Home Novel Umum HOT CHOCOLATE TEA LADY
HOT CHOCOLATE TEA LADY
Ramlah Rashid
21/10/2014 18:13:32
203,920
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 23

SEAWAL pukul tujuh setengah pagi mereka sudah membelah jalan raya, belum lagi dia memberitahu Shaza ke mana arah tuju mereka. Masih rahsia katanya tetapi yang pasti, kereta dipandu Adam ke arah Pahang. Shaza senyum nakal Adam yang semakin menjadi-jadi dan keceriaan yang berlebih-lebihan.

“Abang ni semakin pelik.”

Adam tertawa perlahan, tekun memandu dalam kederasan biasa. Sesekali laju, sesekali perlahan. Dia menghulur sebotol kecil air mineral sejuk dan seketul roti berinti, untuk alas perut katanya.

“Macam ni? Ini yang abang kata nak bawak Sha breakfast tempat special?”

“Sabarlah sayang. Ini kan alas perut aja, sementara nak sampai.” Adam mengerling nakal.

Shaza membuka botol air, ditonggang perlahan, meneguknya sekali. Botol tidak kembali ditutup, hanya dipegang dia masih memerhati arah luncuran kereta. Adam menghulur, mengambil botol air dari tangan Shaza. Ditonggang juga lalu meneguk dua kali.

“Hei, Sha dah minumlah. Nanti Sha bukakan abang botol lain.”

“Tak apa, mulut adik abang kan?” dia menoleh Shaza dengan senyum berbunga, dipulangkan botol air. Shaza mengeleng dengan kening berkerut. Hairan. Adam menoleh lagi, senyum lagi.

“Tadi bagitahu emak, Sha pergi mana dengan abang?”

Shaza angkat bahu, “tak cakap pergi mana.”

Adam berkerut, ditoleh Shaza berkali-kali sambil terus memandu. “Tak bagi tahu keluar dengan abang? Emak tak risau ke?”

“Dah Sha sendiri pun tak tahu abang nak bawa Sha pergi mana, Sha nak bagitahu apa kat emak?”

“Bagitahulah keluar dengan abang.”

Shaza angguk, tunjuk Adam sekali memberi maksud itulah ayat yang disusun untuk memberitahu Shatiah. Adam angguk berpuas hati.

“Sha nampak lain pagi ni.”

“Lain? Apa lainnya?” Shaza menilai dirinya dari atas ke bawah setakat yang dia nampak dengan mata kasar.

“Pakai begini nampak cantik sangat, pakai fesyen biasa Sha pun cantik.”

“Habis tu, apa lainnya?” Shaza tertawa, mentertawakan alasan Adam yang tidak menjadi.

Adam terasa disindir, turut tertawa. Berfikir juga sejenak yang singkat untuk menyusun ayat lain untuk memberitahu fesyen simple Shaza dengan jean, blaus potongan kemeja serta mengenakan kerudung juga sederhana begitu dia tetap cantik seayu berfesyen busana yang menjadi pakaian biasanya.

“Bukan, maksud abang, Sha nampak lain hari ni tapi tetap cantik. Selalu Sha pakai dress dengan tudung fesyen-fesyen pelik, abang nampak Sha cantik sangat. Tapi bila pakai simple macam ni walaupun Nampak lain tapi tetap juga cantik. Dua perbezaan keterampilan dalam diri orang yang sama.” Sedikit berbelit-belit dia mahu menyatakan kecantikan Shaza bukan dari fesyennya tetapi semula jadi tetapi agak sukar menyusun ayatnya kerana dia tidak pernah memuji wanita.

Shaza angguk berkali-kali, sudah faham maksud Adam walaupun ayat sebelumnya juga difahaminya tetapi sengaja mahu mengusik Adam yang sering tidak prihatin terutama yang melibatkan diri wanita. Senyum dia memandang Adam dari sisi, lama sehingga Adam sedar dirinya dijamah Shaza dengan senyum seribu makna. Dia menoleh Shaza sekali dengan kening berkerut.

“Kenapa?”

Shaza geleng perlahan, senyum kekal, mata juga kekal pada Adam. Adam menoleh lagi, semakin tidak tenang dia memandu.

“Kenapa ni?” dia menggosok pipi kiri dengan tapak tangan, direnung tapak tangan itu, digosok lagi direnung lagi. Bimbang ada kotoran di situ yang menjadi perhatian Shaza.

Shaza tertawa melihat aksi Adam. Adam semakin tidak keruan, tangan Shaza ditangkapnya dipegang longgar memaksa Shaza memberitahu apa yang menarik perhatian Shaza sehingga menggelikan hatinya.

“Tak ada apa.” Shaza berusaha melerai pegangan Adam yang tidak seketat mana, mudah. “Sha cuma hairan perubahan abang sekarang. Abang tengah bercinta ya? Muka, berseri semacam.” Tebak Shaza membuat Adam tersentak, merah sudah wajahnya. Dia menoleh Shaza sekali imbas.

“Kenapa tuduh abang macam tu?” nerves benar dia, serius.

“Ala, relekslah. Macamlah jatuh cinta tu satu dosa, yang abang nak takut sangat ni apa pasal?” lagi Shaza mentertawakan, dibuang tawa ke kiri dalam usahanya mengurangkan kegelisahan Adam.

Adam sudah senyap, berkali-kali pula Shaza direnungnya dalam detik yang singkat kerana tekun memandu. Shaza sudah melupakan usikannya, sibuk pula meneliti laluan, mahu ke mana dia dibawa Adam. Satu persatu papan tanda jalan dan simpang dibacanya. Dia membuka telefon, map dipasang berserta line internet. Dia mahu mengesan laluan apa yang sedang mereka lintasi.

‘Mungkin dia nak ke Fraser Hill.’ Bicaranya sendiri, terus juga meneliti map dan tanda-tanda yang ditemui di tepi jalan. Dikerling Adam dengan senyum menguja. Adam mengerling juga, berkerut lagi dia. Dia mahu mempermainkan Shaza, akhirnya dia pula dipermainkan. Shaza melihat jam tangannya, kembali ke map.

“Kurang sejam lagi sampailah kan?” telahnya tanpa memandang Adam.

Adam menoleh seketika, hairan. “Kurang sejam? Nak sampai mana?” dia cuba mempermainkan.

“Kan Sha nak bawa abang pergi tengok Fraser Hill? Ha, tak lama lagi kita sampailah.” Nakal dia mengusik.

Adam kucam, mengerling menunjuk rupa kesal Shaza sukar dipermainkan. Dia lebih cekap berfikir. “Mana Sha tahu kita nak ke sana? Sha kata tak pernah ke mana-mana pun dalam Malaysia termasuk Fraser Hill.”

Shaza tertawa perlahan, dia menunjuk map yang digeledahnya dari google. “Zaman serba canggih, maklumat tanpa sempadan ni, bukan mudah lagi nak culik orang tau? Mangsa culik boleh mengesan ke mana dia dibawa malah boleh hantar terus maklumat ke balai polis tempatan dan antarabangsa lokasi dia dilarikan.”

Adam mengeluh perlahan, lagi dia tewas.

“Jarak KL Fraser Hill lebih kurang 100 kilometer dan memakan masa lebih kurang 2 jam perjalanan dalam kelajuan biasa. Ha, tengok? Semuanya di hujung jari.” Shaza memusingkan skrin telefonnya kepada Adam. Adam merenung sekilas, jelas pintar, komennya dalam hati.

Dia tahu semua boleh dicari di internet, map juga mampu memberi gambaran tepat cuma dia tidak terfikir Shaza menggunakan kemudahan itu untuk mengesan ke mana dia mahu dibawa. Dia berharap Shaza merayu minta diberitahu, ketakutan juga mungkin dibawa ke suatu tempat yang tidak jelaskan dari awal. Dan dia akan memujuk, abang sayang Sha, abang tak kan buat sebarangan pada orang yang abang sayang. Hah, ayat yang dikarang untuk memujuk langsung tidak menjadi sebaliknya Shaza sangat tenang, tidak terlalu bergantung dan sangat bersahaja. Mengeluh dia dalam diam.

“Kenapa?” Shaza mengesan rasa tidak puas hati Adam.

“Kenapa Sha search? Abang nak buat surprise.” Merajuk gayanya membuat Shaza tertawa kuat.

Tawa Shaza semakin membuat Adam bengang, kucam dia merajuk panjang. Shaza beranak tawa akhirnya hanya senyum ringan.

“Ala, abang nak bawa Sha pergi mana sebenarnya ni? Sha takut.” Rengeknya berlakon dalam usaha membujuk Adam.

Adam tertawa, terasa marah dipermain Shaza. Dia mencari telinga Shaza di dalam tudungnya, ditarik perlahan. “Nakal ya?” Shaza menolak tangan Adam, mengelak juga. Adam terus tertawa.

Sambil Adam masih dengan tawa riang, Shaza pula hanyut sudah. Telinganya masih dipegang dari luar tudung, teringat dia perbuatan Adam suatu ketika. Ngilu hatinya mengenang detik bahagia mereka lalu rindu bertaut lagi. Keluhnya tersangkut di rengkung, dibuang mata ke kiri sekali lagi mahu menyimpan rasa di situ supaya tidak dikesan Adam. Dingin sudah jemarinya menahan rasa yang tidak berasa di hati. Rasa apa sebenarnya? Mahu menangis, untuk apa? Sedangkan aku yang berkeputusan begitu. Mahu menyesal juga tiada gunanya, aku bertindak demi jiwa semua. Sudahnya dia yang lemas sendiri.

“Sha, kenapa ni?”

Shaza menoleh Adam, geleng dia perlahan. Berusaha dia senyum semanisnya tetapi mata pula beranak air. Jauh di dalam dia berharap ada seseorang yang boleh meminjamkannya semangat untuk dia menumpang kekuatan. Selain Zafran, dia tiada sesiapa lagi. Shatiah terlalu dewasa untuk dia bicara permasalahan orang muda dan bimbang juga dia anak dara terlajak itu mungkin akan terimbau kezalimannya ke atas adik sendiri untuk kepentingan diri. Sudahnya dia yang makan hati. Adam masih menunggu, berharap Shaza meluah apa yang sedang menyakitkan.

“Sha? You okay?”

Shaza senyum lagi, angguk perlahan.

“Sha ingat siapa?”

Shaza tertawa perlahan tetapi hambar dalam usahanya melindungi air mata yang semakin memanas. Sambil tertawa dia menyeka mata, berpura-pura gatal di kelopak mata.

“Abang ingat tak Sha pernah cerita pasal kekasih awal?” dia tertawa lagi. “Cinta monyet?”

Adam angguk, berkerut bimbang dia. “Dia dah kembali?”

Shaza geleng. Adam bernafas lega, perlahan dadanya diurut tanpa disedari Shaza.

“Baru-baru ni Sha selalu ingat dia.”

“Rindu?”

“Entahlah.”

“Apa perbuatan abang yang membuatkan Sha teringat dia?”

Shaza pegang telinga sendiri, tidak merenung Adam. Adam menoleh, angguk dia perlahan. Faham, perbuatannya menarik telinga Shaza membuat Shaza teringat si dia.

“Sorry, abang buat Sha sedih. Abang janji akan bantu Sha lupakan kenangan yang menyedihkan.”

Shaza senyum tipis. “Abang dan keluarga abang baik sangat pada Sha.”

“Kita kan sekeluarga? Abang sayang Sha lebih dari segala-galanya. Abang nak Sha gembira.”

“Terima kasih.”

Adam angguk. “Lupakan kisah lampau, renung ke hadapan.”

Shaza angguk, tunjuk Adam betul dan dia juga tekat untuk melupakan Zafrannya.

“Ingat, Sha tak sendirian lagi. Sha ada papa, mama dan abang. Ell pun sayang Sha.” Dikerlingnya Shaza, mahu mengesan emosi yang terselindung. Sejak Lisa memberitahu ada pertelingkahan besar di bilik Shaza dan Rusman terlibat sama, dia sudah mengesyaki ada yang tidak kena pada Zafran dan Shaza tetapi, puas dikorek sana sini bayangan tetap kabur.

‘Mungkin dia sedih bukan sebab rindu kekasih awalnya tetapi sebenarnya teringat Zafran. Sha bercinta dengan Zafran? Tapi sejak bila? Tak mungkin hanya beberapa minggu atau bulan sahaja bercinta, Sha dah teruk begini?’ tekun dia memandu sambil melamun keras.

“Tak mungkin.” Tanpa sedar tercetus dua perkataan ringan itu. Shaza menolehnya, hairan. Mahu dia pertanya apa yang tidak mungkin, tiba-tiba telefonnya bernada panggilan.

“Papa.” Sebutnya perlahan seraya slide untuk menjawab. Adam menoleh, keberatan dia Rusman mengetahui dia bersama Shaza tetapi tidak dinyatakan rasa hatinya. Shaza memberi salam awal, bertanya pula Rusman di mana dan Rusman menyatakan dia ke rumah Shaza, Shatiah memberitahunya dia keluar bersama Adam.

“Sha ke mana dengan Adam?”

Shaza senyum, menoleh Adam. Kereta sudah memasuki ruang parker, perlahan menetapkan tempat. Hand break diketatkan tetapi tidak mematikan enjin kereta, dibiarnya Shaza berbual di telefon bersama Rusman.

“Pergi Fraser Hill, baru je sampai ni. Ada apa papa cari Sha?”

“Tak ada apa. Lepas tai chi cadang nak sarapan dengan Sha.”

“Papa tak sarapan lagi ke? Dah pukul berapa ni?” jam tangan disemaknya.

“Dah, sebelum ke rumah Sha, papa dah makan roti canai mamak.”

Shaza masih duduk menyenget, berhadapan Adam yang kekal duduk di tempat pemandu.

“Bila balik ni?”

Shaza tertawa perlahan, Adam terus merenungnya melihat pelbagai corak terlakar di wajah Shaza selama berbual dengan Rusman di telefon. Tertarik benar dia setiap gaya Shaza.

“Baru sampai ni, belum keluar kereta lagi papa dah tanya bila nak balik.”

“Okay, balik cepat tau? Kat sini dah mendung, macam nak hujan.”

Shaza menunduk merenung ke langit, Adam menurut gaya Shaza. “Kat sini tak nampak nak hujan pun.”

“Balik cepat.” Rusman menurunkan perintah.

“Baik bos.” Shaza tersenyum senang. “Nanti Sha boleh bawa papa ke sini, nampak macam best, tenang. Ada padang golf.” Shaza sudah membuka pintu kereta dan keluar, terus juga bercakap di telefon.

“Tahu…” Rusman bosan bunyinya. Shaza tertawa lagi.

Sambil Adam menguruskan keretanya, Shaza terus juga berbual dengan Rusman.

Previous: BAB 22
Next: BAB 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.