Home Cerpen Seram/Misteri Jangan Cakap Besar, Nak...
Jangan Cakap Besar, Nak...
Suzani Nadzir Mohd Nadzir
3/6/2015 13:12:35
3,508
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Angin lembut bertiup perlahan-lahan menampar pepohon hijau rendang yang tumbuh meliar di halaman rumah kecil itu. Pepohon kelapa juga meliang liuk lenggoknya mengikut irama tiupan angin. Suasana petang itu sungguh damai sekali. Matahari kian condong ke barat tanda senja kian merangkak tiba.

Anis menjulurkan kakinya menghadap ke arah padang luas yang terletak di sebelah rumahnya. Kepenatan mengemas rumah yang baru didiaminya bersama-sama keluarganya itu dilepaskan di situ. Mereka sekeluarga berpindah untuk menetap di kawasan perkampungan tersebut sebaik ayahnya menamatkan perkhidmatan daripada badan beruniform kira-kira sebulan yang lepas. Hati kecilnya memberontak tatkala ayahnya menyuarakan hasrat mahu tinggal di kampung itu. Dia tidak betah untuk tinggal di situ sementelah pula dia sudah biasa tinggal di bandar. Fikirannya jauh menerawang ke tempat lain walaupun matanya terarah ke arah sekumpulan kambing yang enak meragut rumput di hadapannya.

“Hoi! Jauhnya termenung. Kau kat Malaysia lagike? Ke dah sampai Amsterdam?” jerkah Haryani sambil menepuk bahu Anis kuat.

“Adoi! Sakitlah!” balas Anis seraya menggosok bahu kanannya dengan laju. Terkebil-kebil matanya menahan pedih akibat tamparan Haryani. Boleh tahan jugak tangan minah ni, tak padan kecik, omel Anis di dalam hati.

Haryani ketawa terkekeh-kekeh melihat riak wajah Anis. Kelakar benar wajah Anis ketika itu. Perlahan-lahan Haryani mendapatkan tempat duduk di sisi Anis. Diusap-usap bahu Anis seketika seolah-olah mahu meredakan bisa tamparannya sebentar tadi.

“Sorilah, aku gurau je. Jangan marah eh?” pujuk Haryani. Sengihannya melebar menampakkan barisan gigi yang tersusun cantik. Anis mendengus perlahan.

“Nasib baik aku ada kau je sebagai kawan kat kampung ni tau tak. Kalau tak, aku sangkut kau atas pokok kelapa ni ha,” Anis membebel sambil menepuk-nepuk batang pokok kelapa di belakang mereka berdua.

Haryani membulatkan matanya sebelum tawa pecah daripada bibirnya. Anis menjegilkan biji matanya ke arah Haryani. Luas. Bertambah galak Haryani menghamburkan tawanya. Mereka memang berkawan baik walaupun Anis menetap di bandar dahulu. Sekali sekala kepulangan Anis ke kampung terutamanya ketika sambutan hari raya akan dimanfaatkan sepenuhnya di antara mereka berdua. Kini, Anis menetap di kampung itu. Bertambah eratlah persahabatan mereka berdua selepas ini.

“Eh, seronok tak duduk sini? Welcome to kampung life!” Haryani berlelucon sambil mendepakan tangannya di sebelah Anis. Hatinya sangat gembira apabila Anis kembali menetap di kampung itu.

“Tak payah welcomesangatlah. Poyo betul kau ni,” tungkas Anis seraya menolak bahu Haryani. Haryani menepuk-nepuk bahu Anis dan kemudian melentukkan kepalanya ke bahu itu. Anis membiarkan sahaja.

“Kau tau tak, kampung ni keras tau,” Haryani berbisik perlahan. Cukup-cukup untuk didengari oleh Anis seorang.

“Keras? Apa maksud kau keras?” soal Anis pelik. Keningnya berkerut rapat. Haryani membetulkan duduknya sambil matanya meliar memerhati keadaan di sekeliling mereka. Anis memerhati tingkah Haryani dengan pandangan yang pelik.

“Kau tau tak maksud keras?” soal Haryani tegas.

