Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
Bab 2.2

Dayana dan rakan-rakan sedang bersantap mengisi perut dengan penuh selera. Entah kenapa hari ini, sedaplah pula masakkan mak cik kantin. Apa agaknya bahan istimewa telah diletak? Selera makan betul-betul terbuka luas. Bersantap hingga licin. Tiada bersisa dalam pinggan masing-masing.

 "Yana, petang ni, kitorang nak buat study group. Nak join tak?” soal Adibah setelah mereka selesai makan.

Kini, mereka sedang duduk bersantai di bangku panjang di kantin sekolah sementara menantikan waktu rehat tamat.

Senyap.

“Tak bolehlah, Dibah. Kena balik awal. Dah janji dengan mak aku.”

Adibah mendecit, ‘Yana selalu macam ni. Lecehlah.’ Dia memandang muka Dayana.

“Yana, bolehlah.” Adibah masih berusaha memujuk.

“Tak boleh. Lain kalilah.”

“Yana, aku kenal kau bukan sehari dua. Kita besar sama-sama. Ni, mesti mak kau suruh tolong jahit baju, kan?”

“Nak buat macam mana? Siapa lagi nak tolong, kalau bukan aku.”

“Yana, periksa dah dekat. Jomlah. Kesian kat kawan-kawan. Diorang harap sangat kau dapat join sekali.” Adibah tidak faham dengan Dayana. Susah benar mahu menyertai meraka. Selama ini,Dayana sering mengelak jika dipelawa untuk study group bersama-sama. Ada sahaja alasan akan diberi.

Jomlah, Yana.” Adibah berusaha memujuk. Dia amat berharap agar Dayana akan turut serta.

Dayana mendecit. ‘Lecehlah macam ni. Tapi, tak apa kot? Bukan aku nak pergi suka ria tak tentu hala. Nak timba ilmu. Balik nanti, pandai-pandailah aku terang kat mak. Mesti mak faham punya.’

Senyap.

Opss, baru aku teringat!” Bingkas Dayana bangun.

Terangkat kedua bahu Adibah, terkejut dengan reaksi spontan Dayana. Nasib baiklah sudah habis makan kalau tidak, mahunya tersembur.

“Kau, kenapa?” Nampak jelas kening Adibah bertaut.

“Aku nak cari Lia. Jumpa kat kelas.”

Dayana mengatur langkah meninggalkan Adibah terpinga-pinga. Langkah semakin laju. Daripada berjalan hinggalah berlari-lari anak. Sesiapa terserempak dengannya akan bertaut kening. Tujuannya hanya satu, mahu menuju kekelas Liyana. Sebaik mendekati destinasi tujuan, dari jauh dia nampak kelibat Liyana sedang berdiri di kaki lima.

“Lia, boleh tolong aku?” tegur Dayana sebaik mendekati Liyana.

Kuss semangat! Kau ni, terkejut aku!” Atas bawah Liyana melihat Dayana.

Dayana sengih dalam mengah.

“Kau nak apa?” tanya Liyana sebaik bertenang.

“Kejap,” Dayana masih cuba bernafas dengan sempurna. Kembang-kempis hidung. Oksigen, dia perlukan oksigen. Kemudian, terbatuk-batuk kecil sebelum tercungap-cungap kembali. Sudah lama tidak berlari sampaikan semput pernafasan. Dia menunduk tubuh sedikit sambil menekan perut yang terasa senak. Inilah padah jika berlari selepas makan.

“Penting sangat hal kau tu, sampai macam ni teruk lari?”

Dayana membalas pertanyaan Liyana dengan mengangkat tangan sebagai isyarat, tunggu sekejap. 

Ei cepatlah. Cakaplah apa dia?” Liyana bertanya lagi setelah beberapa ketika.

“Macam ni,” sambil menyedut udara dan menghembus kembali kemudian Dayana menyambung, “Aku balik lambat sikit hari ni. Kawan-kawan aku ajak study group.”

“Alah, tak payah pergilah.”

“Tak boleh Lia. Dah tak larat nak tolak permintaan diorang tu. Selalu sangat aku ngelat.”

“Dah tu, kau nak aku buat apa?”

“Tolong beritahu mak. Boleh ya, Lia?” Walaupun Dayana kurang senang dengan bunyi decitan Liyana, dia masih menantikan jawapan. Harap-harap yang positif.

Hesy, lecehlah. Pukul berapa kau balik? Kalau mak tanya, senang aku nak jawab.”

“Pukul empat.”

Yelah, nanti aku beritahu. Ni...betul study group? Entah-ntah...dating?”

Terbeliak mata Dayana memandang Liyana. Dia menggeleng perlahan. Mahu ketawa, ditahan. Tidak disangka-sangka, boleh sampai ke situ pula pemikiran Liyana. 

“Kau jangan macam-macam, Yana. Ingat pesan mak. Kalau mak tahu kau terlibat dalam hal cintan-cintun, habis kau.”

Eh eh kau, Lia. Agak-agaklah! Siapa nak kat aku yang macam Dayang Senandung ni?”

Liyana gelak kecil. Betul juga kata Dayana.

“Okeylah, aku dah lambat ni. Pergi dulu. Kau jangan lupa pula beritahu mak.” Tanpa berlengah Dayana terus mengangkat kaki berlalu kerana loceng tamat waktu rehat telah kedengaran.

“Tu, kembar kau ke, Lia?”

“Bukan kembar. Adik aku. Lahir tahun sama. Aku, awal tahun. Dia, hujung tahun.”

“Lain betul kau dengan dia.” Pertama kali Syazwani melihat Dayana. Dia ada mendengar cerita tentang adik Liyana. Salah seorang pelajar pandai di sekolah.

“Dia banyak ikut belah arwah bapa aku. Aku pula, ikut belah mak.” Liyana sengih. Bangga dia kerana memiliki kulit cerah. Berbeza dengan Dayana. 

Previous: Bab 2.1
Next: Bab 2.3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.