Home Novel Cinta Anehnya Cinta
BAB 22

22

Ketukan di muka pintu sekali lagi mengganggu Afini. Cepat sahaja May bangkit untuk membuka pintu.

“Afini…”

Afini kenal suara itu. Lantas pandangannya diarahkan kepada lelaki yang sudah pun berdiri di hadapannya.

Busy?

Afini mengangguk.

“May, you boleh ambil alih kerja Puan Afini?” tanya Yus sambil memandang wajah May.

Afini pelik mengapa pembantunya pula yang diarahkan untuk menyiapkan kerjanya. “Tak apa, I boleh uruskan sendiri!”

“May, I nak you ambil alih kerja Puan Afini. Sekarang!” arah Yus tanpa memperdulikan kata-kata Afini.

Mendengarkan kata-kata itu, May segera menghampiri Afini. Setelah Afini menerangkan secara terperinci apa yang perlu dilakukan, May kembali semula ke tempatnya.

“Cepat ambilhandbag you!” arah Yus lagi sambil tangannya sudah memaut lengan Afini.

“Kita nak pergi mana?!” soal Afini geram.

Yus hanya diam.

Hampir 15 minit memandu Yus membelokkan keretanya ke kiri dan berhenti betul-betul di hadapan sebuah kedai yang menjual bahan-bahan untuk membuat kek.

“You tunggu dalam kereta. Tak payah turun.” Akhirnya Yus bersuara.

‘Apa mamat ni nak buat dekat sini?’ soal hati Afini berserta rasa pelik yang menghuni di segenap ruang jiwanya.

Selepas 20 minit, Afini melihat Yus bergegas keluar dari kedai di hadapannya itu.

Yus pantas meletakkan barang-barang yang dibelinya di tempat duduk belakang.

“Beli apa?” Afini tidak dapat menahan perasaan ingin tahu, lantas persoalan itu diungkapkan. Masih tiada jawapan diberikan oleh lelaki yang memandang tepat ke arah jalan. Yus memandu pada kelajuan yang agak membimbangkan Afini.

‘Dia ni nak ke mana? Bawak kereta macam hantu aje!’ gerutu hati Afini.

“Turun.” Sekali lagi arahan diberikan kepada Afini sebaik sahaja mereka sampai di Pasar Raya Tesco.

Afini hanya menuruti langkah Yus. Tapi saat ini hatinya sudah tidak mampu menahan bebanan persoalan yang kian bertambah akibat sikap pelik Yus. “You nak buat apa sebenarnya dekat sini?! I tanya you baik-baik. Kenapa you tak nak jawab?”

Yus mengeluh. “Kenapalah you ni banyak sangat tanya? Boleh tak untuk sekali ni aje, you diam. Jangan banyak soal.” Dia menarik jari jemari Afini dan digenggamnya erat.

Yus sering berkelakuan seperti ini. Kadangkala naluri wanita Afini turut bergetar akibat tingkah lelaki itu. Adakah Yus sedar getaran di hatinya? Tidakkah Yus juga sepertinya?

Yus pantas sahaja mengambil troli dan menolaknya. Aturan langkahnya tetap sahaja laju.

Afini yang membuntuti lelaki yang berkaki panjang itu sudah tidak mahu mengikut rentaknya. Lantaklah kalau Yus masih mahu bergerak cepat, biarkan sahaja. Tenaganya tidak sebanyak lelaki itu sementelah dia belum mengambil apa-apa makanan untuk menjadi santapan perutnya walaupun waktu makan tengah hari sudah lama berlalu.

Yus yang menyedari Afini di sisinya, cepat sahaja menoleh kebelakang. “Cepatlah sikit! Dah lambat ni!” marah Yus.

“Lambat nak pergi mana?” soal Afini bersama langkah yang masih lambat.

Melihat akan kedegilan Afini yang tidak mahu menurut kehendaknya, Yus meninggalkan troli di tempat dia berdiri. Kakinya diatur untuk mendapatkan Afini. Lengan isterinya itu ditarik sedikit kasar.

“You ni degilkan! I suruh you cepat… cepatlah! Jangan banyak soal!”