“Keras? Kalau yang ni memangla keras. Ni kan batu,” Anis cuba berjenaka walaupun jenakanya itu tidak kelakar langsung pada pendengaran Haryani. Tangannya mengetuk-ngetuk jalan berturap itu perlahan-lahan. Haryani berdecit kasar.

“Kau tau tak maksud makhluk alam lain?” tekan Haryani kepada Anis. Tubuhnya sudah berpaling menghadap Anis. Terasa mahu dicekik-cekik Anis ketika itu.

“Makhluk asing? Tu ke maksud kau?” Anis sengaja menguji Haryani. Dia sudah faham apa yang dimaksudkan oleh Haryani sebenarnya. Tetapi sengaja dia mahu menduga kesabaran Haryani.

Haryani memegang kedua-dua belah pipi Anis dan didorong ke wajahnya. “Kau pernah dengar pasal hantu tak?”. Haryani mengetap bibir geram. Anis menolak wajah Haryani dari mendekatinya.

“Kalau ye pun, tak payahlah tarik muka aku. Orang tengok nanti boleh timbul fitnah tahu?” protes Anis sambil menjauhkan diri daripada Haryani. Haryani menyapu tapak tangannya perlahan. Perlahan-lahan dia berpusing menghadap padang rumput di hadapan mereka semula.

“Kau nak dengar cerita tak? Pasal hantu?” soal Haryani perlahan. Anis mengangkat sebelah keningnya sambil menjeling ke arah Haryani. Dia menganggukkan kepalanya tanda mahu walaupun sebenarnya dia malas mahu bertegang urat dengan Haryani ketika itu.

Haryani memandang ke hadapan…

*********************************************************

Seluruh isi kampung tersebut digemparkan dengan perkhabaran bahawa bidan terkenal di kampung itu sedang sakit tenat. Anehnya, walaupun bidan tersebut jelas kelihatan sangat uzur, tetapi fizikalnya sama seperti ketika dia masih sihat dahulu. Walaupun hanya terlantar di atas tilam lusuh yang dibentangkan di bahagian tengah ruang tamu rumah kecil itu, tetapi kelakuannya akan berubah mendadak tatkala tiba waktu untuk dia mengisi perutnya. Selera makannya sungguh besar hingga tak terjangkau oleh fikiran waras seorang manusia normal.

Seluruh ahli keluarganya menjauhkan diri daripadanya atas sebab yang tidak diketahui oleh penduduk kampung. Tinggallah bidan tersebut dengan seorang cucu perempuannya yang bernama Lili. Tanggungjawab menjaga bidan itu berpindah ke bahu Lili, setelah anak-anak bidan tersebut enggan mengambil tahu mengenai hal orang tua itu.

Sehinggalah suatu hari, Lili melarikan diri sambil menangis ke rumah ketua kampung, iaitu Pak Hamid. Air mata Lili berjejeran. Jelas ketakutan terpancar daripada riak wajah Lili.

“Lili tak mahu pulang ke rumah itu lagi tok,” esak tangis Lili menenggelamkan ulas bicaranya. Isteri Pak Hamid, Makcik Midah mengusap-usap belakang Lili perlahan-lahan.

Pak Hamid menggelengkan kepalanya perlahan. Hatinya belas melihat air muka Lili. “Tak usahlah pulang Lili, tinggal saja di sini.”

Lili menarik nafas lega. Sungguh, dia tidak rela untuk kembali ke rumah itu lagi.

Malam itu, sesudah mereka menjamah hidangan makan malam, Lili meminta diri untuk berehat di dalam bilik. Lili termenung jauh menatap alang rumah kayu tersebut. Sesekali, angin malam menerobos masuk melalui celahan jendela kayu di bahagian kepala katil Lili. Damai dirasakan walaupun hati kecilnya merusuh teringatkan neneknya yang ditinggalkan seorang diri di rumah itu.

“Lili…” seru satu suara.

Lili memicingkan pendengarannya. Perlahan-lahan dia menjauhi tempat pembaringannya itu. Lidahnya kelu. Tiada suara mampu dilantunkan keluar. Serentak dengan itu, kedengaran seperti kain diseret di atas dedaun kering di luar bilik itu. Hati Lili berkocak laju. Peluh mula kelihatan merenik di dahinya.

