Home Novel Seram/Misteri Potret Dua Wajah
BAB 3 Rindu Itu Masih Ada.../Galeri Dania...



Masriezal masih belum berganjak dari motosikal berkuasa tingginya yang direhatkan di bawah sepohon pokok yang rendang, di antara pohon-pohon yang menghiasi persekitaran sekolah ternama di Selangor itu. Dadanya bergetar dicengkam perasaan sebak dan pilu. Memori semalam sedang gigih menyingkap tabir layarnya.

Dia mendongak ke atas. Teduh. Kemudian meluruskan mukanya memerhatikan jajaran pohon angsana yang telah tua usianya. Batangnya juga hampir kehitaman ronanya dimamah cuaca. Suasana di sepanjang jalan memasuki sekolah berasrama itu memang redup. Redup dan nyaman.

Merenung keindahan kawasan sekitar sekolah itu, menggamit kenangan lalu bertandang ke persada ingatan. Kenangan yang tidak mampu diluputkan daripada ingatan hingga bila-bila. Hatinya diharu pilu, apabila satu wajah manis terbayang-bayang di ingatan. Wajah arwah Dania.

Sudah lebih tujuh bulan dia meninggalkan profesionnya sebagai pendidik di sekolah itu. Namun, jiwanya seolah-olah tidak mampu lari daripada terus dihantui peristiwa malang yang menimpa arwah Dania. Pelajar ikon yang menjadi kebanggaan seluruh warga SMTSU.

Untuk ke sekian kalinya, dia membatalkan hasrat untuk mengunjungi sekolah yang telah banyak meninggalkan kenangan pahit dan manis kepadanya itu. Cukuplah sekadar berdiri di pintu gerbang sekolah itu. Kakinya tidak mampu melangkah lebih jauh lagi ke dalam. Memori hitam itu menyekat langkahnya. Dia menghidupkan enjin, memusing motosikalnya dan mengundur perlahan-lahan dari lokasi tersebut.

‘Semoga dikau damai berada dalam limpahan rahmat-Nya…’doanya buat arwah Dania.

Dia teringatkan Galeri Lukisan Dania. Itulah gelaran bagi galeri tersebut yang diberikan oleh setiap penuntut SMTSU. Ini kerana setiap lukisan yang terpamer di situ, hampir keseluruhannya dilukis oleh arwah Dania. Penuntut paling jelita dan paling cemerlang di institusi ilmu tersebut. Lalu, kenapa dia harus mati seperti itu?

‘Apakah galeri itu masih menyimpan kanvas-kanvas indah yang kau tinggalkan sebelum kematianmu dulu? Apakah mereka masih menghargai bakatmu yang pernah mengharumkan nama sekolah ini? Apakah mereka seperti aku, masih mengenangmu? Dan ingatan yang sebagaimanakah itu... sayangku? Dia mengerdipkan matanya yang berkabut.

Ah, Nia... seperti biasa, aku tidak lagi memiliki keberanian itu. Maafkan aku! rintih Masriezal sambil menunggang motosikalnya dengan had laju yang dikawalnya dengan baik. Dia membelah jalan menuju destinasinya dengan perasaan sedih dan rindu yang tidak tertanggung oleh hatinya.

Galeri Lukisan Dania.

Terletak menghadap dewan sekolah, galeri tersebut memuatkan variasi lukisan dari pelbagai motif dan konsep. Aisyah yang mempunyai bakatbesar dalam seni lukisan, memang mudah terlekadi tempat-tempatyang menguja seperti galeri itu. Dia amat mengagumi lukisan-lukisan yang dipamerkan di situ.

Sudah satu jam Aisyah menghabiskan masa di Galeri Lukisan Dania yang letaknya menghadap dewan sekolah tersebut. Ketika di luar tadi, dia turut terleka membelek lukisan mural yang menghiasai seluruh dinding luar galeri berkenan. Lukisan-lukisan itu juga adalah hasil kerja arwah Dania sendiri. Indah dan hipnotik. Masuk ke dalam, lagilah dia terpukau. .Aisyah yang memang mempunyai bakat melukis terus terleka menatap pelbagai jenis lukisan yang digantung di ruang dalam galeri tersebut. Setiap satunya mempunyai nilai-nilai kemanusiaan dengan motif dan konsep yang berbeza dan sangat dikagumi.

“Hoi, dungu! Takkan kau tak tahu kau ada kelas?” sergah Nadwa. Peristiwa di surau tempohari tidak mungkin dilupakan Nadwa. Dia bertekad hendak mengerjakan junior yang seorang ini.

Aisyah yang terpaku di hadapan potret seorang lelaki yang berwajah sebelah hitam itu, spontan berpaling bila ditegur Nadwa. Wajah bengis Penolong Ketua MPP SMTSU itu ditatap dengan perasaan kecut. Teringat peristiwa Iman menempelak pelajar itu disurau dulu kerana membelanya...

“Kenapa?” soal Aisyah gugup diganggu oleh seniornya itu.

“Kenapa? Kau tanya aku kenapa? Tak reti tengok jam? Habis yang kau pakai benda tu kat tangan kau untuk apa? Sebagai aksesori? Bodoh!” tengking Nadwa.

Aisyah membelek-belek jam di pergelangan tangannya. Matanya terbeliak.

“Hah... baru sedar macam orang lepas kena pukau?” Nadwa mencerlung.

Aisyah menjeling tajam ke arah Nadwa. Terasa hendak di kunyahnya muka bengis di hadapannya itu. Nadwa membalas jelingan Aisyah dengan pandangan sinis dan menyampah. Tanpa membuang masa, Aisyah meluru keluar, tetapi lengannya segera ditarik kasar oleh wakil MPP tersebut. Aisyah kembali mendepani seniornya itu.

“Nama penuh kau. Cepat bagi kat aku!” perintah Nadwa seraya mengeluarkan buku nota kecilnya.

“Tolonglah kak, nanti kena potong point saya. Saya tak mau diusir dari asrama. Mana saya nak tinggal? Rumah saya jauh,” rayu Aisyah yang sudah cemas.

Nadwa tersenyum mengejek. Tanpa sedikit pun rasa simpati, dia terus memaksa Aisyah memberitahu nama penuhnya. Aisyah binti Farhan! Setelah memperolehi apa yang dihajatinya, Nadwa beredar meninggalkan galeri tersebut. Hati Aisyah membengkak. Tapi Nadwa puas.

Sepanjang waktu makan tengah hari di dewan makan asrama tersebut, Aisyah hanya membatukan diri. Tindakan disiplin yang dikenakan ke atasnya oleh Nadwa benar-benar merosakkan moodnya hari itu. Pandangannya kerap terarah kepada Nadwa yang asyik bergurau senda dengan rakan-rakannya. Setiap kali mata Nadwa bertembung dengan matanya, gadis itu akan mengangkat keningnya. Darah Aisyah menyimbah ke muka.

Akan ada suatu hari tu, di mana giliran aku pula mengajar kau…Aisyah melontar geram.

Nadwa membuat muka sinis kepada Aisyah yang sesekali mencuri pandang .

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh