Meru, Ipoh
Mac 2014.
Lagu: Jon Hopkins – Abandon Window
Satu
panggilan telefon, antara dua nyawa, pada bulan ketiga tahunnya. Satu perbualan
yang tak tergantung seperti biasa. Kali ini punya kata akhir yang muktamad,
yang dipersetujui kedua-duanya. Sudah tiada lagi yang kizib dan semuanya pentan
lagi nyata.
Panggilan
telefon aku matikan, dan aku masih dalam bilik, sendiri, termangu atau mungkin
terkejut. Cuba memakan hadam apa yang didengar. Dan sumpah aku rasa terlalu kosong
saat itu. Dan juga untuk jam-jam yang berikutnya. Hampir tiada apa untuk aku
tutur katakan. Aku isi beg sandang dengan sehelai dua baju dan berlalu ke muka
pintu rumah. Mak baru selesai bersembang, juga menerusi panggilan telefon. Oh,
daripada pemanggil yang sama memanggil aku tadi. Dan isi perbualannya juga
sama.
--Lin dah
telefon kamu?
--Dah. Tadi.
--Habis tu?
--Takpalah.
Dah dia nak putus. Banyak kali dah dia minta.
Aku berlalu
keluar dari rumah, meninggalkan mak yang masih tercegat di depan pintu. Tiada
perbualan panjang antara si anak dan si ibu. Mungkin si ibu terlalu memahami
apa yang anaknya rasa, lantas wujud rasa tak sampai hati untuk bersoal jawab
panjang atau berbual lanjut. Keadaan yang buatkan aku teringat pada pangilan
telefon daripada mak setiap kali aku jauh daripada keluarga, dengan aku dalam
keadaan yang resah dan tak menentu. Tanpa perlu diberitahu, mak pasti akan
menelefon aku sebelum bertanya “Kamu ni okey ke tak? Duk asyik terlintas muka
kamu je ni dalam kepala mak.” Magis bukan? Ya, aku rasa ramai lagi yang pernah
mengalami perkara seperti aku. Dan aku masih ingat satu detik, ketika aku kerap
berulang-alik ke Kuala Lumpur sewaktu aku masih dalam fasa untuk memulakan
perniagaan aku beberapa tahun dahulu. Ketika itu aku di Kuala Lumpur dan aku
hantar satu pesanan ringkas pada mak. “Mak, doakanlah adik. Adik dah penat
ulang-alik KL ni. Penat sangat.” Pesanan ringkas yang aku hantar melalui
telefon bimbit itu dibalas setengah jam kemudian. Bukan isi kandungan balas itu
yang buatkan aku terharu, tapi kegigihan mak untuk menaip-balas pada aku.
Dengan telefon bimbit Nokia lama yang butangnya perlu ditekan beberapa kali
untuk dapatkan satu-satu huruf, sumpah, mak ambil masa yang terlalu lama untuk
hasilkan satu SMS. Aku sendiri pernah saksikan. Dan apabila mak membalas
pesanan aku itu, aku tahu mak berusaha untuk menaip walaupun dia sedar yang
kelajuan menaipnya sangat perlahan. Kau dapat bayang? Seorang perempuan tua
yang kurang mahir menggunakan telefon bimbit, cuba sedaya upaya menaip pesanan
ringkas semata-mata untuk menenangkan hati anaknya yang hampir putus asa. Itu!
Itu perkara yang buat aku tersentuh. Naluri dan usaha seorang ibu. Terlalu
memahami dan terlalu berharga. Satu perkara yang aku terima kasihkan, sampai
mati.
Itu, dua perkara
kecil antara mak dan aku yang terlintas di fikiran sewaktu itu. Dan itu pula,
dua panggilan telefon itu adalah detik permulaan putusnya pertunangan aku
dengan Lin. Hubungan dan perkenalan lebih 4 tahun dengan ikatan pertunangan
yang sepatutnya disudahi, tapi tak sampai di penghujungnya. Oh, ya, berakhir
juga, tapi bukan dengan cara yang aku harap-impikan.
Dan yang aku
ingat saat itu, aku berdiri betul-betul di tengah jalan di depan rumah. Aku tak
tahu nak menghala ke mana dan aku seakan dalam keadaan separuh sedar dengan
mata berkaca. Sempat aku toleh ke belakang, melihat mak masih senyap di situ.
Aku cuba untuk senyum tapi kalau berjaya pun aku tahu senyum itu tipu. Pada
akhirnya, kau dan aku sedar untuk apa dikurniakan sepasang kaki. Untuk berlalu pergi,
dan meninggalkan setiap satu kenangan yang menyakitkan hati.
Langkah aku
cukup perlahan meninggalkan rumah dengan deretan dan ratusan memori yang
kembali tergantung di akal untuk aku tatap. Aku letakkan setiap satu kesalahan
di bahu aku. Ya, sejak aku tutup perniagaan Mei 2013, keadaan hidup aku hilang
langsung kestabilannya. Perniagaan yang aku bina dengan duit upah mak menjaga
budak serta duit yang aku pinjam daripada tok, hanya mampu bertahan selama 4
tahun.
Kalau
beberapa bulan lepas aku hilang periuk nasi aku, hari ini aku hilang orang yang
aku sayang. Dua kehilangan besar yang cukup untuk beri impak pada aku. Rasa
kosong yang seluas-luasnya. Kosong, tapi kosong yang menghuraikan segala rasa
dan kosong yang mampu bercerita. Dan ya, sekali lagi aku mahu nyatakan yang aku
letak setiap satu kesalah itu di bahu aku. Aku sedikit pun tidak menyalahkan
Lin. Aku faham kenapa dia mengambil keputusan itu. Dia punya penyakit Scoliosis
dan walaupun pembedahan sudah dibuat, tulang belakangnya tidak 100 peratus
lurus, dan dia perlu segera berkahwin dan segera dapatkan zuriat. Sementara dia
masih muda dan tulang masih kuat. Dan ya, aku faham situasi itu dan aku tak
sampai hati untuk buat dia menunggu lebih lama. Pada akhirnya, aku lepaskan dia
dengan harapan dia jumpa seseorang yang mampu menjaganya. Ada pepatah moden
daripada insan, kalau kau sayangkan sesuatu, kadang kau perlu lepaskan ia.
Dan buat
pemilik pepatah itu, aku sudah realitikan pepatah kau. Dan kau harus sedar,
pepatah negatif itu kadang-kala seakan doa bagi insan yang lain.
Lagu: Pg. Lost – Head High