Part III
Abi
dan umi sedang menonton television. Ina pula dari tadi berjalan ke hulu hilir
di dalam rumah. Tadi Brian telefon Izaara. Katanya pukul dua setengah baru dia
sampai. Sekarang dah pukul tiga.
“Assalamualaikum!”
Ina bergegas ke muka pintu untuk
melihat gerangan insan yang memberi salam. Ina kaget. Nak jawab atau tidak?
“Siapa kak?” Izaara muncul.
“Assalamualaikum, Izaara.” Brian
memberi salam semula. Izaara diam. Brian tersenyum. “Saya dah masuk Islam.”
“Waalaikumusalam…” Serentak Ina dan
Izaara menjawab.
Abi berdiri di sebelah Izaara. Brian
dipandang atas bawah. “Ini Brian?”
“Saya Muhammad Brian Nur Islam bin
Abdullah.” Brian bangga memperkenalkan nama barunya.
Tidak semena-mena jantung Izaara
berdegup pantas. Mendengar nama Islam Brian menggoncang perasaannya. Peluh mula
terbit. Jari jemarinya menggeletar perlahan. “Dah aku ni kenapa?” Bisik Izaara
dalam hati.
“Akak, betul ke?” Izaara mahu
kepastian lagi.
Ina menarik tangan Izaara dan
membawanya ke bilik. Ina minta Izaara tidak keluar dari bilik. Ina tahu, Izaara
masih terkejut. Dia juga terperanjat. Sanggup Brian tukar agama demi
mendapatkan Izaara. Ini bermakna Brian masuk Islam kerana Izaara. Cintanya yang
mendorong Brian memasuki Islam.
Ina kembali ke ruang tamu. Brian
mengadap kedua orang tuan Izaara.
“Ya, saya masuk Islam kerana Izaara.
Kerana kasih padanya saya sanggup menukar agama.”
Abi
menghela nafas. Pandangannya beralih pada Ina yang berdiri tegak di sudut ruang
tamu. Ina tak beralih memandang penampilan baru Brian. Siap berkopiah. Boleh
tahan juga semangat Brian.
“Tapi itu sebelum saya ke Makkah.
Selepas saya masuk Islam, ada seorang sahabat menyarankan saya ke sana. Dia
hadiahkan tiket kapal terbang. Dia suruh saya tengok ka’bah.
Tapi saya anggap perjalanan itu adalah
sebahagian dari percutian. Kononnya saya nak jadikan pengalaman tu sebagai satu
kebanggaan untuk ditunjukkan kepada Izaara. Tapi bila kaki melangkah masuk ke
masjid, fikiran saya jadi kosong. Saya tak ingat Izaara. Saya tak ingat
Malaysia.
Saya jalan ke hulu hilir di dalam
masjid, saya sesat dirumah Allah. Akhirnya saya kepenatan dan duduk di suatu
tempat untuk beristrirehat. Saya duduk dibalik tiang tu dan hanya melihat orang
sembahyang. Dari Zuhur sampai Subuh.
Saya rasa diri saya kerdil sangat.
Orang lain sibuk menjalankan kewajipan tapi saya hanya memerhati. Saya rasa
hiba dan terus menangis kat tepi tiang tu sebab saya tak tahu sembahyang. Saya
tak tahu pun apa tu kitab al-Quran. Perasaan bersalah menyelubungi diri. Sehinggalah
ada seorang hamba Allah yang baik hati cuba membantu saya di sana.” Brian
menitiskan air mata bila terkenangkan peristiwanya di sana.
Abi serba salah. Bila Brian bercerita
tentang kisah hidupnya, Abi tak berani nak cakap apa-apa pun.
Brian menyeka air mata. “Maaf pak cik,
mak cik. Saya tak ada niat nak cerita panjang lebar.” Brian tarik nafas
dalam-dalam. “Saya datang ke sini cuma nak ucapkan selamat tinggal pada Izaara.
Saya nak balik ke Amerika. Dah agak lama saya tinggalkan keluarga di sana.”
“Betul?”
Brian senyum sambil mengangguk.
“Maaflah kak. Sepanjang tempoh saya di sini, saya selalu ganggu ketenangan akak
dan Izaara. Dah tiba masanya saya lepaskan segalanya.”
Ina sekadar mengangguk.
“Panggilkan Izaara. Brian nak ucap
selamat tinggal tu.” Arah Abi. Belum sempat Ina nak panggil, Izaara keluar dari
biliknya.
“Bila balik ke sini semula?”
“In shaa Allah, bukan untuk masa
terdekat ni. Mungkin lima atau sepuluh tahun lagi. Saya ke sana sebab nak
mendalami agama dengan lelaki yang saya jumpa di Makkah. Juga ada keluarga yang
menanti saya di sana.”
Izaara menelan air liur. Lima atau 10
tahun? Lamanya. “Selamat tinggal Brian.” Itu aje yang Izaara mampu katakan.
Mulutnya ringan pula hari ini. Mungkin sudah terlalu lama dia mahu mengucapkan
ayat yang satu itu.
Brian angguk kepala. Dia memandang
Izaara seketika dan sesungguhnya dia yakin untuk pergi.
Brian toleh arah Abi. “Saya minta diri
dulu pak cik.” Dia menyalami Abi.
Melangkah saja kakinya dihalaman
rumah, Brian melafazkan kata-kata di dalam hati. ‘Demi Allah aku mencintainya keranaMu Ya Allah. Aku berserah kepadaMu
yang maha mendengar, jika terukir namaku dan namanya dilembar takdir yang sama,
walau jauh kami terpisah, satukanlah kami seperti engkau satukan Adam dan Hawa.
Andai dialah jodohku, aku akan menanti dengan sabar. Seandainya dia bukan
untukku, aku reda ketentuanMu.’ Brian menitiskan air mata.