Home Novel Cinta The Story of Us
The Story of Us
Hasz Ninie
26/3/2019 22:04:26
13,328
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

SEWAKTU kaki aku mencecah lantai marmar, aku terpaku dan tidak berkutik. Tiada sebarang kata yang dapat aku zahirkan rasa kagumku terhadap perhiasan yang terdapat di dalam vila ini. Padanlah Ghaz Lutfi dikelilingi oleh pengawal-pengawal peribadi. Hidupnya semewah ini. Sudah pasti ada juga yang berasa cemburu dan cuba merampas kekayaannya. 

“Selamat datang ke rumah baru kau.” 

Aku menjeling Ghaz Lutfi, menjojolkan mataku kepadanya. Rumah baru aku? Aku lebih rela tinggal di rumah sewaku sahaja. Biar kecil tetapi selesa untuk aku. Ini bukan tempat aku dan pastinya bukan hak aku. Hak apa yang aku ada untuk tinggal di vila mewah ini?

“Ini bukan rumah aku.” Aku membantah keras, menghantar satu lagi jelingan kepadanya.

“Tapi kau akan menjadi isteri aku. Jadi, rumah aku akan jadi rumah kau juga. Kita akan berkongsi apa aje setelah kau jadi isteri aku termasuk bilik tidur. Bilik tidur aku nanti akan jadi bilik kita.”

Pipiku kepanasan. Bilik kita? Meremang tegak bulu romaku mendengarkan tutur bicaranya. 

“Kejutan ke ni, along?” Bahu aku terangkat dengan suara yang kuat itu. Entah dari mana datangnya seorang gadis yang berambut panjang apabila dia menghala ke arah kami berdua. Senyuman terhias di wajahnya. Nampak gembira benar dia melihat aku sedangkan aku memandang dia terkulat-kulat.

“Sara, control your voice. Dan mana tudung?” Ghaz Lutfi memberi amaran kepada gadis itu. Gadis itu tersenyum, berpura-pura tidak kesah setelah diberi amaran. Dia menarik hud ke atas, menutup rambutnya yang terdedah.

“Ini bakal kakak ipar Sara ke, along?” Sara melirik ke arahku. Dia memandang aku dari atas sehingga ke bawah. Kelakuannya itu tidak menyenangkan hati aku langsung. Rimas diperhatikan seperti itu.

“Ya. Kenalkan bakal kakak ipar Sara. Ayesha namanya.” Ghaz Lutfi mengiakan. Dalam masa yang sama, dia memperkenalkan aku kepada Sara. 

Bebola mataku membulat. Konfidennya.

“Aku nak balik,” putusku. Sejurus itu, aku membalikkan tubuh. Baru saja kaki hendak membuka langkah, dia terlebih dahulu menangkap lenganku. Automatik, tindakanku terbantut. Aku memalingkan muka ke arahnya. Dua mata aku jegilkan tanda aku tidak menyenangi caranya melayani aku. Menyedari aku tidak suka dengan sentuhannya, dia meleraikan pautan pada lenganku.

“Kau akan tinggal di sini, Ayesha.” Dia memutuskan.

“What? Kau jangan nak atur hidup aku. Aku tak pernah cakap yang…” Kata-kataku mati apabila Sara tiba-tiba sahaja memaut lenganku dengan erat. Aku pandang dia tanpa perasaan. Sedikit sebanyak kemesraannya mengusik hatiku dan hati yang panas menjadi sejuk dengan serta-merta. 

“Kak Ayesha, Sara kesunyian. Tak ada orang yang boleh temankan Sara kat rumah ni. Dalam rumah ni, Sara seorang aje perempuan muda. Apa kata Kak Ayesha tinggal kat sini aje? Lagipun, Kak Ayesha kan bakal isteri along…” Sara merengek manja. Aku pula menjadi serba salah melihatkan kesungguhannya itu. Aku juga berseorangan setelah arwah ayah dan arwah ibu kembali ke rahmatulllah. Tiada adik-beradik yang lain. Setelah dibawa ke rumah anak yatim, barulah aku kenal ‘keluarga’ baruku. Kanak-kanak di rumah anak yatim yang lebih muda daripadaku sudah dianggap seperti adik-adik aku sendiri. Apabila Sara berkelakuan manja seperti ini, aku tidak dapat menangkis perasaan ingin memiliki seorang adik.

“You are going to love it here, Ayesha.”

Sara mengangguk, mengiakan kata-kata Ghaz Lutfi. Memanglah dia akan menyokong alongnya kerana dia juga mahukan aku tinggal di sini.

“Jom. Sara tunjukkan bilik Kak Ayesha.” Sara menarik tanganku, memaksa aku membuntuti langkahnya. Aku tergamam kerana aku tidak pula mengatakan persetujuan untuk tinggal di sini. Memandai saja mereka membuat keputusan untuk aku. Hak aku untuk membuat keputusan sendiri dicampak ke mana?

“Kejap…” Aku cuba meleraikan pautannya pada tanganku. Sara memandang aku dengan mata berkelip-kelip. Tetapi dia masih lagi memegang tanganku, tidak mahu melepaskannya.

“Kak Ayesha…” 

“Berapa umur awak?” Aku bertanya. 

“19 tahun,” jawabnya dengan ceria.

Patutlah dia memanggil aku ‘Kak Ayesha’. Dia lebih muda tiga tahun daripada aku. Melihatkan keterujaannya bertemu denganku, aku beranggapan dia juga sudah tahu bahawa aku akan masuk ke dalam keluarganya ini.

“Akak tak cakap akak nak tinggal kat sini.” Aku membahasakan diri aku sebagai ‘akak’ memandangkan dia menghormati aku dengan memanggil aku ‘Kak Ayesha’.

“Tapi…”

“Dan along awak dah tipu akak.” Wajah aku serius.

“Tipu apa?”

Aku tidak tahu sama ada dia sedang berpura-pura atau memang dia tidak tahu. Ghaz Lutfi mengaku bahawa dia adalah satu-satunya anak kepada Luf Harith. Sekarang ini aku mendapat tahu dia juga mempunyai seorang adik perempuan. Pembohongan lagi. Macam mana aku hendak percayakan dia?

“Dia cakap kat akak dia anak tunggal. Tapi rupa-rupanya dia ada adik.” 

Sara tergelak kecil. Aku kecilkan pelupuk mata. Dia fikir aku sedang bergurau ke apa?

“Kak Ayesha, memanglah dia satu-satunya anak papa sebab dia anak kandung papa. Sara ni anak angkat papa aje.” Sara menjelaskan dalam sisa tawanya. Sewaktu dia membuat pengakuan itu, dia tidak menunjukkan apa-apa riak. 

“Awak anak angkat dalam keluarga ni?” 

Sara menganggukkan kepalanya. “Yes. Papa yang ambil Sara masa Sara berumur 10 tahun. Sara hampir nak kena jual dengan ayah sendiri tahu? Kalau bukan kerana papa, Sara pun tak tahu apa yang akan jadi pada Sara. Sara tak mungkin ada kat sini sekarang ni.” Dia langsung tidak teragak-agak untuk menceritakan kisah zaman kecilnya itu.

“Akak minta maaf,” ucapku. Rasa bersalah menghentam diri apabila memaksa dia membuka kisah hidupnya itu. Tiada seorang pun mahu mengingati kisah pahit yang terjadi dalam hidup mereka dan aku berpendapat gadis ini juga sama.

“Kenapa Kak Ayesha nak minta maaf pula?” Sara menampar lenganku dengan lembut. 

“Akak dah buat Sara sedih.” Aku mulai membahasakan dia dengan nama.

Kepala Sara tergeleng-geleng, menidakkan. “Mana ada. Sara tak sedihlah. Sara pun dah lupakan semua tu. Kisah lama dah tu. Kalau ingat pun, Sara tak dapat buat apa-apa juga, kan? Sekarang ni Sara dah ada kehidupan baru. Kak Sara ada papa. Ada along. Dan ada Kak Ayesha.” Dia mengenyitkan mata ke arahku. 

“Sara tak rindukan ayah dan mak Sara?” Aku bukan mahu menyibuk tetapi tidakkah dia merasakan apa-apa terhadap kedua mak dan ayahnya?

“Rindu mungkin tapi Sara tak tahu dia orang ada kat mana sekarang ni,” luahnya.

“Sara, akak…”

“Kak Ayesha, mari Sara tunjukkan bilik Kak Ayesha. Sara yakin Kak Ayesha mesti suka dengan bilik tu.” Sara menutup perbualan mengenai dirinya. Dia menggapai tanganku. Aku tahu dia sengaja tidak mahu meleretkan kisah kecilnya.

Aku membiarkan diriku diheret oleh Sara ke sebuah bilik yang dimaksudkan. Saat pintu dibuka, aku terpegun tanpa kata. Rahang aku hampir terangkat. Dekorasi bilik yang aku pernah idamkan suatu masa dulu. Ruang bilik yang cukup luas dengan bertemakan warna krim. Katil berada di tepi tingkap dan di sebelahnya pula terdapat meja dan kerusi. Sebuah komputer riba disediakan di atas meja. Pada bahagian dinding pula tergantungnya rak-rak buku. Di tengah-tengah ruang bilik tersedianya sofa yang menghadap televisyen. Almari terletak di sebelah meja.

“Macam mana? Kak Ayesha suka?” 

