Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
Bab 34

Kasihan. Hajah Sabariah mengadu sakit kepala kepada Lily Dayana. Dia, meringankan tulang yang sememangnya ringan, memasak. Bagaikan lipas kudung. Bergerak ke sana ke sini, membuat itu dan ini. Menu terlintas di dalam kepala, Nasi Tomato.

Tangan kanan menggenggam sebilah pisau. Mahu menghiris bahan-bahan untuk membuat air asam. Sebiji buah tomato setengah ranum, dibelek. Diletak di atas papan pemotong dan zass... terbelah dua. Dihiris pula tidak terlalu tebal dan tidak terlalu nipis. Diambil selabu bawang besar.

“Masak apa?” 

Lily Dayana terus meletak pisau ke tepi. 

‘Jari akulah, bukan bawang.’ Lily Dayana mengangkat tangan kiri. Membelek-belek jari telunjuk sedang mengalirkan cecair berwarna merah pekat. Bisa daripada hirisan menyelinap ke seluruh tubuh. Darah, semakin banyak keluar apabila dia menekan bahagian terluka.

Adli Zafri terkaku sebaik melihat darah menitik di lantai. Rasa bersalah menyerbu diri. Terlupa tabiat Lily Dayana, selalu terkejut apabila ditegur tidak kena gaya. Dia menghela nafas. Macam mana ni?

“Kau tak apa-apa? Dalam tak luka tu?” Adli Zafri cemas. Hanya melihat Lily Dayana menuju ke singki. 

“Biar aku tolong.” Rasa bersalah kian kuat menjerut Adli Zafri.

Lily Dayana buat tidak tahu. Tangan, memulas pili paip. Jari terluka, diletak di bawah pancuran air. Menyeringai muka menahan pedih. Bisa, menjalar ke seluruh tubuh. Darah semakin banyak mengalir. Telah seminit, masih tidak berhenti. 

Dia mula mengerah otak, memikirkan cara bagaimana mahu menghentikan  pendarahan. Mentol di kepala bercahaya, tanda sudah mendapat satu idea, Pantas berpaling, menuju ke peti sejuk. Seketul air batu diambil dan dibalut dengan beberapa helai tisu.

Luka ditekap dengan ketulan ais. Selang beberapa minit, dia memicit jari yang telah kebas. Lega, tiada lagi darah keluar. Dibelek jari. Mujurlah tidak dalam hirisan. Sudahlah pisau di dalam rumah ibu, tajam-tajam belaka. Ibu sangat rajin mengasah. Tidak berkenan kalau pisau diguna, tidak tajam.

“Kau ni kenapa?”

“Opocot!” Lily Dayana tersentak. Terlupa pula kewujudan makhluk yang menjadi penyebab luka di jarinya. 

 “Aku tanya dari tadi buat tak tahu. Yang luka tu tangan bukan telinga sampai jadi pekak? Urat jari kau tak bersambung dengan urat telinga, kan?” 

Lily Dayana memandang encik tuan, atas dan bawah. Merengus. Sudahlah sakit di jari belum berkurangan, bersasar pula ke hati. Memang encik tuan sengaja cari pasalkah?

“Kau okey tak?” 

Berat mulut mahu menjawab kerana terlalu fokus dengan denyutan di jari. Lily Dayana masih buat tidak layan. Balas semula nanti, baru encik tuan tahu sakitnya bagaimana?

“Sah, kau memang dah pekak!” Perasaan risau berlegar dalam benak fikiran Adli Zafri. Melihat Lily Dayana menjulingkan mata ke atas, sedikit lega. Ada reaksi. Baguslah.

“Untuk makluman tuan, saya tak pekak lagi. Boleh dengar dengan jelas. Nak apa?” 

“Aku tanya, jari kau macam mana? Banyak darah keluar. Kalau serius sangat, aku bawa pergi klinik?” 

‘Biar betul mamat putera nak bawa aku pergi klinik? Aku, tak silap dengarkan?’ Lily Dayana menampar lembut pipi kanan. Mahu memastikan sama ada dia berpijak di bumi nyata atau di alam mimpi?

“Tak payah buat macam tu. Agak-agaklah kalau nak perli.” Adli Zafri mahu gelak. Oleh kerana ego tinggi, perlulah dijaga dengan rapi. Jatuh pula sahamnya nanti. 

“Lekaslah siap.”

“Tak payahlah, tuan. Jari saya okey. Tengok. Tak putus, kan?” Jari telunjuk diangkat. Mujur jari telunjuk, bukan jari tengah. Haish.

“Berlagak. Orang nak tolong jual mahal pula.” Muka bujur sirih licin tanpa sebiji jerawat dipandang lama. 

‘Apa masalah lelaki ni?’ Lily Dayana mulai seram. Bulu roma sudah ada yang menegak. Tidak selesa betul apabila ditenung. Gaya encik tuan, macam nak telan orang.

“Lekaslah siap.”

Lily Dayana menghela nafas panjang. Encik tuan, ada masalah rasanya? Masalah mental! Dia merengus.

“Nak tolong sangat, kan? Belikan saya, plaster.” 

“Plaster?” Kening Adli Zafri bertaut.

“Ya, plaster. Nak saya ejakan perkataan plaster tu?”

“Tak payah! Aku tahulah.”

“Kalau dah tahu, baguslah. Tunggu apa lagi kat sini.” 

“Aku belikan. Kau kena ingat. Perkara ni biar sampai sini. Ibu tahu, siap kau!” Adli Zafri berpaling. Mengatur langkah meninggalkan si minah yang... ‘sabar,’ katanya dalam hati. Oleh kerana berpunca daripadanya, dia akur.

“Padan muka! Sebab kau yang bagi jari comel aku ni luka, jadilah orang suruhan aku.” Lily Dayana menjelirkan lidah. 

“Macamlah aku ni kaki mengadu,” sambungnya lagi sambil mulut mencebik. Tenang keadaan dengan ketiadaan sang penyemak. Lily Dayana meneruskan kerja yang tertangguh. 



Bertuah betul encik tuan. Adakah patut, sekotak plaster dibeli. Perlikah? Kan, sudah menjadi satu pembaziran. Encik tuan, seperti mahu lukanya bertebarankah? Duduk bersebelahan di meja makan, Lily Dayana tidak selesa. Dipandang sinis oleh encik tuan disulami pula dengan jelingan tajam. 

“Kenapa jari Lily tu berbalut?” Berkerut dahi Hajah Sabariah.

“Kenapa dengan jari tu, Lily?” soal Haji Hamka pula. 

“Luka sikit aje.” Sebak. Air mata bergenang sudah terjun ke pipi Lily Dayana.

“Kenapa ni? Sakit sangat jari tu? Jom, ayah bawa pergi klinik.” Haji Hamka cemas.

“Lily.” Hajah Sabariah bingkas bangun, mendapatkan anak angkatnya. Bahu Lily Dayana disentuh.

“Lily minta maaf.”

Hajah Sabariah memandang muka di depan. Apa terjadi dengan kesayangannya?

“Lily tak apa-apa. Cuma terharu, bila dapat perhatian macam ni. Maaf sebab buat semua orang risau.” Malu. Tidak sengaja mencipta memori sedih. Lily Dayana menunduk. 

“Ingatkan apalah tadi. Bertuah betul budak ni,” bebel Hajah Sabariah lalu menepuk lembut bahu kanan kesayangannya.

Ketawa besar pasangan suami isteri dengan telatah anak angkat mereka. 

Adli Zafri memandang sekilas muka Lily Dayana. Terselit cemburu dengan layanan keluarga kandungnya terhadap si minah. Dasar anak angkat. 

‘Eh, kau Adli. Dah besar panjang pun nak cemburu? Apa hal?’ Adli Zafri memandang sekeliling. Suara hatinyalah. 

“Luka sikit aje. Tu, pun nak kecoh. Lainlah kalau jari tu hilang.” Si minah dijeling tajam Mengada-ngada. Adli Zafri mencebik.

“Hai, cemburu pula dia?” usik Hajah Sabariah.

“Mana ada? Buang masa nak cemburu.”

“Betul ni? Tak cemburu?” Hajah Sabariah masih mengusik.

“Iya.” Adli Zafri merengus. Geram pula melihat ibu dan ayah ketawakannya.

Senyap.

“Lily, macam mana jari tu boleh luka?” Hajah Sabariah masih tidak berpuas hati. Siap berbalut dengan plaster. Seingatnya, tiada plaster dalam simpanan rumahnya. Dari mana plaster itu datang? 

“Lily?”

Lily Dayana mendecit dalam hati. Gerangan penyebab berada di sebelahnya. Sekilas mata memandang. Jegilan tanda amaran pula dia dapat sebagai balasan daripada encik tuan. 

“Lily cuai masa hiris bawang tadi. Ibu tahukan, pisau dalam rumah ibu ni tajam macam mana?” 

“Betul ni?”

Lily Dayana mengangguk lemah. Ibu, banyak benar soalan kali ini.

“Dahlah tu, Yah. Jomlah makan. Sejuk dah semua lauk ni.” 

“Yelah. Dah, sambung makan.”

Suasana kembali tenang. Saling menceduk lauk-pauk ke dalam pinggan masing-masing.

“Nah, makan.” Adli Zafri membuat tindakan di luar jangkaan. 

“Kau nak lauk apa lagi?”

Lily Dayana memandang dengan mata terkebil-kebil.

“Tak apa. Lily boleh ambil sendiri. Aa..Abang Adli makanlah.” Gagap. Terkejut sebenarnya dengan layanan tidak pernah diimpikan daripada encik tuan.  

‘Wahai dunia, lihatlah. Encik tuan, layan aku macam puteri!’ Jeritan hanya berkumandang dalam hati. Lily Dayana hampir-hampir gelak. Tahan, tahan.

“Nah. Makan ni. Kau tu, dah makin kurus aku tengok.” Lalu seketul ayam diletakan ke dalam pinggan Lily Dayana.

Lily Dayana tercengang dengan spontan memandang encik tuan. Tapi tidak lama. Dengan pantas melarikan muka. Mendecit perlahan kemudiannya.

“Terima kasih,” ucap Lily Dayana. Dia, tidak gemarkan dada ayam sebenarnya. Orang dah beri, makan sajalah.

“Hah, kan bagus kalau Adli selalu layan Lily macam ni. Sejuk mata ibu tengok.”

Lily Dayana hanya mengangguk lemah. Senyuman kurang kemanisan, gigih diukirkan. 

‘Aduh, nak kena makan dada ayam ni pula.’ Lambat-lambat dia menyuap.

Hajah Sabariah senyum lebar. Kebelakangan ini, dia perasan Lily Dayana kurang berselera makan. Bimbang pula jika jiwa kesayangannya kembali terganggu. Jauh ditepis semua kerana dia yakin Lily Dayana gadis tabah, kuat semangat pernah orangnya.




Previous: Bab 33
Next: Bab 35

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.