Terasa sakit lengan Afini ditarik begitu. Untuk tidak menjadikan keadaan kian teruk, Afini menuruti sahaja langkah lelaki yang ligat memasukkan beberapa barang basah ke dalam troli yang disorongnya. Hampir sejam juga mereka berada di dalam Tesco.

Setelah membuat pembayaran, troli disorong ke arah kereta Porsche 911 Carrera milik Yus dan segala isi perut troli itu dipindahkan ke dalam bonet kereta.

Sesampainya di kondominium, Yus mengarahkan Afini mengangkat dua bungkusan plastik yang dibeli di kedai kek manakala dia membawa barang-barang yang dibelinya dari Tesco.

Yus masuk ke biliknya dan Afini diarahkan untuk memunggah semua barang yang telah dibelinya. Hampir sepuluh minit, Yus kembali semula ke dapur. Namun pakaiannya sudah bertukar. Dia hanya mengenakan seluar panjang berwarna biru gelap dan dipadankan dengan sehelai t-shirt berwarna hitam. Itulah pakaian yang sering disarungnya sewaktu berada di rumah.

“Tak nak tukar baju?” Yus menanyakan soalan yang kedengaran pelik di telinga.

“Nak suruh I tukar baju? Nak buat apa?”

“Nak buat apa? Sayang, sekarang ni kita dekat dapur. You nampak apa yang ada depan mata you ni? Nampak tak?” tanya Yus sinis.

Afini terkaku seketika. Bukan kerana persoalan yang diutarakan kepadanya yang menyebabkan dia kaku, tetapi kerana perkataan ‘sayang’ yang diungkapkan itulah yang menjadi puncanya. Inilah pertama kali Yus memanggilnya sebegitu. Adakah Yus sedar di saat mulutnya menuturkan kata ‘sayang’ itu?

“Afini… I tanya you, you nampak tak apa yang ada depan mata you sekarang ni?”

Afini hanya mengangguk, sedangkan mulutnya masih tidak mampu untuk menuturkan kata-kata.

“Hari ni hari jadi mak you, kan? Jadi I ingat nak buat kek untuk mak you dan dah tentulah chef yang pakar macam I ni perlukan orang suruhan. Jadi youlah yang kena jadi hamba abdi I hari ni.”

‘Buat kek? Pandai ke mamat poyo ni buat kek? Aku pulak nak jadi hamba abdi dia! Kurang ajar!’ Namun, semua kata-kata itu hanya berani Afini hadirkan melalui kata hatinya sahaja.

“Dah, tunggu apa lagi? Cepatlah tukar baju. Lembaplah you ni,” selamba sahaja Yus menuturkan kata-kata itu. Tak ada perasaan langsung.

Afini bergegas ke bilik. Dia segera menyarung sehelai t-shirt dan seluar trek Adidas. Selepas itu, dia bergegas ke dapur. Dia memerhatikan Yus melakukan kerjanya. Perutnya mula berkeroncong. Dia mengerutkan mukanya kerana menahan rasa lapar.

“Kenapa muka macam tu?” tegur Yus apabila melihat Afini asyik mengerutkan mukanya.

“Macam mana?” balas Afini malas.

Yus masih memandang Afini. Dia tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Afini.

“I lapar,” jawab Afini, jujur.

“You belum makan lagi? Kenapa tak makan? You nikan, memang macam ni! Kalau you sakit…” Bebelan Yus tergantung di situ dan tangannya pantas mengambil sebuku roti dan sebotol jem lalu diletakkan di hadapan Afini.

“Makan!” marahnya persis seorang ayah memarahi anak kecil. Kemudiannya dia membancuhkan secawan Milo panas dan mengambil tempat di hadapan Afini.

Terasa kekok Afini saat dirinya diperhatikan.

“Kenapa tak makan tadi?” tanya Yus lembut.

“Tak sempat. Banyak kerja.”

“I bagi you kerja banyak sangat ke?”

Tak pernah lelaki ini begitu prihatin seperti sekarang. Kenapa Yus begitu mengambil berat tentang diri Afini?

“Kalau you rasa tak dapat nak uruskan semua kerja yang I berikan pada you, nanti I carikan seorang lagi pembantu.”

Tersenyum Afini mendengar kata-kata Yus.

“Kenapa senyum?” tanya Yus pelik.

“Tak… cuma kelakar. Yalah, you yang sepatutnya perlukan pembantu. Bukan I. I dah ada May. Cukup untuk membantu I. Lagipun May tu rajin. Kenapa you tak nak cari penggantisecretary you tu?” Sudah lama sebenarnya Afini ingin menanyakan soalan itu.

“Untuk apa? I boleh uruskan semuanya sendiri.”

“Kalau you boleh uruskan semua, kenapa setiap hari you balik lambat?” soal Afini sekadar ingin menguji kejujuran kenyataan yang akan keluar dari mulut Yus nanti. Tetapi yang peliknya cepat sahaja lelaki di hadapannya itu mengukirkan senyuman.

“Kenapa? You tak suka I balik lambat?”

Kian nakal senyuman yang dilemparkan kepada Afini. Ah! Kenapa harus Yus menggoda Afini dengan senyumannya itu? “Taklah!” bohong Afini.

Sedangkan setiap malam Afini mengharapkan Yus pulang seawal mungkin. Walaupun dia sedar ke mana menghilangnya lelaki itu, tetapi entah mengapa hatinya bagaikan tidak boleh menerima yang Yus sedang bermadu asmara dengan ‘madunya’ itu.

“Kata nak buat kek?” Sengaja Afini menuturkan soalan itu tatkala merasakan dirinya tidak betah diperhatikan lagi.

Bagaikan baru tersedar, cepat sahaja Yus mendapatkan beberapa barang yang akan digunakan untuk membuat kek.

Setelah menyudahkan makan, Afini menghampiri Yus dengan niat ingin membantu apa yang patut.

Yus memasukkan beberapa bahan ke dalam pemutar telur. Antara bahan yang dimasukkan ke dalamnya adalah tepung, sembilan biji telur ayam, air danovalette. Setelah semua adunan itu dimasukkan, Yus segera menekan suis bagi membolehkan alat itu menjalankan tugasnya. Setelah kembang kesemua bahan yang disatukan, barulah dia memasukkan minyak jagung.

“Dah dapat tangkap?”

“Tangkap?” tanya Afini. Dia tidak memahami apa yang Yus maksudkan.

“Maksud I, you dah tahu dah cara-cara nak buat kek?”

“Siapa kata I tak pandai?” Afini cuba meninggikan dirinya, tidak mahu dipandang rendah walaupun hakikatnya memang dia tidak tahu langsung bagaimana cara membuat kek hari jadi. Bukan setakat kek hari jadi, kek biasa pun dia tidak tahu macam mana hendak menyediakannya.

Yus hanya tersenyum melihat telatah isterinya itu. Dia kemudiannya memasukkan adunan tadi ke dalam loyang yang telah dialaskan dengan kertas minyak.

“Nah, pergi masukkan dalam oven.” Yus menghulurkan loyang kepada Afini

Afini menyambut huluran itu. Sesampainya di hadapan oven, dia menggarukan kepala yang tidak terasa gatal. Dia memandang ke arah lelaki yang sudah tersenyum penuh makna kepadanya.

Lantas Yus menghampiri Afini. “Kenapa? Tak tahu nakset suhu?”

Afini bagaikan terpukul dengan kata-kata itu.

“Kata pandai buat kek, takkan nakset suhu pun tak tahu?” perli Yus sambil tersenyum.

‘Tak apa… tak apa. Kali ni kau perli aku! Tunggulah giliran kau nanti!’ geram benar hati Afini melihat Yus tertawa mengenakan dirinya.

“Lain kali kalau tak tahu tu, jangan nak tunjuk pandai. Kalau nak buat kek kenasetkan masa selama 45 minit dan suhu letakkan pada 150 darjah celsius.”

Tangan Yus sudah pun memutarkan knob yang ada pada oven untuk menetapkan tempoh masa dan suhu.

Terasa panas wajah Afini akibat rasa malu yang kian hadir.

“Mak you suka makan kari ayamkan?” tanya Yus.

“Macam mana you tahu?”

“Dulukan you pernah beritahu I,” mendatar nada Yus.

Yus masih mengingati apa yang Afini katakan padanya? Adakah Yus juga masih mengingati akan hidangan kesukaannya?

