Home Novel Thriller/Aksi Kultus Ibrahim
Kultus Ibrahim
DK Sarah
1/7/2019 01:25:46
12,572
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 3

Potret.

 

Sophia berjalan mundar mandir. Dia berhenti dan memandang ke arah Fahmi dengan penuh geram. “Encik Fahmi, lekaslah! kita dah lewat dah ni! sejam kami menunggu disini tau." Ternyata mereka berdua mengenali antara satu sama lain. 


Mana taknya… Sophia adalah penasihat takaful peribadi Pg Matusin, tentu sahaja ini bukan kali pertama mereka dikumpulkan di majlis yang sama. Sophia adalah gadis kacukan melayu-cina yang berasal dari Georgetown, Pulau Pinang tetapi telah lama menetap di Sabah iaitu semenjak kecil lagi. Sophia, yang membawa maksud ‘bijaksana’ didalam bahasa Greek kuno, adalah seorang gadis yang berperwatakan menarik dan profesional. Pada usia 28 tahun dia telah menguruskan agency takaful sendiri dibawah nama Sophia Wealth Advisory. 


Sekiranya Fahmi menguruskan keperluan syarikat-syarikat Pg Matusin, Sophia pula adalah figura penting yang menguruskan keperluan kewangan peribadi Pg Matusin termasuklah keperluan legasi, perubatan, haji dan persaraannya. Dan sudah tentu, Pg Matusin juga ingin mengetahui status terkini kewangan peribadi dan keluarganya di pulau itu nanti.

 

“Assalamulaikum, maaf… ada urusan tadi jadi lambat sedikit.” Tak terkesan dengan rengekan Sophia, Fahmi meminta maaf kepada semua undangan Pg Matusin. Mereka lebih awal berada disana. Dia menyapa lelaki yang berkopiah tadi, “kita kenalan Pg Matusin ya?” Lelaki itu tersenyum dan menjawab, “Ya, saya Haji Aripin dan ini Mustafa, anak buah saya.” 


“Salam perkenalan Pak Haji, Mustafa…” balas Fahmi tersenyum.

 

Berumur didalam lingkungan 50’an, Haji Aripin sebenarnya adalah sepupu Pg Matusin. Beliau adalah penduduk tempatan disitu dan seorang pendakwah bebas. Selain itu, beliau juga arif didalam dunia ‘perubatan’ Islam. Haji Aripin sememangnya dikenali dikalangan penduduk disitu kerana ruqyahnya telah banyak membantu mereka didalam menyelesaikan masalah berkenaan alam ghaib seperti santau, kerasukan mahupun menemukan orang yang hilang disembunyikan hantu. Sementara Mustafa sebenarnya adalah anak didik Haji Aripin. Dia menjadi pembantu setia Haji Aripin setelah sepuluh tahun meneladani perjalanan Haji Aripin didalam berdakwah dan mengubati penduduk kampung.


Kelihatan seorang lelaki berbadan sasa dan berkulit sawo matang menghampiri mereka. “Kelihatannya korum pun cukup sudah, mun miatu, baiktah kitani berangkat ke Pulau Dahau.” kata Karim pemandu bot catar mereka, sambil mengangkat bagasi Sophia dan meletakkannya ke dalam bot. Diikuti oleh undangan yang lain. Perjalanan ke Pulau Dahau mengambil masa lebih kurang setengah jam, oleh itu hanya Karim sahaja lah orang yang diharapkan untuk membawa mereka ke sana kerana botnya yang lebih luas dan selesa. Dan selayaknya tidak ada yang sanggup menghantar mereka ke pulau itu melainkan Karim, teman sepermainan sekampung Pg Matusin. Karim menghidupkan enjin dan mengemudi botnya.


Di sepanjang perjalanan, Fahmi sungguh-sungguh mendengarkan cerita-cerita alam ghaib daripada Haji Aripin.  Sekali-sekala matanya mengerling ke arah lelaki berkemeja putih tadi. Fahmi tertanya-tanya siapakah lelaki yang sangat dedikasi itu, sampaikan undangan bercuti begini pun masih memakai baju ala-ala nak ke pejabat lagi. “Akupun tak macam tu.” Bisiknya.

 

“Betulkah Pulau Dahau ni berhantu Pak Karim?” Sophia bertanya mengisi kesunyian para penumpang. “Eisshhh, mulut jangantah bibiran dayang, palis-palis antu saitan… tapi jangan risau… mun nda dikacau makhluk atu ndada apa-apa.”  sahut Pak Karim.


“Tak ada hantu dekat dunia ni la Sophia, saya dah lama ikut ulang alik Pg Matusin kemari, belum ada lagi kes yang tak diingini berlaku.” Sampuk lelaki berkemeja putih tadi. Sophia memandang kehairanan.

 

“Ohh ya, lupa pula nak perkenalkan diri, nama saya Morshidi, Tetuan Morshidi & Associates, peguam peribadi dan syarikat Pg Matusin.”

 

“Owh? salam perkenalan Tuan Morshidi, mujurlah Tuan ada disini juga… sebenarnya saya nak tanya sedikit berkenaan krisis perlembagaan yang berlaku di Sabah baru-baru ni…. bla… bla… bla…” Kelihatan muka Morshidi berkerut.


Morshidi yang berasal dari Sarawak mempunyai perangai yang pelik. Bermata sepet dan berkacamata, pada satu-satu masa gayanya seperti lelaki yang angkuh dan dingin, tetapi pada satu-satu masa bersikap mesra dan suka menyampuk perbualan orang lain. Mungkin kerana banyak perkara yang perlu difikirkannya menyebabkan beliau terkadang hilang dari radar masyarakat dan kembali menyampuk pada waktu-waktu yang tak diduga. Mana taknya, Pg Matusin sentiasa menyibukkan Morshidi dengan kes-kes saman syarikatnya terhadap kontraktor yang melanggar terma-terma perjanjian perniagaan. Kadang-kadang Pg Matusin juga disaman syarikat-syarikat yang berurusan dengannya.

 

Setelah setengah jam perjalanan mengharungi laut yang berangin dan berombak itu, akhirnya sampailah mereka ke Pulau Dahau. Sebuah pulau mistik dikatakan tempat bersemayamnya hantu Kelindahau. Benarlah, sekiranya ada pengunjung yang kemari tentu-tentu hilang selama-lamanya didalam keindahan pulau yang masih dara ini. Fahmi sempat memandang Mustafa yang berdoa barangkali meminta supaya tiada kejadian yang tak diingini berlaku. Maklumlah, daerah Kudat ini bukanlah asing dengan cerita-cerita seram dan pelik. Pak Karim enggan menjejakkan kakinya ke permukaan dan hanya menghantar mereka ke jeti untuk berjalan kaki sendiri ke Villa itu. “Biskita turuti saja laluan yang sudah kana tandai atu, dalam 300 meter nanti, keliatan tia tu, saya akan kemari lagi selepas tiga hari seperti yang diamanahkan oleh Pg Matusin.” 


“Okay tu Pak Karim, saya akan tunjukkan mereka jalan.” Kata Morshidi sambil menunjukkan simbol good menggunakan tangan kirinya.

 

Sambil melambai-lambai, Pak Karim mengundurkan botnya dan bergegas meninggalkan mereka.

 

Deruan ombak kedengaran. Mereka menaiki bukit yang sedikit curam dan kemudian melalui jalan yang berlopak akibat hujan malam tadi. Angin bertiup kencang dan mengeluarkan bunyi seperti bersiul. Mungkin kerana lokasi pulau ini yang terletak di penghujung utara Borneo, di bawah bayu selatan Filipina, dan di pertemuan arus Laut Sulu dan Laut China Selatan. Kelihatan beberapa ekor burung helang laut terbang membuat pusingan perlahan-lahan mengintai mangsanya.


“Ya! akhirnya dapat juga aku bercuti menikmati keindahan alam.” Fahmi kelihatan sangat gembira kerana sudah seabad lamanya dia tidak menikmati sinaran matahari. Keluar kerja hening subuh, balik kerja malam hari.

 

“Cerah cuaca hari ni ya, cuma angin bertiup agak kuat sedikit.” Kata Sophia.

 

“Hari ni saja cerah ni, tetapi lihatlah…  besok cuaca buruk, hujan ribut, langit gelap, angin kuat tak menentu dan ombak bergelora, harap-harap kita masih bernyawa lagi…” kata Mustafa.

 

Fahmi terganggu dan terus lemah semangat mendengar firasat buruk Mustafa.

 

“Ohh, please lah Mustafa, aku baru mau bercuti ni, janganlah kita minta-minta perkara yang nda baik pula berlaku disini….” Sophia memperingatkan Mustafa yang bercanda dengan kata-kata buruknya.


“Ehh betul lah cuaca buruk, aku baca laporan kaji cuaca tadi. Lagi satu, tak salah aku berdoa, kita memang dianjurkan untuk mengingati kematian." Mustafa membalas teguran dengan teguran.

 

“Malas aku nak layan… Fahmi, kau guna line apa?” tanya Sophia.

 

Line Digi, kenapa Sophia?” Fahmi membalas.

 

Line telefon takde lah dekat pulau ni, nak upload gambar dekat Instagram pun tak dapat.” Rungut Sophia.

