Home Novel Cinta The Story of Us
The Story of Us
Hasz Ninie
26/3/2019 22:04:26
13,346
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

LAMUNAN aku lebur begitu sahaja saat menerima tepukan di bahu. Mata yang asyik memandang di luar kedai emas ini dilarikan fokusnya. Aku panggung kepala. Rakan sekerjaku, Zana sudah berdiri tegak di sebelahku. Senyuman tawar aku hulurkan kepadanya. 

“Nah. Aku belikan air cappuccino untuk kau.” Dia menolak minuman cappuccino ke arahku. 

“Terima kasih, Zana. Nak kena bayar ke ni?” Aku tidak pula memesan dia membelikan minuman ini tadi. Tahu-tahu saja dia yang aku sedang menahan keinginan untuk membasahkan tekakku dengan minuman kegemaranku ini.

Zana menampar lenganku. Ala-ala manja gitu.

“Tak payah bayarlah. Macamlah tak biasa. Selalunya kau yang belanja aku, kan? Kali ni, biar aku pula yang belanja kau. Berapa sangatlah air cappuccino ni…” Banyak pula jawapannya padahal aku tanya satu soalan saja. Mulut murai sangatlah kawan aku ini. Pada hari pertama aku bekerja di kedai emas ini, aku fikir dia jenis yang pendiam. Sekali dia membuka mulut, satu kedai boleh dengar suara dia. Lebih-lebih lagi bila dia bergosip dengan yang lain. Mak Cik Bawanglah sangat…

“Terima kasih, Zana. Kau memang kawan yang baik.” Sempat lagi tangan aku mencubit pipinya. Dia tidak marah sebaliknya senyum menampakkan barisan giginya yang putih itu. Macam iklan Colgatelah pula.

“Memanglah aku kawan yang baik. Kalau jahat, dah lama kau berhenti kerja sebab hari-hari kena buli dengan aku.” Dia ketawa mengekek.

Aku baru puji sedikit, hidung dia sudah kembang. Lain kali memang tak boleh puji si Zana ini. Angkat bakul betullah…

“Kau menungkan apa ni? Sejak dari tadi lagi aku perasan kau termenung macam ni. Ada masalah ke, kawan?” Tawa Zana reda. Dia menarik kerusi lalu menjatuhkan punggung. 

“Tak ada apa-apalah.” Aku berdalih, menyembunyikan perkara sebenar. Kalau aku bercerita pun, dia bukannya boleh tolong selesaikan masalah aku. Entah-entah dia memberikan respon biasa saja. Macamlah aku tidak kenal dia. Bertahun-tahun aku bekerja di sini, aku sudah boleh hafal perangainya.

“Yalah tu tak ada apa-apa. Selalunya kalau tak ada apa-apa tu maksudnya memang ada apa-apalah. Sebelum ni aku tak pernah tengok kau termenung macam ni. Selalu ceria aje. Kalau dah masam mencuka, aku yakin kau memang ada masalah.” Zana memberi komen terhadap tingkah laku aku pada hari ini. Benarlah tekaannya itu. Minda aku sedang berkecamuk sekarang ini. Semuanya berpunca daripada Ghaz Lutfi yang tiba-tiba hadir dalam hidupku.

“Mana ada aku masam mencuka. Kau tak nampak ke aku tengah senyum ni?” Aku menyengih.

Zana menolak perlahan bahuku. 

“Yalah. Kau tengah senyum. Tapi kalau kau ada masalah, kau boleh aje bagitahu aku. Mana yang boleh aku tolong, aku tolonglah. Kalau tak boleh pun, aku akan usahakan. Cakaplah…” Zana benar-benar memahami aku. Dia begitu cepat meneka.

“Zana, aku nak minta pendapat kau boleh tak?”

Zana pandang aku. “Pendapat pasal apa? Kan aku dah cakap kau memang tengah fikirkan sesuatu sekarang ni. Masih nak menafikan.” Dia menggoyangkan jari telunjuknya di depanku. 

“Boleh tak kau bagi pendapat kat aku ni?” Aku tolak tangannya menjauhi wajahku. Kang tercucuk jarinya ke dalam anak mataku, naya sungguh.

“Cakaplah.”

Aku menggaru leher. Tidak tahu hendak mulakan dari mana.

“Cakaplah Cik Ayesha oi… Aku tengah dengar ni…” Zana menggesa. Kerutan di dahinya sudah tergaris. Tidak sabar menanti apa yang akan aku katakan.

“Kau… Macam mana perasaan kau kalau kau dipaksa berkahwin dengan orang yang kau tak kenal?” 

Zana diam sejenak sebelum menuturkan soalan, “Kau maksudkan diri kau ke?”

“Kau jawab dulu soalan aku.”

Dia memuncungkan bibir. Mata melilau ke kiri dan ke kanan.

“Zana…”

“Kau nak kahwin, eh? Dengan siapa? Anak raja mana? Kau tak bagitahu aku pun. Tup-tup nak kahwin…” Zana menyoal aku bertalu-talu tetapi nada suaranya diperlahankan. 

“Eh, kau ni… Soalan aku pun kau tak jawab lagi.” Aku merungut. 

“Kau jawablah dulu soalan aku.”

“Aku yang tanya kau dulu.” Aku berbalah kata dengan dia.

“Okey. Aku jawab. Kau dengar sini. Tak kenal ke, kau kenal ke orang tu, kalau orangnya baik tak ada masalah. Kau kena pandai carilah apa yang ada dalam diri dia. Bukannya kau boleh tahu sekilas pandang, kan?” Zana tayang muka seposennya.

Aku sudah agak. Jawapan dia memang tidak membantu langsung. 

“Tapi kau tak kenal orang tu. Kau tak tahu dia baik ke tak. Dia muncul kat depan kau dengan tiba-tiba. Macam mana kau nak nilai dia? Kalau dia orang jahat, macam mana?” 

Zana tarik minuman cappuccino ke arahnya. “Sekarang kau tengok air ni. Tengok betul-betul.”

Aku bulatkan mata, pandang minuman itu. Tiada apa yang istimewanya selain rasanya yang sedap. 

“Apa yang kau nampak?”

“Nampak air ajelah.” Aku menjawab selamba. 

“Ya. Kau nampak air. Masalahnya kau tahu tak air ni sedap ke tak?” 

Semakin dia cuba menerangkan kepada aku, semakin aku tidak faham apa yang dia cuba sampaikan. Di manakah perkaitan antara soalan yang aku tanyakan dengan minuman cappuccino itu?

“Sedap.” Ringkas jawapan aku. 

“Sedap sebab kau rasa. Kau cuba air ni. Kalau kau tak rasa, kau takkan tahu air ni sedap ke tak, kan?” 

“Jadi?” 

Zana usap perlahan kepala aku. Lagaknya seperti seorang kakak yang sedang memujuk adik walhal dia muda setahun daripada aku. Dia juga tidak menyambung pelajaran sepertiku. Habis saja peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia terus bekerja di sini. Pengalaman dia lebih banyak jika hendak dibandingkan dengan aku.

“Ayesha, kau buat-buat tak faham atau kau memang tak faham ni?”

“Tak fahamlah!” Sebik muka aku.

Zana tayang wajah geram. Aku tersengih. 

“Aku nak cakap kat sini situasi yang kau hadapi tu samalah dengan air ni. Kau cuba air ni nak tahu sedap ke tak. Kau dah dapat jawapannya. Sedap, kan? Pasal lelaki yang kau tak kenal tu, memang sahlah kau tak tahu dia baik ke tak kalau kau tak cuba nak kenal dengan dia. Siapa yang boleh meneka setelah pandang sekali? Sebab itulah aku cakap kau kena kenal dia dulu. Kenal hati budi dia macam mana. Kalau dia layan kau dengan baik, maknanya baiklah orangnya.”

Aku melongong. Pandai pula kawan aku ini buat analogi dengan menggunakan minuman cappuccino sebagai contoh. Sejak dari tadi dia menerangkan, aku hanya ternganga sahaja. Tidak faham apa yang cuba disampaikannya. Nah, sekarang aku sudah mengerti.

“Sekarang ni kau dah faham, kan?”

Aku beria-ia mengangguk.

“Jadi, apa yang kau perlu buat?” 

“Cuba kenal orang tu.”

“Jadi, masalah kau dah selesai…” Zana mengangkat kedua-dua tangan ke udara.

“Kau fikir ini masalah aku ke?”

Zana mencucuk pipiku. “Kalau kau yang tanya, masalah siapa lagi kalau bukan kau? Jadi, boleh tak kau bagitahu aku siapa lelaki tu?”

Aku mengerling ke kiri dan ke kanan untuk memastikan tiada sesiapa yang cuba memasang telinga. Perkara yang belum pasti tidak seharusnya dihebahkan. Ghaz Lutfi saja yang bersungguh-sungguh hendak mengahwini aku. Bukan aku yang terhegeh-hegeh. Kalau bukan kerana surat arwah ayah, jangan haraplah dia datang mencari aku.

“Ada seorang mamat ni nak kahwin dengan aku. Aku kenal dia pun tak. Tiba-tiba aje mengaku yang aku ni bakal isteri dia. Kalau kau ada kat tempat aku, apa yang kau akan buat?” Suaraku separuh berbisik. 

“Seriuslah? Hensem tak orangnya?” Zana kelihatan gembira. Macam dia pula yang hendak kahwin.

Aku keluh perlahan. Paras rupa itu perkara nombor satukah dalam mencari pasangan hidup?

“Bolehlah…” Aku berbasa-basi.

“Apa yang boleh?”

“Hensemlah juga orangnya.” 

Aku sebenarnya tidak reti hendak mengklasifikasikan Ghaz Lutfi itu dalam kategori apa. Dia memang segak bergaya. Padanlah dengan kerjayanya.  Tetapi paras rupa bukanlah keutamaan aku. Dia kacak ke kaya ke, kalau perangai tidak semenggah dengan rupanya, baik tidak payah.

“Kau ada gambar dia?”

Aku geleng. Kalau boleh aku tidak mahu dia kenal Ghaz Lutfi.

“Macam inilah, Ayesha. Kalau dia serius ajak kau kahwin, maknanya dia tak main-main tahu? Dia lelaki yang seriuslah tu. Tapi kalau kau nak kenal dia dulu pun tak ada masalah.” Zana meluahkan pendapat.

“Nak kenal macam mana? Aku memang dah tak ada masa nak kenal-kenal dulu dengan dia. Dia memang nak aku kahwin dengan dia dan aku tak boleh nak menolak.” 

Rasanya kalau Zana berada di tempat aku, dia bersetuju saja. Sudah tidak bertangguh-tangguh dalam membuat keputusan. Siapa yang tidak mahu seorang lelaki yang berkerjaya ditambah pula segak orangnya?

“Maknanya kau kena kahwin paksalah ni?” Zana cepat menangkap.

“Mungkin ya tapi… Entahlah. Komplekslah masalah aku ni. Dah tak tahu nak cakap apa.” 

Fikiran aku sudah sarat dengan perkara lain dan untuk memenuhkan ruang yang sedia ada itu dengan masalah ini, ruangnya sudah padat. Sudahnya, aku hanya menyeksa otak sendiri. Baik tidak payah fikir. Menyemakkan otak sendiri saja. 

“Kau dah fikir masak-masak ke pasal ni?” Ada unsur simpati di sebalik soalan Zana itu.

“Entahlah.” 

Sebenarnya ada sesuatu yang aku sembunyikan daripada pengetahuan Ghaz Lutfi iaitu mengenai keturunan aku. Andainya aku menerima dia, bolehkah dia menerima asal usul aku? Apa yang paling aku takutkan ialah dia tidak dapat menerima status aku. Jika difikirkan balik, aku sepatutnya memberitahunya. Bolehlah dia membuat keputusan selepas itu sama ada masih mahu meneruskan perkahwinan kami atau menolak aku. 

Perlukah aku memberitahu dia? Kalau dia menolak aku, selamatlah aku daripada menjadi isterinya. 

Hidup ini tentang pilihan, Ayesha. Kau perlu buat keputusan yang betul. Jika tidak, kau yang akan menyesal nanti. 

“Ayesha, kau buatlah solat istikharah untuk pilih yang mana terbaik. Dalam masalah kau ni, kau sebenarnya cuma ada dua pilihan aje. Sama ada kau nak teruskan atau tak. Tapi bagi akulah, kalau dia betul-betul serius nak jadikan kau isteri dia, itu dah menunjukkan yang dia memang bersungguh-sungguh. Tak main-main. Jangan jadi macam aku sudahlah. Aku dengan Halil dah dua tahun bercinta. Kononnya dia cakap nak masuk meminang aku pada tahun ni. Alih-alih dia tinggalkan aku dan cari perempuan lain. Aku juga yang kecewa akhirnya. Dua tahun kut aku tunggu. Aku membazirkan masa dengan menunggu lelaki yang tak bersungguh nakkan aku,” ujar Zana berkongsi kisahnya yang tidak berakhir dengan kebahagiaan.

“Kau dah lupakan dia sepenuhnya?” Aku bersimpati terhadap dia. Dua tahun dia menunggu berita gembira tetapi perpisahan pula menjadi titik akhirnya. 

“Buat apa aku kenangkan orang yang tak nakkan aku? Kalau dia betul-betul serius, dia takkan biarkan aku tertunggu-tunggu tahu? Asyik aku aje yang tanya dia. Desak dia. Dia buat tak tahu aje. Nampak sangat dia main-main aje dengan aku selama ni. Yang bodohnya akulah. Macam menunggu bulan yang tak jatuh.” Terherot-herot bibir Zana merungut tentang bekas kekasihnya. 

“In shaa Allah, kau akan jumpa lelaki yang lebih baik daripada bekas kekasih kau tu. Kau tak jadi dengan dia bermakna dia bukanlah yang terbaik untuk kau. Bukan jodoh kau.” Giliran aku pula yang memberi nasihat kepadanya. Tadi aku yang sibuk meminta pendapatnya. Apabila dia menceritakan tentang kisah cintanya yang putus di tengah jalan, aku tidak sampai hati melihat dia bersedih. Setiap wanita mengimpikan hubungan mereka dengan lelaki kesayangan kekal sehingga ke sebuah perkahwinan. Tetapi kalau bukan jodoh, apa lagi yang mereka harus lakukan selain berserah kepada Allah? Pastinya Allah sudah menjanjikan yang terbaik untuk semua hamba-Nya.

“Sebab itulah aku cakap kalau kau bercinta bagai nak rak dengan seorang lelaki, tak semestinya kau akan kekal dengan dia. Sebab jodoh kita dah ditetapkan di lohmahfuz lagi,” sambut Zana langsung tidak beriak sedih.

Aku bersetuju dengan dia. Kalau dah jodoh, takkan ke mana. Pasti bertemu jua. Yang dah kahwin bertahun-tahun lamanya boleh bercerai, inikan pula yang bercinta. 


MALAM ini, aku tidak dapat memejamkan mata. Terbaring lesu di katil tanpa gerakan. Aku masih memikirkan tentang apa yang diberitahu oleh Zana petang tadi. Ada betulnya pendapat yang diutarakannya. Aku haruslah mengenal Ghaz Lutfi terlebih dahulu. Tidak boleh sewenangnya membuat keputusan kerana ia melibatkan kebahagiaan aku sendiri. 

“Ghaz, kau sebenarnya siapa? Kenapa kau perlu muncul dalam hidup aku?”

Semuanya kerana sepucuk surat itu. Kandungannya bukan jenaka. Arwah ayah mahukan aku menjadi sebahagian daripada keluarga Luf Harith. Kalau sekadar anak angkat aku mungkin boleh terima tetapi masalahnya aku harus menjadi isteri kepada Ghaz Lutfi. 

Aku bingung. Kepalaku pusing. Sudah tidak tahu hendak buat apa. Hanya ada dua pilihan saja di tanganku. Menerima atau menolak.

Kau perlu bagitahu dia pasal keturunan kau. Suara hatiku berbisik, mengganggu ketenangan aku pada malam ini.

“Kalau dia tak terima?” Aku menyoal diri sendiri.

Kalau dia tak terima, kau tak perlu kahwin dengan dia.

“Pandailah kau. Itu kalau dia tak terima. Kalau dia terima macam mana pula?” Aku semakin asyik melayan suara yang tersedik di hati.

Kalau dia boleh terima siapa kau, kau teruskan ajelah dengan dia. Jodoh tu urusan Allah. Beri peluang kepada diri kau. Dah berapa lama kau hidup bersendirian semata-mata kau tak nak hadap orang yang mengata kau?

Aku mengeluh berat. Kedua-dua tangan disilangkan ke belakang, mengalas kepalaku. Mungkinkah Allah mahu memberitahu aku sesuatu?


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie