibat ialah projek untuk membina kompleks komersial yang melibatkan tender kerajaan. Silap-silap hari bulan pemberian tender itu akan ditarik balik.

“Dia tak ada. Dari Pulau Tioman dia terus ke Australia. Encik,kita pergi ya!” Wak Dollah seakan memujuk. Sekiranya Aldi bersetuju, tentu akan menggembirakan hati Datuk Haris. Tekanan yang dialaminya mungkin akan berkurang.

“Saya tolakkan kerusi Encik Aldi.” Wak Dollah menawarkan khidmat yang tidak berbelah bahagi.

Aldi merenung ke wajah Wak Dollah sebaik sahaja orang tua itu mengungkapkan kata-kata itu. Dia rasa diperkecilkan kerana ketidakmampuannya.

“Wak tidak bermaksud untuk mengecilkan hati Aldi. Wak ikhlas. Wak anggap Aldi macam anak Wak sendiri.” Wak Dollah bagaikan dapat membaca isi hati Aldi.

“Tak apalah, Wak. Saya tahu, ketidaksempurnaan saya ini telah banyak menyusahkan orang.” Aldi bersuara perlahan seolah berjauh hati.

“Ajak Lisa pergi sama.” Suara Aldi.

Wak Dollah agak terkejut dengan permintaan Aldi. Namun kekejutan itu disembunyikannya. Baru saja orang tua itu melangkah untuk pergi mendapat Nurlisa, Aldi bersuara lagi. Kehendaknya tiba-tiba berubah.

“Tak apalah, Wak. Tak payah ajak Lisa. Kita pergi berdua saja. Wak pergilah siapkan kereta, sekejap lagi saya turun.” Aldi bersuara lembut. ‘Untuk apa aku menyusahkan gadis itu lagi?’Hatinya terus berbisik.

Aldi tertatih-tatih berjalan menuruni tangga sambil memegang tongkat. Rasa ngilu di kaki dan sendi-sendinya masih terasa menikam-nikam. Pergerakannya agak lambat, namun semakin menampakkan perubahan dari sehari ke sehari. Setiap minggu dia akan menjalani rawatan intensif bagi rawatan saraf-saraf kakinya di hospital. Satu minggu tiga kali rawatan. Setiap hari dia akan melakukan latihan kaki menggunakan peralatan yang telah dibeli oleh Datuk Haris lama dulu.

Paling tidak pun dia akan berjalan perlahan-lahan di sekitar vila itu dengan ditemani Nurlisa. Aldi menggunakan tongkat berkaki empat. Ada ketikanya dia akan cuba berjalan tanpa berpaut pada tongkat. Gadis itulah yang akan membantunya membawakan tongkat yang ditinggalkannya. Apabila kakinya terasa lemah, dia akan bertongkat kembali.

Satu. Satu.Langkah diatur menuruni anak tangga. Walaupun tangga itu akan bergerak secara automatik sekiranya dia menekan punat di dinding sebelum memijak anak tangga yang pertama tadi, Aldi mahu berjalan sendiri. Untuk melatih kekuatan urat saraf kakinya.

Nurlisa memerhatikannya dari tingkat bawah tanpa berkata apa-apa. Lagi sepuluh anak tangga lagi Aldi akan sampai ke lantai aras bawah. “Encik, hati-hati!” Dia tidak tergamak melihat Aldi bersendirian menuruni tangga dengan kening yang sesekali berkerut. Dia menaiki tangga itu dan berada di sebelah Aldi untuk membantunya sekiranya lelaki itu hilang imbangan kerana kesakitan.

Aldi tersentuh dengan perhatian yang ditunjukkan oleh gadis itu kepadanya. “Terima kasih.” Ucapnya perlahan sambil tersenyum.

“Wak! Bawakan kerusi roda Encik Aldi sekali!” beritahu Nurlisa kepada Wak Dollah yang memasuki rumah semula. Mereka sudah sampai di muka pintu. Wak Dollah memandang ke wajah Aldi.