 

“Talian telefon memang tak ada dekat pulau ni Sophia. Tak apalah, ambil lah peluang ini untuk ‘shutdown’ dari alam maya tu seketika. Perhatikan dan nikmati alam ni dengan lebih dekat.” Haji Aripin hanya menggelengkan kepala melihat gelagat Fahmi, Sophia dan Mustafa.


Morshidi tidak mengendahkan perbualan mereka dan melangkah dengan laju dihadapan. Rasanya dia pun bersetuju dengan Mustafa kerana sudah biasa dengan cuaca dipulau itu.

 

Setelah kira-kira 20 minit perjalanan, akhirnya villa Pg Matusin pun kelihatan. Villanya kelihatan sangat eksotik dan menyegarkan. Dinding dan struktur utama rumah diperbuat daripada kayu jati beratapkan daun alang-alang. Pintu utama rumah itu sangat besar dan tombolnya dapat dilihat berkilau dari jauh. Sementara itu, disekeliling rumah dipenuhi bunga kertas yang menjalar kemas. Pantarannya pula sangat luas. Sesuai untuk berborak dan beristirehat. Daripada halamannya yang luas itu, dapat dilihat pemandangan sebahagian pulau yang sangat indah. Mereka disambut oleh orang gaji Pg Matusin, Bu Leha. “Bah masuktah dulu, duduk. Bagasi semua kita ampaikan saja disana dulu.” kata Bu Leha dengan penuh ramah. Dia masuk ke dapur. Keluar semula dengan membawa minuman beserta kuih-muih untuk menjamu tetamu. “Minum biskita dulu, selesai solat zohor nanti Pg Matusin turun.”

 

“Adidih sadap jua kelupis si Pengiran ani, lemak rendangnya… kalah masakan mamaku.” Sophia menikmati jamuan yang disediakan.

 

“Bu Leha, babu memang tinggal disini?” Sophia bertanya.

 

“Nda ku bekarih tinggal di Pulau kosong ani seorang - seorang Sophia… kalau Pengiran kan mengatur majlis disini, baru babu sama Pa’ Tasan datang awal kemari. Menyiangi rumah kan.” Jawab Bu Leha.

 

“Oh begitu, siapa Pa’ Tasan tu Bu Leha?”

 

“Pa’ Tasan tu tukang kebun Pengiran, ada tu diluar menabas rumput.” Bu Leha melayan pertanyaan Sophia dengan ramah.

 

“Gila…tengah-tengah hari menabas rumput.” Fahmi berfikir sendirian.

 

Pa’ Tasan memang tak banyak bercakap, kebanyakan masanya dihabiskan dihalaman Pg Matusin yang luas itu.

 

“Ehem, maaflah kerana membuat biskita lama menunggu, silalah… makan-makan, siapa malu rugi.” Pg Matusin turun dari tingkat atas rumahnya. Dia memakai baju batik santai tetapi menyerlahkan ketokohannya sebagai seorang ahli korporat.


“Assalamualaikum, apa khabar Pengiran, selamat hari raya…” Haji Aripin berpelukan dengan Pg Matusin.

 

“Alhamdulillah baik Ji, sukur tah cakah lakat kita ani kuperatikan. Sikit lagi nda tekilala” Balas Pg Matusin.

 

“Allah… Alhamdullillah, rejeki tu Pengiran, rejeki. Pengiran pun apa kurangnya, ahaha.” Mereka berdua ketawa besar.

 

“Fahmi, Sophia, ani… anak siapa pula ni?” sambil menyalam Pg Matusin bertanyakan nama Mustafa.

 

“Oh ani si Mustafa Pengiran, anak buahku. Okay ni anak ani, ada harapan.” Balas Haji Aripin sambil menepuk-nepuk bahu Mustafa.

 

Kesemua mereka berbual-bual diruang tamu melepaskan lelah daripada perjalanan jauh tadi. Sementara itu, mata Fahmi menghala kearah potret keluarga Pg Matusin. Didalam potret itu, Pg Matusin berdiri di sebelah arwah isterinya. Didepan mereka adalah anak-anak Pg Matusin. Dua lelaki dan seorang perempuan. Potret ini dilukis sekitar 20 tahun yang lalu. Kerana, anak-anak beliau kelihatan masih kecil, didalam lingkungan sembilan ke sepuluh tahun. Fahmi memang sedia maklum yang umur anak-anak Pg Matusin sekarang lebih kurang sebaya dengannya. Namun ada yang tidak kena dengan potret keluarga itu. Fahmi mengamati potret itu dalam-dalam. Dia mendapati kedudukan anak-anak beliau tidak berada ditengah-tengah gambar. Sebaliknya kedudukan mereka lebih berat ke bahagian Pg Matusin. Seolah-olah kanak-kanak itu tidak rapat dengan arwah ibunya.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh DK Sarah