“Lili… pulanglah… tak kasihankah Lili pada nenek?” suara itu bergema lagi. Lili terpempan. Itu suara neneknya! Mustahil, bentak hati Lili.

Lili mencari kekuatan untuk keluar daripada bilik itu, tetapi seluruh anggotanya terasa seperti terpaku kuat di situ. Ruang bilik dirasakan berpusing-pusing. Lili menjadi bingung.

“Lili…” suara itu semakin mendayu-dayu. Semakin lama semakin hampir dengan jendela kayu itu. Lili hanya mampu memandang ke jendela itu dengan pandangan yang tidak mampu ditafsirkan. Sebaik wajah makhluk tersebut terpampang di penglihatannya, Lili menjerit nyaring sebelum seluruh pandangannya gelap.

Lili tersedar sebaik terasa pipinya ditepuk lembut. Sesekali dirasakan ada percikan air yang sejuk singgah di kulit wajahnya. Lili membuka matanya perlahan-lahan. Makcik Midah tersenyum memandang Lili.

“Alhamdulillah, Lili dah sedar,” ucap Mak Midah syukur. Pak Hamid meraup muka tanda lega.

Lili memandang ke arah mereka berdua dengan pandangan kurang mengerti. Apa yang dah berlaku, bisik Lili perlahan.

“Lili pengsan tadi. Mujur Lili dah sedar,” terang Mak Midah lembut sebaik melihat kerutan di dahi Lili. Seketika Lili seperti tersedar. Pantas dia memegang lengan Makcik Midah dengan erat. Matanya bulat memandang Makcik Midah dan Pak Hamid.

“Makcik, tadi nenek datang. Dia panggil Lili. Tu kat situ,” terang Lili sambil telunjuknya dihalakan ke arah jendela kayu tersebut. Makcik Midah ternganga mendengar kata-kata Lili. Seram sejuk dirasakan seluruh anggota badannya ketika itu. Pandangannya dikalihkan kepada Pak Hamid yang juga kelihatan terkejut.

“Lili jangan takut, makcik dan tok ada,” pujuk Makcik Midah setelah Lili kembali menangis ketakutan di dalam pelukannya. Tangan Lili merangkul Makcik Midah erat seperti takut ditinggalkan di situ.

“Takpelah, malam ni, Lili tidur dengan makcik ya,” pujuk Pak Hamid. Lili terus menyembunyikan wajahnya di dalam pelukan Makcik Midah.

Keesokan harinya, penduduk kampung dikejutkan dengan berita kematian bidan tersebut. Lili menangis teresak-esak setelah perkhabaran mengenai kematian neneknya sampai ke telinganya. Walaupun hatinya menyayangi neneknya sepenuh hati, tetapi dia tidak mampu untuk bertahan di sisi arwah neneknya di rumah itu.

Setelah majlis tahlil selesai, seluruh hadirin mula meninggalkan kawasan rumah Pak Hamid. Lili tidak dibenarkan pulang ke rumah arwah neneknya kerana Pak Hamid dan Makcik Midah khuatir dengan keselamatannya. Lili sendiri masih tidak bersedia untuk pulang ke rumah tersebut. Jikalau boleh, dia tidak mahu kembali lagi ke rumah itu.

Mak Kalsom menyudahkan jahitan yang terakhir pada baju kurung yang ditempah oleh pelanggannya itu. Sesekali matanya menjeling ke arah jam yang tergantung di dinding hadapannya. Sudah pukul 1.00 pagi. Matanya ditenyeh perlahan untuk menghilangkan rasa mengantuknya.

“Kalsom ooo Kalsom, aku datang ni,” seru satu suara. Mak Kalsom terpinga-pinga. Dijelingnya jam yang terletak di hadapannya.

Aku mengantuk sangatke? Gumam Mak Kalsom perlahan.

