Home Novel Cinta The Story of Us
The Story of Us
Hasz Ninie
26/3/2019 22:04:26
13,315
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

LAMBAT-LAMBAT aku membuka kelopak mata yang masih terasa kelatnya. Aku amati ruang sekeliling. Bau busuk menusuk hidung hampir membuatkan aku mahu memuntahkan isi perut. Loya. Mual. Isi perut melonjak-lonjak ingin keluar.

Di manakah aku berada sekarang ini? Seingat aku, sewaktu aku sedang menunggu Grab, aku ditarik masuk ke dalam kereta yang tiba-tiba saja berhenti di depan aku. Dan setelah itu, aku sudah tidak sedar apa yang berlaku. Tup-tup aku sudah berada di sini.

Aku mahu menggerakkan tangan namun baru aku sedar, tangan aku terikat. Kakiku juga. Pergerakanku terbatas.

Lewat birai mataku, aku terlihat seorang wanita seksi sedang mendesah halus di sebuah kerusi. Dia bukan berseorangan kerana mata aku dapat menangkap jelas dua tubuh manusia di kerusi itu. Kedudukan mereka yang agak mencurigakan menyebabkan mata aku terjojol besar. Ya Allah, apa yang aku saksikan tika ini? Terus aku melarikan anak mataku, tidak sanggup menonton aksi sejijik itu. Suara desahan dua manusia bersatu menyebabkan telingaku mahu bernanah. Mahu saja aku mencari sesuatu untuk menyumbat ke dalam telinga agar suara-suara itu tidak lagi menerjah gegendang telingaku. Tidak malukah mereka berkelakuan tidak senonoh di hadapan orang lain? Bukan manusia saja yang menjadi penonton malah mereka memperlihatkan aksi itu di depan Allah! Astaghfirullah. 

Sungguh menjijikkan!

“Dia dah sedar ke?” 

Terkejut dengan suara yang berdengung di telingaku itu, aku pejamkan mata rapat-rapat. Berpura-pura kembali tidur. Namun, telinga aku masih aktif. Masih boleh mendengar dengan jelas suara-suara yang sedang bercakap. Mereka bercakap tentang aku.

“Belum, bos.” Satu suara yang lain menyahut. Desahan tidak lagi kedengaran. Kali ini, suara manusia pula bergabung.

“Rachel, kau memang perempuan sundal. Dah berapa ramai jantan yang ratah tubuh kau tu?” Suara itu bagaikan mengejek. Perempuan yang dipanggil Rachel hanya meletuskan tawa kecil. Baginya, perbuatan yang dilakukan itu biasa saja. Asalkan kedua-dua pihak puas hati. 

“Sayang, ini Rachellah. Semua orang tahu I ada body yang hot.” Rachel memuji diri sendiri. Mendabik dada. Aku pula yang mahu termuntah mendengarnya. 

“Bos, rileks. Rachel bukan hak bos seorang aje.” Pasangannya bersuara, membela Rachel.

“Ikut suka hati kau oranglah. Kau orang nak buat apa pun, ada aku kesah? Kalau setakat Rachel, aku pun tak hadap. Lagi ramai perempuan yang lebih seksi daripada dia kat luar sana. Apa yang penting sekarang ni, aku nak pastikan sesuatu dengan kau.” Keras sekali nada suara lelaki itu. Soal Rachel tidak menjadi keutamaan. Hairan juga aku dengan lelaki itu. Teman wanitanya dikongsi dengan lelaki lain. Kasihan Rachel. Dia menjadi mangsa kepada lelaki-lelaki begini. Maruah perempuannya semurah itu.

“Apa dia?” soal lelaki yang menjadi pasangan Rachel sebentar tadi. 

“Betul ke kau tangkap perempuan yang betul ni?”

“Bos nak tahu? Apa kata bos simbah aje air kat muka dia? Bila dah buka mata, bos boleh tanya apa-apa aje pasal dia. Tapi satu aje aku nak bagitahu bos. Dia memang anak kepada polis bodoh tu!” 

Berdesing telingaku apabila arwah ayah digelar ‘bodoh’. Mahu saja aku menempelak mereka yang menghina arwah ayah namun aku tahankan diri. Tiada gunanya juga aku menggusari mereka. 

Lelaki yang dipanggil ‘bos’ itu merengus keras. Tanpa amaran, air disimbah ke wajahku. Aku terbatuk kecil apabila air menusuk masuk ke hidung. Perit bahagian hidungku. Terus aku membuka mata. Beberapa wajah garang ada di hadapanku. Mereka sedang tersenyum menyeringai menampakkan gigi masing-masing.

