Home Novel Thriller/Aksi Kultus Ibrahim
Kultus Ibrahim
DK Sarah
1/7/2019 01:25:46
12,554
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 1

Tahun 2016.

 

Hari itu adalah hari Jumaat. Malam terakhir bulan Ramadhan. Bandar Kota Kinabalu terasa dingin dan segar dibasahi rintisan hujan. Suasananya tenang dan aman kerana kebanyakan warga kota telah balik ke kampung halaman.


“♪… Ku mengharapkan Ramadhan

Kali ini penuh makna

Agar dapat kulalui

Dengan sempurna…♪”

 

Lagu ramadhan dendangan Raihan dan Man Bai memecah suasana….

 

Sementara itu, lain pula halnya dengan Fahmi, tek ketek, tek ketek… sehingga malam ke-30, dia bertemankan sahabat karibnya kopi tenom panas, menaip komputer di pejabat dengan laju, matanya tajam memandang skrin sehinggalah seruan takbir raya kedengaran menyusup ke telinganya…. sambil, kepulan asap kopi itu menghangatkan lagi suasana… malam lailatul qadar berlalu dengan sia-sia.

 

Allahuakbar… walillahilhamd… (Allah Maha Besar dan bagi Allahlah segala bentuk pujian)…  Fahmi tersentak dan beransur-ansur berhenti menaip. Dia memperlahankan bunyi radio. Takbir raya yang sayup kedengaran dari Masjid Negeri perlahan-lahan menerobos masuk dan memenuhi ruangan bilik pejabat. Memori dan perasaannya dibangkitkan kembali lantaran kisah yang terjadi pada awal bulan Syawal dua tahun yang sudah. Dia diundang ke rumah seorang klien pada hari raya kelima, iaitu oleh Pengiran (Pg) Matusin Bin Pg Morni.


Pg Matusin adalah seorang pengusaha yang memiliki empayar perniagaan yang luas. Cocok sekali dengan namanya Matusin, beliau dianugerahkan Tuhan harta yang melimpah ruah ataupun be-usin bak kata masyarakat Melayu Brunei. Sementara Fahmi pula bertuah kerana diamanahkan untuk menjadi pengurus akaun bank yang menjaga portfolio perniagaan Pg Matusin.

 

Masih tajam di benak fikirannya peristiwa di Villa Pg Matusin, malam itu diselubungi hembusan ribut dan dentuman ombak, guruh sabung menyabung, sementara keesokan paginya hanyalah kosong. “Mimik-mimik yang muram dan suasana yang pudar memenuhi di segenap ruang. Hanya lalat yang berterbangan.” imbasnya. Keringat dingin lantas membasahi dahinya. Dia terasa ingin muntah. Fahmi memberhentikan lamunan dan memerhatikan jam di dinding. Sudah jam 10.00 malam… proposal pinjaman klien harus dihantar ke ibu pejabat pada malam itu juga.

 

Fahmi tidak membawa proposalnya pulang ke rumah untuk disiapkan. Ini kerana proposal perlu dihantar menggunakan sistem dalaman di bank. Ia tidak dapat dihantar secara manual melalui email. Tanpa mengendahkan keadaan disekeliling, Fahmi menyambung kerjanya berseorangan dan berjaya menyiapkannya pada jam 11.30 malam. Dia memerhatikan keseluruhan ruang pejabat itu sebelum menguncinya. Ini kerana, dia masih ingat dan sentiasa menuruti petua neneknya supaya tidak membelakangi pintu rumah atau pejabat sebelum meneruskan perjalanan. Takut- takut diekori oleh jin-jin yang berkeliaran disitu. Fahmi membuka tingkap kereta dan menghisap gula-gula kopiko sebelum memandu, untuk memastikan dirinya sentiasa berada didalam keadaan segar dan selamat sampai ke rumah.