Aku menyisipkan senyuman. “Cantik bilik ni.” Aku melontarkan pujian. Tidak mungkin aku menipu sedangkan ianya memang kenyataan. Dekorasinya kelihatan ringkas tetapi yang sederhana itulah yang menarik pada pandanganku.

“Mestilah. Dekorasi bilik ni along yang tentukan tahu? Dan Sara pun ada juga tolong along.”

Aku menyengap. Tidak tahu hendak cakap apa. Sanggup pula lelaki itu menghias bilik ini untuk aku. Istimewa sangatkah aku pada dia?

“Along tak tahu apa yang Kak Ayesha suka. Sebab itulah dia minta pandangan Sara. Bila kita orang berbincang pasal ni, kita orang bersetuju untuk hias bilik ni bersama-sama.” Sara memberitahu tanpa kupinta.

“Sara… Akak rasa semua ni…”

“Tiba-tiba?” potong Sara.

Aku angguk, tidak menafikan. 

“Kak Ayesha, Sara pun rasa semua ni macam tiba-tiba aje. Bila papa dan along cakap yang Sara akan ada bakal kakak ipar, Sara terkejut sebab along tak pernah bawa mana-mana perempuan untuk dikenalkan kepada papa. Tapi Sara yakin calon yang along pilih memang pilihan yang terbaik untuk along.” Dia mencuit pucuk hidungku. Aku memaksa bibirku untuk senyum walaupun hati agak berat untuk menerima semua ini. Daripada percakapannya itu, aku yakin dia tidak tahu menahu tentang amanah arwah ayahku. Luf Harith dan Ghaz Lutfi mungkin mahu merahsiakan perkara itu daripada pengetahuannya. 

“Kau suka bilik ni?”

Jantung aku hampir gugur apabila suara Ghaz Lutfi sudah berdengung di telingaku. Aku mengurut dada. Begitu juga dengan Sara yang sudah membuntangkan matanya ke arah Ghaz Lutfi.

“Along… Lain kali janganlah muncul macam ni tanpa bagi salam ke apa…” Sara mencomel. Wajah geram ditayang kepada Ghaz Lutfi yang berlagak selamba.

“Dalam rumah pun along nak kena bagi salam ke?” 

“Haruslah!” Sara menolak perlahan lengan alongnya. Tolakannya itu tidak mendatangkan kesan apa-apa kepada Ghaz Lutfi. Tubuhnya masih statik di tempat yang sama. Apalah sangat tolakan daripada Sara jika hendak dibandingkan dengan tubuhnya yang tegap itu. 

Aku mengerling lelaki itu. Pandangan kami bertembung. Aku terus mengalihkan pandangan, tidak sanggup memandang dia. 

“Kau sukakan bilik ni?”

Mendengarkan soalannya itu, aku sekadar mengangguk.

“Baguslah. Kau akan tinggal kat bilik ini untuk sementara waktu aje. Bila kau dah jadi isteri aku, kau akan berpindah ke bilik aku.”

“Siapa cakap aku nak kahwin dengan kau?” 

“Saat kaki kau mendarat di depan muka pintu vila ni, kau dah bersetuju untuk jadi isteri aku.” Mudahnya dia membuat keputusan tanpa bertanyakan aku terlebih dahulu. Keputusannya itu membuatkan hatiku kepanasan. Keputusan terletak di tanganku, bukan dia! Di mana letaknya kebebasan aku untuk bersuara?

“Kau tak minta persetujuan aku,” bangkangku disulami rasa sakit hati. 

“Sebab aku tak perlukan persetujuan kau.”

Aku kepalkan tangan. Bibir aku ketap dengan kuat. Kalau aku tumbuk dia, aci tak?

“Kak Ayesha, kenapa Kak Ayesha cakap macam tu kat along? Bukan ke Kak Ayesha juga sukakan along sebab itulah Kak Ayesha terima lamaran along.” Sara mencelah. 

Naifnya budak ni, getus hatiku. Dia tidak tahu apa-apa. Agaknya dia disogok dengan cerita palsu oleh along kesayangannya itu. Kononnya aku dan along dia bercinta. Saling menyangi seperti pasangan lain dan merancang untuk berkahwin. Lamaran apanya? Alongnya yang tiba-tiba menjadi hero dan mengatakan aku ini bakal isterinya. 

“Sara, along nak cakap dengan Ayesha kejap,” ujar Ghaz Lutfi, memberi isyarat kepada adiknya itu untuk meninggalkan kami berdua. Sara mengangguk tanda faham sebelum beredar dari situ. Setelah bayangnya tidak lagi kelihatan, aku rapatkan tubuhku ke dinding. Dua lengan bersilang di dada.

“Apa motif kau, Ghaz Lutfi?”