Aldi mengelengkan kepala. “Tak payah, Wak! Saya cuba berjalan gunakan tongkat ni,” ujar Aldi.

“Bawalah, encik. Encik tak boleh paksa kaki encik berjalan dalam jarak yang jauh dengan serta merta.” Nurlisa seakan memujuk. Bukankah dia ada pengalamannya sendiri.

“Betul juga kata Lisa tu encik. Tapak projek tu jauh juga dari jalan raya. Tambahan tempat pembinaan begitu, tanah-tanahnya banyak yang tidak rata. Susah encik nak berjalan nanti.” Wak Dollah yang pernah pergi ke tapak projek itu memahami situasi di sana sememangnya tidak sesuai untuk perjalanan Aldi yang belum pulih sepenuhnya.

“Tak usah, Wak. Walau bagaimana pun saya akan cuba. Saya kena beri peluang kepada diri saya sendiri. Selama ini ia terlalu dimanjakan.” Aldi berkeras dengan kemahuannya. Dia pun terfikir, jika kawasan tanah tidak rata, sudah tentu akan menyusahkan Wak Dollah pula untuk menolakkan kerusi rodanya ke sana dan ke sini.

“Lisa tolong ambil tongkat yang lain. Yang kayu tu. Saya gunakan tongkat itu sewaktu berjalan ditanah yang tidak rata nanti!” ujar Aldi kepada Nurlisa dengan suara yang lembut. Bibirnya tersenyum.

“Baiklah, encik.” Nurlisa menaiki tangga ke tingkat atas, menuju ke kamar anak muda itu.Tidak berapa lama kemudian, dia muncul kembali di ruang tamu.

“Baiklah, encik. Kita bertolak sekarang.” Wak Dollah mengiringi Aldi yang berjalan terhincut-hincut, disokong oleh tongkat yang disepit di kedua belah ketiaknya.

Nurlisa pun berasa pelik kerana banyaknya tongkat yang diingini oleh Aldi. Ingin rasanya Nurlisa mengekori dari belakang dengan langkahan yang perlahan untuk mengucapkan selamat jalan, namun dia berasa janggal. Bukankah dia hanya orang gaji di rumah itu?

“Bertolak sekarang encik?” Wak Dollah telah bersedia di tempat pemandu. Aldi pun sudah duduk di sisinya.

“Ya! Jomlah kita pergi! Sebelum tu, saya ingin menjenguk ayah di hospital,” ujar Aldi lagi sambil matanya melihat ke pintu vila itu sebelum kereta yang dipandu oleh Wak Dollah bergerak. Hati kecilnya kepingin melihat gadis itu melambaikan tangan dan mengucapkan selamat jalan kepadanya. Namun, Nurlisa tidak ada di situ. Sesiapa pun tidak ada. Beberapa ketika kemudian mereka meninggalkan Vila Kencana Emas yang sarat dengan kesunyian dan kesepiannya.


@@@@@@@@


Seminggu Datuk Haris berada di hospital. Selepas itu dia dibenarkan pulang dengan nasihat doktor supaya berehat selama Beberapa minggu. Keadaan jantungnya yang agak lemah, tidak membenarkannya berada di dalam keadaan tertekan serta penat.Datuk Haris bimbang jika bercuti terlalu lama.

“Rehat? Oh, tidak! Mana boleh berehat begitu lama?” Datuk Haris bersuara agak perlahan. Dia begitu bersemangat untuk ke pejabatnya. Dia tidak sabar-sabar untuk mengetahui segala perkembangan projek-projeknya yang lain. Apatah lagi dengan kejadian yang berlaku di Johor Bharu itu, Datuk Haris rasa dia perlu turun padang. Memantau dan melawat semua tapak pembinaan yang di bawah tanggungjawab syarikatnya.

“Jangan begitu, Datuk. Sekurang-kurangnya Datuk berehatlah selama seminggu dulu. Saya percaya, tidur Datuk pun tidak begitu lena. Ini akan mengganggu kesihatan Datuk,” nasihat Doktor Suresh.

