Home Novel Seram/Misteri BAYANGAN
BAYANGAN
muRni aQiLa
28/2/2020 10:58:25
117,527
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
BAB 26

KERETA yang Hajar pandu berhenti betul-betul di hadapan rumah Irwan. Nizam melihat kereta dan motosikal Irwan ada di garaj. Sepupunya itu sudah pulang. Nizam berpaling memandang Hajar pula.

“Terima kasih belanja saya makan.”

Senyuman Hajar meleret.

“Sama-sama. Jumpa lagi nanti.”

Nizam hanya mengangguk, lalu dia melangkah keluar dari kereta Hajar yang berpewangi lavender. Dia berdiri di hadapan pagar menghantar kereta Hajar berlalu dengan pandangan. Mengingatkan kembali keterampilan Hajar, gaya hidup gadis itu, kerjaya dan kesenangan yang dimiliki membuatkan Nizam berasa sangat kerdil.

Andai ini takdir yang tertulis dalam perjalanan hidup Hajar, dia cuma mampu tumpang bahagia. Tak sepatutnya dia membiarkan diri rapat dengan gadis itu. Cuma dia terima pelawaan Hajar kerana mahu benar-benar pasti yang gadis itu sememangnya Hajar yang dicari. Dan dia masih belum jumpa petunjuk yang benar-benar sahih lagi.

Dia melepaskan nafas panjang sambil berpaling mahu masuk ke dalam pagar. Pagar itu dia kunci. Kemudian dia membuka pintu rumah pula. Tatkala pintu terkuak, ketika itu jugalah serasa seperti angin yang sangat deras menerjahnya sehingga dia terpejamkan mata. Serta-merta dadanya berderau dan bulu romanya meremang.

Terkaku dia berdiri di hadapan pintu itu. Dia membuka mata perlahan-lahan. Suasana di dalam rumah ketika ini kelam. Nalurinya mengatakan seolah-olah ada ‘sesuatu’ yang lalu dan melepasinya dengan laju. Dia menelan liur. Anak matanya cuba untuk melihat ke belakang. Mahu tahu kalau-kalau ‘sesuatu’ itu ada di belakangnya atau tidak. Tapi dia tiada kekuatan untuk berpaling.

Kakinya terasa lemah untuk berdiri lebih lama. Berkali-kali dia menelan liur. Dan dia mula terasa kesejukan. Nak bernafas pun dadanya bagaikan sempit. Dia cuba bertenang supaya dia boleh membaca sekurang-kurang surah al-Fatihah dengan sempurna untuk pertahanan diri.

Dengan debaran yang masih menggila dan bibir yang menggeletar, dia membaca surah itu dengan sebutan yang betul perlahan-lahan. Setelah selesai membaca, dia cuba melangkahkan kaki kanannya sambil berselawat berkali-kali.

Alhamdulillah... dia dapat melangkah dua kaki ke hadapan. Dia menarik nafas lega.

“Nizam?”

Nizam berpaling ke kanannya. Irwan sedang menonton televisyen di ruang tamu. Dia tercegat.

“Apa lama sangat kau kat pintu tu?” Irwan berkerut muka memandang Nizam.

“Err... err...” Nizam mati akal.

Kalau Irwan sedang menonton televisyen sejak tadi, takkan sepupunya itu tak rasa angin yang sangat kuat menerpa keluar pintu tadi? Kalau tak rasa pun, macam tak logik Irwan tak perasan apa-apa.

“Laa... kenapa tak masuk?”

Nizam tercangak-cangak serba tak kena. Dia cuba senyum supaya dapat menutup kegusarannya. Dia berpaling lambat-lambat mahu menutup pintu. Ternyata tiada apa-apa di luar rumah. Dia tergamam. Mula keliru.

Apa yang terjadi tadi benar-benar terjadi atau keadaan bipolar yang menyebabkan dia alami semua itu? Mungkinkah dia hanya berhalusinasi? Sukar dia hendak menjawab pertanyaan yang dia sendiri tak pasti.

Pintu rumah ditutup dan dia mahu terus masuk ke bilik. Apa yang dia alami tadi membuatkan dia sangat penat.

“Kau keluar lagi dengan perempuan tu?” soal Irwan dengan riak wajah berminat nak tahu.

Nizam teragak-agak ketika mengangguk.

“Eh, lepaklah dulu sini. Takkan nak masuk bilik terus.” Irwan menepuk-nepuk sofa di sebelahnya mengajak Nizam duduk di situ.

Demi hormatkan Irwan, Nizam duduk juga akhirnya.

“Boleh tahan jugak kau ni, Zam. Pandai kau memikat. Tak sangka aku. Perempuan tu pengarah kewangan kat tingkat 8 kan? Tak silap aku Hajar nama dia.” Tersengih-sengih Irwan mengusik.

“Eh... tak adalah, bang. Saya kawan aje dengan dia.”

Irwan ketawa. Berdasarkan riak wajahnya, dia takkan percaya apa yang Nizam kata.

“Abang balik pukul berapa tadi?” celah Nizam, harap perihal Hajar tak lagi dibicarakan.

“Aku pun baru sampai jugak sebenarnya. Dalam 10 minit sebelum kau balik. Saja aku nak tunggu kau sambil-sambil tengok TV ni.”

Nizam terangguk-angguk.

“Isnin ni kau start syif malam tau, Zam. So hari Ahad tu kau kena cuti. Kau dari mula kerja tak cuti-cuti. Sebab sakit barulah kau cuti. Tak penat ke kau?”

“Cuti pun tak tahu nak buat apa. Duduk rumah aje bosan jugak, bang. Abang tu kerja hari-hari jugak saya tengok.” Nizam mencebik.

“Aku lain. Kerja aku kejap-kejap aje. Anytime boleh balik rumah. Kau tu kerja 12 jam. Nanti bila tukar syif malam, lagi kau rasa penat. Kalau cuti, cuti ajelah. Berehat. Badan kita ni nak pakai lama,” nasihat Irwan sebagai orang yang lebih banyak makan garam.

Nizam diam saja membenarkan apa yang Irwan kata. Tapi dia tetap rasa tak perlu cuti. Dia lebih suka kerja lebih masa.

“Bila cuti tak tahu nak buat apa-apa, pergilah dating,” sakat Irwan semula. Terangkat-angkat keningnya.

Mendadak Nizam menggeleng penuh perasaan.

“Bukan datinglah. Iskhh...”

Irwan mengekeh ketawa.

“Nanti lama-lama datinglah tu.”

Nizam mengeluh panjang. Tak tahu macam mana lagi nak menafikan syak wasangka Irwan. Dia berdiri.

“Saya nak mandi.” Dibuka zip jaket hitamnya dan berpura-pura mengipas badan kepanasan.

“Eh... kejap, kejap. Aku ada benda nak tanya kau.”

Nizam duduk semula apabila Irwan menyuruhnya duduk dengan isyarat tangan.

“Pasal luka kat dada dengan lebam kat lengan kau masa demam hari tu. Mak uda kata kau tak kena pukul. Betul ke?” soal Irwan. Kali ini riak wajahnya serius.

Nizam mengangguk.

Irwan berdecit.

“Takkan kau tak tahu langsung sebab apa jadi macam tu?” Berkerut mukanya tak faham.

Nizam menjongketkan bahu pula. Dia takkan sesekali bercerita pada Irwan apa yang dia alami. Sebab dia sangsi bagaimana reaksi Irwan nanti. Boleh jadi Irwan akan berkata dia mereka cerita. Irwan yang dah lama tinggal di rumah ini tak pernah mengalami apa-apa. Boleh jadi Irwan akan menganggap dia gila.

Irwan menggaru-garu dagunya kehairanan.

“Saya nak mandi.” Nizam berdiri semula.

Irwan hanya memandang Nizam berlalu ke biliknya.

Selepas menutup pintu, Nizam duduk di birai katil. Termenung dia di situ. Dia teringat kata-kata Irwan tentang Hajar. Dia risau kalau-kalau orang lain tahu dia keluar dengan Hajar dan selepas itu khabar angin meliar di segenap Wisma Hasbullah.

**********

MATA Nizam sudah terlalu mengantuk. Sempat tersengguk-sengguk ketika dia menunaikan solat isyak. Cadang mahu mengaji sehelai dua selepas itu. Tapi matanya benar-benar sudah terasa sangat berat. Dia mahu tidur segera.

Lampu sudah dimatikan. Selimut ditarik sampai ke dada. Tak sampai seminit, dia sudah terlelap. Detik demi detik dia hanyut dalam lena yang tenang.

Tanpa dia sedar, ada ‘sesuatu’ yang berdiri di penjuru bilik memerhatikannya. ‘Sesuatu’ itu tinggi dan gelap. ‘Sesuatu’ yang mendesah kasar. Direnung tubuh Nizam lama. Sangat lama.

Dan kemudian ia mula bergerak perlahan-lahan menghampiri Nizam sehingga jaraknya dengan katil hanya satu kaki. Sekali lagi ‘sesuatu’ itu merenung Nizam. Desahannya kian lebih kedengaran.

Sedangkan Nizam betul-betul hanyut dalam tidurnya. Desahan itu tak terdengar di telinganya. Dadanya berombak teratur.

‘Sesuatu’ itu naik ke atas katil. Bahkan ia sudah berada di atas dada Nizam. Desahannya lebih berat dan garau. Wajah Nizam direnung tak puas-puas. Dan tangannya mula menjalar ke tubuh Nizam.

Nizam dalam tidurnya terasa yang dadanya bagai ditindih. Dia nak mengubah posisi tidur tapi tak boleh bergerak walau seinci. Dalam keadaan mamai dia terasa pula ada yang merayap-rayap di tubuhnya. Dia mahu membuka mata, tapi tiada daya kerana terlalu mengantuk.

Disebabkan rasa tak selesa, dia usahakan juga agar matanya terbuka dan boleh beralih posisi tidur. Sehingga akhirnya dia dapat mencelikkan mata. Serentak dengan itu dia melihat ‘sesuatu’ yang gelap dan besar duduk di atas dadanya. Mendadak matanya terbeliak ketakutan.

Dia mahu menjerit tapi benda itu terus mencekik lehernya dengan kedua-dua tangan. Dia meronta-ronta mahu melepaskan diri. Cengkaman di lehernya itu sangat kuat. Tangan dan kakinya terkapai-kapai. Dia cuba untuk meleraikan tangan yang melilit di lehernya.

Dia nampak ‘sesuatu’ yang gelap dan tinggi itu samar-samar. Dan dia tak nampak mata ‘sesuatu’ itu. Semuanya gelap. Dia makin susah nak bernafas dan berasa mahu lemas. Dia cuba untuk menjerit, masih tak boleh.

Tubuhnya menggeletar. Darah seolah-olah kering dari tubuhnya. Mukanya pucat. Ketakutan yang dia alami ketika ini sudah melampaui batas kemampuan dirinya untuk bertahan.

Jika dia tak mampu melepaskan diri, pasti malam ini malam terakhirnya. Harapannya hanya pada ALLAH. Dibacakan ayat Kursi walau hanya dalam hati. Bersusah payah dia baca ayat itu sehingga habis walaupun sudah terasa di hujung nyawa.

“Allahuakbar...” ucapnya meskipun hanya kedengaran dia seperti mengerang. Dia mencuba sekali lagi.

“Allahuakbar...”

Lehernya masih dicekik bagaikan tak mahu dilepaskan.

“Allahuakbar...” Dia menderam lebih kuat dan sebenar-benar percaya pada kuasa ALLAH.

Dan kali ini barulah lehernya dilepaskan. Sebaik saja lehernya tak dicekik lagi, dia terbatuk-batuk dengan keras seperti mahu muntah. Ekor matanya dapat melihat ‘sesuatu’ yang gelap dan tinggi itu menjauh ke dinding di sudut bilik itu.

Dia masih batuk teruk sebelum tak lama kemudian barulah batuknya mengurang. Lega tekaknya. Cepat-cepat dia bangun dan menyalakan lampu bilik. Suasana menjadi terang. Tapi bayang itu sudah tiada.

Tersandar dia di kepala katil. Nafasnya turun naik dengan laju. Dia masih terkejut dengan apa yang terjadi tadi. Tubuhnya juga masih menggeletar. Malam itu dia tidur dalam keadaan lampu dipasang. Dan sebenarnya dia tak boleh tidur. Sekejap-sekejap dia terjaga. Dia benar-benar ketakutan kali ini.


**********

Berminat nak beli novel ini? Klik sini: https://shopee.com.my/(BAHARU-%E2%80%BC%EF%B8%8F)-NOVEL-SERAM-BAYANGAN-MURNI-AQILA-i.38290312.6420256795

Previous: BAB 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.