“Kalsom, bukaklah pintu ni, aku datang ni nak tempah baju,” seru suara itu lagi. Mak Kalsom meletakkan kain baju kurung ditangannya ke atas kerusi di sebelahnya. Perlahan-lahan dia bangkit dari kerusi kayu itu dan mengatur langkah ke jendela rumahnya. Mak Kalsom mengintai dari celahan jendela kaca itu. Serentak hatinya terasa seperti berhenti berdegup! Bidan itu kini berdiri di hadapan pintu rumahnya. Keadaannya sama seperti ketika dia masih sihat dulu. Mak Kalsom terketar-ketar menjauhi jendela tersebut. Kakinya seperti berpijak pada gumpalan awan.

“Kalsom, aku kat luar ni. Kau tak nak bukak pintu ni ke?” soal ‘bidan’ itu.

Mak Kalsom pantas melarikan diri ke dalam biliknya sebaik dia berjaya mendapatkan sedikit kekuatan. Sungguh, dia berasa takut hingga ke tulang hitam.

******************************************************************

“Sejak daripada hari tu, kampung ni bising dengan cerita hantu bidan tu merayau-rayau mengacau orang kampung. Dengar ceritanya, dia cari Lili,” sambung Haryani menamatkan ceritanya. Anis memandang Haryani melalui hujung ekor matanya.

“Kau hidup zaman bila ni? Sekarang ni zaman internet di hujung jari. Punyalah canggih sampai dalam toilet pun kau boleh main internet. Kunola cerita kau. Mengarut tau tak,” Anis membantah intipati cerita itu seraya mengangkat punggungnya. Hujung seluarnya ditepuk-tepuk perlahan untuk menghilangkan kotoran.

Haryani mencebik masam. Perlahan-lahan dia bingkas bangun mengikut jejak Anis. “Kau ingat zaman internet takde hantu?” soal Haryani.

“Ni dah masuk zaman whatsapp. Orang pun dah tak pakai sms. Kau masih lagi dengan cerita hantu. Mengarut betul,” sambung Anis perlahan sambil mengatur langkah menuju ke rumahnya. Senja sudah merangkak tiba. Cahaya matahari sudah tidak kelihatan lagi.

“Eh Yani pun ada, kenapa tak masuk?” sapa Puan Laila sambil mengangkat sepasu bunga orkid hutan untuk digantung pada sangkar burung di tepi rumah itu. Haryani tersenyum memandang Puan Laila.

“Takpela makcik, dah nak balik pun. Lainkali la ya,” tolak Haryani sopan seraya meminta diri untuk pulang. Anis memerhatikan langkah sumbang Haryani.

“Jangan lupa kirim salam dekat makcik bidan tu kalau kau terjumpa tengah jalan ye,” jeritnya. Langkah Haryani terhenti di situ. Serentak dia berlari mendapatkan Anis. Tercungap-cungap nafasnya seperti tidak cukup udara.

“Jahat betulla kau ni! Aku tak kira, kau kena temankan aku balik!” marah Haryani. Mukanya merona merah. Anak matanya meliar memerhati ke sekeliling mereka.

“Eh, apesal pulak! Rumah kau depan tu je kot. Baliklah sendiri,” bantah Anis. Haryani pantas menarik tangan Anis.

“Aku tak kira, kau kena temankan aku jugak! Makcik, Yani pinjam Anis kejap ye!” laung Haryani lantang sambil menarik tangan Anis. Anis menarik tangannya kasar tetapi tidak berjaya melepaskan dirinya. Serentak bebelan tercetus daripada bibir Anis mengiringi langkah terpaksanya untuk menemani Haryani.

Anis berjalan pulang menuju ke rumahnya sesudah menghantar Haryani pulang. Sesekali tangannya memetik bunga-bunga hutan yang tumbuh di pinggir jalan. Azan maghrib kedengaran dialunkan daripada surau kampung itu.

“Jangan cakap besar ya nak,” tegur satu suara. Suara mirip seorang perempuan tua.

Langkah Anis terhenti. Dilihatnya keadaaan sekeliling. Sunyi. Tiada sesiapa selain dirinya. Anis menyambung langkahnya semula. Khayalan agaknya, omelnya sendiri. Serentak langkah diatur laju menuju ke rumahnya. Walaupun hatinya tidak mempercayai cerita Haryani, tetapi suasana senja yang mula gelap sedikit sebanyak membawa keberaniannya pergi.

Anis berkurung di dalam biliknya sebaik selesai menjamah hidangan makan malam. Dicapainya MP3 yang disimpan di dalam laci meja soleknya. Perhatiannya mula hanyut dengan kelekaan mendengar muzik yang berkumandang daripada MP3 tersebut.

“Anis…” satu suara kedengaran menyeru namanya.

Jejari Anis berhenti daripada mengetuk pahanya. Perlahan-lahan dia menutup majalah yang berada di tangannya dan memperlahankan suara yang terlantun daripada MP3 tersebut.

“Anis…” suara itu menyeru lagi. Fikiran Anis terbejat. Suara siapa tu, fikirnya sendiri.

“Tadi Anis kirim salam pada makcik kan?” sambung suara itu lagi. Anis terpempan. Penglihatannya membulat ke hadapan.

“Anis, ada nampak cucu makcik, Lili tak? Dah lama makcik cari Lili,” sambung suara itu lagi. Suaranya seakan-akan bergema-gema memenuhi ruang bilik itu. Anis melangkah perlahan-lahan menjauhi jendela biliknya. Hatinya berdetak halus.

“Anis, tak tidur lagike?” sapa Puan Laila. Anis terjerit lantang akibat terkejut mendengar pertanyaan Puan Laila yang tiba-tiba itu. Puan Laila meluru dadanya perlahan.

“Kenapa dengan kamu ni? Itulah, dengar lagi muzik malam-malam macam ni. Dah, pergi tidur,” arah Puan Laila.

“Mak, orang nak tidur dengan Eja,” sambung Anis sambil mengheret selimut dan bantal bersama-samanya. Hatinya berasa tidak sedap malam itu. Puan Laila menggelengkan kepala melihat telatah Anis.

******************************************************************

Tidur Anis diganggu oleh pancaran silauan cahaya yang tidak diketahui daripada mana datangnya. Anis mendengus kasar. Siapa pulak yang main lampu suluh malam-malam buta ni, bebel Anis.

Dikerlingnya ke sebelah kanannya. Eja kelihatan sedang tidur lena. Anis mengerutkan dahinya. Hairan. Pandangannya dihalakan semula ke hadapan pintu bilik Eja. Lampu tersebut masih bersinar di situ.

Lampu suluh apa yang besar sangat ni, fikir Anis. Penglihatannya tetap ditumpukan pada lampu suluh tersebut. Tidak sedikit pun dia terfikir untuk mengalihkan pandangannya. Tiba-tiba Anis perasan, lampu suluh tersebut dikelilingi dengan bulu-bulu halus! Anis tersentak. Nafasnya terasa seperti tersekat-sekat. Perlahan-lahan dia mendekati Eja. Dicuitnya Eja supaya tersedar. Eja tidur mati!

Anis kehabisan akal. ‘Lampu suluh’ itu masih galak menyuluh tepat ke wajahnya. Mujur sahaja Anis tidak melihat wajah si pemilik lampu suluh sebesar itu. Anis mencubit Eja kuat. Serentak Eja bangun mengaduh kesakitan. ‘Lampu suluh’ itu lenyap daripada pandangannya. Di kala itu,Anis menarik nafas lega.

“Kau ni dah kenapa. Nak gurau, esok-esokla. Aku mengantuk ni. Esok nak pergi sekolah. Tidurlah!” marah Eja apabila lenanya terganggu.

“Sapa nak bergurau dengan kau malam-malam buta ni. Tidurlah,” jawab Anis sambil menarik selimut menutupi kepalanya. Seluruh tubuhnya terasa sejuk hingga ke tulang sumsum.

Anis berjalan menuju ke meja makan yang terletak di ruang tamu rumah itu untuk bersarapan. Hari ini dia perlu tiba ke sekolah lebih awal memandangkan dia perlu bertugas membersihkan kelas. Dicapainya sekeping roti dan secawan air milo panas. Perlahan-lahan ditiup air milo tersebut untuk menghilangkan hawa panas.

“Kau kenapa cubit aku semalam? Tengok ni, dah biru!” marah Eja sambil mendapatkan tempat duduk di sebelah Anis. Anis mengerling ke tangan Eja.

