Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
15.4

Dayana dan Liyana saling berpandangan. Liar anak mata masing-masing, menjelajah ruang tamu rumah mak long yang luas dan kemas. Tidak sanggup pula mengecewakan hati mak long, beria-ia mengajak ke rumah.

“Mak long nak minta maaf. Banyak salah mak long, pada mak korang.” 

Entah bagaimana, ketika sedang duduk, mak long datang menerpa lalu memeluk mereka erat-erat dengan juraian air mata. 

“Mak long tak buat salah apa pun.” Dayana memujuk.

“Mak long menyesal sebab terlalu ikutkan hati. Cemburu tak tentu pasal, sudahnya, mak korang jadi mangsa.”

“Dahlah mak long. Semua tu, cerita lama.”

“Mak long menyesal sangat. Macam-macam mak long buat pada mak kau. Mak long ni, jahat, zalim.” Tersedu-sedan menangis. Mengenang kembali semua perbuatan jahatnya terhadap Zakiah, sangatlah menyesakkan dada. Tergamak menzalimi adik sendiri. Darah dagingnya!

“Mak long, kami tak pernah anggap mak long macam tu.”

“Mak long janji, akan jaga korang berdua. Mak long janji, akan sayang korang macam anak mak long sendiri. Mak long harap sangat, korang maafkan mak long.” Bersungguh-sungguh melafazkan. 

Dayana dan Liyana saling berpandangan. Jauh di sudut hati, mereka amat bersyukur dengan perubahan emak saudara mereka.

Sejarah lama mula tersingkap,

Pada mulanya, Badri telah masuk meminang Zakiah kerana telah jatuh hati pandang pertama. Oleh kerana Haji Seman, ayah Zakiah, merupakan orang yang sangat mementingkan adat, maka terpaksalah Badri menikahi Zaleha. Masa itu, orang kampung mula mengata tentang Zaleha, anak dara tidak laku. Sudah berumur 20 tahun tetapi masih membujang. Apa lagi, menyiraplah darah Haji Seman. 

Badri telah dipujuk oleh Haji Seman supaya menerima Zaleha. Dengan berat hati, terpaksa juga bersetuju kerana pinangannya hanya dipandang sepi oleh Zakiah. Mahu mendapat persetujuan daripada Zakiah, ibarat menanti kucing bertanduk. 

Dia merasa tercabar dengan reaksi Zakiah. Tujuan bersetuju dengan perkahwinan itu hanyalah untuk menyakiti dan ingin menerbitkan rasa cemburu di hati Zakiah. Sangkaannya jauh tersasar. Semakin lama, egonya tewas. Dia mulai belajar menyintai Zaleha hingga berjaya memadamkan segala perasaan cinta terhadap Zakiah.

Sebaliknya pula bagi Zaleha. Begitu mencemburui Zakiah. Baginya, selagi Zakiah tidak dikahwinkan, Badri akan berpaling tadah. Zalehalah perancang utama perkahwinan pertama Zakiah. Dialah yang telah mengusulkan calon lelaki kepada ayahnya. Sedangkan dia tahu, bagaimana perangai Herman. Terseksa Zakiah ketika hidup bersama Herman hingga bercerai.   

Berpuluh tahun berlalu, baru sekarang Zaleha sedar khilafnya. Dia tidak sanggup lagi. Sejak akhir-akhir ini, hidupnya tidak tenang. Saban malam tidur sering didatangi mimpi-mimpi aneh dan ngeri. Dia nampak, bagaimana dirinya diazab dengan begitu teruk sekali hingga terbawa-bawa ke alam nyata. Sakitnya... begitu dirasai apabila setiap kali terjaga dari tidur. Terasa seolah-olah dia telah diazab betul-betul. 

Zaleha nekad, mahu menebus kembali segala dosa terhadap Zakiah dengan menjaga anak-anak adiknya. Benar kata suaminya, dendam jika dibiarkan marak, akan memakan diri sendiri.


Previous: 15.3
Next: 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.