Home Novel Umum HOT CHOCOLATE TEA LADY
HOT CHOCOLATE TEA LADY
Ramlah Rashid
21/10/2014 18:13:32
203,923
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 9

WAJAHNYA seketika kelat, seketika manis. Diperhatikan Zafran, cuba ditelah apa yang bermain di hati dan fikiran gadis itu namun jelas dia terlalu naïf dalam mendifinisi sinar wajah wanita. Segelas air dingin sudah hampir habis disedut namun kekal berpeluh hatinya melihat resahnya Enna sewaktu mata mereka bertembung.

“Ada apa sebenarnya ni? Tadi awak call saya kata ada perkara penting yang nak dibincangkan. Siap menyebut antara hidup dan mati?” tersenyum dia mengungkap ayat keramat di hujungnya.

Enna merenungnya seketika, kembali kepada ketul-ketul ais di dalam gelas yang masih mengapung bersama air. Dimain-mainkan strow dengan ketul-ketul ais itu, menerbit bunyi kecilan.

“Enna. Ada yang boleh saya bantu? Awak nampak teruk hari ni.” Lirih nadanya, persis memujuk adik kecil.

Sejak di universiti mereka kian rapat, apa sahaja susah dan senang, duka dan gembira dikongsi berdua. Zafran sudah seperti abang kepada Enna dan Enna lah si adik manja yang perlukan bantuan dan perhatian setiap masa. Zafran ikhlas memberi kerana dia senior sementara Enna masih terlalu naïf seluk beluk kampus dan bandar.

Zafran batuk sekali, memberi isyarat dia masih di situ dan menunggu.

Enna angguk perlahan, gelas air ditolak sedikit menjauh, sudah bosan bermain gayanya. Dia bersedia dengan menyelesakan duduk. Zafran ditenung dalam, Zafran juga bersedia menampan.

“Begini.” Diam lagi dia.

“Emak dengan abah baru datang dari kampung, ada dekat rumah.”

“Oh, ok. So?” Zafran mahu dijelaskan sejelasnya, tidak mahu meneka sendiri. Tenang dia menunggu selanjutnya cerita Enna.

“Emak dengan abah nak jumpa awak.”

“Untuk?”

“Zaf, apa yang susah sangat ni?”

“Apa yang susah? Saya susahkan apa?” berkerut Zafran tidak berjaya dia mentafsir apa di dalam soalan Enna.

“Saya tak faham Enna, boleh tak jelaskan sejelas-jelasnya?”

“Kita dah kenal lama, dah banyak masa saya habiskan bersama awak. Awak jangan nak sia-siakan masa saya lagi. Tak berapa bulan lagi umur saya dah jejak 25 tahun. Lelaki 25 tahun tak dianggap terlajak, tapi perempuan dah dikira anak dara tua, awak tahu kan?”

“Enna? Saya betul-betul tak faham apa yang awak maksudkan. Apa kaitannya usia awak dengan saya?” Zafran menyemah pandangan ke persekitaran memastikan tidak ada yang sedar kegawatan jiwa mereka tika itu.

“Saya memang lebih tua dari awak tapi saya tak takut digelar terlajak dan siapa berani kata awak anak dara tua?”

“Emak dengan abah nak awak jumpa mereka, sahkan awak akan melamar saya dalam waktu terdekat.”

“Enna!” Sedikit terjerit Zafran, sungguh dia tidak menyangka gadis itu akan menyebut begitu sedangkan mereka tidak pernah membincangkan berkenaan hati dan perasaan. Zafran kesal sungguh.

“Enna kita kawan dah lama, betul kata awak kita membesar bersama tapi dalam hati saya, awak hanyalah kawan karib. Sahabat tidak mungkin ditukar kepada kekasih. Antara kita seakan sudah tidak ada rahsia lagi, memang tak boleh menjadi pasangan bercinta lebih-lebih lagi kahwin.”

“Kenapa tak boleh? Kalau dengan Sha, awak memang merancang, kan?” sudah berbunga cemburu dia.

Zafran mengeluh perlahan, disemah lagi matanya ke sekitar restoran, masih ramai pengunjung makan dan minum juga berbual-bual seperti mereka, tidak seorang pun mempeduli sesama sendiri kecuali rakan semeja. Zafran bersyukur tidak ada yang mempedulikan dia.

“Kenapa tiba-tiba awak menyebut Shaza dalam cerita kita ni?”

“Jujur dengan saya Zaf, awak masih mengharap Sha, kan?”

“Sama ada saya menunggu sesiapa atau mengharap sesiapa, tak ada kena-mengena dengan sesiapa, dengan awak pun tak ada kaitan.”

“Awak mensia-siakan masa saya. Bertahun-tahun saya bersama awak, sampai masa begini awak buat saya? Apa yang akan saya katakan pada orang tua saya nanti?”

“Saya tak pernah mintak awak tunggu saya dan tak pernah berimpianpun, kita hanya kawan, Enna. Tak pernah sekali pun kita menyebut soal hati dan perasaan, kan?”

“Memang kita tak menyebutnya tapi tidakkah awak sedar perasaan saya pada awak?”

Zafran geleng berkali-kali, dia berpeluk tubuh, bersandar kemas. “Kalau awak sebutkan pun, saya tak akan mengubah status awak di hati saya, Enna. Kita kawan, sahabat karib dan awak sudah saya anggap adik. Awak tahu bagaimana saya dengan Sha kan? Dan awak menjadi saksi janji saya sewaktu berpisah dengan dia. Tidak akan ada yang dapat mengganti tempatnya di hati saya. Bukankah itu janji saya dan saya mohon awak sampaikan kepada dia.”

Enna mengeluh, berkaca dalam matanya. Sepantasnya dialih mata merenung lain, tidak mahu Zafran melihat air matanya.

“Dan, untuk pengetahuan awak, saya sudah pun bertunang.”

Kaget benar Enna, tajam Zafran ditujahnya. Zafran pula tewas, tunduk dia tidak mampu menampan tajamnya tikaman mata Enna.

“Baru sesaat tadi awak katakan awak sudah berjanji tidak akan menggantikan Sha dengan perempuan lain. Bahasa apa yang awak guna ni? Awak bercakap bahasa apa Zafran?” sudah beremosi singa betina dia.

Zafran gelisah. “Sudah nasib saya.”

“Bertunang, awak kata nasib? Baik benar nasib awak? Petik jari berderet perempuan gilakan awak. Sehabis dengan Sha, saya perawat awak sampai awak sembuh. Dah sembuh, bertunang dengan perempuan yang baru dalam hidup awak. Lepas ni apa lagi? Kahwin pulak dengan perempuan lain? Hah? Itu juga nasib?”

Zafran bungkam, bingung terus. Sungguh tidak disangka Enna berperasaan lain padanya. Subhanallah. Beristighfar dia di dalam hati.

Enna berang, bingkas meninggalkan Zafran termangu sendiri.

Ya Allah, kenapa begini jadinya? Apa salah aku? Zafran mengeluh sendiri, dia bangun seraya meletak wang kertas lima puluh ringgit di atas meja seraya memberikan isyarat kepada pelayan restoran dia sudah meletak wang di situ. Meski wang masih berbaki tetapi Zafran sudah tidak peduli, sedekahkan sahaja kepada mereka. Dengus hati kecilnya. Kesal tindakan Enna membuat dia tidak keruan.

DI BILIK, Enna masih berbuku kesal di hati. Cintanya pada Zafran sudah lama tumbuh malah dia sudah berusaha memisahkan lelaki itu dengan buah hatinya seperti dirancang, perpisahan berlangsung lancar dan dia beroleh kemenangan yang pertama juga berjaya merawat luka lelaki itu. Sewaktu menginjak tangga menara gading dia sudah menyatakan kepada orang tuanya dia sudah ada teman istimewa. Melarang sama sekali dia dijodohkan dengan sesiapa kerana sebaik dia dan teman lelaki itu tamat pengajian, mereka akan bersatu. Berpegang kepada janji itu, orang tuanya kini menuntut ditunaikan. Sudah jauh terlajak kata mereka, sedangkan bayang kekasih hati Enna masih belum dilihat mereka. Dia mula tertekan dan ditekan juga.

Semalam orang tuanya datang melawat dan menyatakan Shaza sudah pulang, sudah tamat pengajiannya. Rindu dia pada sahabat itu tetapi rasa bimbang kedudukannya kian terancam. Meski Zafran tidak pernah menyebut nama Shaza dihadapannya namun dia dapat menelah, dalam hati Zafran masih ada Shaza.

Kenapa engkau selalu bernasib baik Sha? Dulu engkau jadi pujaan walaupun anak yatim piatu yang miskin, nenek merempat mengharap belas ikhsan ketua kampung. Tahu-tahu rupa-rupanya engkau anak orang kaya! Bijak benar engkau orang menyembunyikan rahsia ya? Kaya rupa-rupanya engkau. Teringat dia apa yang diceritakan orang tuanya sepanjang siang berkenaan keterujaan mereka pada Shaza.

