Home Alternatif Alternatif Goji Bundy
Goji Bundy
Riduan A.dullah
26/6/2015 16:20:18
8,433
Kategori: Alternatif
Genre: Alternatif
Meru Ipoh

Meru, Ipoh

Mac 2014.

Lagu: Jon Hopkins – Abandon Window

Satu panggilan telefon, antara dua nyawa, pada bulan ketiga tahunnya. Satu perbualan yang tak tergantung seperti biasa. Kali ini punya kata akhir yang muktamad, yang dipersetujui kedua-duanya. Sudah tiada lagi yang kizib dan semuanya pentan lagi nyata.

Panggilan telefon aku matikan, dan aku masih dalam bilik, sendiri, termangu atau mungkin terkejut. Cuba memakan hadam apa yang didengar. Dan sumpah aku rasa terlalu kosong saat itu. Dan juga untuk jam-jam yang berikutnya. Hampir tiada apa untuk aku tutur katakan. Aku isi beg sandang dengan sehelai dua baju dan berlalu ke muka pintu rumah. Mak baru selesai bersembang, juga menerusi panggilan telefon. Oh, daripada pemanggil yang sama memanggil aku tadi. Dan isi perbualannya juga sama.

--Lin dah telefon kamu?

--Dah. Tadi.

--Habis tu?

--Takpalah. Dah dia nak putus. Banyak kali dah dia minta.

Aku berlalu keluar dari rumah, meninggalkan mak yang masih tercegat di depan pintu. Tiada perbualan panjang antara si anak dan si ibu. Mungkin si ibu terlalu memahami apa yang anaknya rasa, lantas wujud rasa tak sampai hati untuk bersoal jawab panjang atau berbual lanjut. Keadaan yang buatkan aku teringat pada pangilan telefon daripada mak setiap kali aku jauh daripada keluarga, dengan aku dalam keadaan yang resah dan tak menentu. Tanpa perlu diberitahu, mak pasti akan menelefon aku sebelum bertanya “Kamu ni okey ke tak? Duk asyik terlintas muka kamu je ni dalam kepala mak.” Magis bukan? Ya, aku rasa ramai lagi yang pernah mengalami perkara seperti aku. Dan aku masih ingat satu detik, ketika aku kerap berulang-alik ke Kuala Lumpur sewaktu aku masih dalam fasa untuk memulakan perniagaan aku beberapa tahun dahulu. Ketika itu aku di Kuala Lumpur dan aku hantar satu pesanan ringkas pada mak. “Mak, doakanlah adik. Adik dah penat ulang-alik KL ni. Penat sangat.” Pesanan ringkas yang aku hantar melalui telefon bimbit itu dibalas setengah jam kemudian. Bukan isi kandungan balas itu yang buatkan aku terharu, tapi kegigihan mak untuk menaip-balas pada aku. Dengan telefon bimbit Nokia lama yang butangnya perlu ditekan beberapa kali untuk dapatkan satu-satu huruf, sumpah, mak ambil masa yang terlalu lama untuk hasilkan satu SMS. Aku sendiri pernah saksikan. Dan apabila mak membalas pesanan aku itu, aku tahu mak berusaha untuk menaip walaupun dia sedar yang kelajuan menaipnya sangat perlahan. Kau dapat bayang? Seorang perempuan tua yang kurang mahir menggunakan telefon bimbit, cuba sedaya upaya menaip pesanan ringkas semata-mata untuk menenangkan hati anaknya yang hampir putus asa. Itu! Itu perkara yang buat aku tersentuh. Naluri dan usaha seorang ibu. Terlalu memahami dan terlalu berharga. Satu perkara yang aku terima kasihkan, sampai mati.

Itu, dua perkara kecil antara mak dan aku yang terlintas di fikiran sewaktu itu. Dan itu pula, dua panggilan telefon itu adalah detik permulaan putusnya pertunangan aku dengan Lin. Hubungan dan perkenalan lebih 4 tahun dengan ikatan pertunangan yang sepatutnya disudahi, tapi tak sampai di penghujungnya. Oh, ya, berakhir juga, tapi bukan dengan cara yang aku harap-impikan.

Dan yang aku ingat saat itu, aku berdiri betul-betul di tengah jalan di depan rumah. Aku tak tahu nak menghala ke mana dan aku seakan dalam keadaan separuh sedar dengan mata berkaca. Sempat aku toleh ke belakang, melihat mak masih senyap di situ. Aku cuba untuk senyum tapi kalau berjaya pun aku tahu senyum itu tipu. Pada akhirnya, kau dan aku sedar untuk apa dikurniakan sepasang kaki. Untuk berlalu pergi, dan meninggalkan setiap satu kenangan yang menyakitkan hati.

Langkah aku cukup perlahan meninggalkan rumah dengan deretan dan ratusan memori yang kembali tergantung di akal untuk aku tatap. Aku letakkan setiap satu kesalahan di bahu aku. Ya, sejak aku tutup perniagaan Mei 2013, keadaan hidup aku hilang langsung kestabilannya. Perniagaan yang aku bina dengan duit upah mak menjaga budak serta duit yang aku pinjam daripada tok, hanya mampu bertahan selama 4 tahun.

Kalau beberapa bulan lepas aku hilang periuk nasi aku, hari ini aku hilang orang yang aku sayang. Dua kehilangan besar yang cukup untuk beri impak pada aku. Rasa kosong yang seluas-luasnya. Kosong, tapi kosong yang menghuraikan segala rasa dan kosong yang mampu bercerita. Dan ya, sekali lagi aku mahu nyatakan yang aku letak setiap satu kesalah itu di bahu aku. Aku sedikit pun tidak menyalahkan Lin. Aku faham kenapa dia mengambil keputusan itu. Dia punya penyakit Scoliosis dan walaupun pembedahan sudah dibuat, tulang belakangnya tidak 100 peratus lurus, dan dia perlu segera berkahwin dan segera dapatkan zuriat. Sementara dia masih muda dan tulang masih kuat. Dan ya, aku faham situasi itu dan aku tak sampai hati untuk buat dia menunggu lebih lama. Pada akhirnya, aku lepaskan dia dengan harapan dia jumpa seseorang yang mampu menjaganya. Ada pepatah moden daripada insan, kalau kau sayangkan sesuatu, kadang kau perlu lepaskan ia.

Dan buat pemilik pepatah itu, aku sudah realitikan pepatah kau. Dan kau harus sedar, pepatah negatif itu kadang-kala seakan doa bagi insan yang lain.

Lagu: Pg. Lost – Head High

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Riduan A.dullah