Home Cerpen Cinta TEMBIKAI DAN MADU
TEMBIKAI DAN MADU
Suzani Nadzir Mohd Nadzir
10/8/2015 12:28:39
6,998
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta


“Kau dengan aku macam tembikai dengan madu,” ujar Dian sambil menunjukkan sehiris tembikai yang ditaburi dengan serbuk asam boi kepada Syabil.

Syabil mengerutkan keningnya sambil memandang tepat ke wajah Dian. Tembikai yang sudah dihiris kecil-kecil itu ditilik. Madu yang dicurahkan ke atas lempeng di dalam pinggan di hadapannya diperhatikan.

“Maksud kau?” soal Syabil.

Dian membetulkan tudungnya yang rosak ditiup angin pantai. Dia berdehem perlahan sebelum menyambung kata-kata. Muka Syabil ditilik dalam-dalam.

“Kau memang failed sastera eh? Berapa kau dapat masa SPM?”

“Heh, cikgu aku tak ajar perumpamaan pasal madu tembikai bagai ni. Cikgu kau ajar kot,” tungkas Syabil. Lempeng di dalam pinggan dipotong kecil-kecil sebelum dicicah dengan madu.

Dian menggelengkan kepala.

“Aku kan sebenarnya tak sukalah orang asyik nak satukan kita berdua. Tembikai dengan madu mana boleh campur. Boleh mabuk tahu?” seloroh Dian.

Syabil merenung wajah Dian yang tunduk memandang tembikai di dalam plastik. Entah kenapa kata-kata Dian seperti menghiris hatinya.

“Maksud kau kita tak sesuai?” tebak Syabil. Hatinya berdebar menunggu jawapan Dian.

“Yesss! Akhirnya kau faham jugak! Kau imagine, kita sama kelas, sama group, sama hobi. Mana aku ada kau ada, mana aku pergi kau pergi. Eh, bosan tau kalau kena hadap muka sama dua puluh empat jam!” jawab Dian sambil bertepuk tangan. Tawa besar meletus dari bibir mungilnya. Dia tidak faham kenapa kebanyakan orang suka menyatukan dirinya dengan Syabil.

Syabil terdiam seraya melepaskan pandangan ke laut yang luas terbentang di hadapannya. Lempeng di hadapannya ditolak ke tepi.

Dian masih lagi ketawa.

“Kau mesti setuju dengan aku kan? Tak sesuai!” sambung Dian dengan tawa yang masih bersisa.

Syabil hanya mendiamkan diri. Sesudu madu dikaut dan dipandang sepi.

“Eh, jom balik. Dah lewat ni. Aku nak siapkan assignment lagi ni,” ajak Dian yang telahpun bingkas bangun daripada kerusi batu.

Syabil memerhatikan langkah Dian yang bersahaja. Madu yang dikaut dibuang ke atas pasir pantai. Melekit-lekit dan akhirnya ditutupi pasir…

*****

“Dian, bos suruh kita standby meeting dekat Avenue Corporation. Dia lambat sikit. Jom gerak dulu.”

Azian mencapai beg tangan dan mengepit beberapa keping fail di lengannya. Dian menoleh ke arah Azian . Helaian kertas putih di tangannya dimasukkan kembali ke dalam fail di atas meja.

“Oh okey. Kau drive eh?” Dian menjeling ke arah Azian yang sudah menunggu di muka pintu.

Azian menganggukkan kepalanya. Kunci kereta di tangannya digoyang-goyangkan.

“Dah ready mem!”

Dian ketawa riang sambil berjalan menghampiri Azian. Kedua-duanya meninggalkan bangunan tersebut beberapa minit kemudian.

“Siapa yang akan lead meeting ni, Yan? “ soal Dian ketika mereka berdua terperangkap di dalam kesesakan jalanraya. Matahari sudah terpacak di atas kepala.

Azian mengetuk stereng kereta dengan jari. Matanya dikecilkan.

“Tak silap aku, someone nama Syabil. Something like that.”

Dian tergamam. Matanya bulat memandang ke hadapan. Azian menjeling ke arah Dian yang membisu tiba-tiba. Kening Azian berkerut rapat.

“Mungkin Syabil lain…” bisik Dian. Tangannya digenggam erat. Hatinya terasa berdebar.

“Kau kenapa?” sergah Azian.

Dian tercengang memandang Azian. Kepalanya digeleng-gelengkan.

“Tak ada apa-apalah.”

Azian menghadap semula jalanraya di hadapannya. Sesekali bibirnya mendecit. Kenderaan bergerak perlahan di seluruh arah.

“Pukul berapa nak sampai ni…” bebel Azian. Jam di pergelangan tangannya dijeling.

Dian hanya mendiamkan diri. Fikirannya sudah jauh melayang. Syabil…

*****

Ruang legar lapangan terbang itu sesak dengan pengunjung yang sedang menunggu masa penerbangan masing-masing. Syabil duduk berteleku di sebuah bangku sambil menatap skrin telefon bimbitnya. Nombor telefon yang terpampang di atas skrin telefonnya dipandang sepi. Dibiarkan deringan itu mati sendiri.

Syabil mengeluh panjang. Telefon yang berdering sekali lagi menyentak ketenangan Syabil. Kali ini dia tidak sampai hati mahu membiarkan panggilan itu putus tanpa jawapan. Butang hijau ditekan. Corong telefon ditekapkan ke telinga.

“Syabil! Sampai hati kau nak pergi oversea tak bagitahu aku!” sergah Dian sebaik panggilan dijawab.

Syabil diam tidak berkutik. Pandangannya berbalam-balam. Hati lelakinya seperti mahu menangis.

“Syabil! Kau dengar tak ni? Hello?” Dian masih bersuara di hujung telefon.

Syabil menelan air liur. Bibirnya terketar-ketar. “Aku dengar… Sorry sebab tak bagitahu kau. Aku takut ganggu kau.”

“Apa yang kau merepek ni? Ganggu apa? Since when wujud perkataan ganggu antara kau dengan aku?” soal Dian bertubi-tubi. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang dia dengar. Syabil sudah meletakkan jarak yang jauh di antara mereka berdua.

“Look, aku tak tahu apa masalah kau. Aku call kau tak jawab. Whatsapp tak reply. Sms jauhlah sekali. Ni tiba-tiba kau nak pergi oversea. Aku ada buat salahke?” tebak Dian bertubi-tubi.

Syabil memegang kepalanya sendiri. Jawapan untuk soalan Dian ada, tetapi di sudut hati. Soalan Dian dibiarkan tergantung.

“Aku dah nak fly. Kau jaga diri kau elok-elok. Aku dah tak ada dekat dengan kau. Jangan cuai. Makan jangan comot. Lagi satu, bunga ros biru susah nak cari. Jangan paksa Malikie cari,” ucap Syabil dengan nada yang bergetar. Ada tangisan yang cuba dilindung. Serentak dengan itu, talian diputuskan.

Dian memandang skrin telefon yang sudah gelap. Tangisan yang berhamburan keluar selebat hujan yang mencurah di luar…

*****

Bilik mesyuarat yang berukuran memanjang itu sudah dipenuhi dengan wakil-wakil syarikat yang sudah bersedia dengan pembentangan plan projek masing-masing. Dian mendapatkan tempat duduk yang bertentangan dengan pintu masuk bersama-sama dengan Azian. Majikannya juga sudah berada di dalam bilik yang sama.

Suasana agak bising dengan suara setiap ahli mesyuarat yang terlibat. Semua kelihatan fokus dengan pembentangan masing-masing untuk memastikan syarikat mereka terpilih di dalam projek terbaru.

Pintu yang dibuka menarik perhatian semua. Suasana terus sunyi. Hanya bunyi derapan kasut kedengaran memasuki ruangan bilik mesyuarat itu. Dian masih tunduk menatap nota di hadapannya.

“Assalamualaikum dan selamat tengahari. Maaf terlambat sedikit. Saya Syabil, wakil untuk Avenue Corporation,” suara itu memperkenalkan diri.

Dian terkesima. Suara itu pernah didengar sebelum ini. Suara yang selalu dicari setiap kali dirinya ingin meluahkan rasa. Orang yang sentiasa dicari setiap kali ingin berkongsi rasa gembira. Dian segera berpaling ke arah suara itu. Matanya terbuntang luas.

Syabil menghampiri Dato’ Jalal yang sedang berbual dengan pengarah Avenue Corporation sebaik selesai mesyuarat.

“Tahniah Dato’. Pembentangan syarikat Dato’ sangat menarik. Tunggulah keputusan yang akan dikeluarkan oleh pihak kami dalam seminggu lagi,” ujar Syabil sambil melemparkan senyuman manis.

Dato’ Jalal tersenyum mendengar pujian Syabil. “Itu semua usaha Dian dan Azian. Mereka memang letak 200% untuk projek ini.”

Syabil terdiam saat mendengar nama Dian disebut. Wajah Dian yang terkejut memandangnya terbayang di minda Syabil. Kelibat Dian diintai dicelah orang ramai.

“Dian, kenapa kau nampak macam nervous ni?” bisik Azian sambil menghulurkan segelas jus oren kepada Dian.

Dian menyambut gelas tersebut dengan pandangan kosong. Senyuman yang diukirkan kepada setiap hadirin terasa palsu. Hatinya sebak. Sedaya upaya ditahan supaya air matanya tidak tumpah di khalayak ramai.

“Aku nak balik. Tiba-tiba rasa tak sihat,” jawab Dian seraya melangkah pergi. Gelas berisi jus oren dibiarkan di atas meja. Ais yang memenuhi gelas tersebut mula mencair dan menitik membasahi permukaan meja.

Syabil memerhatikan langkah Dian dari jauh. Dia terasa ingin menegur gadis itu tetapi ada sesuatu yang menghalangnya.

“Sayang, dah habis meetingkan? I laparlah. Jom teman I makan,” satu suara menjengah di tengah keriuhan orang ramai.

