Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
Bab 28

Seperti ditetapkan oleh Doktor Haryani, Lily Dayana menjalani pemeriksaan selang dua minggu. Sedang menantikan giliran, mengelamun dia. Memikirkan masa depan apabila anaknya lahir nanti? Perkara yang amat membebankan fikiran adalah keadaan kandungannya. Dia agak buntu.

“Yana, nurse panggil kau.” Sara menyiku lembut teman di sebelah.

Pantas tangan menggalas beg ke bahu kanan. Lily Dayana kemudian menapak masuk ke dalam bilik doktor. Sedikit lemah langkahnya kerana menahan asakan debaran dari dalam.

“Nampaknya, kes puan makin rumit.”

Degup jantung Lily Dayana makin pantas.

“Anak puan yang normal, makin mengecil saiznya. Sedang bekerja keras, menyalurkan makanan kepada ‘pasangannya’. Saya bimbang, jika ini berterusan, anak puan akan mengalami beberapa komplikasi. Antaranya, serangan jantung.”  

Darah, terasa berhenti mengepam ke jantung. Sejuk. Pucat lesi tangan Lily Dayana .

“Buat masa ni, kita hanya boleh tunggu dan lihat perkembangan. Risiko terlalu tinggi kalau buat sebarang pembedahan. Puan, banyakanlah berdoa. Kekuatan semangat puan akan turut mempengaruhi keadaan bayi puan. Jangan putus asa.” 

Lily Dayana tidak mampu duduk lama-lama lagi. Sebaik selesai membuat pemeriksaan, dia segera keluar. Lemah lutut hingga longlai langkah diatur. Imbangan tubuh, sedikit goyah. Mujurlah Sara sempat memaut bahunya.

“Kau kena banyak sabar.” Sara hampir mati akal mahu memujuk. Saban waktu, perkataan sabar, menjadi mainan di mulut setiap kali bertemu Lily Dayana.

“Aku okey, Sara.”

“Kenapa simpan rahsia ni sendiri? Kenapa tak nak beritahu ibu?”

“Aku tak ada niat nak sorok. Tak tahu macam mana nak cakap?” Terhinggut-hinggut kedua bahu Lily Dayana. Tidak mampu menahan takungan air di pelupuk mata. Kedua tangan menekup muka. Kekuatannya tidak seampuh dulu.

“Dah. Jangan serabutkan kepala. Tak elok untuk kesihatan kau. Aku ada. Kau boleh panggil aku, bila-bila masa.” Sara memujuk tanpa jemu.

Lily Dayana menyandarkan tubuh ke kerusi. Tangan Sara digenggam kuat. Air mata, dibiarkan meleleh ke pipi. Semakin buntu. Hidup terasa kosong. Apakah masih ada sinar, menantinya? 


***


Keadaan bayi di dalam kandungannya masih sama. Lily Dayana terpaksa mengambil cuti kecemasan hari ini. Rasa tidak selesa sejak semalam. Semalaman menahan sakit. Perut pula, ada kalanya terasa mengeras. 

“Hati-hati jalan, Lily?” 

Hajah Sabariah memandang sayu. Mendapat tahu tentang keadaan sebenar kandungan Lily Dayana, dia sedih. Kasihan. Bersyukur dengan kehadiran Lily Dayana dalam keluarganya. Sudah lama menginginkan anak lagi. Hajat tidak kesampaian kerana rahimnya terpaksa dibuang akibat ketumbuhan. 

Pandangan terhala ke arah perut yang sedang membesar. Saiz perut Lily Dayana seperti orang menunggu hari untuk melahirkan. Padahal, baru tujuh bulan usia kandungan. Dia sedikit risau melihat ulah anak angkatnya. Seperti ada tidak kena.   

“Pucat muka tu ibu tengok. Lily tak sihat?”

“Entahlah, ibu. Pinggang ni, sakit dari semalam.” Berkerut muka Lily Dayana menahan senak bercampur dengan rasa berdenyut yang semakin kuat di perut. 

