Home Novel Umum HOT CHOCOLATE TEA LADY
HOT CHOCOLATE TEA LADY
Ramlah Rashid
21/10/2014 18:13:32
203,927
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 21

“Lepas ini Sha akan sibuk, papa harap Sha bersedia.”

“InsyaAllah.” Senyum dia menyambut senyum Zafran yang setia di sebelahnya.

“Zafran tak ada projek lain sekarang kan?”

Zafran geleng, dia baharu menyelesai satu tugasan dan projek itu sedang dalam penyelenggaraan.

“Kalau macam tu, sementara melobi jobe baru, awak tolong Sha? Sha masih baru, perlukan sokongan orang lama macam awak.”

Sure.” Semakin manis senyum Zafran diberi kepercayaan oleh Rusman untuk sentiasa membantu Shaza.

“Adam macam mana kaki? Okay dah?”

Adam angguk perlahan, senyum mengerling Shaza yang tekun membaca fail projek yang diserahkan Rusman.

Mereka bersurai selepas sejam berbincang di bilik Rusman, Rusman angkat punggung pulang berehat katanya. Hari itu dia tidak akan berada lama di pejabat, hanya akan menghabis masa di rumah. Kepada Adam diserahkan tanggung jawab pejabat kecuali perkara yang melibatkan tanda tangan di cek rasmi syarikat. Adam sudah maklum perkara itu, setiap kali Rusman menjalankan tugasan ke luar negara atau bercuti, Adam akan menyandang tugas sementara.

Shaza dan Zafran meninggalkan bilik selepas Rusman, seakan terlupa keadaan Adam yang bergerak seakan siput dik beratnya kaki yang belum sembuh sepenuhnya. Zafran berbisik sesuatu kepada Shaza, Shaza mulus senyum angguk juga tetapi terus menuju ke biliknya. Zafran langsung ke biliknya juga, Adam memerhati tanpa sebarang prasangka. Dia ke bilik sendiri untuk tugasan rasmi pagi itu, menanda tangani dokumen diletak setiausaha di mejanya. Tidak lama dia memasung diri, berasa panas punggung, dia mahu bersama Shaza. Menyusur pula dia terdengkut-dengkut mengguna tongkat satu ke bilik Shaza. Entah mengapa dia semakin serasi bersama gadis itu dan semakin gemar berbual.

Pintu bilik Shaza ditolak perlahan selepas diketuk, tiada penghuni di dalam. Lisa memberitahu Shaza di pantry. Menyusur pula dia ke bilik makan staff itu, dengan bersusah payah mengheret kaki yang masih belum pulih sepenuhnya. Selepas dua hari tidur di katil hospital, ditemani Shaza di malam pertama, sepi sendirian di malam ke dua, bebas dia dari bau ubatan hospital. Meneruskan rawatan di rumah sahaja bersama keluarga.

“TIAP-TIAP hari belikan saya sarapan, tak menyusahkan ke?”

No.” Zafran meletak dua cawan air panas di atas meja empat segi kecil dalam bilik pantry. Shaza air susu sejuk dan dia air kopi panas.

“Suka ya, jadi tukang bancuh air?”

Zafran senyum juga, Shaza dipelawanya. “I nak bodek Cik Shaza.”

Berkerut kening Shaza, mug yang sudah sampai di bibir diletak semula.

“Jangan berkerut, nanti tua cepat.” Lagi dia bersenda, senyum mencicip air kopi yang masih berasap.

Aroma kopinya menyenakkan seruang sederhana itu. Shaza sering terpengaruh dengan bauan segar itu tetapi tubuhnya menolak hadir kafin. Sudah sering dia mencuba, dia akan mengalami symptom alahan yang teruk. Menurut Nadia, Sharifah juga mengalamai masalah serupa, akan mengalami sakit kepala dan muntah jika dia mengambil kafin terutama kopi.

“Kenapa nak bodek saya?”

You are my boss.” Mug air kopi diletak di meja. Dia memotong pula bebola pulut serunding mengguna sudu. Sebelum membancuh air, dia sudah menyusun kuih yang dibawanya ke dalam piring, tidak membenar Shaza berbuat apa-apa. Lima biji kuih kegemaran mereka sejak kanak-kanak tampak menyelerakan di tengah meja.

“Siapa bos?” Shaza berpura-pura marah, membuntang matanya. Dia sudah semakin serasi bersama Zafran, semakin melupakan cerita luka semalam. Mesra seakan sahabat karib yang tidak pernah mengalami kekecewaan.

“Tak adalah, saya gurau aja.” Zafran mengendur, sebiji bebola pulut serunding sudah dihabiskannya mengguna sudu makan.

Shaza tidak mengguna sudu, terus mengambil sebiji, digigit perlahan. Gayanya menikmati makanan kegemaran itu tidak berubah. Sebiji kuih dimakan segigit demi segigit hingga habis, sisa di hujung jarinya akan cicip bersih. Dia tidak akan membazirkan walau seulas pulut atau secebis kelapa serunding. Selepas habis sebiji, dia meneguk air susu sejuk pula. Zafran memerhari dengan mata hati.

“Di mana awak beli kuih ni?”

“Kat makcik kuih.”

“Tahulah makcik kuih bukan pakcik basikal, tapi di mana?”

“Marah?” Zafran mengerling seraya senyum.

“Bukan marah, nasihat.” Itu juga dialog-dialog mereka lama dahulu. Tanpa sedar ke duanya, mereka seakan melangkah ke belakang. Banyak yang dilakukan dahulu, sudah mula dilakukan kembali.

Zafran tertawa perlahan, tiga biji kuih yang berbaki di piring dimain-mainkannya dengan sudu. “Makanlah lagi, tak kan surrender kut?”

Shaza menepuk-nepuk perutnya yang leper, memberi maksud kenyang sudah.

“Dulu awak mampu habiskan tiga biji kuih bersama sekotak air susu sekali makan?”

“Itu dulu, sekarang dah tak kuat lagi.”

“Oh, cam tu ya?”

Shaza angguk, lagi meneguk air susu. “Banyak yang sudah berubah, contohnya dulu kuih ni besar, sekarang kecil aja pun saya tak mampu menghabiskannya. Dulu tiga biji seringgit kan? Sekarang?”

“Lima biji dua ringgit.”

“Ha, mahal dah.”

Zafran senyum senang. “Dulu duit poket kita opah bagi. Duit poket awak hanya seringgit sehari kan?”

Shaza angguk, senyum puas.

“Saya, ayah bekalkan peruntukan 3 ringgit sehari, jadi dapatkan belanja awak kuih bebola pulut serunding, sesekali air susu kotak.” Zafran senyum mengenang bahagia mereka.

“Sekarang ni Tuan Rusman bagi.” Terus juga tersenyum.

“Bukan papalah, Creative Advertising.” Shaza membetulkan. “Bukan bagi tapi tukarkan khidmat awak.”

“Dan satu yang tidak berubah dengan dulu…” Shaza tidak menyudahkan ayatnya, dia mengacau-ngacau air susu dalam mug mengguna sudu.

Zafran menunggu tetapi Shaza seakan sudah terlupa menyambung.

“Apa yang sama?”

Shaza mengeluh, Zafran direnungnya lama. “Awak tetap belanja saya sarapan pagi kuih ni.” Kuih di piring dimain-mainnya mengguna sudu.

Zafran senyum turut merenung ke piring kuih. “Dulu kita selalu berkongsi makan bertiga, sekarang ni lima biji makan berdua.”

“Ya, bertiga. Di mana agaknya Enna?”

Zafran menjungkit bahu, mencebik berpura-pura tidak tahu.

“Nanti balik kampung, kita tanya orang tuanya.”

Zafran angguk pula namun tidak bersungguh-sungguh. Dia seakan tidak gemar Shaza menjejak sahabat karib mereka itu.

“Sha dengan Adam dah okay?” sedikit berbisik dia, tidak mahu ada yang menguping.

“Okay.”

“Dia tak marah-marah awak lagi?”

No.”

“Kenapa hah, tiba-tiba aja dia berubah?” menunjuk rupa wajah tidak senang situasi itu.

“Sedangkan pantai lagikan berubah, inikan pulak manusia. Lagi pun kami adik beradik kan?”

“Adik beradik tiri?” mencebik Zafran.

Shaza tertawa perlahan. “Tiri pun tetap dipanggil adik beradik kan? Awak juga yang ajar saya dulu, waktu saya benci pada ego Si Adam tu.”

“Saya suka awak berdua berbaik-baik, tapi semakin hari dia semakin mencurigakan.”

“Apa awak cakap ni?” berkerut Shaza, tidak faham apa yang cuba disampaikan Zafran.

“Adam jenis gemar memaksa. Dia akan desak kita sampai kita setuju.”

“Contoh?”

Zafran seakan mencari-cari cerita yang boleh dijadikan contoh tetapi akhirnya menggeleng. Belum masanya dia membuka pekung yang membusuk dalam keluarga Rusman.

“Ha, di sini rupa-rupanya Sha ya?” Adam menolak pintu pantry, seakan mahu membuat kejutan.

Zafran dan Shaza hampir kaget.

“Hei, apa hal you datang sini ni? Nak sakit balik kaki tu?” Shaza bingkas, membantu merenggangkan kerusi untuk Adam.

“Abang cari di bilik Sha tak ada.” Tampak bersusah payah Adam duduk di kerusi disediakan Shaza.

“Abang cari Sha? Buat apa?”

“Tak boleh?” Zafran pula direnungnya seakan ada keraguan di situ.

“Garangnya?” Shaza tertawa perlahan.

Adam menyelesakan duduk, merenung juga piring kuih di tengah meja.

“Bukan tak boleh cari tapi apa hal?” Shaza masih tertawa, mahu ketegangan dikendurkan.

Adam sudah tidak menjawab, hanya kucam. Zafran membiar, dia sudah faham benar sikap Adam. Dia akan diam apabila tersinggung.

“Nak air bro?”

Adam diam juga, Shaza sudah tersenyum-senyum. Zafran memberi arahan mengguna kepala dan mata menyuruh Shaza menyediakan air kegemaran Adam. Shaza mudah faham, bersedia bangun.

“Nak air kosong atau air coklat?”

Adam diam juga, merajuk gayanya.

“Eh, makan kuih. Ini kuih kegemaran Sha.” Zafran terlajak bahasa tetapi berpura-pura bersahaja demi menutup kesilapannya.

Shaza yang sudah berdiri di belakang Adam untuk membancuh air coklat, sepantasnya memandang Zafran, kaget keterlanjuran itu. Adam menolehnya sepintas, turut kaget bagaimana Zafran mengetahui lebih banyak dari dia selaku abang tiri. Shaza berpusing, berpura-pura tidak ambil kisah apa yang dikatakan Zafran. Adam kembali kepada Zafran.

“Mana engkau tahu kegemaran Sha?”

“Dia bagitahu. Sekejap tadi.”

“Oh. Sha tak bagitahu abang pun?”

Shaza menoleh, senyum berasa lega.

“Kena bagitahu ke?”

“Sha boleh bagitahu Zaf?”

“Oh. Okay.” Shaza siap menyedia air coklat suam dalam mug untuk Adam, diletak di atas meja, di hadapan Adam. “Abang, Sha paling suka kuih ni. Abang makanlah.” Gaya mengusik dan menyindir kerana Adam berusaha lebih banyak tahu dari orang lain berkenaan Shaza.

Adam mengerling, terasa disindir.

“Marah?”

Adam geleng, menggunakan sudu yang digunakan Zafran sebelumnya, dia memotong kuih, dimakan tanpa membaca bismillah. Shaza membacakan, seakan anak kecil. Adam senyum, turut membaca sambil mengisi kuih ke mulut. Dimakan dengan berhati-hati, seakan mahu menikmati keenakan makanan kegemaran Shaza. Hanya sepotong itu, dia meletak sudu.

“Sedap?” Shaza merenungnya.

“Bolehlah.”

“Bolehlah aja? Bukan ke sedap sangat-sangat?”

Adam menggeleng, “setakat bolehlah.”

Shaza angguk perlahan, “Hemm memang tak berapa sedap pun, setakat bolehlah.” Dikerlingnya Zafran, mahu mengusik kerana Zafran yang membelikannya kuih itu setiap hari.

Zafran merenung, kucam.

“Nanti Sha siapkan barget projek tu cepat sikit ya? Sementara kita tidak berapa sibuk ni, elok kita selesaikan urusan projek tu awal supaya apabila hendak bermula nanti semuanya sempurna.”

“Sebenarnya Sha dah buat draf sementara menunggu keputusan dari papa, cuma perlu diperkemaskan saja.”

“Good. Bagus adik abang ni.”

“Encik Zafran yang ajar Sha macam tu, katanya sama ada lulus atau ditolak, kita sudah bersedia zahir dan batin.” Senyum dia mahu mengusik Zafran yang jelas masih tersinggung, Shaza menyebut kuih yang dibelinya tidak berapa sedap.

“Zafran memang cekap, jarang mengecewakan.”

“Hei, bukan ke aku tak pernah mengecewakan?” sudah terpujuk dia.

Adam angguk berkali-kali, air coklat diteguk habis. “Eh, dah lama kita tak pergi gym kan?” gayanya mahu mengajak Zafran ke gymnasium, tempat mereka sering bersama-sama melakukan exercise.

Lupa ke kaki tu berjalan dari bilik ke pantry pun makan masa sejam?” Zafran bersenda dengan ayat menyindir.

Adam teringat, kaki direnungnya. “Exercise duduklah, tak kan tak boleh…”

“Nanti tangan pulak terseliuh?” Shaza menyampuk.

Adam tangkas memegang tangan Shaza, semua mengarah kepada pegangan Adam. Adam tersedar perlakukannya memeranjatkan tetapi, tidak disorokkan kejanggalan itu, berpura-pura perbuatannya tidak salah.

“Jangan doakan abang macam tu.” Manjanya  tidak dibuat-buat, sebaliknya bersungguh-sungguh.

Zafran berkerut dahi, Shaza berasa tidak selesa, perlahan-lahan tangannya ditarik mahu dilerai Adam.

“Nak abang masuk hospital lagi?”

“Nak kena inject lagi?” Shaza menambah, sedikit keras berlakon sebagai kakak yang garang.

Previous: BAB 20
Next: BAB 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.