Syabil memandang ke kanan. Wajah Jasmin yang sedang tersenyum melirik dipandang. Lengannya dicapai Jasmin dengan gaya yang sengaja dimanjakan. Syabil tidak selesa dengan situasi itu. Tangan Jasmin ditepis.

“Kenapa dengan you ni!” marah Jasmin. Syabil tidak pernah menolak dia sebelum itu. Wajah Syabil kemerah-merahan menahan malu. Walaupun Jasmin anak kepada pengarah besar Avenue Corporation, dia tidak berasa selesa dengan keadaan itu.

Syabil membisu di tengah keriuhan orang ramai. Hatinya seperti sebu. Wajah Dian bermain di fikirannya.

*****

Malikie menunggu Dian di sebuah restoran makanan barat sambil membaca berita online di dalam telefon bimbitnya. Sesekali dia menjeling pada jam di pergelangan tangannya. Dian lewat daripada waktu yang sepatutnya.

Dian berjalan tergopoh-gopoh menuju ke restoran Tony Roma’s. Mukanya agak gelabah memandangkan dia sudah lewat setengah jam daripada waktu yang sepatutnya.

“Malikie mesti bising,” bisik Dian di dalam hati. Nafas ditarik dalam-dalam. Kekuatan cuba dicari untuk menghadap Malikie.

Kelibat Malikie sudah dapat diintai dari jauh. Kaki Dian semakin laju melangkah menghampiri Malikie yang sudah berubah kelat air mukanya.

“Sorry lambat,” sapa Dian sebaik mendekati Malikie.

Malikie mendongak memandang Dian sebaik disapa oleh tunangnya. Air mukanya kelihatan agak keruh. Telefon bimbitnya diletakkan ke atas meja.

Dian menarik kerusi dan melabuhkan punggungnya di hadapan Malikie. Bibirnya dikemam. Dia menyedari kelewatan yang disebabkan oleh dirinya.

“Kenapa lambat sangat? Dah setengah jam I tunggu,” Malikie sudah mula menunjukkan api kemarahan kepada Dian.

Dian mengutis menu yang ada di hadapannya. “Sorry, tadi jem. Hujan lebat kat luar.”

Malikie mendengus marah. Menu di hadapannya dibuka kasar. Pelayan dipanggil sebaik menu dipilih. Tiada soalan diajukan kepada Dian. Apa yang dipilih, itu yang harus diterima oleh Dian.

Dian menjeruk rasa. Sikap Malikie jauh berbeza dari sikap Syabil. Tidak dapat tidak dia teringatkan lelaki itu.

“Aku nak makan sushi!” ujar Dian kepada Syabil sebaik selesai menonton wayang.

Syabil menarik rambut sendiri. Sudahlah dipaksa menonton wayang The Despicable Me-Minion. Kali ini dia terpaksa mengikut kehendak Dian yang mahu menjamah sushi.

“Ala… aku tak rasa nak jadi orang Jepun hari ni. Jomlah jadi orang Melayu tulen. Nasi melambai-lambai ni,” pujuk Syabil. Perutnya benar-benar berkeroncong.

Dian menarik muka masam. Dia berjalan laju menjauhi Syabil. Langkahnya menonong tidak ada arah.

“Wey minion! Babababa! Oklah! Watashi mau makan sushi hait!” pujuk Syabil dari belakang.

Dian tersengih nakal. Taktiknya menjadi!

“Yes! Jom! Sushi King ada bonanza!” ujar Dian seraya berlari anak menuju ke restoran Sushi King di hadapan mereka. Syabil turut berlari menuruti langkah Dian.

“Kejam betullah kau ni. Aku nak makan nasi…” bebel Syabil kepada Dian yang asyik melihat pinggan-pinggan sushi yang berlegar-legar di hadapan mereka. Sepinggan sushi dicapai dan diletakkan di atas meja.

Sekali lagi Dian berteleku di hadapan papan yang berpusing membawa piring-piring berisi sushi. Syabil melihat ke atas meja yang sudah hampir dipenuhi dengan sushi.

“Hoi, ni sapa nak makan! Bagi habis yang ni dululah!” marah Syabil. Pelbagai jenis sushi berada di hadapan mereka.

Dian tersengih sambil menatang satu piring sushi di hadapan Syabil. “Ni feveret kau kan?”

Syabil memandang ke dalam pinggan. “Memanglah feveret aku. Tapi aku nak nasi…”

Dian mencebik. “Ni nasi la ni! Ke kau nampak macam pizza?”

“Cakap dengan kau memang tak menang. Lawyer tak jadi. Ni sapa nak makan banyak-banyak ni. Kau bawak saka ke?” perli Syabil kepada Dian yang sudah mengunyah seketul sushi.

“Oi banyak kau punya saka! Makanlah!” marah Dian dengan mulut yang sudah dipenuhi sushi. Beberapa biji nasi tersembur ke muka Syabil.

“Teruk betulla pompuan ni! Separuh sushi masuk perut kau. Separuh lagi selamat mendarat atas muka aku!” bebel Syabil sambil mengesat sisa nasi yang terlekat di mukanya.

