PRA-PERJALANAN
Tanjung Rambutan - Chemor - Meru, May 2013.
Lagu: Yann Tiersen – Point Mort
Kereta yang
aku bawa dipandu perlahan melalui jalan-jalan biasa merentasi beberapa buah
kampung, ladang, dan kawasan terbiar. Baru sebentar tadi, aku serahkan kembali
kunci premis kepada landlordtempat
aku menyewa. Lebih 4 tahun aku di premis itu dengan perniagaan yang aku
usahakan bersama seorang rakan. Perniagaan yang terpaksa aku tutup dek kerana
faktor-faktor yang membataskan dan takdir seakan tak menyebelahi kami. Hilang
sudah periuk nasi aku. Sumber rezeki yang bertapak dengan duit pinjaman dan
sedikit wang ihsan daripada insan-insan di sekeliling aku. Duit simpanan mak,
upah dia menjaga budak dan duit simpanan tok yang dia simpan bagi urusan
jenazah, tanah kubur dan upah haji setelah dia pergi nanti. Ya, dengan duit itu
aku mulakan segalanya.
Sepanjang
perjalanan aku pulang ke rumah melalui jalan yang terlalu jarang aku ambil, air
mata deras mengalir. Memikirkan nasib untuk setiap satu saat ke hadapan. Tentang
hal-hal punca rezeki yang lain, tentang hal perkahwinan, tentang segalanya.
Diam.
Sunyi. Tanpa
jawapan daripada Tuhan.
Seperti yang
aku katakan dulu, kau dan aku terlalu rindukan takdir yang menyebelahi diri,
tapi takdir itu terlalu jarang untuk kembali.
Sebulan
sebelumnya.
Satu tubuh
masih melihat helaian-helaian kertas mahjung yang dilekatkan ke dinding yang
tertulis strategi begitu dan begini, masih meneliti timbunan kertas yang penuh
dengan catatan dan nota kira-kira peribadi. Masih buntu. Masih mencari jawapan.
Dengan bebanan liabiliti yang tinggi hingga mencecah 3 ribu ringgit sebulan dan
jumlah pendapatan kasar yang juga hampir menyamai nilai yang sama, dia tahu itu
bukan aliran tunai yang bagus untuk perniagaan yang sudah merangkak ke usia 5
tahun. Sudah beberapa bulan dia cuba untuk bertahan dengan aliran tunai yang
seperti itu. Pendapatan yang merosot secara mendadak selepas berlaku perubahan
dalam sistem pendidikan negara dek kerana pertukaran portfolio menteri.
Perubahan yang betul-betul memberi kesan kepada perniagaan berskala kecil dan
sederhana seperti dia. Perubahan yang cuba dia adaptasikan sesempurna mungkin.
Dan hasilnya? Masih kabur. Kekal samar.
Tik tok tik
tok.
Waktu yang
sudah menghampiri Subuh. Satu lampu kalimantang dan satu kipas dinding masih
terpasang. Dan satu tubuh kekal memangku dagu sedari tadi, mencari solusi,
sebelum perlahan bangun berdiri dan meja di hadapannya ditumbuk-hentak
berkali-kali dan kerusi yang berhampiran disepak-sepak sekuat hati. Melepaskan
geram barangkali. Hentakan dan sepakan yang hanya terhenti sesudah dia mula
merasa sakit. Satu tubuh yang masih di premis perniagaan miliknya, sendirian
tanpa sesiapa. Hanya dikelilingi segala benda yang tak bernyawa. Satu tubuh
yang mula menangis dalam marah. Dan satu tubuh itu, adalah aku.