Sampai sahaja dirumah, Fahmi terus menanggalkan baju kemejanya. Dia duduk di bangku sofa, mencapai remote TV yang cermat kedudukannya diatas meja, menekan punat on lalu menonton rancangan terbaru Netflix.  Bagaimanapun, dia hanya bertahan selama 5 minit sebelum berdengkur kerana terlalu penat.  Sedang dia enak tidur, tiba-tiba Fahmi dikejutkan oleh bayangan seorang perempuan yang meraung ketakutan… nafasnya bagaikan ditarik, matanya terbeliak… “Astagfirullah!” ulangnya berkali-kali. Fahmi baru sahaja mengalami mimpi buruk yang telah berlanjutan untuk 3 malam berturut-turut. Dia berasa bahang dan berpeluh kerana terlepas mandi malam semalam. Jam di dinding menunjukkan pukul 4.00 pagi. Dia segera bersiram dan mengambil wudhu untuk menunaikan solat sunat taubat dan solat subuh.


Selesai solat subuh, Fahmi bergegas menghidupkan enjin kereta. Dia harus bertolak lebih awal dari apartmentnya di Teluk Likas untuk sampai ke kampung halaman di Beaufort. Perjalanan mengambil masa sekitar dua jam setengah.  Fahmi memandu dengan laju. Seperti biasa, gula-gula kopiko dan kopi tenom berada disebelahnya. Dia sudah bersedia untuk bertarung dengan rasa mengantuk. Matanya dibuka luas-luas. Kedua belah telinganya hampir tuli mendengar lagu dendangan M.Nasir yang dipasang dengan kuat dan tangannya menggenggam erat stereng kereta. Bagaimanapun, ketika menghampiri Bukit Melinsung, fikirannya menerawang jauh, anak matanya mengecil dan kelopak matanya hampir tertutup. 


Akhirnya, dia tewas didalam kegelapan subuh dan terlelap seketika mengalami micro sleep. “♪… satu hari dihari raya, kulihat cahaya bersinar indah…”  Seolah-olah bermimpi, Fahmi kemudian melihat suatu cahaya putih yang menyilaukan dan tak semena-mena… sosok janda berkebaya, dibasahi darah berada di hadapan kereta. Janda itu berjalan lurus ditengah jalan… Fahmi yang separa sedar tidak sempat mengelak dan terus sahaja merempuh janda itu. Tindak balas badannya bergerak perlahan. Bau busuk seperti bau bangkai menusuk hidungnya, menyebabkan dia tersedak dan segar kembali. Dia mendengar bisikan-bisikan halus yang tak dapat dimengerti jiwanya, seperti bisikan syaitan. Namun, Fahmi hanya mampu meneruskan pemanduannya.


“Takkanlah aku nak berhenti ditengah-tengah bukit itu? Janda itu telahpun berlumuran darah sebelum aku melanggarnya. Dan janda apakah yang berjalan kaki subuh-subuh begini? Ditengah-tengah jalan? Hmm… kenapa naluriku mengatakan dia adalah seorang janda? Kenapa dia memakai baju kebaya?” Beribu persoalan bermain dimindanya, dia seolah-olah teruja dengan peristiwa itu yang terbukti nyata namun sulit untuk dipercayai.

 

Fahmi akhirnya selamat sampai ke kampung halamannya di Beaufort untuk bermaaf-maafan bersama keluarga dan menunaikan solat sunat hari raya. “Ittaqullah! takutlah kamu kepada Allah…!” kata-kata khatib masih terngiang-ngiang di kepalanya, kerana pada kebanyakan waktu dia merasa lebih takut kepada hantu daripada Maha Penciptanya. Mungkin bukan takut seperti itu yang khatib itu maksudkan, tetapi Fahmi menyalahtafsirkannya.


Kejadian di Bukit Melinsung itu tadi memang perkara biasa. Bukit itu adalah zon utama berlaku kemalangan. Setiap kemalangan yang berlaku pasti mengerikan. Perasaan ngeri bercampur sedih, hiba apatah lagi trauma akan meninggalkan emosi yang mendalam ditempat kejadian. Ianya kekal terpahat disana. Emosi-emosi yang negatif ini akan menjelma menjadi bayangan mangsa-mangsa kemalangan, seperti suatu bentuk tenaga. Sehingga ianya diekspresikan sebagai hantu oleh mereka yang hidup. “Ataupun sebenarnya aku hanya berkhayal tadi.” Fahmi tidak pasti.

 

Bayangan janda itu hanya mengingatkannya kepada Pg Matusin dan peristiwa yang berlaku dua tahun yang lalu.

 

 

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh DK Sarah