Dian ketawa besar. Nafasnya tercungap-cungap. Segelas air teh hijau sejuk dicapai dan dihirup. Nafasnya kembali lancar. Syabil turut ketawa dengan gelagat Dian.

Tak senonoh tetapi menghiburkan, fikir Syabil.

Malikie memerhati Dian yang jauh dihanyut lamunan. Sesekali senyuman terukir di wajah manis itu. Malikie berkerut hairan.

“Kenapa senyum-senyum ni?” soal Malikie.

Dian tergamam. Kenangan bersama Syabil terbang begitu sahaja. Hati Dian menjadi walang.Dirinya seperti palsu di hadapan Malikie. Tidak seperti bila dia bersama dengan Syabil. Dian mengeluh. Hatinya rindukan lelaki itu…

*****

Seminggu sudah berlalu. Berita mengenai syarikat yang dipilih untuk menerima tender projek masih tidak kunjung tiba. Dian pasrah sekiranya itu bukan rezeki mereka.

Tetapi dengan tiba-tiba Azian berlari masuk ke dalam bilik Dian dengan air muka yang sangat gembira.Bunyi hentaman tumit kasutnya di atas lantai begitu membingitkan. Mujur juga lantai itu dilapik dengan permaidani nipis.

“Dian!”

Jeritan Azian megejutkan Dian yang asyik menaip. “Kenapa?”

Dian menatap wajah Azian dengan persoalan. Azian menarik nafas panjang sambil mencapai kerusi di hadapan meja Dian.

“Tender! Kita berjaya dapat tender projek tu!” ujar Azian yang sudah duduk di atas kerusi tersebut.

“Serius?” soal Dian kembali. Wajah itu mula kelihatan gembira. Tetapi kembali suram selepas itu.

Azian memerhatikan perubahan wajah Dian dengan rasa hairan.

“Kau nampak macam tak happy. Kenapa?” soal Azian kembali.

Dian menggelengkan kepala. “Eh, mana ada aku tak happy. Mestilah aku happy. Ni kan projek besar.”

Hati Dian mula menangis. Dia harus belajar menerima hakikat yang Syabil akan kembali di dalam hidupnya. Kepala Dian menjadi sakit. Perasaannya sukar ditafsirkan. Dia gembira melihat Syabil, tetapi pandangan dingin lelaki itu kepadanya pada hari mesyuarat menjadikan dirinya terasa sudah dibuang jauh dari hati lelaki itu.

“Oh, tengahari ni kita ada lunch dengan En. Syabil. Untuk perbincangan mengenai tender tu. Pukul 12.00 kita keluar,” sambung Azian seraya menapak keluar daripada ruangan bilik itu.

Dian memandang dengan suara yang tersekat di kerongkong.

“Kau nampak tak En. Syabil?” soal Azian sebaik mereka sampai di hadapan restoran Sushi King. Syabil telah menetapkan pertemuan mereka di situ.

Dian terlongo di hadapan premis restoran itu dengan rasa sebal yang mula bertakung di dada. Syabil masih ingat makanan kegemaran aku… bisik Dian.

“Ha, tu dia. Jom!” ujar Azian sambil menarik tangan Dian. Syabil sudah sedia menunggu di dalam premis tersebut. Beberapa pinggan sushi sudah kelihatan di atas meja.

Dian tercengang saat terpandang sepinggan sushi yang dipilih oleh Syabil. Hatinya menangis sendiri. Kenangan bersama Syabil melintas di fikiran Dian. Setiap yang pernah menjadi kegemaran Dian masih diingati Syabil.

“Ini kerabu sotong!” ujar Syabil dengan yakin.

“Sedih betullah kau ni!” Dian mencebik. Sepinggan Goma Tare Ika ditolak ke hadapan Syabil.

“Ini namanya tsumami goma tare ika!” sambung Dian.

Syabil memegang kedua belah pipinya dengan mata yang sengaja dibulatkan. “Tsunami?”

Dian memegang kayu chopstick dengan wajah kegeraman. “Kau ni karang aku cicah dalam kicap masin ni kang!”

Ketawa meletus daripada bibir Syabil.

“Dian, duduklah. Kenapa berdiri je,” bisik Azian kepada Dian yang masih berdiri kaku di hadapan mereka. Kenangan itu pecah berderai.

Syabil hanya memerhatikan tingkah laku Dian yang tidak ceria seperti dahulu.Tanggapan Syabil bahawa Dian akan gembira sebaik menjalinkan hubungan dengan Malikie seakan-akan tersasar.

“Ha? Oh maaf,” sahut Dian dengan suara yang tidak bersemangat. Lamunannya terganggu. Pandangannya ditundukkan apabila matanya berlaga dengan Syabil. Dia terasa seperti orang asing di hadapan lelaki yang pernah berkongsi segala-galanya suatu masa dahulu.