“Nek Piah dah meninggal, kesian tak sempat jumpa cucu dia. Sha lewat dua hari aja.”

“Oh, Sha dah balik? Tamat belajar atau bercuti?”

“Habis belajar. Cantik benar dia sekarang.”

“Eh, dulu pun dia memang cantik. Cantik ikut emak dia.” Ibunya menambah pujian suami.

“Ya, arwah Sharifah memang cantik. Cantik dia turun pada anaknya.” Tidak sudah-sudah suami isteri itu memuji Shaza dan ibunya, buat menambah sakit hati Enna.

Enna hanya angguk, dia mengakui gadis itu memang cantik tetapi sengaja dinafikan kerana sudah terbit rasa cemburu. Sewaktu membesar bersama, dia sangat menyayangi Shaza. Pernah mereka berjanji sehidup dan semati bersama dan sanggup dia bermusuhan dengan rakan sebaya yang menghina Shaza. Tetapi masa berlalu, dia semakin bijak membaja iri. Cemburu benar dia kelebihan gadis itu. Dari meletak Zafran sebaris Shaza sebagai sahabat karib, semakin hari dia semakin berkeinginan Zafran melebihkannya dari Shaza. Zafran tidak pernah berat timbangan antara mereka berdua tetapi Enna mahu dia dilebihkan.

Shaza dah balik, mesti Zafran dah tahu sebab itu dia berpaling tadah. Kerana ini dia dingin pada aku. Menangis, meraung Enna sendiri dalam sepi ruang bilik itu. Dia menyewa apartmen tiga bilik sendirian, tidak dikongsi dengan sesiapa demi membuat persediaan selepas berkahwin. Sudah lengkap serba kemudahan dan perhiasan persis rumah kelamin. Dia merancang menyediakan rumah untuk Zafran yang masih menetap bersama keluarganya. Sebuah bilik tidur pengantin disediakan dan dia menghuni sementara menunggu putera raja mencemar duli.

Sepulang dari bertemu Zafran setengah jam tadi, dia melihat cahaya bolos dari bawah pintu bilik orang tuanya menandakan mereka belum tidur, mungkin menunggu dia membawa perkhabaran gembira. Dengan berjengket dia melewatinya dan perlahan-lahan menutup pintu bilik, tidak mahu orang tuanya mendengar. Dia mahu bersembunyi di situ sementara perasaan pulih.

Enna membiar matanya lencun, dia mahu menghambur semua kesakitan malam itu juga kerana esok dia akan menyusun agenda baru untuk dirinya sendiri dan orang tuanya.

“Zafran, engkau permainkan perasaan aku, engkau pergunakan aku untuk kepentingan sendiri. Mengapa engkau jahat sangat? Mengapa engkau jahat?” Ditumbuk-tumbuk tilam yang menempatkan dia. Meski empuk, berhenjut tetapi berasa menyakitkan. Sakit benar dia disakiti cinta Zafran pada Shaza.

Sha, aku sentiasa bela engkau, hanya aku sahabat engkau. Engkau mana ada kawan baik selain aku dan maklong. Tapi mengapa bayangan engkau sentiasa menyakitkan aku? Aku nak kita macam dulu, tapi kerana cinta Zaf, kita jadi begini. Aku terpaksa benci engkau. Aku paksa diri aku Sha… lagi dia menangis, sudah tersedan sendirian.

Pintu bilik diketuk perlahan, disusuli suara ibunya memanggil. Enna pantas merenung tombol pintu yang terlupa dikuncinya. Tergesa-gesa dia menumbangkan diri berpura-pura tidur. Pintu bilik dikuak ke dalam.

“Enna? Dah tidur ke? Tak makan dulu?” sifat keibuan memerangkap jiwa Enna namun dimatikannya diri, terus berpura-pura lena.

“Tak tukar baju, tak mandi terus tidur?” ibunya menggosok bahu Enna, lembut.

“Sejuk benar aircornd ni, tak berselimut pun.” Dia menyelimutkan Enna dari kaki ditarik hingga menutup bahu.

Sehabis kerja mudahnya dia meninggalkan Enna berteman air mata. Dan sebaik kedengaran pintu bilik dikatup ibu itu, Enna membuka mata

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.