Home Novel Umum HOT CHOCOLATE TEA LADY
HOT CHOCOLATE TEA LADY
Ramlah Rashid
21/10/2014 18:13:32
203,689
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 7

“Terima kasih tuan.”

Rusman angguk, senyum menangkap mata Zafran. Sekali lagi dia menoleh Shaza seraya angguk dan senyum, mengerdipkan mata. Manja gayanya dan sayang benar pada puteri satu-satunya. Dia keluar.

“Sayang benar Tuan Rusman pada awak. Saya merasakannya.”

Shaza mengeluh, tertunduk dia menyimpan rasa sebak. Air liur likat ditelan berketul. Dia menarik laci meja paling bawah, air mineral dalam cawan plastic bertutup kedap dikeluarkan. Dia sudah melengkapkan bilik itu dengan air kosong bersih itu. Tidak perlu lagi membawa air kosong begitu dari pantry, selain Adam tidak menggemarinya risiko air tertumpah sangat tipis. Dicucuk strow di tengah-tengah penutup selepas permukaannya dilap mengguna tisu yang ditarik dari dalam kotak tisu. Dihulur kepada Zafran. Dia melakukan gerak kerja yang sama sebelum menyedut habis. Zafran memerhati gaya bersahaja Shaza.

‘Sama seperti dahulu,’ bisiknya sendiri.

Zafran tahu Shaza sedang gelisah benar. Dik lamanya mengenali gadis itu dia dapat mengagak setiap gerinya. Meski sudah lama berpisah namun, tidak semua masa merubah perilaku seseorang, masih banyak kesamaan. Zafran menelah dalam terang.

“Tak sangka kita boleh berjumpa di sini, saya tak tahu Tuan Rusman papa awak.”

Shaza angguk kosong. Baginya sama ada dunia tahu atau tidak ianya tidak akan merubah apa-apa. Kerana dia sendiri tidak tahu syarikat papanya yang membiayai pengajiannya di luar negara sebagai biasiswa.

“Dan kerana menyangka saya anak yatin piatu terbiar yang miskin maka tidak ada yang sudi berkawan dengan saya. Bersama saya bererti akan kekal di desa hanyir.” Shaza menyindir dengan memetik ayat dari nota terakhir Zafran.

Zafran hanya mendengar, tidak langsung faham dia sedang disindir gadis di hadapannya. Dia menyangka Shaza terkenang peristiwa dia dihina Kamarul dan rakan-rakan yang menyebut dia anak yatim piatu nenek dagang merempat menempat di tanah milik ketua kampung.

Shaza membiar Zafran hanyut mengenang silam itu, bagaimana Zafran menghiburkannya dengan memahat nama di batang pokok buah bidara. Sambil memahat nama, dia berpantun.

‘Nasi lemak buah bidara,

Sayang selasih hamba lurutkan,

Tinggal emak tinggal saudara,

Kerana kasih hamba turutkan’.

“Saya berjanji, saya akan belajar setinggi yang boleh, berkerja dengan gaji besar dan saya pinang awak. Kita bina rumah besar di sini, tunjuk kepada budak-budak yang mengata awak. Dan awak pun mesti berlajar bersungguh-sungguh, kita buktikan kita mampu merubah takdir.”

Dan itu hanya secalit momen yang wangi, tidak lama wangian itu, momen hitam kelam pula. Shaza sesungguhnya tidak sudi menyelak hitam semalam, mahu terus berkubur.

“Awak keluar negara dengan biaya MARA atau JPA? Saya juga mohon JPA tapi tak berjaya.”

Shaza diam, malas bersirah, hanya bermonolog sendiri dengan diri sendiri seolah-olah bercerita kepada Zafran dia menerima sumber kewangan dari papanya.

Ramai yang mengucap tahniah kerana dia menerima biaya besar dari sebuah syarikat yang sangat prihatin, mana tahu rupa-rupanya itu adalah agenda Rusman. Mungkin kerana Rusman mahu menyaranya tetapi dikekang Nek Piah. Nek Piah melarang Rusman mendekati Shaza sejak dia berkahwin dengan Nadia, kerana itu Rusman mengguna kepintarannya membiayai seluruhnya pengajian Shaza di dalam dan luar negara. Atau mungkin juga Rusman mahu mengikatnya, apabila sudah mengguna biaya pengajian dari Creative Advertising Shaza memang terpaksa berkhidmat di situ melainkan membayar balik.

Shaza bersyukur Allah mengurniakannya papa yang begitu mulia dan diberi kemampuan belajar setinggi mungkin. Berkali-kali sudah dia berucap syukur dan berterima kasih kepada Rusman tetapi Rusman menganggap itu hanya tanggungjawabnya sebagai papa. Kata Rusman dia berusaha sehabis daya memastikan Shaza selesa meski di bawah penjagaan orang lain. Merebut Shaza juga tidak, demi menghormati bekas ibu mentua itu. Seburuk mana pun Nek Piah dia pernah menjadi ibu mentuanya, ibu kepada isteri yang sangat dikasihi dunia akhirat. Terkesima Shaza mendengar penjelasan Rusman di hadapan Nadia waktu hari pertama dia berpindah ke rumah Rusman. Hairan juga dia mengapa Nadia langsung tidak cemburu, malah menyamakan kasihnya dengan anak sendiri.

“Za, kita kawan balik?” Zafran bertindak merentap lamunan Shaza yang melayang jauh.

Shaza menangkap renungan Zafran dalam usaha memahami kerana dia tidak mahu bertanya apa yang tidak difahaminya.

“Kita pernah berkawan baik, pernah saling jatuh cinta. Sekarang kita bertemu semula dengan kehendak takdir, saya besedia mendengar luahan awak. Luahlah apa yang memberat di hati awak.”

“Kita kawan baik sewaktu kanak-kanak, kita bercinta di zaman monyet belum reti panjat pokok. Berjumpa semula selepas monyet sedang berkira-kira menjengah angkasa, tinggal di atas awan.” Dia sendiri tidak faham makna peribahasanya namun, dituturkan juga untuk menyatakan beza zaman.

Zafran senyum mendengar peribahasa semberono Shaza. Masih sama kata hatinya. Dahulu pun Shaza akan dengan mudah membina cogan kata atau peribahasa sesuka hatinya dan seringnya ia menjadi ikutan rakan seangkatan.

“Awak masih sama macam dulu.”

Shaza angguk, mengeluh perlahan.

“Dan perasaan saya juga sama dengan dulu.”

“Perasaan yang mana satu?”

“Perasaan saya pada awak hanya satu itu.”

“Oh.” Rona wajah Shaza berubah kesal, dia melarikan wajahnya ke arah tidak menentu akhirnya berpusing ke belakang, menghadap dinding. Tidak lama membelakangkan Zafran, hanya membuat satu pusingan 360 darjah semata-mata untuk mengambil kesempatan menyeka air suam yang sudah merenik di kolam mata. Dia tidak mahu Zafran melihat kesedihan itu. Sewaktu kembali berhadapan Zafran, wajah masih memerah, mata masih bersisa air. Zafran tidak bertanya, hanya diperhatikan dengan bacaan senyap. Dia tahu Shaza sedang menangis dalam diam.

Seketika dahulu Shaza juga begitu, apabila dia merindui papanya atau berasa kecewa Nek Piah sering menjaja buruk Rusman di hadapan dia juga khalayak lain, dia akan menangis begitu. Itu cara dia mengadu dan meminta perhatian dari Zafran. Zafran akan memujuknya dengan kata-kata peransang, berjenaka yang akhirnya Shaza tertawa dalam linangan air mata yang masih bersisa.

“Zaf, sudah lama masa berlalu, sudah banyak kenangan lain datang dan pergi dalam hidup kita. Susah untuk mengumpul dan mengenang kenangan yang mana milik bersama. Oleh itu, rasanya baik kita menjadi orang baru, tidak ada momen silam. You ketua dan saya pembantu. Itupun setakat hari ini kerana esok saya sudah tidak di bilik ini lagi.”

“Za, please jangan bertindak melulu.”

“Saya tidak melulu, tempat saya bukan di sini. Awak sendiri pernah tulis dalam surat awak kan? Saya yatim piatu, si miskin yang tidak ada apa-apa. Bersama saya bererti awak memang menempah susah.” Shaza sudah tidak tertahan, dia sudah berusaha mengunci kesakitan namun hati yang dikunci itu sudah dibocorkan oleh mereka-mereka yang zalim melukannya. Dari lubang-lubang berdarah itu, kesakitan menitis jatuh lalu lidah yang memang tidak bertulang bergetar lembut menutur apa yang dia rasa.

“Za, apa ni? Saya langsung tak faham.”

“Tak apa kalau tak faham, saya tak bermaksud buat awak faham apa-apa. Lupakan saja.”

“Shaza jangan macam ni.” Semakin gelisah Zafran, semakin bimbang melihat Shaza yang nekat.

“Dari dulu saya sentiasa teguh di sisi awak, memujuk awak, membina semangat awak, tak mungkin semudahnya awak melupakannya?”

Shaza bingkas, katanya perbincangan mereka sudah tamat dan dia sudah letih bergurindam yang langsung tidak berentak. Sumbang, melelahkan.

Sebaik Shaza melintas berhampirannya untuk ke pintu, Zafran menarik tangan Shaza.

“Za, please saya merayu awak. Usah pergi lagi.” Terlalu kudus permintaannya. Dia sudah yakin Shaza tidak akan menerima jawatan yang ditawarkan selepas apa yang berlaku di bilik mensyuarat antara dia dan Adam. Sejujurnya dia sendiri tidak bersetuju tindakan Adam mempertikai kedudukan Shaza di situ. Sama ada dia layak atau tidak menjawat jawatan yang diamanahkan, itu hak Tuan Rusman. Shaza anak dia, dia berhak.

Shaza merenung tangannya yang dipegang Zafran. Dengan tangan kanan dia melerai pegangan Zafran. “Cukup, semuanya dah selesai.” Perlahan dia melerai. “Dan please respect me.” Berlalu.

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.