Home Novel Cinta Sapu Tangan Biru
Sapu Tangan Biru
3/6/2014 14:42:53
55,895
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

Kokokan ayam jantan yang tidur bertenggek di dahan rambutan serta-merta menjagakan Fazidatul. Biasanya ayam jantan itu berkokok pada pukul 4.00 pagi. Perlahan-lahan dia bangun, bimbang menjagakan Dania yang sedang tidur lena. Anak gadisnya itu memang tidur dengannya setiap malam. Ini kerana di rumah usang itu hanya ada dua buah bilik. Bilik yang sebuah lagi digunakan oleh Iwan dan Ray.

“AllahuAkhbar,” keluh Fazidatul sambil menguap beberapa kali. Matanya masih mengantuk. Pernafasannya juga tidak begitu selesa sejak selepas makan malam. Namun cuba diatasi dengan menyapu minyak panas ke dadanya. Syukur, dapat juga dia tidur lena. Namun apabila matanya tercelik, rasa sesak nafasnya kembali semula.

Fazidatul keluar dari bilik menuju ke bilik air dengan langkah perlahan. Kebiasaannya dia akan menunaikan solat sunat tahajud dua rakaat, sebelum memulakan tugasnya di dapur. Setiap hari, dia kena menyediakan juadah untuk berjualan. Biasanya pada waktu pagi, dia akan memasak nasi lemak dan merebus telur sahaja. Sambalnya sudah disediakan oleh Dania semalam dan akan dipanaskan pada pagi ini. Setelah itu, bolehlah dibungkus dengan nasi lemak yang telah masak nanti.

Selesai berwuduk, Fazidatul mula terbatuk-batuk kecil. Nafasnya mencungap sebaik sahaja dia sampai ke biliknya semula. Kedinginan subuh itu agak luar biasa. Rongga nafasnya mula terasa sempit. Namun digagahkan juga diri untuk menunaikan solatnya. Mengadap Rabbul Izzati.

“Alhamdulillah...” bisiknya perlahan sebaik sahaja usai tahajudnya. Sebelum mengakhirkan solatnya, dia tetap akan berdoa untuk kesejahteraan roh suaminya. Doa untuk anak-anaknya. Biar dipermudahkan segala urusan di dunia dan di akhirat. Dimurahkan rezeki walau di mana mereka berada. Sentiasa disayangi oleh Tuhan, para malaikat dan sekalian makhluk yang diciptakan oleh-NYA.

Saat telekung ditanggalkan dari tubuhnya, Fazidatul tidak lagi gagah. Nafasnya bagai tersangkut-sangkut pula walau dihela panjang-panjang, lantas mengeluarkan bunyi termengah-mengah.

“Mak! Mak, kenapa ni?” tanya Dania cemas. Dia yang sudah bangun, terkejut melihat emaknya tersandar di dinding sambil mengangakan mulutnya untuk bernafas. Pasti emaknya tidak mampu untuk menjawab pertanyaan. Emaknya sedang cuba menselesakan kembali helaan nafasnya supaya jantungnya dapat berfungsi dengan normal.

“Emak...” Dania menerpa dan mengusap-usap dada emaknya perlahan dengan perasaan cemas. “Emak susah nak bernafas ke?” tanyanya dengan suara terhimpit.

Fazidatul mengangguk lemah sambil menghela nafas panjang dan amat payah. “Tolong mak, Daniaa...” rintih Fazidatul sambil menunjukkan ke botol minyak angin. Redup pandangannya mengharapkan simpati, saat tangannya dihulurkan kepada Dania. Wajah berkerutnya memanggil rasa cemas sesiapa yang melihatnya pada ketika itu.

“Emak...” tangis Dania kebimbangan, dibenam perasaan cemas. Cepat-cepat dia mengambil minyak panas cap helang dan menuang minyak ke tapak tangannya.

“Dania sapu minyak kat dada mak, ya...” beritahunya. Helaan nafas emaknya semakin panjang dan payah. Tangannya juga mula mendingin. Hati Dania tidak tersabar lagi. Melihat emaknya semakin sukar untuk bernafas, rasa takut dan cemas semakin bermaharajalela.

“Abang! Iwan! Tolong! Mak sesak nafas!” laungnya kuat.

Alangkah susahnya jika tidak mempunyai kenderaan sendiri pada saat memerlukannya. Kehidupan ini, begitu perit pula dirasakan. Pada saat itu, Ray teringatkan permintaan adiknya malam tadi. Jika dia ada motosikal, pasti emaknya dapat dikejarkan ke hospital dengan segera. Namun kenderaan yang mereka ada, hanyalah tiga buah basikal lama. Mujurlah masih ada nilai murni di dalam hati jiran-jiran.

“Bawa kereta Pak Seman, Ray. Pergi hantar emak kamu ke hospital sekarang jugak,” suruh orang tua itu.