“Eh… You nak buat apa ni?” Di saat Afini ingin membantu Yus menyediakan bahan-bahan masakan, Yus bertanyakan soalan itu.

“Nak tolong youlah.”

“Tak payah. Lebih baik you duduk aje. I bukan apa, tak suka orang lembap macam you ni tolong I. Nanti bertambah lambat,” perli Yus. Walaupun perlian yang dilontarkan, namun senyuman segera terukir saat terlihat wajah Afini yang terus mencuka. Senang hatinya dapat menyakat isterinya itu.

‘Amboi... sesedap mulut dia aje kata aku lembap! Kurang ajar! Aku tampar sekali muka tu, baru tahu!’ marah benar hati Afini. Kadangkala dia bingung dengan sikap Yus. Sebentar tadi Yus boleh menjadi lelaki yang berbudi bahasa tatkala berbicara dengannya, namun sesaat kemudian ‘mulut longkang’ milik Yus lancar sahaja menuturkan kata-kata yang amat menyakitkan telinga Afini.

Dari meja makan, Afini memerhatikan Yus membuat kerja. Ternyata lelaki itu seorang yang kemas dan begitu mementingkan aspek kebersihan sewaktu melakukan tugasan di dapur. Pembersih! Ya, itulah salah satu daya tarikan Yus selain wajahnya yang kacak dan penampilannya yang menarik. Tapi sayang… kekacakan dan daya tarikan Yus itu bukanlah untuk kaum Hawa. “Yus…”

Cepat sahaja Yus memalingkan wajahnya.

“Hmm… I nak tanya sikit boleh?” tanya Afini teragak-agak.

“Tanyalah...”

“Hmm… semenjak bila… you sedar yang you ni ‘lain’ daripada yang lain?” perlahan Afini menuturkan persoalan.

Yus menghentikan gerakan tangannya. Namun, sesaat kemudian dia menggerakkan semula tanggannya itu untuk menyebatikan rasa kari ayam. Dia mengambil sudu dan mencedok sedikit kuah kari lalu diletakkan di telapak tangannya sebelum lidahnya menjadi juri rasa. Setelah mendapatkan rasa yang diingini, dia pantas mematikan gas.

Yus bergerak pula ke arah oven untuk mengambil kek yang sudah siap dibakar. Diletakkan kek itu di hadapan Afini. Matanya beralih pula ke arah bahan-bahan untuk menghias kek. Wajah Yus kelihatan keruh.

Afini yakin Yus tidak menyenangi persoalan yang diutarakan kepada lelaki itu sebentar tadi. “Kalau you tak nak jawab, tak apa.”

Yus merenung Afini. Riak wajahnya tidak kelihatan marah. Dia mengeluh berat. “Betul you nak tahu?”

Afini mengangguk.

Yus mengambil masa yang agak lama sebelum menyambung bicara. “Semenjak… perempuan tak guna tu curang dengan papa I! Semenjak dia kecewakan papa I yang waktu tu benar-benar perlukan kehadiran seorang isteri! Waktu tu I baru berusia tujuh tahun. You bayangkan dalam usia sementah itu, I ditinggalkan oleh perempuan yang sepatutnya menyayangi dan mengasihi I. Tapi tak… dia sanggup biarkan anak dia ni...” Yus tidak dapat menghabiskan bicaranya. Terlihat genangan air mata.

‘Ya Allah... dia menangis?’ Afini berasa kesal kerana bertanyakan soalan itu.

Afini tidak tahu untuk berbuat apa. Sedangkan lelaki di hadapannya ini masih terlihat sedaya upaya mengumpul kekuatan untuk meluahkan derita di hati.

“Waktu tu… I selalu cemburu bila tengok rakan-rakan sebaya I dicium dan dipeluk oleh mama mereka. Tapi I tak rasa semua tu. Dunia I cuma ada papa. Sebab tu I dah nekad untuk tak percayakan mana-mana perempuan! Semua perempuan sama! Jahanam!”

Terlihat kemarakan api di mata Yus saat dia mengakhiri kata-katanya. Afini?

Afini berasa simpati dengan Yus. Dia yakin, mama Yuslah punca mengapa lelaki itu terjebak dengan dunia gay.

Previous: BAB 21
Next: BAB 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.