“Buka mata pun. Berapa lama kau nak tidur, perempuan?” Seorang lelaki berkepala botak menayangkan sengihan kepadaku. Tangannya memutarkan pistol di tangan seolah-olah itu mainan budak-budak. Wajahnya tampak garang. Tatu yang menghiasi bahagian atas kening lelaki itu menampakkan lagi kebengisannya. Sesiapa sahaja yang ternampak dia akan melarikan diri.

Perlahan-lahan, dia maju ke arahku. Kakinya berdiri tegak di hadapanku seperti dialah raja dan akulah hamba. Bibirnya menyenget. Aku memandang dia tanpa gentar dan mungkin kerana keberanianku itu, dia hampir saja melayangkan sepakan ke tubuhku sebelum satu suara menegahnya.

“Jangan rosakkan barang mainan aku.” Suara itu kedengaran tegas berbaur marah.

Lelaki berkepala botak itu menjarakkan dirinya daripada aku. Kedua-dua tangan diangkat ke udara tanda mengaku kalah.

“Sorry, bos. Aku tak dapat kawal diri aku. Wajahnya yang cantik tu membuatkan aku rasa aku nak toreh aje.” 

Aku menjegilkan mata. Sesuka hati dia saja hendak berbuat begitu kepadaku? Siapa aku pada dia? Hamba? Patung yang boleh ditoreh-toreh?

“Kau duduk diam boleh tak, Joel?!” Lelaki berbadan sasa dan ketinggiannya yang melebihi lelaki bernama Joel itu tiba-tiba saja muncul di hadapanku dan menolak Joel lebih jauh daripadaku. Joel merengus halus sebelum bergerak ke arah Rachel. Pinggang ramping perempuan itu dipaut mesra. Rachel tidak malu untuk mengucup bibir Joel di depanku, sengaja hendak menunjuk-nunjuk tetapi aku balas dengan cebikan. Ingat aku hadap ke lelaki macam itu? 

“Ayesha Afiyah.”

Aku mengangkat wajah, merenung lelaki berbadan sasa itu. Sama seperti Joel, dia juga memiliki tatu di bahagian kening. Adakah tatu yang dicacah itu melambangkan kumpulan mereka? Ah, persetankan semua itu. Semuanya tidak penting. Apa yang penting sekarang ini, aku harus mencari jalan untuk melepaskan diri. Ditangkap dan dibawa ke sini bukanlah kehendak aku!

“Ayesha Afiyah.” Sekali lagi bibir tebal itu menyebut namaku. Aku menggigit bibir. 

“Dari mana kau tahu nama aku?” Aku memberanikan diri untuk bertanya. Serta-merta, bibirnya terkulum senyuman. Senyuman yang tidak mendamaikan jiwaku. Senyuman yang penuh dengan sinisnya. Pastinya dia sedang mentertawakan aku di dalam hatinya kerana berjaya memerangkapku.

“Huh! Siapa tak kenal anak kepada seorang anggota polis yang hebat bernama Inspektor Zahid?”

Inspektor Zahid? Nama yang disebut itu ialah arwah ayahku… Apa yang dia mahukan daripada arwah ayah?

“Jadi, apa kau nak daripada aku?” Aku membuang jauh rasa gentarku dengan meluncurkan soalan.

Lelaki itu membongkokkan badan kemudian mencangkung di hadapanku. Dagu aku direngkuh kasar, dipaksa menentang pandangannya. Dua matanya itu memanah tepat ke dalam anak mataku, cukup mengecutkan organ-organ dalamanku seperti belon yang pecah. Lelaki ini bukan lelaki biasa. Lelaki ini ialah lelaki bahaya. Jika aku memprovok, dia hanya akan memastikan kesengsaraan ke atas tubuhku. Lantas, apakah aku harus menyerah saja? Itu bukan caraku. Aku perlu mencari kelemahan dia. 

“Bos, buat apa bos nak bersoal siasat dengan perempuan tu? Buang masa! Kalau aku jadi bos, aku bagi dia mampus aje! Senang kerja kita! Tak perlulah kita simpan dia kat sini. Bos pun puas hati.” Joel menyampuk. 

