Home Novel Cinta Sapu Tangan Biru
Sapu Tangan Biru
3/6/2014 14:42:53
56,228
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

Senyuman Ray dan Fazidatul menyatu apabila balik ke rumah dan masuk ke dapur. Keadaan dapur berselerak macam tongkang pecah. Serentak mereka mengelengkan kepala.

“Budak-budak dua orang ni...” keluh Fazidatul perlahan. Namun, dia bangga apabila melihat susunan nasi lemak di dalam bakul. Siap berlabel pula bakul-bakulnya.

50 bungkus tempahan tok ketua.

30 bungkus untuk jual.

“Alhamdulillah. Sempat juga mereka siapkan nasi lemak ni. Ray dah risau, mak. Bukannya apa, Tok Ketua dah berhajat sangat hendak menyajikan nasi lemak ni kepada penduduk kampung yang bergotong-royong nanti,” kata Ray. Segera tangannya mencapai satu bungkus nasi lemak dan membukanya. Setelah melihat isi di dalamnya dan berpuas hati, Ray membalutnya kembali dan memasukkannya ke dalam bakul semula. Nampaknya, Dania dan Iwan sudah boleh diharap. Ray segera menarik kerusi untuk emaknya.

“Budak-budak tu dah boleh diharap, Ray. Cuma Iwan tu yang kadang-kadang nakal dan loyar buruk,” puji Fazidatul.

Ray terdiam sejenak. Terkenangkan perbualannya dengan Iwan tengah malam semalam.

“Semua anak-anak emak pun begitu. Emak rasa bangga, Ray...” ungkap Fazidatul perlahan dan lesu suaranya.“Sepatutnya emak yang buat semuanya,” sambung Fazidatul. Kini suaranya bagaikan tersepit pula.

“Emak duduk. Kita makan ya? Emak nak makan ubat,” suruh Ray cepat-cepat. Bimbang emaknya akan sesak nafas lagi jika bercakap banyak.

“Emak nak makan roti aje, Ray,” beritahu Fazidatul lemah. Alhamdulillah, pernafasannya kembali normal. Ray menghidangkan kopi O dan dua keping roti untuk emaknya. Dia sendiri mengambil sebungkus nasi lemak yang ada ditinggalkan oleh Dania di dalam pinggan di atas meja.

“Sedap!” pujinya. Suapannya semakin laju.

Fazidatul memerhati sambil tersenyum. Ray, macam tidak pernah makan nasi lemak yang dimasak Dania pula lagaknya.

“Ray hendak ke mana pagi ni?” tanya Fazidatul apabila melihat Ray kalut-kalut menghabiskan nasi lemaknya.

“Hari ni, Ray nak turunkan buah-buah kayu Pak Seman, mak! Langsat dan rambutan banyak yang dah masak,” beritahu Ray.

“Ray tak penat ke? Semalam balik pukul berapa? Pagi ni dah sibuk melayan emak yang buat hal...” ujar Fazidatul mulai sebak.

“Tak ada penatlah, mak,” balas Ray.“Lagipun kalau muda-muda begini asyik bermalas dan berlingkar kat tempat tidur tak habis-habis, tak boleh jadi kaya, mak!” sambungnya lagi cuba bergurau.

“Malam nanti dah nak kerja di restoran tu pulak!” kata Fazidatul sesal.

Ray menyengih.“Bukannya susah, mak. Kat restoran tu Ray hanya ambil pesanan dan hantar kepada pelanggan. Bukannya pikul kayu balak pun...” gurau Ray cuba meredakan kerunsingan di hati emaknya.

“Emak jangan buat apa-apa kat rumah tau,” pesan Ray. Berat hatinya untuk meninggalkan emak seorang diri di rumah.

“Ray cepat-cepat balik ...” pesan Fazidatul.

“Yalah, mak. Selesai turunkan buah-buah tu, Ray balik ke rumah cepat-cepat. Emak tak usah buat kerja berat, ya. Dapur yang berselerak ni biar Ray kemaskan nanti,” kata Ray.“Tadi budak-budak itu mesti tak sempat nak buat. Jika tak, takkan ditinggalkan lintang-pukang macam ni,” katanya lagi.

“Emak tahu, Ray. Biarlah emak yang kemas. Tak banyak mananya,” balas Fazidatul berkeras. Dia bangun dari kerusi perlahan-lahan dengan memegang bucu meja.

“Tak usah, mak!” Larang Ray. Tangannya menahan emaknya daripada bangun.“Emak duduk kat situ. Biar Ray buat sekarang. Sekejap aje, 10 minit pun boleh siap. ”

Dari jauh lagi suara riuh Irul dan Ray menjentik gegendang telinga Pak Seman. Herot bibirnya mendengar kata-kata lucu yang dibualkan oleh dua orang sahabat itu. Senyuman Pak Seman semakin lebar apabila melihat bakul-bakul sudah dipenuhi buah rambutan dan pulasan.

“Dapat banyak buahnya, Ray... Irul?” tanya Pak Seman tiba-tiba. Dia senyum puas. “Banyak juga!” tukasnya gembira, mempamir rasa senang hatinya. Petang nanti apabila Ah Seng, peraih buah-buahan datang mengambil buah-buah itu, adalah juga rezekinya.

“Ray... Irul, rehat dulu. Mari makan ni,” kata Pak Seman sambil meletakkan bakul yang dibawa di atas tanah. Tikar plastik tebal berwarna biru yang dibawa bersama dibentang di bawah pokok rambutan.

“Apa tu, Pak Seman?” tanya Irul terus merapati Pak Seman yang sedang mengeluarkan bekalan dari dalam bakul.

“Mak Yam kamu ada buat pulut durian. Minuman serbat,” beritahu Pak Seman.

Ray dan Irul senyum teruja. Mereka terus duduk di atas tikar plastik dan mengambil bekalan yang sudah disaji oleh Pak Seman. Irul yang kaki makan tidak menunggu walaupun seminit terus membedal pulut durian.

“Emak kamu macam mana, Ray?” tanya Pak Seman. Matanya merenung anak muda itu yang makan dengan sopan, tidak macam Irul.

“Pagi tadi nampak dah lega sikit, Pak Seman.”

“Alhamdulillah. Syukur. Pagi tadi, nampak teruk sangat. Kasihan Pak Seman tengoknya. Susah benar hendak bernafas. Risau Pak Seman dan Mak Yam kamu...” ungkap Pak Seman.

“Saya terlebih lagi risaunya, Pak Seman. Sebab itulah saya nak mencari kerja kat tempat lain tertangguh-tangguh,” beritahu Ray.

Pak Seman mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham dan berkongsi rasa sedih anak muda itu. “Saya bimbang adik-adik tak tahu nak menguruskan emak yang sakit,” tambah Ray lagi. Suaranya perlahan sambil menundukkan mukanya.

“Selalu ke emak kamu jadi begitu?” tanya Pak Seman. Walaupun mereka berjiran, hal-hal kesihatan wanita itu tidaklah dia tahu sangat. Lagipun Fazidatul, orangnya bukanlah suka bercerita tentang diri atau keluarganya kepada jiran-jiran. Dia agak pendiam, tapi baik hati.

“Selalu?” ulang Pak Seman.

“Kadang-kadang...” Ray terdiam sejenak seolah-olah berfikir. “Tapi membimbangkan,” sambungnya.

“Oh... Pak Seman ingatkan, kerap dia diserang sesak nafas macam pagi tadi,” sampuk Pak Seman. “Sebenarnya bila umur dah meningkat sikit, memang banyak penyakit yang datang. Tak boleh dielakkan lagi,” beritahunya. “Macam Pak Seman ni, semua penyakit dah datang singgah! Dengan darah tinggi dan kencing manisnya,” beritahu Pak Seman seolah-olah mengeluh. Ray senyum.

“Tapi Ray, janganlah pulak sebab emak kamu tak berapa sihat, kamu nak duduk terperap di kampung ni. Cubalah intai-intai peluang yang lain. Kamu kena fikirkan tentang diri kamu sendiri, Ray. Tentang masa depan kamu,” nasihat Pak Seman ikhlas. “Dulu pun, kamu dah tolak peluang untuk sambung belajar, kan?”

Ray menggangguk. Pertanyaan Pak Seman itu menggamit rasa sayunya. Terkenangkan musibah yang telah melanda hidupnya dan mereka sekeluarga.

“Waktu tu, ayah meninggal dunia, Pak Seman. Kami tak ada duit. Duit yang ayah simpan untuk pengajian saya, terpaksa digunakan untuk menguruskan jenazahnya. Lepas itu, emak pula sakit-sakit. Pasti emak tak mampu nak kerja kuat buat menyara keluarga. Mau tak mau, terpaksa saya lupakan segala cita-cita. Nak buat macam mana,” beritahu Ray sambil tersenyum pahit.

“Sebenarnya, Pak Seman dah anggap kamu tu, macam anak Pak Seman sendiri. Teringin tengok kamu berjaya. Dulu sewaktu bersekolah, kamu budak yang paling pandai di dalam kampung ni. Takkan kamu tak mahu gunakannya untuk kejayaan diri sendiri. Biar ada segulung ijazah. Kerja yang bagus. Dapat pula gaji besar. Boleh bina rumah untuk emak yang dah membesarkan kamu tu. Pakai kereta mewah...”

“Zaman sekarang ni, Ray... manusia akan dimuliakan kerana kekayaan zahir yang dia ada. Harta yang boleh dilihat orang. Dan berasa megah kerananya. Mereka lupa yang sebenarnya manusia yang lebih mulia itu ialah yang baik akhlaknya pada pandangan ALLAH...”

“Saya faham, Pak Seman. Kekurangan atau miskin harta menyebabkan diri kita akan dihina oleh orang yang tidak mengerti kemuliaan itu harus ditempatkan di mana,” balas Ray. Sekali lagi dia terkenangkan espisod peristiwa pahit semalam. Bukankah semalam dia dihina oleh seorang gadis kaya yang cantik? Gadis yang mungkin berasa dirinya mulia kerana kekayaannya.

“Pak Seman yakin, jika kamu jadi orang yang berjaya atau kaya, peribadi kamu tetap begini jugak. Kamu merendah diri dan sederhana dalam serba-serbi. Tapi, bab kerja begini!” puji Pak Seman sambil menaikkan ibu jarinya. “Pak Seman dah lama kenal kamu...”

“Terima kasih, Pak Seman. Alhamdulillah. Setiap kali solat, saya sentiasa doakan supaya Tuhan terus membimbing dan memandu hati saya, Pak Seman,” jawab Ray tenang. Sendawa Irul yang kuat menyebabkan mereka berdua menoleh kepada pemuda itu. Irul yang sedang menyental mulutnya dengan telapak tangan, baru selesai makan.

“Hai, Irul kenapa dah berhenti? Banyak pulut yang Pak Seman bawa tadi,” tegur Pak Seman.

“Saya dah tak larat, Pak Seman. Saya dah makan pulut dua pinggan. Durian lapan ulas. Serbat dua gelas! Rasa nak pecah perut saya ni,” jawab Irul sambil mencungap kekenyangan.

Pak Seman dan Ray ketawa melihat Irul yang merebahkan dirinya di atas tikar plastik macam ular sawa kenyang.‘Manalah badan tak lebar. Selepas makan terus tidur,’ rungut hati Pak Seman.

“Saya nak baliklah, Pak Seman.”

Irul yang berpura-pura tidur bingkas bangun. Tangannya ditadah kepada Pak Seman, menuntut upah.

“Oh ya... terlupa,” kata Pak Seman sambil menyeluk poket bajunya. Dia sudah faham sangat dengan telatah Irul. Kalau soal upah atau duit, tak pernah lupa.

“Esok atau lusa datang lagi. Tolong turunkan buah dukung kat hujung sana,” pesan Pak Seman.

“Terima kasih, Pak Seman. Saya balik dululah. Saya nak pergi ke pekan sekejap,” kata Irul lalu bangun.

“Saya pun nak balik, Pak Seman,” kata Ray terus bangun lalu mengeliat.

“Terima kasih, Ray. Ambil buah-buah tu bawa balik, ya...” suruh Pak Seman.

“Yalah, Pak Seman. Saya nak ambil buah pulasan sebiji dua untuk Dania. Dia suka,” jawab Ray. Pasti Dania akan senyum senang apabila dia balik dari sekolah nanti, dilihatnya di atas meja ada tersaji buah pulasan.

Pak Seman memasukkan buah-buah pulasan dan rambutan ke dalam beg plastik lalu menghulurkannnya kepada Ray. Beg plastik bertukar tangan.

“Ini untuk kamu,” kata Pak Seman lagi lalu menghulurkan RM50 kepada Ray.

“Eh! Eh! Banyak sangat ni, Pak Seman,” tolak Ray. Dia rasa segan pula hendak menerima pemberian daripada orang tua itu. Pekerjaan yang dibuat pun tidaklah sebanyak mana, tetapi upah yang diberi begitu banyak. Rasa tidak berbaloi dengan kudrat yang telah dikeluarkan.

“Minggu lepas kamu tolong tebas kat bawah pokok durian di belakang sana, Pak Seman belum bayar lagi, kan? Ambil!” desak Pak Seman apabila dilihatnya Ray keberatan.

“Terima kasih. Banyak ni...” Dalam berat hati, Ray terpaksa juga menerima. “Ada apa-apa lagi yang aya boleh tolong Pak Seman, sebelum saya balik?” tanya Ray sambil melihat jam tangannya. Hampir 12.00 tengah hari.

“Tak ada apa-apa lagi, Ray. Kamu nak balik masak untuk adik-adik yang akan balik dari sekolah, ya?” tanyanya.

Ray mengangguk. Apabila emaknya tidak sihat dan adik-adik pula bersekolah, dialah yang akan mengambil tanggungjawab di dapur. Dia tidak berasa segan untuk mengakui melakukan kerja-kerja itu. Bahkan berasa bangga. Hanya itu cara yang dapat dilakukan untuk membalas budi emaknya yang tidak akan terbalas.

“Fikir-fikirkan nasihat Pak Seman tadi, Ray,” pesan Pak Seman dengan suara kuat kerana langkah Ray sudah menjauh.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.