Home Novel Cinta Sapu Tangan Biru
Sapu Tangan Biru
3/6/2014 14:42:53
56,161
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

Apabila tapak binaan terdiri daripada tanah lembut dan keupayaan bebannya tidak mencukupi, tindakan hendaklah diambil untuk menguatkan keadaan tanah. Salah satu caranya ialah menggunakan cerucuk. Cerucuk terbahagi kepada dua kumpulan iaitu cerucuk tanggung hujung (end bearing pile) iaitu cerucuk ditahan oleh lapisan tanah keras atau batu. Cerucuk ini merupakan tiang-tiang yang terletak pada tapak yang kukuh untuk menanggung kesemua beban bangunan.

Ray menggaru-garu kepalanya cuba mengingati kembali segala penerangan yang diperolehnya sewaktu di tapak pembinaan tadi. Ilmu yang dapat secara percuma itu amat berharga. Ray tidak lupa untuk mencatat segalanya di dalam buku catatan yang selalu dibawa.

“Hei! Apa yang kau tulis? Surat untuk pacar?” tegur Jani. Buku catatan di tangan Ray dirampas. Laju bola matanya membaca. “Buat apa kau tulis ni semua?” duganya. Dia cuba membaca walaupun hanya memahaminya sedikit.

“Ini ilmu pertama yang saya peroleh daripada Abang Jani,” jawab Ray jujur. Lelaki itu tersenyum lebar. Terasa ilmunya dihargai. Dibuat catatan, untuk ingatan. Buku catatan Ray dikembalikan.

“Bagus!” pujinya.

Ray senyum. Buku catatan disimpannya kembali. Setelah itu, dia duduk menyandar ke dinding. Matanya mengitari seluruh dinding di hadapannya. Di sana sini bergantungan baju dan seluar penghuni rumah kongsi itu.

“Ilmu yang kau dapat daripada pengalaman lebih terkesan daripada kau dapat di dewan kuliah,” kata Jani lagi.

“Betul, bang,” setuju Ray. Kehidupan itu adalah sebuah universiti. Selalu dia mendengar orang membicarakan begitu. Universiti Kehidupan. Semua orang boleh menjadi siswa atau siswinya. Tanpa mengisi borang. Tak perlu membayar yuran. Tiada sempadan tahap kelulusan.

“Aduh!” keluh Ray perlahan sambil melunjurkan kakinya. Rasa sengal-sengal seluruh tubuhnya. Kalau dia berada di kampung, dia boleh menyuruh Iwan memicit-micit kakinya. Kadang-kadang Dania juga ada menawarkan diri. Hanya dia yang menolak.

“Penat?” soal Jani. Malam itu, Ray dipelawa untuk bermalam di rumah kongsi. Ada 20 orang buruh dari Indonesia menetap di situ.

“Mesti!” jawab Ray sepatah. Persoalan yang tidak sepatutnya diajukan. Namun, mungkin itu satu cara untuk Jani beramah mesra dengannya.

“Hari pertama memang meletihkan,” balas Jani. Sebatang rokok tersepit di bibirnya. “Lama-kelamaan nanti menjadi biasa,” beritahunya pula. Dia menghulurkan kotak rokok kepada Ray.

“Terima kasih, saya tak hisap rokok,” tolak Ray. Belum pernah sekali dia menyedut rokok. Tabiat merokok menjurus kepada pembaziran.

“Nanti kamu akan hisap juga,” balas Jani sambil tersengih.

Ray diam. Biarlah Jani berpegang pada pendapatnya sendiri. Tidak perlu berbalah dengannya. Asalkan dirinya sendiri berpegang teguh pada prinsip hidupnya. Jangan melakukan sesuatu yang tidak mendatangkan keuntungan.

“Buat apa kamu kerja di sini?” tanya Jani. Sedari tadi dia ingin menyoal begitu. Namun, bimbang pula Ray akan berkecil hati. Dari pengamatannya, pemuda itu masih muda. Sepatutnya dia menjadi mahasiswa, sibuk dengan kuliah. Tinggal di kampus. Bukannya bekerja menjadi buruh binaan.

“Entah,” jawab Ray sepatah sambil melumur seluruh betis dan kakinya dengan minyak panas yang diberi Jani. Rasa berangin menyebabkan dia rasa lega.

“Tiba-tiba saja saya mendapat ilham untuk menceburkan diri dalam industri ini. Apabila melihat bangunan-bangunan yang cantik dan berdiri megah,” sambung Ray tenang.Perkataan yang keluar daripada bibirnya diatur satu per satu.

“Kau tahu, Ray. Selama aku bekerja di sini, kau yang pertama,” beritahu Jani.

“Maksudnya?” tanya Ray.