“Dah sarat, memang macam ni.” 

Senyap.

“Ibu. Kain batik Lily pakai, asyik basah dari semalam. Takkan peluh, banyak macam ni?”

Terkejut Hajah Sabariah sebaik selesai menilik kain batik tersebut. Air ketuban Lily Dayana... dia bergegas menelefon suaminya. Lily Dayana perlu dikerjarkan ke hospital segera.

Sakit semakin menguasai diri Lily Dayana hingga tidak larat bercakap. Jika beginilah sakit mahu melahirkan ditanggung, betapa hebatnya insan bergelar wanita. Sakitnya, mampu memutuskan beratus-ratus urat. Bayangkanlah bagaimana deritanya? 


Setelah beberapa jam terlelap, Lily Dayana membuka kelopak mata perlahan-lahan. Bukan senang, menempuh saat ketika di dalam bilik pembedahan. Tiga jam lamanya, nyawa dipertaruhkan di dalam sana. Ditambah dengan keadaan dingin hingga menggigil tubuh. 

“Lily. Macam mana? Sakit tak, perut tu?” Tangan Hajah Sabariah mengusap kepala Lily Dayana.

“Rasa okey sikit, ibu.” Terasa ngilu dan sedikit pedih sebenarnya. Masih boleh bertahan.

Hajah Sabariah senyum. 

“Ibu. Lily tak sempat tengok anak.” Air mata Lily Dayana mengalir.

“Yang penting, anak Lily dah selamat dikebumi. Ibu letak nama, Muhammad.”

“Muhammad?”

“Ya. Ibu rujuk kat Ustaz Jaafar dulu pasal jantina anak Lily tu.” 

Senyap. 

Hajah Sabariah meraih tangan Lily Dayana lalu digenggam. Muka mulus, ditatap. Tidak sanggup menceritakan semua perkara. Semasa menerima jenazah bayi tersebut, hampir pengsan. Betul-betul memeranjatkan. 

“Anak Lily, macam mana? Comel, tak?” 

“Semua bayi comel sayang.” Tidak sanggup Hajah Sabariah mahu menggambarkan, bagaimana rupa bayi tidak sempurna kejadian. 

“Ibu, Lily nak tengok baby?” 

“Ibu tanya doktor dulu.”  

Lily Dayana memejamkan mata sebaik ibu angkat pergi. Hiba, sebak. 

‘Muhammad,’ bisiknya.

Memasuki bilik rawatan rapi, sangatlah menggerunkan. Sedih melihat keadaan semua bayi di sini. Lily Dayana merapati sebuah kotak lutsinar. Mengusap kepala kecil melalui celahan lubang. Air mata kian deras mengalir. Bagaikan tidak percaya, anak kecil di depan adalah bayi yang dikandungnya.  

“Sabar ya, sayang.” Tubuh Lily Dayana didakap dari belakang.

“Lily sedih, ibu. Kenapa semua ni jadi kat Lily? Apa salah Lily? Kenapa Lily tak dapat peluang, macam ibu-ibu lain?” 

“Jangan macam ni, sayang. Teruk mana ujian Lily, terima dengan redha. Jangan mudah putus asa.” 

“Lily mesti kuat.” Kata-kata semangat dititipkan lagi oleh Hajah Sabariah. Dia memegang dengan kejap kedua bahu Lily Dayana. Cuba menyalurkan sedikit kekuatan.

Lily Dayana menatap tubuh kecil dengan linangan air mata. Berselirat dengan tiub dan wayar. Saat tangan menyentuh bayinya, terasa satu getaran. Tubuh bayinya tersentak apabila setiap kali disentuh. Air mata, meleleh tanpa henti.

‘Ibu tahu, anak ibu kuat. Bertabahlah sayang. Ibu akan tunggu Nasuha sembuh.’ Diusap kepala bayinya. 


Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.