Home Alternatif Alternatif Goji Bundy
Goji Bundy
Riduan A.dullah
26/6/2015 16:20:18
8,432
Kategori: Alternatif
Genre: Alternatif
PRA-PERJALANAN

PRA-PERJALANAN

Tanjung Rambutan - Chemor - Meru, May 2013.

Lagu: Yann Tiersen – Point Mort

Kereta yang aku bawa dipandu perlahan melalui jalan-jalan biasa merentasi beberapa buah kampung, ladang, dan kawasan terbiar. Baru sebentar tadi, aku serahkan kembali kunci premis kepada landlordtempat aku menyewa. Lebih 4 tahun aku di premis itu dengan perniagaan yang aku usahakan bersama seorang rakan. Perniagaan yang terpaksa aku tutup dek kerana faktor-faktor yang membataskan dan takdir seakan tak menyebelahi kami. Hilang sudah periuk nasi aku. Sumber rezeki yang bertapak dengan duit pinjaman dan sedikit wang ihsan daripada insan-insan di sekeliling aku. Duit simpanan mak, upah dia menjaga budak dan duit simpanan tok yang dia simpan bagi urusan jenazah, tanah kubur dan upah haji setelah dia pergi nanti. Ya, dengan duit itu aku mulakan segalanya.

Sepanjang perjalanan aku pulang ke rumah melalui jalan yang terlalu jarang aku ambil, air mata deras mengalir. Memikirkan nasib untuk setiap satu saat ke hadapan. Tentang hal-hal punca rezeki yang lain, tentang hal perkahwinan, tentang segalanya.

Diam.

Sunyi. Tanpa jawapan daripada Tuhan.

Seperti yang aku katakan dulu, kau dan aku terlalu rindukan takdir yang menyebelahi diri, tapi takdir itu terlalu jarang untuk kembali.

Sebulan sebelumnya.

Satu tubuh masih melihat helaian-helaian kertas mahjung yang dilekatkan ke dinding yang tertulis strategi begitu dan begini, masih meneliti timbunan kertas yang penuh dengan catatan dan nota kira-kira peribadi. Masih buntu. Masih mencari jawapan. Dengan bebanan liabiliti yang tinggi hingga mencecah 3 ribu ringgit sebulan dan jumlah pendapatan kasar yang juga hampir menyamai nilai yang sama, dia tahu itu bukan aliran tunai yang bagus untuk perniagaan yang sudah merangkak ke usia 5 tahun. Sudah beberapa bulan dia cuba untuk bertahan dengan aliran tunai yang seperti itu. Pendapatan yang merosot secara mendadak selepas berlaku perubahan dalam sistem pendidikan negara dek kerana pertukaran portfolio menteri. Perubahan yang betul-betul memberi kesan kepada perniagaan berskala kecil dan sederhana seperti dia. Perubahan yang cuba dia adaptasikan sesempurna mungkin. Dan hasilnya? Masih kabur. Kekal samar.

Tik tok tik tok.

Waktu yang sudah menghampiri Subuh. Satu lampu kalimantang dan satu kipas dinding masih terpasang. Dan satu tubuh kekal memangku dagu sedari tadi, mencari solusi, sebelum perlahan bangun berdiri dan meja di hadapannya ditumbuk-hentak berkali-kali dan kerusi yang berhampiran disepak-sepak sekuat hati. Melepaskan geram barangkali. Hentakan dan sepakan yang hanya terhenti sesudah dia mula merasa sakit. Satu tubuh yang masih di premis perniagaan miliknya, sendirian tanpa sesiapa. Hanya dikelilingi segala benda yang tak bernyawa. Satu tubuh yang mula menangis dalam marah. Dan satu tubuh itu, adalah aku.

Next: Meru Ipoh

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Riduan A.dullah