Sepantas kilat, lelaki yang mencangkung di hadapanku ini bangkit dan menapak laju ke arah Joel. Lengan Joel ditarik dengan kasar menyebabkan Rachel menjerit ketakutan apabila pegangan terlepas dari pinggangnya. Tubuh Joel ditolak ke tengah-tengah dan berguling-guling ke arahku. Aku berusaha merapatkan diriku dengan dinding untuk mengelak daripada lelaki itu. Tidak semena-mena, tubuhnya mengeras. Kasut hitam berkilat sudah mendarat di permukaan dadanya. Terlepas erangan dari bibir Joel. Dia tidak ubah seperti alas kaki pada saat ini.

“Apa aku cakap tadi? Aku suruh kau diam, kan? Kenapa mulut kau tu tak boleh senyap?!” Lelaki itu benar-benar marah. Dari pandangan sipi, ekor mataku dapat menangkap air mata di pipi Joel. Lelaki yang tersenyum senget kepadaku tadi sedang mengalirkan air mata. Ke mana perginya keangkuhannya tadi? Rupa-rupanya dia juga tahu menangis. Tahu takut. 

“Maafkan aku, bos. Aku terlepas cakap…” Joel cuba menagih kemaafan daripada lelaki itu. 

“Maaf aje yang kau tahu!” 

Kasut itu sudah tidak menekan dada Joel. Joel terbatuk. 

“Punish him.”

Dengan arahan pendek itu sahaja, dua orang lelaki yang berdiri tegak di pintu datang ke arah Joel. Joel sudah menjerit ketakutan. Dia mengengsot untuk melepaskan diri namun usahanya gagal. Secepat kilat, dua lelaki yang lain memerangkap dia. Dan aku yang menyaksikan bagaimana dia dibelasah di depanku juga sudah merasakan nafasku mahu terhenti. Mereka kelihatan seronok membelasah Joel sehingga lembik dan pastinya tiada belas kasihan yang terbit di hati mereka. Lelaki yang memberi arahan hanya memandang sahaja, tiada niat untuk menghentikannya. Dia membiarkan sahaja adegan itu berlaku di ruang mataku dan mengatur langkahnya ke arahku. 

“I’m sorry, beautiful. Joel is such a bastard. Dia mungkin dah bosan untuk hidup barangkali.” 

Joel dikatakan bangsat? Lalu, dia pula apa? Penyangak? Bukankah Joel itu orangnya juga? Kalaulah Joel digelar bangsat, dia juga tiada bezanya. Tiada garisan yang membezakan dia dengan Joel itu. 

“Kau nak apa?” Mulutku ringan sahaja bertanya. Kalau aku diam, tidak bermakna dia tidak akan mengapa-apakan aku. Kesudahannya sama saja. Dia tidak akan melepaskan aku sewenang-wenangnya.

“Aku tak perlukan apa-apa daripada kau. Aku cuma nak sesuatu daripada kau. Atau dalam kata lainnya, kau boleh melakukan sesuatu untuk aku.”

Tak perlukan apa-apa tetapi mahukan sesuatu daripada aku. Sama saja tu. 

“Dan kau nak apa?”

“Aku nak pampasan.”

“Pampasan?” Dahi aku terkerut seribu.

“Ayah kau pernah tembak mati salah seorang daripada orang-orang aku.”

“Sebab kau seorang penjenayah,” selarku tanpa rasa takut. Sejujurnya, pemberitahuan itu tidak membawa kejutan apa-apa terhadapku. Aku sudah tahu mengenai perkara itu. Arwah ayah ialah seorang anggota polis dan tugasnya adalah untuk menangkap orang jahat. Di manakah salah arwah ayah? Dia mungkin tidak sengaja tertembak orang yang dimaksudkan oleh lelaki ini. Aku tidak menjangka hari ini aku jatuh ke tangan orang yang mahu membalas dendam terhadap arwah ayah kerana orang yang sudah tiada itu. 

“Oh… Mungkin kau betul. Aku ni penjahat. Penjenayah. Tapi ayah kau tak ada hak nak rampas nyawa orang.”

“Ayah aku buat kerana tugas dia.” Aku membela arwah ayahku. 

“Tapi lelaki yang dia tembak itu ialah abang aku! Abang aku!” 

Semerta, tangannya naik dan menunjal kepalaku dengan kuat menyebabkan tudung aku hampir tertanggal. Tidak cukup dengan itu, dia menarik pisau dari poket seluarnya dan mata pisau diacukan tepat ke arah wajahku. Walaupun begitu, aku masih berlagak berani. Perasaan gentar aku usir jauh-jauh. Aku bukanlah perempuan yang lemah. Yang takut apabila digertak. Sudah berbelas-belas tahun lamanya aku hidup dalam tohmahan orang mengajar aku untuk menjadi seorang yang perempuan yang kuat. Jika dia fikir aku lemah, dia tersilap membuat bidikan.

