Home Novelet Seram/Misteri ANAK PATUNG NANA
ANAK PATUNG NANA
Suzani Nadzir Mohd Nadzir
2/7/2015 11:44:57
11,603
Kategori: Novelet
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
PROLOG

PROLOG


NANA membatukan dirinya di dalam kamar kecil itu. Senja kian menjengah tiba. Cahaya jingga menyelinap masuk ke dalam kamar itu melalui celahan tirai jendela. Air mata sudah kering di pipinya.

“Awak sedih?” sapa satu suara yang tiba-tiba muncul di sebelahnya.

Nana menoleh ke arah suara itu. Puteri tersenyum memandangnya. Matanya terpaku pada raut wajah yang pucat di hadapannya. Puteri sudah kembali! Raut wajah gembira menghiasi wajah comel itu. Nana menganggukkan kepalanya sambil memandang wajah Puteri. Dia sungguh merindui Puteri.

“Saya sedih. Papa selalu pukul saya. Papa tak sayangkan saya,” ucap Nana perlahan. Pandangannya dihalakan ke wajah Puteri.

“Kalau awak sedih, saya pun sedih. Janganlah sedih,” pujuk gadis itu lagi. Nana menguntumkan senyuman paksa. Dan mereka sama-sama tersenyum memandang satu sama lain.

“Awak nak ikut saya pergi ke satu tempat tak? Takde siapa yang akan pukul awak lagi lepas ni. Dan yang penting, tiada siapa yang boleh pisahkan kita lagi selepas ini,” gadis beraut wajah pucat itu sekali lagi bersuara.

Nana termangu seketika sebaik mendengar pelawaan gadis kecil itu. Perlahan-lahan dia menganggukkan kepalanya. Puteri tersenyum senang.

Nana membuka pintu utama kondominium itu perlahan-lahan. Ibunya tiada di situ. Ke mana ibunya pergi pun tidak diketahui oleh Nana. Puteri masih setia di sisi Nana. Nana mengikut arah tuju yang dibawa oleh gadis kecil berwajah pucat itu.

Butang lif segera ditekan. Nana berdiri tegak di hadapan pintu lif tersebut sambil memimpin tangan Puteri dengan erat.

Ting!

Pintu lif itu terbuka luas di hadapan Nana dan Puteri. Gadis kecil berwajah pucat itu memimpin tangan Nana masuk ke dalam lif. Seketika, kedua-dua mereka hilang daripada pandangan.

Pandangan Nana terarah pada sebuah kolam renang yang disediakan untuk orang dewasa di hadapannya. Sesekali keningnya berkerut rapat. Pelik, Puteri nak bawak aku pergi mana, soal Nana di dalam hati.

Gadis kecil berwajah pucat itu menghulurkan tangannya ke arah Nana. “Awak janji nak ikut sayakan?” soalnya sambil tersenyum. Nana merenung tepat ke wajah gadis kecil di hadapannya. Kepalanya dianggukkan perlahan-lahan.

“Tapi, awak nak bawa saya ke mana?” Nana memandang Puteri. Dia tidak pernah datang ke kolam renang itu bersama-sama dengan Puteri sebelum ini. Puteri tersenyum sumbing.

Tangannya diangkat dan jarinya dihalakan ke dasar ,kolam renang itu. “Saya nak bawak awak pergi situ,” satu senyuman dilemparkan ke arah Nana.

Nana memandang wajah pucat gadis itu dengan pandangan yang penuh kehairanan. Gadis kecil berwajah pucat itu masih tersenyum. Perlahan-lahan dia menghulurkan kedua-dua belah tangannya kepada Nana. Nana menyambut tangan itu sambil tersenyum.

“Tiada siapa yang akan pisahkan kita lagi selepas ini. Kita akan bersama-sama selama-lamanya,” ucap Puteri dengan senyuman manis tersungging di bibirnya.

BUMMM!!! Percikan air memercik membasahi pinggiran kolam renang itu. Air kolam itu berkocak ganas…

Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.