“Kau pasti lihat di tapak pembinaan tadi. Semua buruhnya warga asing.“Dari Indonesia, dari Bangladesh,” cerita Jani lagi.“Selalu pemuda sepertimu enggan bekerja di sini,” sambungnya. Disebabkan keengganan rakyat tempatan bekerja menjadi buruh di tapak-tapak pembinaan, kerja-kerja itu dimonopoli oleh warga asing termasuk dia.

“Tak payah memilih kerja untuk mendapatkan rezeki yang halal.” Terungkap pula kata-kata itu daripada bibir Ray.“Lebih baik menjadi kuli atau buruh di tapak pembinaan, daripada membuang masa tidak menentu,” sambungnya lagi dengan suara perlahan.

“Betul sekali, Ray. Bertuahlah kamu kerana menjadi rakyat negara ini. Negaranya kaya dan makmur. Aman damai lagi. Hendak mencari rezeki pun mudah. Pokok pangkalnya di sini...” sokong Jani sambil menunjukkan ke dadanya di sebelah kiri dengan jari telunjuknya.

“Betul, bang!” setuju Ray. Kata-kata yang diungkapkan oleh pemuda Indonesia itu benar belaka. Memang bertuah menjadi rakyat Malaysia!

“Seperti kamu. Disebabkan kamu tidak memilih pekerjaan, hari pertama berada di sini, kamu sudah ada kerja, kan?” soal Jani.

Ray mengangguk.“Abang Jani...” Kata-kata Ray terhenti sejenak. Jani merenungnya dan menunggu anak muda itu meneruskan bicara.“Saya pernah membaca kata-kata bijak pandai,” ungkap Ray lagi. Matanya merenung ke wajah Jani yang memberi isyarat mata kepadanya. Mungkin meminta dia meneruskan bicara.

“Apabila kita inginkan kejayaan, janganlah kita hanya mengira anak tangga, tetapi kita kena memanjat anak tangga itu satu per satu,” sambung Ray sambil senyum penuh makna.“Saya tak kisah bekerja apa pun walaupun menjadi buruh. Mungkin dari situ, saya dapat belajar banyak perkara. Sumbangan buruhlah yang menyebabkan sesebuah negara itu membangun dan maju,” sambung Ray lagi. Semua bangunan berprestij di dunia dibina oleh buruh kasar.

“Betul! Jika ingin mendirikan bangunan sehingga ke kaki langit sekali pun, masih perlu tenaga buruh kasar. Walau sudah banyak teknologi tercipta dan kepakaran, tetapi masih perlu tenaga buruh juga,” sampuk Jani.

“Jadi, saya akan belajar dari bawah,” kata Ray bersungguh.“Peribahasa orang dahulu, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke ketepian.”

“Bagus!” puji Jani. Dia menepuk bahu Ray mesra.“Prinsip itulah yang harus kau pegang, Ray! Insya-allah, berjaya kamu nanti atau mungkin juga kaya!”

Bicara Jani diakhiri dengan tawa. Ray juga ketawa. Hampir lapan jam dia bekerja bersama lelaki itu tadi. Mereka mulai mesra.

“Sudah lewat malam ni. Ayuh, tidur!” gesa Jani. Dia merebahkan tubuhnya yang kurus, tetapi berotot di atas pangkin.“Tidur, Ray! Esok, awal pagi kita sudah mahu ke tapak bangunan itu. Lagian pula esok hari Khamis. Biasanya Datuk Wahab akan datang melawat,” ceritanya lagi.

“Datuk Wahab?” soal Ray. Pasti dia orang kaya! Tebak hatinya. Mungkin seorang yang berpengaruh di situ.

“Saya tak kenal dia,” beritahu Ray perlahan. Seolah bercakap untuk dirinya sendiri.

“Ray, memanglah kamu belum kenal dia,” balas Jani sambil menjeling. Senyuman terpahat di bibirnya yang menghitam. Jawapan Ray agak lucu pada pendengarannya.

“Dia pemilik Perkasa Holding. Bangunan yang sedang kita bina tu, projek anak syarikat milik dialah,” beritahunya.

Ray mengangguk tanda faham.

“Syarikat kontraktor yang melakukan kerja-kerja pembinaan bangunan tu, anak syarikatnya. Wafa Construction,” beritahu Jani.

Ray mengangguk lagi. Tidak kisah syarikat mana yang dia bekerja, asalkan dia tidak bekerja percuma. Gajinya dibayar. Walaupun tidak banyak, setidaknya lebih sikit dari gaji yang diterima daripada Abang Ba. Hanya lima belas ringgit sehari.

“Ayuh, tidur!” gesa Jani sekali lagi. “Siang-siang tadi banyak kudratmu sudah lebur, harus rehat...” sambungnya.

“Abang Jani tidurlah dulu,” suruh Ray. “Saya nak solat isyak.” Selagi tidak menunaikan kewajipannya kepada Maha Pencipta, dia tidak sanggup merebahkan tubuhnya.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.