Home Cerpen Seram/Misteri KISAH SERAM MALAM JUMAAT - BIDAN SUMIAH -
KISAH SERAM MALAM JUMAAT - BIDAN SUMIAH -
Suzani Nadzir Mohd Nadzir
30/6/2016 20:28:24
16,953
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang


DERUAN enjin motorsikal sayup kedengaran di hujung telinga. Kemudian menghilang sebaik motorsikal itu keluar di hujung simpang jalan. Mariam menjenguk di muka pintu. Kelibat Bahar sudah tiada di depan mata. Dia berundur ke belakang sambil menggagau daun pintu yang terkuak luas. Malam sudah semakin larut.

Setiap malam, kebanyakan kaum lelaki akan bergilir-gilir meronda ke seluruh ceruk kampung itu. Hari itu tiba giliran Bahar untuk bertugas bersama pasukan Rukun Tetangga di kampung itu. Semua itu bermula selepas kampung itu digemparkan dengan kematian Bidan Sumiah secara mengejut. Mayat Bidan Sumiah dijumpai dalam keadaan sudah mereput di dalam rumah buruknya. Hampir setiap malam mereka diganggu dengan sesuatu yang menakutkan. Dan mereka percaya itu adalah jelmaan belaan Bidan Sumiah yang merayau mencari tuannya.

Tiba-tiba tangisan bayinya kedengaran melengking di dalam bilik tidur utama. Spontan Mariam menarik daun pintu sambil menoleh ke depan. Seketika dia tersentak. Satu kelibat yang melintas laju di depan muka pintu membuatkan dia terkedu seketika. Perlahan dia menjenguk ke muka pintu. Mengintai di tengah laman rumah yang berpasir halus. Hanya kelihatan sebuah pangkin panjang di bawah sebatang pokok rambutan yang rendang di sudut laman itu.

Pintu yang sudah separa tertutup pantas dikatup rapat. Dia berpaling ke belakang. Tangisan bayinya semakin menjadi-jadi. Mungkin mahukan susu, fikir Mariam. Langkah kakinya dihayun menuju ke bilik utama.

TUK!TUK!TUK!

Ketukan pintu membuatkan langkah kakinya terbejat. Dia berpaling ke belakang dengan kening yang berkerut. Dikerlingnya jam yang tergantung di dinding. Sudah melepasi angka 12.30 tengah malam. Tak mungkin Bahar akan pulang seawal itu. Mariam menelan air liur. Entah kenapa bulu romanya berceracak naik. Dengan teragak-agak, dia mengatur langkah merapati jendela nako. Ditariknya sekeping cermin tingkap yang sedikit renggang itu. Lalu matanya meliar ke depan muka pintu. Ketika itu bau hamis yang dibawa angin malam mula menusuk hidung. Seketika dia terkedu. Tiada sesiapa yang ada di situ!

Cermin tingkap nako itu pantas dikatup rapat. Lalu dia berlari mendapatkan bayinya yang masih menangis. Tubuh kecil itu diangkat dan dibawa rapat ke tubuh. Botol susu yang sudah terluak separuh dicapai lalu disua ke mulut mungil itu. Tetapi ditolak. Tangisan semakin kuat melengking-lengking. Mariam mula gelisah. Anaknya seperti takutkan sesuatu. Perlahan ditepuk punggung bayinya. Cuba memujuk untuk lena. Sebaliknya tangisan semakin menjadi-jadi.

Mariam mengampu tubuh kecil itu. Lalu dibawa ke ruang dapur. Matanya meliar ke arah rak kabinet. Dengan susah payah, dia mencapai sebuah botol berisi dengan lada hitam. Sehelai kain perca yang terlipat kemas dicapai. Lalu sedikit lada hitam diletakkan ke atas kain perca itu. Kemudian Mariam mengambil sedikit garam kasar dan dicampur bersama lada hitam itu. Kain perca itu digumpal menjadi sebuah bunjut. Lantas diselitkan di dalam baju yang dipakai oleh bayinya. Mulutnya terkumat-kamit membaca ayat Kursi. Seketika, tangisan bayinya mulai kendur.

Mariam berjalan melepasi ruang dapur untuk menuju ke biliknya. Ketika itu, kedengaran tapak kaki seseorang sedang berjalan di depan rumahnya. Mundar-mandir seperti sedang diamuk resah. Anak mata Mariam tercelik luas sebaik tombol pintu rumahnya dipulas seseorang dengan ganas. Ketika itu bayinya mula menangis semula. Malah lebih lantang daripada tadi.

Ketukan kedengaran bertalu-talu dengan bunyi deraman yang menyerikan telinga. Mariam berundur masuk ke dalam bilik secara perlahan-lahan. Lantas dia medekati meja solek. Laci yang bertutup kemas ditarik sedikit. Lalu senaskhah Yassin dicapai dan diletakkan ke atas dada bayinya. Peluh lenjun membasahi sekujur tubuhnya. Bibirnya tidak berhenti-henti terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci.

Tiba-tiba dia terdiam. Bunyi sesuatu sedang mengetuk cermin jendelanya membuatkan bacaannya terhenti. Dengan dada yang berdebar, dia berpusing ke belakang. Sekonyong-konyong dia terdengar sesuatu. Sesuatu yang sedang memanggil namanya. Dan serta-merta seluruh isi rumahnya gelap-gelita!

“Yam, bukaklah pintu. Aku datang ni…”

Mariam memeluk erat tubuh bayinya yang menangis lantang. Dibisikkan ayat suci Al-Quran sedayanya. Menggeletar sekujur tubuhnya ketika itu.

“Yam, dah lama kita tak berbual. Bukaklah pintu…” pujuk suara itu lagi.

Tidak semena-mena bayangan seseorang terbias di depan jendela. Hampir rebah tubuhnya ketika itu. Sepasang anak mata merah mengintai daripada luar. Seakan dapat menghidu baunya!

“Yam, kau buat apa kat tepi dinding tu?” soal kelibat itu lagi.

Mariam terlopong!

“Kau ada nampak tuan aku tak? Mana tuan aku?” soal kelibat itu lagi.

Parau suara itu seperti seorang lelaki. Bergema-gema menyesakkan telinga! Serentak dengan itu, jendela itu diketuk bertalu-talu sehingga hampir terlerai daripada engsel. Mariam memeluk erat bayinya. Ketakutan menjalar ke seluruh tubuh!

“Yam… aku datang ni…”

Pantas anak mata Mariam tercelik luas! Suara Bidan Sumiah yang sudah meninggal dunia lebih tiga bulan yang lalu menyusup masuk ke dalam telinga. Serentak dengan itu, tawa hilai kedengaran membingit


***

Mira mula menukar rentak. Dari berlari kepada berjalan. Nafas yang tercungap-cungap beransur reda. Puas hatinya kerana dapat meloloskan diri daripada rumah neneknya. Berkeras neneknya melarang dia untuk pulang ke rumah pada waktu senja begitu. Semua gara-gara cerita yang heboh pagi tadi. Mariam diganggu jelmaan roh Bidan Sumiah dan belaannya yang dikatakan sedang berkeliaran mencari waris baru. Mira mencebik. Mana mungkin orang yang sudah meninggal dunia pulang semula. Tidak semena-mena pula keamanan Kampung Melati Putih itu tergugat semata-mata cerita tahyul tu, fikir Mira.

Pandangannya menyorot memandang ke hadapan. Ke arah jalan kecil yang tidak bertar. Hanya berpasir dan dipenuhi dengan batu kerikil. Kiri dan kanannya dipenuhi dengan belukar dan semak samun. Hanya ada beberapa buah rumah yang kelihatan di situ. Itupun sudah bertutup kemas.

Beberapa batang dahan halus yang menjalar mengganggu perjalanannya. Pantas dia merepih sebahagian daripadanya dengan geram. Azan Maghrib yang berkumandang sudah hilang daripada pendengaran. Mira melihat ke dada langit. Warna jingga sudah mula bertukar gelap. Hayunan kakinya semakin laju. Tetapi perjalanan kali ini terasa jauh berbanding biasa. Padahal jarak di antara rumah neneknya dengan rumah umi tidak sampai pun satu kilometer. Mira mula resah. Tambah pula bunyi-bunyi cengkerik kedengaran galak bersahutan dengan burung hantu.

Bulu romanya tidak semena-mena tegak berdiri. Timbul rasa menyesal kerana melawan kata-kata neneknya tadi. Tetapi untuk berpatah balik juga agak merenyehkan. Tambah pula dia sudah berada di pertengahan jalan. Mahu tidak mahu, dia teruskan juga perjalanan dengan harapan dia akan cepat sampai ke rumah umi.

Tiba-tiba dia menangkap bunyi sesuatu yang berdesir. Hayunan kakinya terhenti mendadak. Dia memicingkan telinga. Tetapi bunyi itu hilang begitu sahaja. Dia berjalan semula ke hadapan. Sinar matahari yang sudah tertutup terus membuatkan pandangannya berbalam-balam. Sekali lagi dia menangkap bunyi sesuatu sedang meredah belukar dan semak-samun di sekelilingnya.

Perlahan-lahan dia menoleh ke tepi. Ketika itu Mira menangkap bayang kelibat seseorang sedang berdiri merenungnya. Dengan kain batik yang diikat seperti kerudung di atas kepala dan berbaju kurung lusuh serta kain batik yang kusam. Wanita itu tersengih menyeringai. Lelehan sisa air daun sirih kelihatan likat membasahi bibir keringnya. Mira gugup.

Peluh sejuk mula turun mencurah-curah. Wanita itu berdiri di tengah-tengah belukar. Semakin lama sengihannya semakin panjang. Menyeringai hingga ke telinga. Giginya yang tinggal tunggul kehitam-hitaman tampak jelas di depan mata. Tangannya didepakan ke arah Mira. Seakan terawang-awang cuba untuk menyentuhnya. Kepala Mira mula berpinar. Rasa takut dan gugup bergabung menjadi satu!

“Nak ke mana maghrib-maghrib macam ni?” soalnya lembut. Tetapi suara itu seakan-akan bergema-gema di tengah kesunyian senja.

Mira berundur ke belakang. Kakinya kaku. Air liur terasa tersekat di rengkung!

“Jangan merayau maghrib-maghrib macam ni…” ujar kelibat itu lagi. Perlahan-lahan dia melayang menghampiri Mira.

Sebaik wajah wanita tua itu terpampang di depan mata, Mira membuka langkah seribu! Dia tidak berpaling ke belakang lagi. Suara hilai tawa yang mengekek membuatkan dia semakin laju berlari. Keringat yang meluncur laju dibiarkan membasahi baju!


***

Lampu kalimantang sudah lama dipadamkan. Hanya lampu meja sahaja yang dibiarkan terpasang. Entah kenapa malam itu dirasakan tidak tenang. Matanya berkerdip-kerdip. Merenung tepat ke atas alang di depan mata. Lama-kelamaan matanya mula layu. Dan akhirnya dia terlena.

DUM!

Spontan Mira terduduk di atas katil. Kepalanya menoleh ke arah jendela. Berderau darahnya seketika. Jendela yang terkatup rapat tiba-tiba sahaja terkuak seluas-luasnya. Mira dihujani dengan rasa gementar. Terketar-ketar tangannya menyebak selimut yang membungkus tubuhnya ke tepi. Kakinya dijatuhkan ke atas lantai.

Peluh sejuk berbintil di atas dahi. Disekanya dengan belakang telapak tangan dengan rasa gugup. Dia melangkah perlahan-lahan menghampiri jendela. Dada langit yang hitam ditenung dengan debaran jantung yang tidak berhenti berdegup.

Tiba-tiba telinganya menangkap satu bunyi. Dia berdiri tercegat. Peluh yang mengalir mula kuyup membasahi tubuhnya. Semakin lama bunyi itu semakin kuat menghentam telinga. Dia mendongak ke atas. Tepat ke atas alang bumbung. Liur yang terkumpul terasa tersekat di dalam mulut. Tubuh kecil itu semakin menggeletar. Sepasang kakinya mula longlai!

DUM! DUM! DUM!

Bunyi sesuatu sedang bergolek dari hujung kiri hingga ke kanan semakin galak kedengaran. Dan kemudian bunyi itu terhenti. Mira memicingkan telinga. Cuba untuk mengesan sebarang bunyi yang mungkin akan mengasak lagi. Tetapi keadaan mendadak sunyi.

Langkahnya dihayunkan semula mendekati jendela kaca yang terkuak luas. Matanya meliar ke seluruh kawasan halaman yang hanya dibasahi sinaran lampu kalimantang dari beranda depan rumahnya. Cahaya kelihatan begitu malap. Mira menjenguk keluar. Seketika dia terkesima. Pantas dia menggenyehkan mata. Lalu pandangannya dilontarkan semula ke arah ke depan.

Figura yang sedang merenung tepat ke arahnya sebentar tadi hilang dalam tempoh tidak sampai sesaat! Tidak semena-mena kepalanya terasa kebas. Ketakutan mula menjalar. Pantas tangannya mencapai hujung daun tingkap dan cuba ditarik rapat. Dengan tidak sengaja, dia tertunduk ke bawah. Seketika jeritan terhambur lantang. Pegangannya terlucut serta-merta!

Bidan Sumiah menyeringai ke arahnya. Berdiri tercegat di bahagian luar biliknya dengan sepasang mata yang merah menyala. Jarak mereka hanya dipisahkan dengan jarak sedepa sahaja. Sengihan semakin panjang. Melebar seakan mahu merekah hingga ke telinga! Mira menarik nafas tercungap-cungap. Dengan sisa kekuatan yang ada, jendela ditarik rapat.

Ketika itu juga, bunyi hentaman di atas bumbung kembali rancak mengasak. Berdentum-dentam seakan mahu menerobos masuk ke dalam biliknya. Mira berlari ke muka pintu. Pantas dia cuba memulas tombol pintu itu yang terkunci kemas. Tetapi gagal!

Tiba-tiba, jendela yang terkatup rapat tadi terbuka luas!

“Mira…” seru satu suara.

Mira tersandar di pintu dengan mata yang terbeliak luas. Terkumat-kamit mulutnya membacakan ayat Kursi. Tetapi bacaannya lintang-pukang. Ketakutan yang mengasak membuatkan fikirannya terbejat. Seluruh tubuhnya terkedang seakan dibius.

Sepasang tangan menggapai birai jendela. Lalu satu tubuh melonjak naik ke birai jendela dan bercangkung di situ. Sepasang anak mata yang merah seperti saga merenung tepat ke wajahnya. Mira mengesot ke belakang dengan kaki yang terketar-ketar. Penglihatannya berbalam-balam. Bau busuk menyeruak ke udara. Lalu membiakkan rasa mual di dalam tekak! “Mira…” seru lembaga di depan matanya. Tawa hilai membingit!

Tangisan mula terhambur daripada mulut gadis itu.

“Umi…” panggil Mira. Tetapi suaranya hanya bergema di dalam rengkung.

Lembaga di depannya mula menjangkah turun. Lalu merangkak mendekati Mira.

Satu hembusan berbau hanyir menusuk masuk ke dalam hidung Mira. Membuatkan dia hampir termuntah di situ juga. Tawa galak kedengaran melengking-lengking. Parau dan kasar! Air mata Mira semakin laju mengalir. Ketakutan menguasainya!

“Mira..” seru lembaga itu lagi.

Tiba-tiba kilat menghentam dada langit. Angin bertiup kencang. Serentak dengan itu anak matanya terbuntang luas! Wajah Bidan Sumiah terbias untuk tempoh beberapa saat. Tetapi cukup untuk membuatkan dia terkedang kaku!

Gigi yang tajam kelihatan berceracak. Bidan Sumiah mencelikkan butir mata. Anak matanya yang merah menyala seakan merenung Mira dengan sinis. Mengejek ketakutan yang membuatkan gadis itu terduduk semula di atas lantai.

“Mana tuan aku?” soalnya dengan sengihan melebar.

Mira tergamam.

BUKKK!

Satu kepala tergolek di depannya. Dan terus bergolek hingga mencecah ke hujung jari kaki. Mira mengongoi ketakutan! Anak mata yang kemerah-merahan itu berkerdip-kerdip. Satu soalan sekali lagi terhambur.

“Mana tuan aku?”

“ALLAH!”

Serentak dengan itu, penglihatan Mira kelam. Dia sudah tidak mendengar apa-apa lagi. Tubuhnya melayut dan jatuh ke atas lantai. Mira pengsan!

***


Junariah mengelap wajah Mira yang dibasahi keringat. Sesekali anak mata gadis itu tercelik luas seperti sedang melihat sesuatu yang sangat menakutkan. Pantas Junariah membisikkan ayat-ayat suci ke telinganya. Dada Mira dilurut perlahan.

“Macam mana Mira?” soal Zainab sambil melabuhkan duduknya di birai katil. Kaki Mira dipicit lembut. Terasa sejuk beku bila disentuh.

“Ju dah bagi minum air Yassin tadi mak. Tapi macam ni jugak,” jawab Junariah sambil menyapu air mata yang menitik ke pipi dengan hujung lengan baju kurungnya.

“Silap mak sebab tak berkeras dengan dia semalam,” ujar Zainab kesal. Seketika dia merenung tepat ke wajah Mira. Rasa kesal bergumpal di dalam dada.

Tiba-tiba Mira mengesot mendekati kepala katil. Matanya terbelalak. Bibirnya yang pucat lesi menggeletar. Tangan kanannya diangkat dan ditunding tepat ke jendela yang terkatup rapat di depannya.

Junariah mula panik. Pantas dipeluk bahu gadis itu dengan erat.

“Kenapa ni, Mira?” soal Junariah, cemas.

Mira mengunjukkan jari telunjuknya ke arah jendela. Matanya terbuntang luas!

Serentak dengan itu, bunyi sesuatu sedang bergolek di atas bumbung menghentam gegendang telinga! Zainab mengucap panjang. Sayup-sayup di hujung telinganya dia mendengar sesuatu sedang berbisik dengan suara yang parau dan nyeri.

“Mana tuan aku?”

Zainab merenung tepat ke siling rumah itu. Berderau darahnya hingga ke kepala. Amukan belaan Bidan Sumiah yang ditinggalkan tidak berwaris semakin menjadi-jadi. Sejak Bidan Sumaiah ditemui reput di dalam rumahnya, keamanan Kampung Melati Putih lenyap sama sekali.

Hembusan nafas yang terasa hangat di lehernya membuatkan Zainab tersentak.

“Zainab…”

Zainab tergamam. Belaan Bidan Sumiah masih cuba mencari mangsa!


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.