“Jadi, kau mahu bunuh aku?” Aku bulatkan mata. Mata pisau hanya seinci sahaja daripada mataku. 

“Kau memang berani. Sangat berani.” 

Aku tahu kata-kata yang ditujukan kepadaku itu hanya sindiran semata-mata. Memuji keberanianku hanya untuk melemahkan semangatku? Aku tidak akan terpedaya dengan permainan psikologinya itu. 

“Kau ingat aku takut pada manusia yang tak ada kuasa?” 

“Kau tak takut? Dan apa yang boleh buat kau takut?” Pelupuk matanya menjadi kecil, mahu menguji aku.

“Allah.” Aku menjawab pendek. Sekonyong-konyong, dia meledakkan tawa yang kuat. Bergema ruang ini dengan tawanya itu. Bagi dia, aku sedang membuat lawak. Sedang menghiburkan dia barangkali. 

“Kau ni memang menarik. Kalau perempuan lain, dah lama dia orang menangis. Tapi kau tak tunjukkan sebarang ketakutan.”

“Kau puji aku?” Aku perli dia. Sinis.

Sindiranku dibalas dengan senyuman. 

“Kau hanya buang masa kau. Kalau kau nak bunuh aku, go ahead.” Aku mencabar dia. Dadaku agak sesak dengan permainannya. Dia mahukan nyawa, aku sudah berada di hadapannya. Dia hanya perlu membenamkan pisau ke perutku. Dalam sekelip mata saja dendamnya terbalas. Bukankah itu yang dimahukannya? Atau dia sengaja mahu mempermainkan aku? Bermain dengan nyawa?

“Aku tak nak kau mati dengan mudah. Aku nak seksa kau sampailah roh kau terlepas dari jasad.” Pisau di tangannya digerakkan ke bahagian lenganku sehinggalah mata pisau itu menyentuh leher yang terlindung di sebalik tudung.

Aku tersenyum. “Seksa aku boleh puaskan hati kau?”

Dia tidak menjawab sebaliknya menjauhkan dirinya dariku. Mungkin dia bengang denganku yang hanya tahu menjawab. 

“Awasi dia. Jangan bagi dia terlepas.”

“Baik, bos.” Salah seorang menyahut. 

Aku melepaskan keluhan. Saat itu juga mata aku terpandangkan tubuh Joel yang lunyai setelah dikerjakan oleh dua orang rakannya sendiri. Wajahnya tersimbah darah merah yang pekat. Dua matanya terpersil. Dadanya turun naik. Rachel pula setia berada di sisi Joel, memujuk lelaki itu agar menahan sakit. Dia menangis teresak-esak. 

“Kau tunggu apa lagi? Dia sedang menahan sakit. Hantarlah dia ke hospital. Kau menangis macam tu pun tak ada gunanya.” Aku bersuara, cukup menyentakkan Rachel. Pandangannya tertala ke arahku. 

“Kau… Kau tak sepatutnya berasa kasihan…”

“Siapa cakap aku kesiankan kekasih kau?” cantasku. Perlukah aku mengasihani orang yang menculikku?

Rachel terkesima seketika, tidak menduga aku berani bersuara di hadapannya. 

“Aku tahu apa yang aku buat.” 

“Dan membiarkan dia mati di depan mata kau sendiri?”

“Shut your mouth up. Kau tak tahu apa-apa.” Dia memarahiku pula. Aku mencemik sebagai balasan. Terserahlah apa yang dia mahu fikirkan. Aku cuma memberi saranan sahaja. Sebagai manusia, ada belasnya di hatiku walaupun aku fikir lelaki itu memang layak pun dilayan sebegitu. 

Malas melayan dia, aku pejamkan mata. Wajah arwah ayah melintasi ruang mindaku. Ayah… Inspektor Zahid, heroku. Arwah ibu terlebih dahulu dijemput Ilahi sewaktu umur aku mencecah 4 tahun. Setelah itu, aku hidup bersama ayah. Makan dan pakaiku diuruskan olehnya. Sekali pun dia tidak pernah merungut. Sesibuk mana pun dia, dia akan memastikan kebajikan aku terjaga. Namun, masa aku bersama dia juga tidak lama. Setelah genap umur aku enam tahun, dia pula pergi meninggalkan aku. Pergi menghadap Sang Pencipta. 


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie