Home Novel Thriller/Aksi Kultus Ibrahim
Kultus Ibrahim
DK Sarah
1/7/2019 01:25:46
12,543
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 6
Tahun 2019.


“Nandini, ke bilik editorial sekarang!” Soltan berjalan dengan laju dan meluru masuk ke dalam biliknya. Dia menutup pintu dan mencapai sebuah kotak hitam yang diletakkan kemas diatas meja. Seperti sebuah relic yang suci. Dia mengeluarkan sebentuk perak tirus dan bersinar daripada kotak itu. Rupanya ianya adalah sebatang rokok elektronik yang dibelinya dari luar negara melalui Amazon.com.

 

Soltan bertafakur seketika sambil menghembus asap rokok elektronik itu. Lebih kurang lima minit berlalu… dia keluar kembali dan memanggil, “Nandiniiii!” Suaranya bergema di pejabat mereka yang lengang itu.

 

“Sabah terdiri daripada kaum yang pelbagai dengan latar belakang dan kebudayaaan yang berbeza-beza... penduduknya terdiri daripada sekurang-kurangnya tiga puluh satu kumpulan dengan menggunakan lebih dari lima puluh bahasa dan tidak kurang dari sembilan puluh dialek…” Nandini tekun mendengar syarahan Dr Julaini.

 

Dia tidak berasa mengantuk kerana suhu penghawa dingin di Dewan Kuliah Fakulti Kemanusiaaan, Seni dan Warisan itu yang terlalu sejuk.


  Sumandak Sabah mana kau mau cari,

Unduk Ngadau gelaran diberi,

Satu Sabah ternanti-nanti kalah atau manang ada yang sampai manangis,

T'lampau barabis

 

Ringtone Nandini memecah suasana bosan didalam dewan itu. Nandini yang kalut itu tergesa-gesa keluar dari dewan.

 

“Nandini! Awak kat mana?” Soltan bertanya dengan geram.

 

“Saya dekat UMS (Universiti Malaysia Sabah) ni bos. Harini lecture by Dr Julaini, hubungan etnik di Sabah…”


“Haaa? Awak buat apa dekat sana? Okay kemas barang dan cepat datang ke pejabat, lima belas minit ya.” Soltan terus memberikan arahan sebelum sempat Nandini menghabiskan ayatnya.

 

“Ai? Apa bos ni…semalam dia yang suruh aku datang kemari.” Rungut Nandini kebingungan. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

 

Tanpa melengahkan masa, Nandini terus mengambil grab menuju ke sebuah pejabat usang di Gaya Street,  dia menaiki tangga termengah-mengah diiringi bunyi tapak kasutnya yang kuat. Dan akhirnya sampai ke bilik Soltan.

 

“Duduk Nandini, okay... sekarang ni awak tengah buat apa?” Soal Soltan.

 

“Artikel berkenaan hubungan etnik di Sabah bos.” Jawabnya.

 

“Hmm, hubungan etnik ya… okay takpa, hold tu dulu. Aku ada special task nak bagi dekat engkau ni. Sangat menarik. Suatu pendedahan… cuba teka.” Soltan senyum sehingga ke pipi. Matanya bulat memandang Nandini.

 

“Ape ni bos? Cakapla cepat!” Nandini tertanya-tanya bercampur teruja.

 

“Nandini, bilakah kali terakhir awak menghidu bau darah?” Soltan cuba untuk bersikap retorikal.

 

“Baru hujung bulan lepas bos” Nandini menjawab dengan selamba.

 

Soltan memegang dahinya. “Ohh come on Nandini, jangan nak bergurau sekarang boleh?”

 

Soltan diam seketika, memandang Nandini dengan penuh suspense.

 

“Kenapa pandang saya macam tu bos? Takutlah.”

 

“Tengok tak berita pagi ni?” Soltan bertanya lagi.

 

“Ohh ini mesti pasal kes pembunuhan dekat Teluk Likas tu kan? Tak naklah, tak menarik… kalau perempuan yang meninggal mesti kes curang, kalau lelaki pula yang meninggal mesti kes kacau bini orang… bosan la bos.” Nandini cuba jual mahal.


“Kalau kes bunuh diri apa pulak?”

 

“Kalau kes bunuh diri mesti pasal hutang, tak pun Along.” Nandini menjawab dengan spontan.

 

“Hmm, okay fair enough, tapi engkau jangan risau…aku tahu kau nak juga cover topik budaya. Takpa, tugas yang aku nak bagi kau ni special, aku nak kau buat penyelidikan berkaitan fenomena ‘Pengait’ di Sabah.

 

“Okay… interesting, tapi… apa kaitannya dengan berita pagi ni bos?” Dengan matanya yang besar memandang Soltan, Nandini ingin tahu.


Interesting? fenomena pengait ni taklah menarik sangat sebenarnya. Dah lama menjadi bualan di Sabah, sampai dah basi. Apa yang menarik adalah berita pagi ni. Itulah kau, the answer is in the detail. Kena tahu macamana mangsa dibunuh, bukan dengar berita macam tu saja. Aku nak kau siasat dan tulis dari perspektif orang muda. Aku rasa kejadian pagi ni hanyalah ‘tip of the iceberg’ sahaja. We might discover isu yang lebih kompleks melalui kes ni nanti. Baiklah, jangan buang masa, awak pergi ke Teluk Likas sekarang.” Nandini tahu kes ini memang menarik kerana Soltan telah mula berbahasa Inggeris.

 

Fenomena pengait memang tidak asing lagi bagi masyarakat di Sabah. Seperti Urban Legend, fenomena pengait menjalari ke setiap suku kaum di Sabah, Kadazandusun, Murut… Brunei… diantaranya. Malahan fenomena ini didokumentasikan kerana ianya merupakan satu nilai sejarah dan budaya yang amat penting di Sabah. Selain Pengait, ia juga dikenali sebagai tonggorib (Kadazandusun), magarib (Lotud); sagawi (Tobilung); pandadau (Murut Nabai) dan maginggulu (Murut Delayan). Ataupun didalam bahasa Melayu dipanggil sebagai ‘Pemburu Kepala’. Amalan pemburuan kepala sebenarnya adalah amalan yang berlaku suatu ketika dahulu, dikatakan sebagai simbol keberanian satu-satu etnik. Selain itu, ada juga kepercayaan yang pengait sebenarnya adalah suatu kerja upahan. Mereka diupah oleh kontraktor projek untuk menguatkan struktur binaan seperti jambatan. Dikatakan kepala mangsa akan diletakkan berdekatan ‘cerucuk’ bangunan atau jambatan dan disimen bersama-sama. Kepala itu sebenarnya dijadikan persembahan kepada penunggu disitu. Dengan harapan dan kepercayaan supaya struktur binaan itu tidak roboh dan akan bertahan lama.


“Menariknya berita pagi ini adalah kejadian yang berlaku pada malam semalam. Meskipun masih didalam siasatan, tetapi umum mengatakannya sebagai kes pembunuhan berdasarkan keadaan kematian si mangsa. Ini kerana, keseluruhan tubuh mangsa tidak dapat dikesan sebaliknya hanya tinggal kepala yang tergantung di siling rumah. Seperti hasil kerja pengait. Sudah tentu ini bukan kerja pengait yang sebenarnya, tetapi persoalannya adalah kenapa? Kenapa kepala itu digantung di siling rumah. Dan, apa yang lebih penting adalah, kepala itu digergaji dengan kemas. Ini bermaksud, pembunuhan tidak dilakukan dengan tergesa-gesa sebaliknya telah dirancang. Pasti pelakunya adalah seorang yang professional ataupun, ini bukan pertama kali dia melakukannya. Seperti operator kilang yang mempunyai 'Standard Operating Procedure'. Keadaan ini turut menimbulkan persoalan bagaimana jika ia angkara pembunuh bersiri? Aku nak kau siasat perkara ini.” Nandini membaca pesanan whatsapp yang dihantar oleh Soltan.

 

Air mata berlinangan keluar tanpa Nandini sedari. Dia berasa terharu. Dia masih ingat lagi kali pertama dia menyertai Syarikat Media Soltan. Bermula daripada seorang office girl dan membancuh kopi. Nandini memang telah lama berimpian untuk menjadi wartawan Majalah ‘Mastura’. Sebuah majalah yang mengupas isu-isu kehidupan di Sabah. Terutama aspek-aspek sensasi seperti rogol, bunuh dan santau. Akhirnya, Nandini diberikan tugasan yang menarik setelah lama menghasilkan ratusan artikel sejarah dan budaya untuk majalah Mastura. Sudah tentu Soltan mempunyai sebab tersendiri memilih wartawan junior seperti Nandini untuk kes seperti ini.

 

Yes, I bet on you Nandini, please come up with something fresh and energetic.” Whatsapp semangat dari Soltan membuatkan Nandini terus menangis teresak-esak terharu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh DK Sarah