Ray yang buntu fikiran tidak ada jalan lain lagi, terpaksa menuju ke rumah lelaki itu untuk meminta bantuan. Waktu itu baru pukul 5.00 pagi.

“Tapi, saya tak ada lesen, Pak Seman,” beritahu Ray terus terang. Bimbang pula akan mengundang masalah lain jika memandu kereta tanpa lesen.

“Bawa aje, Ray! Dah darurat. Pak Seman tak boleh nak bawa kereta subuh-subuh ni. Mata tak nampak. Nanti tak sempat nak bawa emak kamu ke hospital, dengan Pak Seman sekali kena masuk wad... sebab melanggar tiang letrik,” kata Pak Seman terus mendesak.

“Kamu pun selalu bawa kereta pergi ke pasar, kan?” tanya Pak Seman.

Ray mengangguk. Memang benar, kerap juga Abang Ba menyuruhnya pergi ke pasar untuk membeli keperluan restoran pada awal pagi.

“Cepat pergi hospital. Nanti semakin mudarat pula sesak nafas emak kamu tu. Tak usah bimbanglah, Ray. Subuh-subuh macam ni, tak ada roadblock,” kata Pak Seman sambil menghulurkan kunci kereta Proton Wiranya kepada Ray.

Ray menyambutnya dengan berat hati. Namun kepercayaan Pak Seman terhadapnya mengusik jiwa.

“Kalau kamu bimbang sangat sebab tak ada lesen, biar Pak Seman ikut sekali,” ujar Pak Seman.

“Terima kasih, Pak Seman... ” ucap Ray sebak. Pengakuan Pak Seman itu melegakan hatinya.

“Sama-sama, Ray. Kita hidup berjiran kena tolong-menolong,” balas Pak Seman. Dengan anak muda itu, dia tidak akan lokek bantuan. Ray, anak janda itu banyak berjasa kepadanya. Sentiasa ringan tulang untuk menolong apa saja, jika diminta.

“Pergi ambil emak kamu, lepas tu kamu datang ke sini balik. Biar Pak Seman dan Mak Yam temankan kamu ke hospital,” tawar Pak Seman.

Ray semakin terharu. Dia menganggukkan kepala. Setelah itu, cepat-cepat dia menghidupkan enjin kereta dan meluncur perlahan untuk mengambil emaknya di rumah.

Jamsudah menunjukkan angka 5.15 pagi. Emak mereka sudah pun dibawa ke hospital. Akur pada pesanan abangnya, Dania cepat-cepat menuju ke dapur untuk memasak nasi lemak. Sebelum itu, 30 biji telur ayam kampung dimasukkan ke dalam periuk yang telah berisi air, untuk direbus.

“Iwan, cepat tolong akak!” kerahnya. Jantungnya berdetak laju.

“Nak tolong apa, kak? Eh! Sempat ke kita nak sediakan semua ni sebelum ke sekolah?” tanya Iwan agak ragu dengan masa yang ada.“Hari ini Iwan ada lawan bola, akak,” adu Iwan pula. Bola sepak memang minatnya nombor satu. Dialah pemain harapan sekolah untuk pasukan bola sepak 15 tahun ke bawah.

“Yalah, nak lawan bola tu di sekolah nanti. Sekarang ni, subuh lagi. Kita masih ada kat rumah. Kenalah tolong akak,” balas Dania.

“Yalah, nak tolong apa? Jangan lambat-lambat. Iwan tetap nak pergi ke sekolah juga hari ni,” tegas Iwan.

“Kakak pun,” sahut Dania. Rugi rasanya jika tidak pergi ke sekolah walaupun satu hari. Banyak pelajaran yang dia akan ketinggalan nanti.

“Habis tu, cepatlah beri arahan! Iwan tak tahu nak rancang kerja kalau keadaan kalut-kalut macam ni,” kata Iwan. Dia berdiri tercegat menunggu perintah kakaknya.

“Tolong panaskan sambal tumis yang akak dah buat semalam. Lepas tu, bawa keluar kertas untuk bungkus nasi lemak tu,” arah Dania sambil menenggek periuk nasi ke atas dapur.

“Aik... tak mahu guna daun pisang ke, kak?” tanya Iwan. Nasi lemak mereka memang sudah dikenali kerana dibungkus dengan daun pisang dan berlaukkan sambal tumis ikan bilis serta telur ayam kampung rebus. Sedap dan wangi nasi lemak mereka.

“Kalau nak gunakan daun pisang, lambatlah. Nak kena potong, lap lagi. Masa tak cukup ni!” tukas Dania mulai panik. Matanya tidak berhenti merenung jam. Pergerakan jarum jam terlalu cepat pula dirasakannya. Hatinya yang sedang merusuh kerana bimbangkan emak yang sedang dibawa ke hospital dipujuknya sendiri. Di bahunya kini ada amanah yang harus dilunaskan. Ray sudah berpesan macam-macam sebelum ke hospital tadi.

“Iwan tak kisah. Tapi, akak sanggup ke nak kena marah dengan Abang Ray nanti?” tanya Iwan sambil menyakat kakaknya.“Abang Ray kata, kita kena kekalkan kualiti nasi lemak tu supaya terus laris. Kat kampung ni, emak aje yang jual nasi lemak guna daun pisang,” omel Iwan.“Lainlah kalau daun pisangnya tak ada.”

“Yalah! Yalah! Guna daun pisang! Cepat-cepat tolong gunting dan lap! Macam mak nenek pulak dia membebel.” Akhirnya, Dania mengalah bimbang dimarahi Ray.

Iwan menyeringai tanda menang.

Nasi lemak yang dimasak pun hampir mengering. Dania menutup periuk dan mengecilkan api dapur. Sementara nasi mengering dan masak, dia akan mandi dan solat subuh. Setelah itu bolehlah dia bersedia dengan pakaian sekolah sebelum membungkus nasi lemak.

Iwan sedang mengupas telur rebus sewaktu Dania muncul di dapur semula. Walau hati sedang walang mengingatkan emaknya, Dania senyum panjang. Di atas meja sudah tersedia daun pisang yang sudah digunting dan pasti sudah dilap juga. Telur ayam rebus pun tinggal dua biji sahaja lagi yang belum dikupas. Dania mengambil pisau dan membelah telur rebus yang sudah siap dikupas kulitnya. Setiap biji telur dibelah empat dan dimasukkan ke dalam mangkuk.

“Cepatlah akak buat kerja.” Iwan pula mengerah. Dia mencapai kain buruk untuk mengangkat periuk nasi dan meletakkannya di atas meja.

Dania segera mengambil bekas-bekas plastik yang terisi dengan kacang tanah dan ikan bilis goreng. Nafas Dania semakin melaju. Nampaknya, dia boleh mula membungkus nasi lemak sekarang. Matanya meliar, memeriksa jika ada keperluan yang terkurang.

“Akak... timun belum potong!” beritahu Iwan. Kalut menyediakan daun pisang terlupa pula dia mengupas timun.

“Tolonglah potong. Timun ada dalam peti ais tu. Ambil yang kecil ya? Yang muda sikit,” pesan Dania. Nasi lemak lebih sedap berulamkan timun yang masih muda. Bijinya masih halus dan rangup.

Daun pisang beralas kertas mula disusunnya di atas meja. Disusunnya 10 keping sekali gus. Selepas itu, dia mencedok nasi ke dalam mangkuk kecil sebagai acuan, juga sebagai penyukat dan menuangkannya di atas daun pisang dengan berhati-hati.

“Cepatlah, Iwan...” kata Dania. Selepas mancedok nasi, dia mencedok sambal tumis dan diagihkannya di atas nasi lemak tadi. Begitu juga dengan telur rebus serta kacang dan ikan bilis goreng.

Iwan meletakkan pinggan yang sudah berisi dengan timun yang telah dipotong.“Akak, Iwan dah masak air, akak tolong tengok atas dapur tu. Nanti tolong bancuh kopi O. Nasi lemak, Iwan nak bawa ke sekolah tiga bungkus.” Iwan sempat berpesan itu dan ini dengan suara kuat sambil berjalan ke bilik air.

“Huh! Iwan ni,” rungut Dania.

‘Orang tak menang tangan ni, nak suruh layan dia pulak. Buatlah sendiri!’ bebelnya dalam hati. Pagi itu, kerja membungkus nasi lemak pasti lambat sebab hanya dia seorang yang membungkusnya. Selalunya kerja membungkus dilakukan empat orang. Masing-masing sudah tahu dan faham tugas sendiri.

Sebaik selesai mandi, solat dan bersiap untuk ke sekolah, Iwan kembali ke dapur. Pandangannya terlempar pada bakul di atas meja. Nasi lemak sudah siap dimasukkan ke dalam bakul. Beberapa bungkusan nasi lemak lagi Dania tinggalkan di dalam pinggan di atas meja.

“Amboi! Ada bela jin ke, akak? Cepatnya siap!” usik Iwan yang sedang menuangkan kopi O untuk dia bersarapan.

“Dah! Jangan banyak cakap lagi. Tak adanya nak guna jin segala. Akak buat sendirilah,” balas Dania. Tiga bungkus nasi lemak dimasukkannya ke dalam beg plastik.

“Akak pergi sekolah dulu ya! Iwan nanti kunci pintu, tau. Lepas tu, anak kunci letak kat tempat biasa. Tadi, Abang Ray tak bawa kunci!” Dania terjerit dari anjung mengingatkan Iwan tentang perkara yang harus dibuat sebelum meninggalkan rumah nanti.

Perasaannya berasa lapang kerana berjaya melunaskan tanggungjawab yang diamanahkan oleh abangnya. Ray yang sangat disayangi. Pasti emak juga akan gembira.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.