Bab 24

Pelajar-pelajar perempuan yang berada di bilik persalinan sibuk menyalin baju selepas kelas Pendidikan Jasmani diadakan. Masing-masing mengelap peluh. Letih juga bermain bola jaring. Bukan selalu pun kelas itu dijalankan. Seminggu sekali je. Bolehlah para pelajar lepaskan tekanan belajar memandangkan Sijil Pelajaran Malaysia yang akan berlangsung tahun ini.

Selena yang duduk di sebelah Amanda mengambil air botol yang dibawanya ke hulu ke hilir. Air kosong itu diteguk sepuasnya. Haus sangat!

Memang inilah kali pertama dia dapat bermain bola jaring. Sukan yang padanya sungguh sopan sekali. Salah langkah sikit whistle berbunyi. Gerak terlebih sikit benda tu jugak yang berbunyi. Tak boleh nak gerak banyak-banyak.

Lain betul kalau nak dibandingkan dengan bola keranjang. Sukan tersebut memang agak lasak tetapi memang seronok. Boleh bumping bola. Gerakan pun tak terhad macam bola jaring.

“Kau nak sikit air?” soal Selena kepada Amanda yang sedang memakai anak tudung. Rambut yang terkeluar dimasukkan supaya tidak terkeluar. Sehelai rambut yang terkeluar boleh rasa rimas. Rambutnya yang agak panjang itu dia mahu selit elok-elok biar tak terkeluar.

‘Agak-agak macam mana muka aku kalau pakai tudung ek?’ bisik Selena dalam hati kecilnya.

Terdetik soalan itu apabila melihatkan mereka yang beragama Islam bertudung litup. Setibanya dia di Malaysia dulu, memang matanya menjamah pandangan yang cukup tenang. Mereka yang beragama Islam masing-masing melindungi rambut di kepala dengan tudung. Jarang sekali dia melihat pemandangan sedemikian di London. Dia sendiri walaupun beragama Islam, tidak pernah terlintas langsung untuk mengenakan pakaian suruhan ALLAH itu. Menutup aurat dengan sempurna jauh sekali.

Selena memandang Amanda. Gadis itu masih lagi memasukkan helaian rambut yang terkeluar ke dalam anak tudung. Bersungguh-sungguh betul dia membetulkan anak tudung yang kini menyorok rambut Amanda yang agak panjang itu.

‘Aku ni boleh pulak tanya soalan macam tu?’ desis hati Selena lagi. ‘Lagi mahu tanya macam mana rupa aku kalau pakai tudung? Mestilah sama macam si Amanda ni. Dah nama pun muka sebiji!’

Dia memandang gadis itu lagi.

‘Rambut Amanda ni pun samalah dengan rambut aku. Panjang pun dah nak sama. Panjang melepasi bahu. Sama sangat!’ kata Selena lagi dalam hati.

“Kau nak tak air ni?” tanya Selena mengulangi soalan yang sama.

Amanda memandang kawannya di sebelah.

“Boleh jugak,” dia menjawab.

Botol yang berada di tangan Selena kini bertukar tangan. Amanda lantas meneguk sedikit air yang berada di dalam botol tersebut. Hilang sikit haus lepas main bola jaring tadi. Tak payahlah nak cari air kat kantin tu. Tak pasal-pasal nanti si BB tu report kat Cikgu Ali pulak kang kalau dia nampak. Lepas tu nanti kena denda lagi. Kalau papa tahu habis nanti dia nak main cili kat dapur tu nak sumbat dalam mulut aku.

Oh, that is so not happening!

Selena memandang leher Amanda yang terdapat seutas rantai dipakai oleh gadis tersebut. Rantai yang tidak terlalu mewah. Nampak usang pun ada juga.

Tiba-tiba dia teringatkan rantai yang dipakai dilehernya. Rantai berbentuk separuh hati. Rantai yang tertulis namanya.

Mungkinkah rantai yang dipakai oleh Amanda itu juga rantai yang berbentuk separuh hati seperti rantai yang dimilikinya sekarang? Ada tertulis nama Amanda tak kat rantai tu sama macam namanya tertulis di rantai yang dia pakai?

Mungkinkah?

Botol air dihulurkan kembali kepada Selena. Amanda mengambil tudung sekolahnya yang tersangkut di tempat gantung baju. Belum sempat dia menyarung tudung dua lapis itu, Selena mencelah dengan soalan.

“Tu rantai kau ke?”

Amanda memandang leher yang dipakaikan dengan rantai lama itu.

“Rantai ni ke?” ujar Amanda. Tangannya mengeluarkan rantai yang tersorok dek baju sekolah.

Selena mengangguk. Dia teringin sangat untuk tahu. Ketika itu tinggal mereka berdua sahaja yang berada di bilik persalinan pakaian. Hanya dia dan Amanda sahaja yang berada di situ.

“Aah,” balas Amanda. “Ni memang rantai aku. Ayah aku pakaikan kat leher aku sejak aku kecil lagi.”

“Kenapa?” tanya Amanda kemudian.

“Aku nak tengok boleh?”

Amanda mengangguk lalu menanggalkan rantai tersebut. Rantai itu dihulurkan ke tangan Selena.

Selena pula asyik merenung rantai itu.

Jelas sekali rantai itu sama sekali dengan rantai miliknya. Rantai itu berbentuk separuh hati.

Dia membelek lagi rantai itu. Dia mahu mencari nama yang dirasakan sepatutnya berada di itu.

‘AMANDA’

Selena sekali lagi terkedu. Nafasnya seakan-akan terhenti. Entah berapa kali kejutan akan muncul dalam hidupnya.

“Selena, kau okey tak ni?” tegur Amanda melihatkan Selena yang tiba-tiba mendiamkan diri itu. Selalunya mulut perempuan itu becok benar. Sikit-sikit nak bercakap. Memang susah betul nak suruh mulut Selena itu diam.

Selena menghalakan pandangannya ke arah Amanda yang duduk di sebelahnya.

“Kenapa kau tengok rantai tu lain macam? Kalau nak kata rantai tu lawa, memang dah buruk. Aku ni pun lagi lawa daripada rantai tu tau,” kata Amanda ingin berjenaka dengan Selena.

“Weh, kau okey tak ni?” tanya Amanda lagi.

Selena diam tak berkata. Memang rasa otot lidahnya terkena tetanus sekarang ni. Entah dari mana dia boleh tahu perkataan tetanus tu, dia sendiri tak tahu. Dalam movie kot. Dia tu memang suka tengok movie.

“Kau ni jangan bagi aku takut pulak. Hari tu kau baru je sakit perut. Takkan sekarang kau dah bisu kot,” ujar Amanda. Risau pulak dia tengok si Selena ni.

Banyak betul benda mengenai Selena yang dia tak tahu. Kadang-kadang dia ceria, kadang-kadang tu pulak termenung. Di balik keceriaan pada fizikal Selena, di mata itu tersinar rasa rundum yang memang sukar untuk dia fahami.

Selena perlahan-lahan mengeluarkan seutas rantai yang dipakaikan di lehernya. Rantai yang sama seperti rantai Amanda. Rantai berbentuk separuh hati.

Amanda hanya memandang tindak-tanduk Selena itu.

Selena mencantumkan kedua-dua hati yang bagaikan terbelah. Sebelah yang tertulis namanya sendiri manakala sebelah lagi tertulis nama Amanda. Dengan bercantumnya rantai-rantai itu, dia yakin misteri yang membelenggu benak jiwanya akan terjawab.

Rantai dicantumkan.

Perfect fit!

Dia tahu ada sebabnya dia berada di situ. Ada sebab dia terjumpa rantai itu. Memang tak salah lagi.

Amanda itu kembarnya!

Terjawab sudah misteri wajah Amanda yang serupa dengan mukanya. Rupa-rupanya mereka kembar yang telah terpisah sejak kecil lagi!

“It’s a perfect fit, Amanda.” Akhirnya, Selena mengeluarkan suara.

“What are you talking about?”

Amanda mengerutkan dahi. Apa benda yang cuba disampaikan oleh Selena? Serius dia rasa pelik betul tengok Selena hari ni.

Selena menghulurkan cantuman hati pada rantai itu kepada Amanda. Amanda pula hanya terkebil-kebil tetapi tangannya tetapi menerima huluran gadis cantik yang bernama Selena itu.

‘AMANDA – SELENA’

Matanya tertancap pada dua nama yang terukir elok di atas rantai yang berbentuk hati. Rantainya yang sebelum ini separuh hati kini telah lengkap.

Amanda memandang Selena yang turut melihatnya. Mereka berdua saling berpandangan antara satu sama lain. Masing-masing terasa bagaikan sedang melihat refleksi diri di atas cermin.

Sungguh aneh sekali perasaan itu.

Berdebar-debar dengan apa yang berlaku.

Disangka Amanda yang rantai itu hanyalah rantai semata-mata. Biarpun telah terbelah, dia tidak langsung ambil peduli makna disebalik semua itu. Dia selalu menyangka yang selama ini belahan rantai yang satu lagi merupakan milik mamanya. Manalah tahu kalau-kalau mamanya mengambil bahagian tersebut untuk dijadikan kenangan. Kalau rindu boleh dipandang. Kalau sayang boleh dipakai.

Namun ternyata kini sangkaan itu meleset. Rantai itu milik Selena rupanya!

“Papa aku selalu cakap yang mama ada kat luar negara. Dia tinggal kat London setelah berpisah. Tapi dia tak pernah mention pun kat aku yang aku ada...” kata-kata Amanda terhenti.

“Ingat tak aku pernah cakap kat kelas yang aku dan mama aku pindah London masa umur aku baru dua tahun?” soal Selena.

Amanda mengangguk. “Kalau tak silap aku, papa bercerai dengan mama masa umur aku dua tahun jugak.”

“Apa nama mama kau?” Amanda tanya kemudian.

“Amira binti Haji Dahlan.”

Amanda ternganga. “Nama mama aku pun sama. Nama dia pun Amira binti Haji Dahlan jugak.”

“Dan nama papa...” ujar Selena tetapi disambung oleh Amanda.

“Syafiq bin Kamarul.”

“Exactly!”

“Kita...” tutur Amanda tersekat-sekat. Sukar dia mahu menerima kenyataan yang dia tahu bakal diungkapkan sama ada oleh dirinya sendiri mahupun Selena.

Selena mengangguk.

“Kita kembar.”

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh