Home Novel Seram/Misteri Potret Dua Wajah
BAB 4 Aisyah Pengsan Kerana Kelibat Putih...

Pada malam itu ketika berada di dorm, Aisyah menceritakan perbuatan Nadwa terhadapnya kepada Bibiey.Air muka Aisyah jelas bimbang. ‘Point’ merit memang digunakan sepenuhnya di sekolah itu. Melakukan kesalahan seperti yang dilakukannya memang menghakis kedudukan ‘point’. Kalau merosot teruk, dia tentu akan ditendang keluar dari asrama . Keyataan itu sungguh perit buat pelajar yang tiba dari jauh. Mereka terpaksa mencari tempat tinggal di luar. Parah. Dia ada memberitahu Nadwa akan kesulitannya itu, namun Nadwa pura-pura tidak mendengar.Kejam sungguh!

“Aku bukan nak sokong dia. Malah, ramai warga pelajar yang separuh mati bencikan Nadwa tu. Tapi kami tak dapat nak buat apa-apa. Kau salah oranglah Syah! Dia tu hanya takut kat Iman aje. Kau ingat... kau sorang je ke yang meluat kat dia? Kami pun sama! Tapi kau pun salah. Dah tahu galeri tu dia yang jaga, pergilah ke sana pada waktu yang sesuai. Ni tidak, kau pergi masa subjek Kimia yang kau tuang. Kalau ponteng kelas banyak markah akan dipotong tau,” leter Bibiey. Nasihatnya jujur.

“Lain kali Syah janji tak ponteng kelas lagi,” janji Aisyah setelah memikirkan logiknya kata-kata seniornya yang baik hati itu.

Bibiey tersenyum lalu melabuhkan tubuhnya di atas katilnya. Seketika kemudian tanpa bertangguh-tangguh lagi Aisyah pun melakukan perkara yang sama.

“Lukisan di galeri tu cantik-cantik ya, kak?” pancing Aisyah yang tiba-tiba membangkitkan isu mengenai lukisan-lukisan yang dilihatnya di galeri SMTSU itu. Bibiey memicing ke arah Iman. Keberatan hendak melayan soalan Aisyah. Iman masih bersedih dengan kematian arwah Dania yang merupakan kakak angkatnya itu. Lukisan-lukisan itu adalah karya-karya hebat kakak angkatnya itu.

Iman yang berada di katilnya serta-merta menoleh kepada Aisyah. Wajah Iman yang ceria selepas bergurau dengan Jijah tadi, terus bertukar suram. Wawa yang berdiri berhampiran, mengisyaratkan telunjuknya ke bibir menyuruh Aisyah berhenti menceceh pasal lukisan-lukisan tersebut. Namun, Aisyah tidak mengendahkan. Dia sebenarnya tidak faham maksud isyarat Wawa tersebut.

“Siapa pelukis-pelukisnya kak?” soal Aisyah ingin tahu. Kali ini mukanya dijuruskan kepada Iman... Wawa mengetap bibir. Geram dengan sikap ‘bendul’ Aisyah itu.

Iman pada mulanya mendiamkan dirinya. Akhirnya, acuh tak acuh memberikan jawapan.

“Bekas pelajar kat sini!”

“Takkan dia seorang je yang melukis untuk galeri tu?”

“Ada juga lukisan pelajar lain, tapi cuma beberapa buah aje sebab lukisan mereka masih tidak menyamai taraf lukisan dia tu. Pengetua kata, bila dah ada lukisan lain yang berjaya melepasi taraf, barulah lukisan dia tu akan diturunkan satu persatu.”

“Siapa dia tu?” Aisyah semakin teruja ingin tahu. Hebat sangatkah pelajar yang bernama Dania ini?

Iman merengus, tetapi tetap memberikan respons. Dia tidak sampai hati mengabaikan soalan juniornya itu. Dia tidak mahu dilabel sebagai senior sombong lagi.

“Lukisan-lukisan tersebut merupakan seleksi karya para pelajar. Sebahagian besarnya dilukis oleh Kak Dania. Arwah Kak Dania! Puas hati sekarang?”

“Arwah?”

“Dia senior kita. Dia dah meninggal dunia! Masih tak faham lagi ke?” Iman mengeraskan nadanya.

Aisyah terkedu. Ekspresi Iman yang sudah berubah ditenungnya.

“Saya buat Kak Iman sedih ke? Maafkan saya, ya?” pinta Aisyah jujur.

Iman mengangguk lalu mencapai failnya dan terus beredar dari dorm itu. Seketika kemudian, dia kembali menjengukkan kepalanya dan memandang Aisyah.

“Maaflah Syah, Kak Iman nak pergi prep!” kata Iman. Kemudian menghilang semula.

“Kenapa Kak Iman lain macam aje?” tanya Aisyah, berpaling kepada Jijah.

“Kau tu bodoh! Orang dah bagi isyarat, tapi masih nak teruskan jugak, bisa betul mulut kau tu. Dia baru nak sukakan kau... kau musnahkan semuanya.”

Aisyah kelu. Hatinya tiba-tiba rasa sebal.

“Jomlah kita pergi prep. Anis tolong bawa biskut, nanti mengantuk!” Jijah berkata sambil mengerling Aisyah.

Anis membuka almari dan mencapai biskutnya. Kemudian, dia meletakkannya semula di tempat asal. Lokar ditutup. Dia sebaliknya, beralih ke lokar Iman dan mencapai sebungkus biskut.

“Hoi, jangan mencurilah!” halang Bibiey sambil bingkas dari katilnya.

Anis menoleh ke arah Bibiey dan menjuihkan bibirnya.

“Iman dah pesan, biskut ni dia suruh kita habiskan. Tahu tak kenapa? Sebab biskut ni, secret admirer dia yang bagi. Kau orang tu tahu apa? Jomlah pergi prep, jangan buang masa!” ajak Anis.

“Siapa? Abu Dzar ke?” tanya Jijah ingin tahu.

“Kalau Abu Dzar yang bagi, tentu Iman dah bingkaikan. Yang ni, orang lainlah!” Wawa melawak. “Aku gurau aje. Jangan beritahu Iman, dia tak suka bercerita tentang pakwe-pakwe ni. Pecah rahsia ni, pecah bibir kau!” Wawa memberi amaran.

Keempat-empat rakan itu keluar sambil menghadiahkan jelingan tajam kepada Aisyah. Aisyah, Bella, Syamira dan Falora tunduk dan mengerling sesama sendiri.

“Naluri ingin tahu kau ni, boleh membunuh kau, Syah!” marah Falora sebaik sahaja keempat-empat orang senior mereka itu keluar. Mereka juga turut bangun menuju ke prep.

“Cuba jadi macam kami ni, kan elok? Diam aje. Tutup mulut. Tak payah banyak cerita. So, takda sesiapa pun yang nak membebel kat kami. Aman dunia!” perli Bella yang cantik, sambil mengerling ke arah Falora.

Pantas Falora mengangguk. Tetapi Aisyah langsung tidak mengendahkannya. Tanda tanya kenapa Iman begitu sedih setiap kali nama pelukis itu ditimbulkan begitu mengocak benaknya. Semua orang akan mati. Tapi dia pasti kesedihan Iman bukan disebabkan faktor itu.

Dia melangkah dengan malas untuk ke kelas. Di dalam kelas itu nanti, para pelajar akan mengadakan sesi perbincangan dan ulang kaji pelajaran. Apa yang nak dibincangkan?Kelas kan baru bermula? Macam mana nak bincang kalau kat kelas pun, baru je buka buku. Ish... ish.

Syamira, Bella dan Falora mendahuluinya di depan. Disebabkan leka memikirkan isu yang dibangkitkannya ketika di dorm tadi, menyebabkan dia tertinggal jauh di belakang.

Tiba-tiba sahaja angin yang bertiup terasa amat dingin. Terlalu dingin. Aisyah melihat seperti ada kelibat berwarna putih sedang berjalan beriringan dengannya. Dia menoleh. Namun, tiada sesiapa di sebelahnya. Dia meneruskan langkahnya, dan sekali lagi ekor matanya menangkap kelibat berwarna putih itu. Bulu roma di tengkuknya sudah meremang. Wajahnya menjadi pucat lesi.

Dia ingin berlari ke arah rakan-rakannya. Tetapi kakinya seperti disimen di situ. Dia teringatkan bayangan yang dilihatnya ketika dia di surau tempoh hari. Jantungnya terasa seperti hendak tercabut. Akhirnya, diajatuh terjelepok di lantai koridor. Aisyah sudahtidak sedarkan diri.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh