Home Novel Cinta SEBELUM NAFAS TERHENTI
SEBELUM NAFAS TERHENTI
16/1/2014 09:51:09
56,658
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

Berbekalkan sedikit wang simpanan dan beberapa pasang baju, Nurlisa nekad meninggalkan Vila Kencana Emas untuk mencari emak dan adik-adiknya yang tidak diketahui nasib mereka. Dia hanya menyampaikan maksud hatinya itu kepada Datin Rabiatul.

Simpati dengan nasib gadis itu dan memahami kehendak hati remaja yang tidak boleh dihalang, Datin Rabiatul membenarkannya dengan hati yang berat.

“Mudah-mudahan, Lisa akan bertemu kembali dengan emak Lisa. Kalau ada apa-apa masalah, jangan segan-segan hubungi mak cik. Jaga diri elok-elok, tau.” Berat hati Datin Rabiatul untuk melepaskan gadis itu meninggalkan rumahnya.

Wak Dollah menghantar Lissa ke perhentian bas. Nurlisa termenung di situ hampir dua jam kerana tidak tahu arah tujuan. Hari mula menghampiri malam. Ke mana diri harus dibawa untuk berehat, bersembahyang dan tidur? Kalau menginap di hotel, tentu sewanya mahal. Paling kurang, RM120 satu malam. Mampukah dia? Sudah tentu tidak. Wang tunai yang ada ditangan serta sedikit wang simpanan di bank harus digunakan dengan berhemat.

Dalam pada matanya asyik merenung ke sana dan ke sini, dia ternampak kertas iklan bilik untuk disewa. Kertas iklan yang ditampal pada tiang batu di setesen bas itu nampaknya masih baru diletakkan di situ. Ada nombor telefon yang dicatatkan di kertas iklan itu. Dia mengambil pen dan kertas di dalam begnya dan mencatat nombor telefon tersebut. Matanya meliar lagi. Tidak berapa jauh dari bangku tempat duduknya ada telefon awam.Dia terus menghubungi nombor tersebut. Bilik yang hendak disewa, lima kilometer dari bandar. Persetujuan telah dicapai.

Terhincut-hincut pula gadis itu mencari teksi sambil membawa beg pakaiannya. Badannya sudah dibasahi peluh dan mengeluarkan bau yang tidak enak.

SELEPAS 20 minit dia sampai di rumah tersebut. Tuan rumah telah menantinya.

“Deposit dua bulan!” Tuan rumah mengingatkannya sekali lagi.

Nurlisa segera mengambil wang dari begnya. Walaupun menolak, tadi, Datin Rabiatul membayarnya gaji untuk bulan itu dan tambahan lagi 300 ringgit. Di tangannya kini ada 700 ringgit tunai.

Dalam buku akaunnya masih ada sedikit wang yang disimpan sedikit-sedikit pada setiap bulan. Syukurlah bolehlah digunakan untuk menampung kehidupannya sementara mendapat kerja dalam dua tiga hari lagi.

Tiba-tiba dia teringat ayat 7, dalam surah Ibrahim yang bermaksud, ‘Dan ingatlah, tatkala Tuhan-mu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu, dan jika kamu mengingkari nikmatKu, nescaya sesungguhnya azabKu sangat pedih.’

Bagaikan terbayang dimatanya tulisan-tulisan di kitab tafsiran al-Quran yang selalu dibacanya dulu sewaktu bersama adik-adiknya. Nurlisa meraba-raba ke dalam beg sandangnya.

“Astagfirullahilazim, tertinggal pula kitab tafsir kecil tu.”Dia menggaru dagunya yang tidak gatal. Kitab tafsir bersaiz kecil itu amat disayanginya. Hadiah yang diterima sewaktu mendapat tempat pertama di dalam tingkatan tiga disekolahnya dulu.

“Tak apalah. Aku beli yang lain sahaja. Yang itu, biarlah aku sedekahkan sahaja kepada Bibik Sunarti.”Bibirnya tersenyum sendiri. Nostalgianya di vila itu akan bersemadi dalam kenangan.

Keesokan paginya, Nurlisa memulakan langkahnya untuk melamar pekerjaan bagi memperolehi sumber pendapatan. Dia berbaju kurung merah jambu yang dihadiahkan oleh Datin Rabiatul kepadanya beberapa bulan yang lalu. Sebagaimana selalu gadis ini suka mengenakan tudung berwarna putih untuk melindungi rambutnya.

“Maaf, pejabat ini tidak terima OKU sebagai pekerja!” Satu demi satu pejabat swasta dijengah, namun jawapan itulah yang diperolehi. Terhincut-hincutlah gadis itu beredar dari situ dengan hati yang terbuku dan air mata yang ditelan. Jalan yang terbentang di hadapannya seolah dipenuhi dengan ceracak-ceracak tajam yang tidak mampu dilalui.

“Sijil SPM pangkat satu sahaja tidak mencukupi kalau tidak ada pengalaman kerja dan tidak ada pengetahuan dalam bidang komputer.” Berkali-kali dirinya ditolak dengan berbagai alasan. Namun, sekali kaki melangkah walaupun tempang, dia tidak akan menyerah kalah. Ketempangan bukanlah penamat untuk menggapai kejayaan. Tambahan pula apabila mengingatkan tentang pesanan emak.

Walaupun hidup susah, jangan sesekali berputus asa daripada rahmat Allah. Rahmat Allah itu amatlah luas. Perbendaharaan-Nya sangatlah banyak. Insya-allah, ada peruntukkan yang telah ditentukan untuk setiap hamba-Nya.

‘Aku mesti terus berusaha.’ Itu bisikan hatinya berulang kali. Ke mana diri harus dilontarkan? Hendak bergantung harap kepada siapa lagi?Ibu bapa tiada. Adik beradik entah di mana. Mahu tidak mahu, dia harus membulatkan tekad. Hanya kepada Allah jugalah dia berserah dan berdoa.

“Boleh kerja di sini. Tapi awak tak boleh pakai tudung.Awak tentu lebih cantik kalau tidak memakai tudung.Kerja di sini kena pakai cantik. Seksi. Baru orang ramai tertarik datang ke cafe ini.” Terlebih biadap lagi ada lelaki sebangsa dengannya sanggup mengungkapkan ayat itu kepada Nurlisa. Sebangsa, sudah tentulah seagama.

“Terima kasihlah, encik. Saya cari kerja di tempat lain sahaja,” jawab Nurlisa dengan lembut. Tidak tergamak rasanya untuk mengingkari perintah Allah kerana wang seringgit dua.

Kepenatan berjalan dan disinari terik matahari, Nurlisa melabuhkan pinggulnya di sebuah gerai yang terdekat kakinya melangkah. Untuk menjimatkan wang, dia hanya memesan teh ‘o’ suam. Dalam cuaca panas, dia mengelakkan dirinya daripada meminum air batu. Teh ‘o’ suam yang berada di depannya dihirup perlahan-lahan.

Dari pagi tadi perutnya tidak diisi kerana asyik menghadiri temu duga terbuka dan menjengah dari satu pejabat ke pejabat yang lain untuk melamar pekerjaan.Namun harapannya kecundang. Perutnya terasa lapar pula. “Nasi kosong dengan telur dadar, pak cik.” Nurlisa membuat pesanan kepada seorang lelaki separuh umur yang datang menghampirinya.

“Telur dadar saja? Tu di depan sana banyak lauk-pauk masakan kampung. Anak tak suka ke?” Lelaki itu menyoalnya kembali. Biasanya pelanggan yang datang ke kedainya mencari lauk pauk masakan kampung.

“Itu sudah memadai bagi saya pak cik! Hmm... nasi pun saya nak separuh sahaja,” jawab Nurlisa lagi sambil tersenyum.Sememangnya sejak kecil dia makan sekadar menolak dari rasa laparnya saja. Emak yang mendidiknya begitu.

“Yalah, nak. Asalkan tidak berlapar. Alhamdulillah,” sahut lelaki itu pula sambil tersenyum meleret kepada anak gadis itu. Dia tidak hairan dengan amalan gadis itu kerana sudah memahaminya sebagai sunah rasulullah. ‘Makan apabila lapar, berhenti sebelum kenyang.’ Namun jarang-jarang orang muda zaman kini yang ingin mengamalkan apa yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW. Kecintaaan terhadap junjungan besar itu seolah semakin terpinggir pada era kini.

“Ada sesiapa duduk di sini adik.” Seorang wanita berambut perang, tiba-tiba menyapa Nurlisa yang sedang termenung sambil menunggu makanan yang dipesannya sampai.

“Tak ada sesiapa. Duduklah, kak.” Persila Nurlisa sambil melemparkan senyuman. Fail yang mengandungi sijil-sijil persekolahan ditariknya rapat di lengan.

“Cari kerja ke, dik?” soal perempuan itu apabila melihat Nurlisa menyelak-nyelak fail yang mengandungi sijil-sijil persekolahan dengan wajah duka.

Nurlisa mengangguk-anggukkan kepalanya. “Tapi belum ada rezeki lagi. Tak ada siapa yang mahu ambil orang cacat macam saya ni!”Dia bersuara sayu sambil tunduk memandang permukaan meja.

“Mungkin esok-esok adalah. Insya-allah.” Nurlisa melontarkan senyuman pula. Mengapa harus takut dan gusar jika tidak memperolehi apa yang diingini pada hari ini. Mungkin Allah telah menetapkan dia akan memperolehi pekerjaan pada hari esok atau lusa atau bila-bila yang telah tercatat di Loh Mahfuz. Tugasnya kini hanya berusaha dan berdoa. Yang selebihnya biarlah Allah yang menguruskannya.

“Cacat?” Perempuan berambut perang memerhati gadis yang berada disisinya. Nampak macam cukup sempurna sahaja. Cantik. Tak ada kecacatan apa-apa pun. Nampak seperti gadis yang baik dan berbudi bahasa. Berwajah tenang dan bermata redup. Manis kalau tersenyum kerana lesung pipitnya yang comel.

“Boleh kakak tengok sijil.” Tangannya dihulurkan untuk mencapai fail yang mengandungi sijil-sijil Nurlisa.

“Minta maaf, sebenarnya adik ni cacat apa?” Gagal mencari jawapan, dia menyoal Nurlisa dengan jujur.

“Selepas ditimpa kemalangan jalan raya, kaki saya tempang.Kaki saya pendek sebelah, kak. Sebab itulah saya berjalan tidak sesempurna orang lain.” Nurlisa bercerita dengan terus terang.Di matanya tersimpan air mata yang menanti masa akan berderai ke pipinya. Esakan disimpan di dadanya.

Mereka berbual-bual beberapa ketika sementara perempuan itu menghabiskan minumannya. Perempuan itu kelihatannya sedang tergesa-gesa. “Oh, begitu. Kakak pergi dulu ya, Nurlisa.”

“Esok datang ke alamat ni, ya.” Perempuan yang masih belum mengenalkan dirinya kepada Nurlisa menghulurkan sekeping kad.

“Datang tau. Kakak tunggu di sana. Nama kakak Linda. Oh ya! Hari ni biar kakak yang belanja.” Perempuan yang bernama Linda, nampaknya bukan saja peramah, namun pemurah juga kepada orang yang baru dikenalinya.

Angin dingin dari luar rumah seolah menembusi kulitnya. Aldi merapatkan kedua-dua telapak tangannya lalu menggesel-geselkannya. Haba panas yang terbit daripada geselan itu menyamankannya yang kedinginan. Lalu telapak tangan itu menggesel-gesel lengannya pula. Tubuh yang dibaluti baju panas berlengan panjang berwarna biru tua berleher tinggi, didakap dan digosok-gosok dengan tapak tangan. Kedinginan masih terasa.

Di celah timbunan buku yang berselerakan di atas meja, Aldi terus mengelamun. Entah mengapa dia berasa serba tidak kena semenjak dua tiga hari ini. Ingatannya jauh terlontar ke Malaysia. Terkenangkan emak. Terkenangkan ayah. Yang lebih dikenanginya, gadis itu. Gadis yang telah mencuri hatinya. Gadis yang telah merubah laluan hatinya. Kemarau sepanjang musim seolah telah lenyap. Kalau boleh dia ingin gadis itu selalu berada di sampingnya. Menemani setiap langkahnya. Kalau diizinkan ALLAH dia inginkan kehadiran gadis itu pada setiap saat.

Kini hatinya begitu rindu apabila terkenangkan saat-saat dia bersama gadis itu. Mengenangkan detik itu, membawa bersamanya sejuta rasa. Mengenangkan detik dulu, dia begitu rindu untuk kembali duduk di sisi gadis itu. Bercerita dan ketawa. Kini dia begitu sepi. Kesepian itu seolah kembali bermukim di hatinya sejak dia pergi meninggalkan gadis itu demi menyambung cita-citanya.

Hembusan angin malam menyejukkan tubuhnya. Matanya merenung titis-titis hujan yang menuruni cucuran atap lalu jatuh membasahi bumi. Dapatkah kerinduan yang menggema di hatinya di saat itu jatuh berguguran sebagaimana jatuhnya titik air hujan?Tidak. Bahkan getaran rindu itu seolah menyatu di ujung jarinya. Aku ingin berada di sampingnya. Aku ingin genggam tangannya. Aku ingin mendengar suaranya. Aku ingin melihat senyumannya. Aku ingin menatap wajahnya. Melihat lembut redup matanya. Subhanallah. Adakah dia tercipta untukku?

Dia telah mengajarku tentang cinta. Cinta kepada-MU. Dia yang sentiasa mengenangi-MU pada setiap saat dan apa juga yang diperbuat, telah menginsafkan aku. Betapa kerdilnya diri ini, ya Allah. Segala yang berlaku di bawah kekuasaan-MU. Dulu kakiku boleh berlari. Kemudian kakiku lumpuh. Kini aku dapat berlari semula.Siapakah yang mampu melakukan itu semua? Semuanya kerana kekuasaan-MU, ya Rabbi.

Sekiranya ada keizinan-MU, aku ingin dia menemani diriku sepanjang usiaku. Aku ingin setiap kali kubukakan mataku selepas lenaku, dia berada di sampingku. Aku ingin dia melahirkan zuriat untukku. Mendidik anak-anakku menjadi anak-anak yang soleh dan solehah sama sepertinya. Astaghfirullahilazim. Terlalu panjang angan-anganku.

Aldi tersedar daripada khayalannya seketika, namun kerinduan tidak juga menyisih pergi. Dari meja, dia bangun menuju ke jendela. Matanya menerobos kegelapan malam yang disinari cahaya lampu jalan yang amat suram.Punat-punat di telefon ditekan dengan penuh harapan kerinduan di hati akan terubat seketika nanti.

“Helo! Assalamualaikum.” Ingin menyuarakan rindu, Aldi menghubungi Vila Kencana Emas. Gagang telefon digenggamnya kemas-kemas. Harapan dan doanya terangkum, biarlah ayah dan emaknya tidak ada di rumah pada waktu itu. Dan gadis itu yang menjawab panggilan telefonnya. Dapat mendengar suaranya walau seketika mungkin dapat mengubati rindunya barang sesaat.

“Waalaikummussalam...” jawab Datuk Haris yang mengangkat telefon itu.

Terlerai impian Aldi untuk berbicara seketika dengan Nurlisa, buat pengubat rindu. Ingin meminta Datuk Haris memanggilkan gadis itu, dia terasa malu dan segan.

“Ayah dan mak sihat ke?” tanya Aldi. Wajahnya berubah muram. Kekecewaan berlabuh dilautan hatinya kerana keinginan perasaan tidak kesampaian.

“Alhamdulillah. Ayah dan mak sihat,” jawab Datuk Haris. Bibirnya tersenyum bagaikan mengerti perasaan anak yang jauh di mata. Suara Aldi yang perlahan bagaikan dalam kesedihan.

“Aldi sihat tak? Aldi tengah duduki peperiksaan akhir, kan?” ujar Datuk Haris lagi. Dia bersendirian di rumah pada waktu itu. Isterinya sudah keluar selepas zuhur tadi kerana menghadiri perjumpaan perkumpulan wanita di kawasan mereka.

“Belum, sedang buat persediaan, ayah. Saya pun asyik memerap di rumah sahaja.Studi dan secara kebetulan, hampir musim sejuk,” cerita Aldi. Pandangannya terus dilontar ke arah luar jendela. Lewat penghujung musim luruh, kedinginan ada di merata-rata. Kebanyakan pokok tidak lagi berdaun. Jika disiangnya, kelihatan daun-daun yang kekuningan berterbangan di sana dan di sini. Akhirnya pohon-pohon tinggal dahan-dahan dan rerantingnya sahaja. Beberapa hari lagi, mungkin salji mulai menutupi bumi.

“Kirim salam kepada mak dan Adzman, ya ayah.” Aldi menamatkan perbualan. Tidak sampai tiga minit perbualan sudah ditamatkan. Kerinduan yang semakin sarat terus merimbun. Kemelut rindu yang mencengkam kalbu seolah-olah menggoncangkan isi di dadanya.

Matanya melihat kelendar di meja. Minggu depan dia akan menduduki peperiksaan terakhir. Mungkin, dia akan kembali ke tanah air dua bulan lagi. Sanggupkah hatinya menahan gejolak kasih, gejolak rindu dalam tempoh itu. Kalaulah hati lelakinya yang mengizinkannya menangis, biar saja dia menangis. Biarkan saja air matanya itu menjadi samudera dan menghantarnya berenang untuk mencari gadis itu. Kini segalanya hampa dan kosong. Ingin dilihat wajah, tiada foto yang boleh dipegang ditatap.

Dia memejam mata lantas merapatkan bayangan Nurlisa di dalam dakapannya. Dia berbisik sendiri dan pantas bangun serta terus menyelongkar ke dalam laci almari. Teringat kembali, dia ada membeli peralatan melukis beberapa minggu yang lalu.

Di keheningan malam itu, dia mula bermain warna di kanvasnya. Berkali dia memejamkan matanya, merapatkan bayangan wajah gadis itu ke lubuk hatinya sedalam-dalamnya. Matanya yang indah, keningnya, bibirnya, pipinya, senyumannya, seolah telah melekat disanubarinya. Dia terus mencalitkan warna-warna yang memotretkan Nurlisa, seumpama gadis itu sedang berada dihadapannya dengan senyumannya yang mempersona.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.