Perbincangan mengenai projek yang akan dijalankan oleh syarikat mereka dijalankan secara serius. Dian menumpukan sepenuh perhatian terhadap perbincangan itu. Syabil juga seperti tidak mempedulikan tentang hal masa lalu mereka. Hati Dian semakin terasa jauh.

“Saya nak pergi ke ladies kejap. En. Syabil berbuallah dulu dengan Dian ya,” ujar Azian. Dian memandang langkah Azian dengan hati terbuku. Dia tidak selesa ditinggalkan berdua dengan Syabil begitu. Ada rasa janggal di antara mereka.

“Kau sihat?” soal Syabil sesudah agak lama dibaluti kebisuan.

Dian tergamam. Kepalanya dianggukkan perlahan. “Kau?”

Syabil tersenyum. Cincin yang tersarung di jari manis Dian diperhatikan. Hatinya berbunga rasa cemburu terhadap lelaki yang berjaya mengikat Dian. “Aku sihat.”

Kedua-duanya berbalas senyuman. Suasana sunyi kembali.

“Kau dah bertunang?” soal Syabil lagi.

Dian sekali lagi tergamam. Kilauan batu permata yang bertaburan pada sebentuk cincin yang tersarung di jari manisnya diperhatikan. “Ya.”

Syabil tunduk memandang meja. “Tahniah. Dengan Malikie?”

Dian menganggukkan kepala. Senyuman tawar dilemparkan kepada Syabil. Hati Dian menangis sayu…

*****

Syabil berdiri di hadapan pintu gelongsor. Langit malam kelihatan bercahaya ditaburi bintang-bintang. Sinaran bintang itu mengingatkan dia pada sebentuk cincin yang tersarung di jari manis Dian.

Dian yang dia kenal dahulu sukakan sesuatu yang tidak menonjol. Tetapi, mungkin minat Dian sudah berubah seiring masa.

“Aku suka cincin yang tak nampak sarat sangat,” ujar Dian sambil menilik pamplet yang diambil daripada Habib Jewels.

Syabil turut menjenguk sama ke dada pamplet tersebut. “Cincin yang tak sarat tu macam mana?” soal Syabil.

“Haish. Yang macam ni ha. Batu permata dia ada satu je,” jawab Dian seraya menunjuk gambar sebentuk cincin bertatah sebiji batu permata.

Syabil menganggukkan kepalanya. Pamplet itu disimpan kemas di celah buku rujukannya.

Bunyi deringan telefon mencantas lamunan Syabil. Telefon itu dicampak ketepi. Panggilan daripada Jasmin dibiarkan tidak berjawab. Dia rimas dengan gadis tersebut yang sering menganggap dirinya sebagai teman lelakinya.

Syabil berjalan memasuki bilik tidurnya. Sekeping pamplet yang tersisip kemas di celah buku dicapai. Gambar sebentuk cincin bertatah sebiji batu permata itu diperhatikan sekali lagi.

“Mungkin Dian sudah bertukar selera…” Syabil berbisik sendiri. Lampu bilik itu dipadamkan. Syabil cuba melelapkan matanya walaupun jiwanya terseksa.

*****

Dian termenung di hadapan pintu kaca. Cincin yang sarat dengan kilauan batu permata dibelek perlahan. Ini bukan pilihannya. Tetapi pilihan Malikie beberapa minggu sebelum majlis pertunangan mereka.

“I suka yang ni,” ujar Dian ketika sedang memilih cincin pertunangan di antara dirinya dan Malikie.

Malikie menjeling seraya menggelengkan kepala. “No, I tak setuju. Ringkas sangat. Yang ni cantik.”

Cincin yang sarat dengan batu permata itu ditunjuk kepada Dian sebaik dikeluarkan daripada dulang cincin. Dian memandang tanpa sebarang riak.

Dia tidak boleh membantah kata-kata Malikie. Putih katanya, putihlah yang harus dipilih oleh Dian. Dan kini, cincin tersebut sudah disarungkan ke jari manisnya.

“Dian,” sapa satu suara.

Dian berpaling ke belakang. Wajah ibunya menangkap penglihatannya. Dian tersenyum tawar.

“Termenung apa tu?” soal Zaharah lembut. Bahu Dian disentuh mesra.

Dian tersenyum sambil berkalih ke hadapan semula. Pandangannya kembali dihalakan pada kolam ikan buatan yang dibina di sebelah banglo itu.

“Mommy, Syabil balik…” ucap Dian sayu. Air mata yang ditahan menitik juga.

Zaharah terdiam mendengar nama Syabil. Cincin yang tersarung di jari manis Dian diperhatikan. Dia tahu Dian tidak bahagia.

Senyuman Dian sudah mati bersama-sama pemergian Syabil yang mendadak. Tiada ribut tiada angin.

Tangisan Dian saat Syabil meninggalkan negara ini beberapa tahun yang lepas masih mampu didengari.

“Mommy… Syabil dah pergi!” teriak Dian pada satu malam.

Zaharah terkebil-kebil mendengar teriakan Dian yang bersulam dengan tangisan. Air mata membasahi pipi gadis itu.

“Pergi mana?” soal Zaharah cemas. Dia kenal Syabil. Pemuda yang berkawan rapat dengan Dian.

Dian berlari merapati Zaharah. Mukanya disembamkan ke atas bahu ibunya.

“Mommy, Syabil dah tinggalkan Dian! Dian dah hilang Syabil!” adu Dian. Tangisan sayu masih kedengaran.

Zaharah menggosok belakang Dian dengan lembut. “Malikie kan ada?”

Dian terdiam. Tangisannya berhenti. Kepalanya kosong. Di saat itu dia sedar, Malikie tidak akan mampu menandingi Syabil. Dan mulai hari itu, senyuman Dian mati.

*****

Projek yang diterima oleh syarikat mereka berjalan dengan lancar. Tetapi ada kejanggalan di antara Syabil dan Dian. Masing-masing seperti berlagak profesional tetapi kelihatan kekok di mata Azian.

"Ada apa sebenarnya di antara kau dengan Syabil?" soal Azian pada satu petang.

Dian terdiam dengan soalan Azian. Air kopi di dalam cawan dikacau perlahan dengan sudu kecil. Sudah ditambah gula tetapi tetap pahit di tekak Dian.

"Dia sahabat aku satu ketika dulu. Tetapi tidak sekarang. Dia menjauhkan diri daripada aku. Aku sendiri tak tahu kenapa," Dian akhirnya berterus-terang. Dia sudah cuba bertindak profesional tetapi gagal.

"Aku nampak Syabil macam sukakan kau. Kau pun sama?" tebak Azian. Dia yakin telahannya tidak salah. Bahasa tubuh Syabil dan Dian menguatkan tekaanya.

Dian melepaskan sudu di tangannya. Tangannya menekup muka sendiri.

"Aku keliru. Aku tak ada rasa cinta pada Malikie. Aku rindukan Syabil yang dulu..."

Azian terdiam selepas mendengar cerita Dian. Kejanggalan yang tercipta di antara Dian dan Syabil akhirnya terjawab juga. Kepalsuan hubungan di antara Dian dan Malikie juga turut terbongkar.

“Maksudnya, kau tak cintakan Malikie?” soal Azian.

Dian mengangguk lesu. Itu hakikat. Dia tidak boleh menjadi dirinya setiap kali bersama dengan Malikie. Tidak seperti saat dia bersama dengan Syabil.

Azian menepuk dahi. Wajah Dian ditilik.

“Kau cintakan Syabil?” soal Azian lagi.

Dian terdiam. Separuh hatinya mengiyakan dan separuh lagi menafikan. Dia tidak mampu untuk memberikan jawapan yang tepat.

“Istikharah. Masih tak terlambat lagi untuk kau minta petunjuk daripada Allah,” Azian memberikan cadangan. Walaupun Dian cuba menafikan, tetapi dia tahu Dian cintakan Syabil.

*****

Hanya tinggal sebulan sahaja lagi sebelum tiba majlis yang ditunggu-tunggu di antara Dian dan Malikie. Sekeping kad jemputan yang diserahkan oleh Dian kepada Syabil dengan hati yang berat.

Syabil merenung kad undangan di tangannya bersama keluhan yang memberat. Harapannya seperti punah.

Surat permohonan cuti diserahkan kepada majikannya. Dia perlukan ruang untuk dirinya bersendiri. Dugaan demi dugaan yang dihadapinya seakan membebankan. Dirinya seperti tidak berpeluang untuk bernafas.

"Mama, Syabil nak pergi bercuti ke Cherating," ujar Syabil sebelum berangkat pergi.

Asmira memandang wajah Syabil yang kusut. Pasti ada masalah yang disembunyikan kali ini.

"Syabil okey?" soal Asmira.

Syabil mengangguk lesu. "I need some peace."

Asmira menghantar Syabil di hadapan pintu. Kereta yang dipandu Syabil hilang daripada pandangan.

Dia melangkah menuju ke dalam rumah sebelum terpandang sekeping kad berwarna emas di atas meja kopi. Tangannya mencapai kad tersebut.

Asmira berpaling ke arah pintu semula. Kini dia mengerti kenapa Syabil berubah sendu sekali lagi. Kad undangan perkahwinan Dian dipegang kemas.

*****

Dian merenung busana berwarna biru di hadapannya dengan penuh minat. Biru adalah warna kesukaannya. Busana kain songket itu dipegang.

Kepalanya ditoleh menghadap Malikie yang setia di sisinya.

"Boleh?" soal Dian lembut.

Malikie memandang ke arah busana pengantin yang dipegang oleh Dian. Kain songket peplum berwarna biru itu ditolak ketepi.

“I tak suka biru. Tak cantik,” ujar Malikie. Tangannya menarik sepasang busana berwarna maroon dan ditayangkan di hadapan Dian.

“Yang ni I suka. Cantik,” ujar Malikie. Lelaki itu jelas bersikap pentingkan diri sendiri.

Dian melepaskan busana songket di tangannya dan melangkah meninggalkan butik pengantin itu. Hatinya semakin tetap. Malikie dirasakan tidak sesuai dengannya sesudah dia melakukan solat sunat istikharah selama beberapa malam. Doa istikharahnya sudah terjawab. Hatinya tenang walaupun itu kenyataan yang menyakitkan.

Hari ini Malikie telah membuktikan yang mereka sememangnya tidak serasi. Ibarat tembikai dan madu. Kalau pun bersatu, hanya merosakkan satu sama lain. Hati Dian sebal mengingatkan itu. Perumpamaan yang pernah digunakan untuk dirinya dan Syabil. Sudahnya, kata-katanya itu menjerut lehernya sendiri.

“Dian!” jerit Malikie sambil menyentak lengan Dian.

Dian mengaduh kesakitan. Lengannya ditarik daripada genggaman Malikie. Ini bukan kali pertama dia disakiti oleh Malikie.

“You kenapa?” soal Malikie garang.

Dian tunduk memandang jalan raya yang bertar. Cincin yang tersarung di jari manisnya dibelek. Perlahan-lahan cincin itu dibuang daripada terus menghiasi jari manis itu. Malikie melihat dengan riak yang cemas.

“Kita umpama tembikai dan madu. Kalau disatukan akan memudaratkan diri kita. I minta maaf. Lepaskan I,” kata-kata itu akhirnya terluah jua.

“Dian…” suara Malikie terputus di situ.

Air jernih bertakung dan menitik di pipi Dian. “Kita terlalu banyak perbezaan. I dah cuba untuk sesuaikan diri dengan keadaan ni. Tapi tak boleh. Mungkin you akan jumpa orang lain yang sesuai dengan you. Maafkan I. I akan bayar ganti rugi atas segala persiapan yang you dah siapkan.”

Malikie cuba menahan Dian yang mula melangkah masuk ke dalam kereta. Tetapi langkah Dian terlalu kuat untuk dihalang. Dian benar-benar sudah nekad.

*****

Dian semakin tenang. Bibirnya sudah mampu menguntumkan senyuman. Hatinya seakan lapang.

Walaupun keputusan yang dibuatnya sukar diterima oleh keluarga Malikie, tetapi keluarganya tetap berada di belakang Dian. Masalah di antara Dian dan Malikie diselesaikan tanpa perlu membayar ganti rugi.

"Yan, aku rasa tenang dengan setiap keputusan yang aku buat. Adakah itu jawapan kepada istikharah aku?" soal Dian seminggu selepas tali pertunangan di antara dia dan Malikie diputuskan.

“Jawapan pada setiap istikharah tu, antaranya kalau kau rasa tenang bila kau dah buat pilihan. Kau kena lapangkan dada sebelum buat istikharah. Semoga petunjuk yang kau dapat tu adalah petunjuk yang Allah nak beri dan bukan pilihan yang kau kehendakkan. Kau fahamkan?” soal Azian. Dian mengangguk perlahan.Kali ini dia tahu apa yang perlu dia lakukan.

Hati Dian semakin nekad. Wajah Syabil kerap terbayang di dalam kepala Dian. Mengingatkan lelaki itu hati Dian terasa melonjak dengan rasa rindu. Tetapi lelaki itu masih tidak tahu tentang berita pembatalan pernikahannya. Dian nekad. Syabil harus ditemui!

*****

Dian keluar daripada rumahnya sebaik selesai menjamah segelas jus epal sebagai sarapan. Dia tidak sempat menjamah makanan lain kerana dia perlu mencari Syabil secepat mungkin.

Keretanya dipandu memasuki sebuah kawasan perumahan dan berhenti di hadapan sebuah rumah banglo yang dicat kelabu.

“Assalamualaikum…” Dian menjenguk ke dalam perkarangan pagar yang luas sesudah memberikan salam. Loceng juga telah ditekan berkali-kali. Tetapi suasana sunyi.

Dian mengeluh. Dia berpaling ke belakang menuju ke keretanya.

“Waalaikumussalam…” jawab satu suara.

Dian berpaling semula dan senyuman manis terukir di wajahnya. Senyuman ikhlas yang sudah lama pergi bersama-sama dengan Syabil.

“Duduklah Dian. Syabil tak tinggal kat sini. Dia menyewa kat kondominium. Nak privacy agaknya,” ujar Asmira sambil menuntun tangan Dian ke ruang tamu.

Dian duduk di sebelah Asmira. Wajah Dian ditilik oleh Asmira. Masih manis sama seperti dulu. Wajah yang menyebabkan Syabil membawa diri. Jauh ke negara orang dengan alasan mahu menyambung pelajaran di peringkat master.

"Dian nak kahwin?" soal Asmira sebaik teringatkan kad undangan perkahwinan yang ditinggalkan oleh Syabil.

Pantas Dian menggelengkan kepala. "Tak, makcik. Dian batalkan. Dian tak cintakan Malikie."

Asmira membetulkan duduknya. Wajah Syabil menjelma di benaknya.

Adakah ini peluang Syabil? fikir Asmira sendiri.

“Makcik… Syabil tinggal di mana?” soal Dian.

Asmira memandang Dian dengan senyuman. “Dia bercuti sekarang. Kalau makcik bagitahu kat mana rumah dia pun tak gunakan? Pergilah ke Cherating. Dia ada kat sana.”

Dian tersenyum gembira. "Pergilah cari dia. Kalau dah suka, tak payah nak seksa diri masing-masing," nasihat Asmira dengan maksud yang dalam.

Dian mengangguk seraya memeluk Asmira erat. Hatinya sungguh tenang.

*****

Pantai Cherating yang mempersonakan itu mengusir jauh keserabutan yang dialami oleh Syabil. Segala rasa sedih dihamburkan di situ. Hatinya seperti lega. Tetapi seketika sahaja.

“Seorang je?” sapa satu suara.

Syabil tergamam. Suara itu seperti pernah didengar. Mirip suara Dian! Syabil segera berpaling. Mustahil, sepatutnya Dian sedang bersiap untuk majlis pernikahannya dengan Malikie!

Wajah Dian yang tersenyum manis ditatapnya. Syabil turut tersenyum gembira. Jari manis Dian yang tidak bersarung dengan cincin diperhatikan.

"Kau?" soal Syabil. "Aku tak jadi kahwin. Aku batalkan," jawab Dian sambil mengambil tempat di hadapan Syabil yang seakan tidak percaya dengan apa yang didengarnya.

“Macam mana kau tahu aku kat sini?” soal Syabil. Wajahnya mula ceria.

Dian tersenyum gembira. Kegembiraan yang sudah lama hilang akhirnya kembali. “Makcik yang bagitahu.”

“Oh…” jawab Syabil.

Dian melihat jari manisnya yang kosong. “Tembikai tak boleh makan dengan madu. Nanti mabuk. Jadi, aku dah buang. Sekarang aku bukan milik siapa-siapa.”

Syabil tersengih. “Tembikai dan madu. Macam kau dengan aku?”

Dian menggelengkan kepalanya. “Bukan. Kita bukan tembikai dan madu.”

Syabil tersenyum. Kali ini dia mengerti maksud Dian.

“Kau sudi terima aku?” soal Dian malu-malu. Tapi kali ini dia nekad.

Syabil ketawa besar. “Dah lama aku terima kau. Tapi yelah, aku tak sado macam Malikie. Bukan ke tu antara sebab kau pilih dia?” sindir Syabil. Wajah teruja Dian saat bercerita mengenai Maliki masih terbayang jelas di matanya.

Dian tunduk menghadap pasir-pasir halus di kakinya. “Itu kesilapan aku. Dan aku harap kau tak lari pergi mana-mana dah lepas ni.”

Syabil terdiam mendengar sindiran Dian. Pasti ibunya yang telah membocorkan rahsia dia kepada Dian.

“Kenapa kau lepaskan aku pada Malikie?” soal Dian.

“Sebab kegembiraan kau adalah kegembiraan aku. Walaupun aku cintakan kau, tapi aku tak boleh paksa kau untuk terima aku,” Syabil tersenyum memandang Dian.

"Sebab tu kau tak pernah jawab email aku?" tebak Dian. Syabil tersenyum sumbing.

“Kau percaya pada jodoh?” soal Dian lagi.

Syabil mengangguk. “Jodoh itu ketetapan yang Allah dah aturkan. Dan hari ni, setiap doa yang aku pohon dah dikabulkan. Alhamdulillah.”

“Jasmin?” Dian masih menebak Syabil dengan berbagai soalan. Dian tahu Jasmin sukakan Syabil.

Tawa besar meletus dari bibir Syabil. “Aku tak ada apa-apa pun dengan dia. Kami kawan biasa.”

Dian tersenyum. Hatinya terasa lapang.

Tiba-tiba Syabil berlari mendekati seorang budak perempuan yang menjual bunga di dalam bakul yang disangkut di bahunya.

“Sorilah, tak ada ros biru. Ada merah je,” ujar Syabil sebaik mendekati Dian.

Dian terkedu memandang tiga kuntum bunga ros merah di tangan Syabil. Air mata mula bertakung di birai mata.

“Dian, sudi tak kau jadi isteri aku?” soal Syabil.

Air mata terus meluncur laju menuruni tubir pipi Dian. “Ya… aku sudi.”

Bunga tersebut beralih tangan. Syabil tersenyum manis.

“Tapi lepas ni kita dah tak boleh cakap aku kau dah tau. Kau kena panggil aku abang!” usik Syabil.

Dian ketawa bersama-sama dengan Syabil. Air laut turut menghempas gigi pantai seolah-olah berkongsi kegembiraan dengan mereka.

Walaupun masih ada rasa kekok di antara mereka berdua, tetapi segalanya baru bermula.

Dian tersenyum manis. Hatinya kembali berbunga-bunga.

Syabil memandang lautan yang luas dengan senyuman. Kesabaran yang dipegangnya akhirnya terbalas. Tiada apa yang mampu diucapkan selain rasa syukur.

Si tembikai dan madu itu akhirnya tewas dengan kata-kata sendiri.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.