“Saja je. Kau kan gebu. Sedap dicubit kalaupun aku tak selera nak peluk,” sahut Anis tidak berperasaan. Serentak Eja mencubit pipi Anis geram.

“Malam ni tidur bilik sendiri. Sempit tau tak!” bebel Eja. Anis tidak memberi reaksi. Sebaliknya perhatiannya ditumpukan pada roti di hadapannya.

Puan Laila menatang seteko kopi panas ke arah meja makan tersebut. Kopi itu untuk suaminya. Suaminya tidak betah untuk bersarapan kalau tidak ada kopi panas. Perlahan-lahan diletakkan teko tersebut ke atas meja makan itu sebelum melabuhkan duduknya di situ.

“Tadi masa mak pergi beli kuih ni kat kedai tadi, mak dengar ada cerita pelik,” Puan Laila memecahkan kesunyian pagi itu dengan ceritanya. Anis dan Eja saling berpandangan sesama sendiri.

“Cerita apa mak?” soal Eja.

Puan Laila membuka bungkusan nasi lemak di hadapannya dan diletakkan di atas pinggan putih berbunga merah yang terletak di depan suaminya. Encik Darius mengucapkan terima kasih sambil mencapai sudu dan garfu yang dihulurkan oleh Puan Laila.

“Semalam, ada orang kampung kena kejar dengan pontianak kat depan lorong rumah kita ni,” ujar Puan Laila bersungguh-sungguh. Matanya bulat memandang wajah anak-anak dan suaminya.

“Puffffffff…” tersembur air milo yang sedang diminum oleh Anis. Eja terkejut sambil cuba mengelak daripada terkena semburan air milo tersebut. Encik Darius turut terkejut dengan aksi spontan Anis. Seketika dia menggelengkan kepala perlahan.

“Kau ni, habislah baju aku!” marah Eja.

Anis terbatuk-batuk kecil seraya menarik nafas dalam-dalam. Wajah Puan Laila dipandang sekilas.

“Mak, kita hidup di zaman komputer, internet. Zaman monorel, ada lrt tau mak. Cerita kena kejar pontianak ni cerita zaman nenek moyang kita dulu. Mak tak rasa ke tu mengarut?” tungkas Anis tegas. Matanya memandang tepat ke mata Puan Laila.

“Tapi kita kena akui, ‘dia’ memang wujud Anis. Itu tak mustahil,” Puan Laila berhujah lembut. Anis memang diketahui bersifat keras kepala berbanding Eja.

“Betul, ‘dia’ memang wujud. Dalam Al-Quran pun ada dinyatakan. Tapi, kalau sampai kena kejar bagai, wah dah macam filem Twilight! Betul tak ayah?” soal Anis sambil menghalakan pandangannya ke arah Encik Darius. Encik Darius hanya memandang tanpa membalas apa-apa. Dibiarkan sahaja mereka berdua berdebat tanpa ada keinginan untuk masuk campur. Kalau dilayan, makin panjang hujah mereka berdua.

Puan Laila membiarkan sahaja omelan Anis. Makin dilayan makin sakit hati dia jadinya. Seketika, Encik Darius menghidupkan enjin kereta untuk menghantar Anis dan Eja ke sekolah.

“Mak, agak-agak pontianak tu hensem tak? Teringin nak berkenalan,” ujar Anis sambil memakai kasut sekolahnya di luar pintu.

Puan Laila menggeleng-gelengkan kepala dengan sikap Anis.

******************************************************************

Anis pulang dari sekolah dengan muka yang cemberut. Sakit hatinya apabila teringatkan kejadian di sekolah pagi tadi. Kalau tidak disebabkan kecuaian Lena, pasti baju sekolahnya tidak sekotor itu. Sudahnya, dia terpaksa merendamkan pakaian sekolahnya di dalam sebesen air sebelum dibasuh selepas ini. Anis kemudiannya terlena setelah beberapa minit termenung di atas katilnya.

Anis menarik besen yang berisi pakaian sekolahnya menuju ke mesin basuh yang terletak di tepi bilik mandi di dalam rumah itu. Dia mengalihkan pakaian sekolahnya ke dalam mesin basuh itu sebelum menekan butang yang terdapat di atas papan pemuka mesin basuh itu.

“Anis, air paip tak ada kat situ. Anis kena bukak paip kat luar ya,” pesan Puan Laila sebelum meninggalkan Anis di situ seorang diri. Anis mengeluh kecil. Suasana gelap di luar agak menggerunkan hatinya. Sesekali dia rasa menyesal kerana tertidur sehingga Maghrib. Itupun dia terjaga akibat dibebel oleh Puan Laila.

Anis pantas menyambungkan hos getah ke saluran paip yang terdapat di muka pintu hadapan dapur itu. Apabila pintu itu dibuka, Anis dihidangkan dengan pemandangan yang gelap gelita. Sementelah rumahnya bersebelahan dengan sebuah hutan kecil. Anis memasang hos getah tersebut pada kepala paip di situ. Sesekali terdengar bebelan tercetus daripada bibir Anis.

Sebaik mesin basuh berhenti berpusing, Anis melepaskan air kotoran yang terkandung di dalam mesin basuh itu untuk digantikan dengan air yang bersih. Langkahnya diatur semula ke arah kepala paip yang terletak di luar rumah itu. Sebaik kepala paip tersebut berjaya dibuka, pandangannya terjatuh pada satu objek berwarna putih yang tiba-tiba muncul di celah kegelapan malam itu.

Hati Anis berdetak kecil. Tadi takde pun, gumam Anis sendiri. Pandangannya masih dipusatkan ke arah objek itu.

Ada orang tertinggal gunike? Tapi kenapa putih sangat, soal Anis lagi.

Anis terleka memandang ke arah objek putih itu sebelum dia dikejutkan dengan sesuatu. Perlahan-lahan objek tersebut bertukar menjadi satu raut wajah dan bentuk seakan manusia yang sedang duduk bercangkung. Anis menelan liur pekat.

Pandangannya terpaku pada sinaran mata berwarna kehijauan yang datang daripada makhluk itu. Raut wajahnya diperlihatkan sedikit demi sedikit. Anis berpeluh sejuk. Sekali lagi dia diduga akibat keceluparannya. Terasa ingin dilaungkan nama Eja dan ibu bapanya, tetapi untuk menggerakkan kaki sahaja dia tidak mampu. Raut wajah makhluk itu sudah jelas di matanya. Sungguh buruk seperti bekas terbakar. Anis memejamkan matanya. Rapat.

Dia terasa seperti makhluk itu semakin menghampirinya. Sepasang taring jelas kelihatan di sebalik bibirnya. Anis terasa seperti mahu menangis saat dia sedar yang makhluk itu sedang tersengih menyeringai memandangnya. Kakinya keras seperti batu. Eja, datanglah sini, rintih hati Anis.

Kelibat makhluk itu semakin menghampirinya. Anis tiada pilihan lain. Dia tidak mampu untuk bergerak walau selangkah. Sudah habis dia membaca semua ayat suci yang terlintas difikirannya. Saat makhluk itu hanya berada beberapa inci sahaja daripadanya, Anis secara tiba-tiba berjaya melarikan diri. Pantas Anis merempuh pintu dapur dan berlari mendapatkan keluarganya. Ketika itu, satu suara hilaian kedengaran melengking-lengking di luar rumah. Bingit seperti meraikan sesuatu lagaknya.

Anis terjatuh di hadapan ibu dan bapanya sambil menghamburkan tangisan yang kuat. Puan Laila dan Encik Darius pantas mendapatkan Anis. Panik. Puan Laila memeluk Anis yang kelihatan pucat lesi. Eja mula menghulurkan segelas air kosong kepada Anis untuk melegakan Anis.

“Anis nampak…” Anis bersuara sebaik sahaja dia mendapat kekuatan. Puan Laila, Encik Darius dan Eja berpandangan sesama sendiri sebaik mendengar cerita Anis. Puan Laila terus mengeratkan pelukannya kepada Anis untuk melegakan rasa takut di hati Anis.

“Anis, makcik dah cakap, jangan cakap besar,” satu suara berbisik di cuping telinga Anis. Suara perempuan tua itu. Serentak dengan itu, Anis menangis teresak-esak.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.