“Yalah, abang. Ikutlah nasihat doktor ni. Mungkin Adzman boleh tengokkan syarikat abang tu. Aldi pun boleh juga. Tengok kelmarin tu, dia mampu menguruskan kerja awak di Johor Bharu dalam keadaannya yang begitu. Aldi dah kembali seperti dulu. Awak kena yakin dan beri peluang kepadanya.” Datin Rabiatul memberi pendapat.

Datuk Haris terdiam sejenak. Jika tidak memberi peluang kepada anak sulungnya pada waktu kesihatannya tidak begitu baik, bila lagi?

Datin Rabiatul begitu gembira apabila melihat perubahan yang ketara kepada anak sulungnya itu. Jiwa Aldi nampaknya sudah semakin pulih. Fizikalnya sudah beransur kembali seperti biasa. Rawatan dan latihan kaki secara intensif yang dilakukan oleh Aldi dengan perhatian doktor keluarga telah membawa perubahan positif. Aldi tidak perlukan kerusi roda lagi untuk bergerak ke sana dan ke sini.

“Yalah! Saya berehatlah apabila Aldi benar-benar mampu dan berjaya menjadi arkitek yang bertauliah. Awak suruh anak awak belajar sampai habis dulu. Jangan buat sesuatu separuh jalan.” Datuk Haris akhirnya mengalah. Namun, bukan pada waktu itu.

“Sekarang ni pun dia sudah boleh ambil alih.Tak payah sambung belajar lagi.Biar dia jadi pengarah urusan aje. Kerja-kerja arkitek tu gajikan orang lain sahaja. Tak payahlah Aldi nak buat semua itu.” Datin Rabiatul yang tidak begitu memahami bidang kerja suaminya membantah hasrat Datuk Haris itu.

“Pengetahuan dia dalam bidang ini mesti cukup, Tun! Jika tidak jadilah macam kes di Johor Bharu tu.Saya menyerahkan bulat-bulat kepada pekerja dan beri kepercayaan seratus peratus. Apa yang mereka cadangkan dan pandangan mereka saya terima kerana menyangka mereka telah mempunyai kepakaran dalam bidang itu dan jujur.” Nada suara Datuk Haris menggambarkan kekecewaannya. “Pergi memantau kerja sahaja tanpa ilmu, tidak guna, Tun.” Dia menarik nafas panjang sebaik sahaja menghabiskan bicaranya.

Datin Rabiatul terdiam. Sedikit sebanyak dia memahami mengapa Datuk Haris terlalu berkeras mahukan Aldi menghabiskan pelajarannya dahulu.

“Ayah rehatlah seminggu dua. Biar saya uruskan Roda Emas. Itupun kiranya ayah percaya kepada saya. Bila ayah dah sembuh, ayah baliklah ke pejabat,” kata Aldi yang tiba-tiba muncul dari luar rumah. Perbualan emak dan ayahnya sedikit sebanyak didengarinya tadi.

“Bila ayah sudah benar-benar sembuh saya akan pergi...” ujar Aldi lagi sambil berjalan menghampiri kedua mereka.

“Pergi?” Datuk Haris memerhati Aldi yang kelihatan berpeluh-peluh. Aldi berjalan perlahan-lahan menghampiri keduanya sambil tersenyum. Sebelah tangannya masih memegang tongkat.

“Nak pergi mana?” Datuk Haris dan Datin Rabiatul bersuara hampir serentak.

“Sambung belajar balik. Macam yang mak dan ayah inginkan,” ujar Aldi lagi sambil duduk di atas sofa, di sisi Datin Rabiatul. Dia menghela nafas panjang-panjang kerana kepenatan. Sebentar tadi dia mengambil masa kira-kira sejam untuk bersiar-siar sambil bersenam di sekitar vila itu.

Datuk Haris dan Datin Rabiatul berenung-renungan sesama sendiri. Besarnya kurniaan-MU.Begitulah yang terbisik di hati Datin Rabiatul.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.