Dia senyum, tidak menjawab soalanku.

“Aku tanya kau. Bukan aku suruh kau senyum.” Lelaki ini hanya tahu hendak menambahkan bara kemarahanku saja. Setiap masa dia hanya mahu tersenyum sahaja kepadaku. Dia ingat aku akan cair? 

Eleh, Ayesha. Mengaku sajalah yang kau memang dah cair sejak dia selamatkan kau tadi. Suara hati mengejek.

Diamlah kau!

“Kau sebut nama aku.”

“Jadi?”

“Aku fikir kau takkan sebut nama seorang lelaki yang kau cakap bahaya. Yalah… Mungkin kau dah sediakan nama yang lain untuk aku.” 

Aku terpanar. “Jadi, kau mengakulah yang kau memang lelaki bahaya?” Aku menduga. 

“Tak.”

“Yes, you are.” Aku menekankan suaraku.

“Berapa kali aku nak yakinkan kau yang aku tak bahaya? Aku bukan lelaki jahat. Kau fikir aku apa? Ketua mafia? Ketua kongsi gelap?” Dia menjongketkan kening ke atas.

“Kau bukan ketua mafia. Bukan ketua kongsi gelap. Tak kiralah siapa kau tapi aku rasa kau memang lelaki bahaya.” Aku tidak berganjak daripada penilaian yang aku buat mengenai dirinya.

“Kau tahu tak?” 

Ghaz Lutfi merapatkan dirinya dengan aku. Kedua-dua tangan melekap di dinding, memerangkap aku. Baru sebentar tadi aku diperlakukan seperti ini di luar vila. Sekarang dia masih mahu menggunakan taktik yang sama untuk menundukkan aku? Aku tidak akan tewas. Tidak akan sama sekali.  

“Kau nak buat apa?” Aku memberanikan diri aku untuk menentang sepasang matanya itu.

“Arwah ayah kau memang tak mengecewakan aku,” bisiknya.

“Maksud kau?”

“Perempuan macam kaulah yang layak berada di sisi aku. Menjadi pasangan hidup aku. Kental. Suka melawan. Tahu nak menang aje. A fighter. Kalau terjadinya apa-apa kepada aku, aku tahu kau mampu hadapinya.”

Aku tergemap. Lemah semangat aku mendengar kata-kata yang baru saja terungkap di bibirnya itu. Andainya terjadi apa-apa kepada dia, aku mampu menghadapinya? Adakah dia berniat hendak menjandakan aku dalam usia muda? Benarlah tekaanku. Dia memang lelaki bahaya. Lelaki yang tidak patut aku dekati. 

“Kau… Kau ada musuh?”

“Buat masa sekarang, tak ada.” Selamba dia memberi jawapan yang membuncah di dalam hatiku.

“Kau gila ke? Kau nak aku kahwin dengan kau semata-mata nak menjandakan aku? Arwah ayah aku suruh kau jaga dan melindungi aku, bukan…”

“Syy…” Dia meletakkan jari telunjuknya di bibirnya sendiri sebagai larangan agar aku tidak meneruskan kata-kata.

Aku menelan air liur. Kelat. 

“Kan aku dah cakap aku akan menjaga dan melindungi kau. Itu amanah arwah ayah kau kepada papa. Dan papa aku juga tak nak apa-apa terjadi kepada kau.” 

“Biarlah apa-apa jadi pada aku pun…”

“Kau tak sayangkan arwah ayah kau?”

Aku diam. 

“Arwah ayah kau menyerahkan kau pada papa sebab dia nak kau sentiasa selamat.”

“Baru sekarang kau…”

“Walaupun baru sekarang aku munculkan diri, aku dah lama perhatikan kau, Ayesha. Begitu juga dengan papa. Sebab itulah aku datang selamatkan kau.” 

“Kau…” Setiap kali aku mahu berkata-kata, dia pasti akan memotongku laju.

“Aku prefer kau panggil aku dengan panggilan yang lembut. Yang sedap didengar di telinga.” 

Aku bulatkan mata. “Kau nak aku panggil kau apa?”

“Abang.” Laju dia menjawab.

Aku mahu termuntah di situ juga apabila dia membuat permintaan seperti itu. Panggil dia ‘abang’? Kelu lidahku hendak memanggil dia dengan gelaran itu. Mengada-ngada betul. Baru saja kenal sudah meminta aku memanggilnya ‘abang’ pula. 

“Bila kau jadi isteri aku nanti, kau akan panggil aku abang juga, kan?” Dia mengenyitkan mata. 

Pipi sudah mula membahang. Dadanya aku tolak menjauhiku. Rasa rimas pula terperangkap begini.

“Perasan!”

Dia ketawa kecil. 


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hasz Ninie