Apabila membuka mata, Aisyah melihat Jijah, Iman dan
Wawa serta rakan-rakannya yang bertiga itu sedang mengelilinginya. Dia berasa
hairan sewaktu mendapati dirinya telah pun berada di Dorm Tanjung yang terletak
di tingkat satu yang mana merupakan satu aras dengan Dorm Kantan yang menempatkan para
perwakilan MPP.
Anis muncul di depannya
membawa secawan Milo panas.
“Minum ni.” perintah Anis
dan duduk di atas katil mengadap Aisyah. “Kalau hati kau tu kecil, lain kali
jalan dalam kumpulan. Ni dahlah lambat pergi prep, jalan seorang diri pulak. Ada
ilmu kebal ke?” Anis mendengus. Berkerut-kerut mukanya menatap wajah Aisyah.
Aisyah menghirup minuman
panas yang diberikan oleh Anis. Dia beroleh sedikit kekuatan dan tubuhnya
terasa semakin segar.
“Terima kasih, kak!”
hargai Aisyah.
Anis tersenyum menatap
wajahnya. Mengangguk-angguk.
“Pukul berapa sekarang?”
Aisyah menanti jawapan daripada Anis.
“Pukul 12.00 tengah
malam. Tahu tak siapa yang jumpa kau terbaring kat koridor tu tadi?” Jijah
bertanya sambil curi-curi mencuit pinggang Iman di sebelahnya. Iman tersengih.
Aisyah terpinga-pinga
merenung Jijah dan rakan-rakannya. Manalah dia tahu siapa yang menjumpai dia.
Dia membiarkan tanpa menjawab soalan
Jijah tersebut.
“Nazuan dan
kawan-kawannya. Kain kau terselak sampai ke betis semasa kau jatuh tu,“ sampuk
Iman. Berisyarat mata dengan Jijah. Muka Aisyah merah padam kerana malu.
“Sekolah ni memang
sekolah sekular, tapi semua penghuninya termasuk guru dan para warden telah
menukar imejnya menjadi Islamik. Tahu apa pelajar sekolah lain cakap tentang
sekolah kita ni? Mereka labelkan sekolah kita ni sebagai sekolah agama.
Kami memang mementingkan hal-hal yang
bersangkutan dengan agama di sini. Jadi keadaan kau terbaring seksi macam tu,
adoyai... gerenti bakal menimbulkan gosip tak lama lagi!”
Aisyah menggigit
bibirnya. Berdoa dalam hati agar gossip yang dikatakan itu tidak menjadi
‘viral’. Malu dia nanti! Dia memulangkan mug itu kepada Anis dan
mengadap Iman. Ada sesuatu yang ingin diberitahunya kepada gadis itu.
“Semasa pengsan, saya
melihat wajah seorang gadis cantik sedang melakar sesuatu di kanvas. Kemudian,
tiba-tiba saja seluruh lukisannya disimbahi darah. Saya lihat ada seorang
lelaki dewasa muncul di belakangnya kemudian
mencekik lehernya,” kata Aisyah memeranjatkan semua.
Para pelajar yang
mengelilinginya habis ternganga. Falora, Bella dan Syamira menjerit sambil
berhimpit-himpit di atas katil. Jijah mentertawakan mereka bertiga.
“Rupanya? Macam mana rupa
dia?” Iman serius bertanya. Dadanya
berdebar-debar.
“Tak nampak sangat, tapi
rambutnya kerinting hingga ke bawah paras bahu. Dia memakai cermin mata
berbingkai halus.”
Iman menarik nafas berat.
Wajah arwah Dania menerpa diingatan. Dia merenung Anis dan Wawa. Kemudian,
beredar dari katil itu. Tapi
menghempaskan punggungnya di atas katil bersebelahan.
Aisyah bangun dan dalam
keadaan terbata-bata mendekati Iman.
Tetapi dengan pantas pula Iman menutup mukanya dengan bantal. Dia tidak mahu diganggu. Aisyah perasan
pelupuk mata Iman digenangi air mata sebelum bantal itu sempat ditekup ke
mukanya.
“Jomlah kita balik ke
dorm kita!” Aisyah mengajak dengan suara perlahan sambil mengorak langkah untuk
keluar dari dorm tersebut.
Mereka yang lain turut
mengiringinya. Jijah yang baru hendak melangkah, berpatah semula apabila
melihat Iman masih berada di katil itu sambil menekup wajahnya ke bantal.
‘Tidak tidurlah nampaknya Ann, katilnya dah dihuni!’ gerutu hati Jijah.
Iman pula menggumam
esakannya di sebalik bantal. Dia bencikan kenangan itu kerana ia akan
menghantar rindu yang tidak mungkin ada penawarnya! Kenangan lama bermain-main
di ingatan. Iman melihat wajah Dania di pentas memorinya...