Home Novel Seram/Misteri BAYANGAN
BAYANGAN
muRni aQiLa
28/2/2020 10:58:25
119,199
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
BAB 2

"PUAN, berdasarkan pemeriksaan... anak puan tak ada sebarang penyakit. Dia sihat. Tapi atas nasihat doktor, anak puan perlu dirujuk ke pakar psikiatri."

Bagaikan dipanah petir, pedih hati Fauziah menerima arahan itu. Kalau jururawat bertugas itu mengarahkan agar Nizam bertemu dengan pakar psikiatri, pasti ada kaitan dengan gangguan mental.

Dia menoleh ke sisi melihat Nizam yang duduk sambil menunduk itu. Sejak tiba di hospital kerajaan itu pukul 2.00 petang tadi, Nizam hanya berdiam diri. Namun, air matanya masih mengalir tak berhenti.

Mujur juga Nizam sudah tak meraung lagi setelah berjam-jam menangis teresak-esak. Dan barulah dia berjaya memujuk Nizam untuk dibawa ke hospital.

Fauziah memandang jururawat itu semula. Dia mengangguk.

"Puan bawa surat ni ke bahagian psikiatri dan ada doktor yang sedang menunggu di sana."

Sekali lagi Fauziah mengangguk. Dengan hati yang sarat dengan perasaan luluh, dicapai tangan Nizam dan menariknya. Dia hampir dapat menduga apa yang bakal dilalui setelah menemui pakar psikiatri nanti.

Nizam sekadar menurut. Dalam jiwanya ketika ini hanya kekosongan. Terlalu kosong. Yang sedang bersarang di perasaannya kini hanya kesedihan. Cuma kesedihan yang dirasakan sudah tak sehebat awal pagi tadi. Sudah berkurangan rasa sedih itu walau dia masih tak boleh berhenti menangis. Dia menangis tanpa sebab.

"Nizam dah nampak kan?" Fauziah bertanya apabila anaknya itu berjalan terlalu perlahan. Bagaikan tiada daya dan tenaga.

Nizam mengangguk sedikit dan air matanya menuruni pipi lagi.

"Jangan berhenti istighfar ya? Sebut nama ALLAH selalu," pesan Fauziah pula.

Perlahan-lahan mereka menapak sehinggalah tiba ke bahagian yang dituju. Fauziah ikutkan rentak langkah Nizam. Melihat anaknya itu bersedih tanpa bicara sangat memilukan hatinya. Sesekali apabila perasaannya tak dapat dikawal, dia turut menangis sama. Nizam tak pernah begini.

Sehinggalah akhirnya tiba giliran untuk mereka bertemu dengan pakar psikiatri. Fauziah memerhati Nizam yang duduk berdepan dengan doktor lelaki bertanda nama Rufi di dadanya dengan hati yang berdebar.

Doktor Rufi bertanyakan beberapa soalan kepada Nizam sambil mencatit catatan di atas sehelai kertas. Demi melihat keadaan Nizam begitu, soalan yang diaju tak terlalu serius dan seperti perbualan santai. Namun Nizam asyik menangis saja. Dia hanya mampu menggeleng dan mengangguk menjawab persoalan-persoalan doktor itu.

Sudahnya, Fauziah yang tolong menjelaskan bagaimana Nizam boleh jadi begini.

Seketika suasana jadi sepi apabila Doktor Rufi menulis laporan. Kelihatan doktor itu agak keras berfikir dan seakan-akan membuat pertimbangan sewajarnya. Fauziah memaut tangan Nizam dan menggenggam dengan kedua-dua belah tangan. Nizam membiarkan tingkah emaknya. Juga membiarkan air matanya mengalir tanpa diseka. Perasaan sayunya terlalu sukar untuk dihentikan. Rasa hiba yang dia rasa sangat bertimpa-timpa.

"Begini, puan..." Suara Doktor Rufi memecah sunyi sambil meletakkan pen dan kertas di atas meja.

"Memandangkan keadaan Nizam begini, tak banyak yang boleh saya buat. Sepatutnya, Nizam perlu melalui beberapa ujian."

Berkerut dahi Fauziah memandang Doktor Rufi. Akal tuanya belum mampu menghadam kata-kata begitu.

"Apa yang saya boleh katakan, Nizam ada masalah kesihatan mental. Cuma saya belum dapat kenal pasti dalam kategori yang mana. Sebab Nizam perlukan pemantauan dan melakukan psikoterapi lanjut supaya saya dapat tentukan rawatan yang benar-benar sesuai untuk Nizam."

Pandangan Fauziah seakan mahu berpinar. Ditoleh ke arah Nizam yang masih menunduk sebelum memandang doktor yang berusia awal 30-an itu. Tangannya sedikit menggeletar.

"Maksud doktor, anak saya gila?"

Doktor Rufi menggeleng.

"Tak ada istilah 'gila' dalam perubatan. Masalah kesihatan mental sama saja macam masalah kesihatan fizikal. Perlu dirawat oleh doktor."

"Tapi, doktor... anak saya ni baru 18 tahun. Macam mana dia boleh ada masalah mental ni semua?" Suara Fauziah sudah kedengaran hiba.

"Apa-apa penyakit pun sekarang ni, tak mengenal usia, puan."

Dada Fauziah bergelombang sebak. Anaknya itu terlalu muda untuk terima dugaan sebegini besar dalam hidupnya. Sedangkan Nizam anak yang sangat baik padanya. Satu-satunya zuriat tempat untuk dia bergantung harap. Dilihat Nizam yang masih menangis dengan riak kekosongan. Wajah Doktor Rufi dipandang lemah.

"Anak saya boleh sembuh kan, doktor?"

Doktor Rufi diam seketika mencari ayat terbaik untuk si ibu. Bukan janji-janji manis, namun ada harapan yang boleh disandarkan.

"Banyak sekali penyakit fizikal yang tak boleh disembuhkan, puan. Diabetes contohnya tak boleh sembuh. Tetapi kita boleh kawal. Begitu juga dengan masalah mental. Kalau Nizam makan ubat yang diberikan doktor, ikut jadual appoinment seterusnya, buat psikoterapi, kaunseling, belajar mengatasi stress... insya-ALLAH dia boleh kawal emosinya. Yang penting keluarga kena selalu bagi sokongan pada dia." Panjang lebar Doktor Rufi memberi penerangan.

Fauziah masih kebingungan. Berita ini terlalu mengejutkan walau dari awal dia sudah cuba bersedia.

"Saya akan beri ubat untuk Nizam dan juga MC selama sebulan. Dia perlu berehat. Pastikan ubat-ubat tu semua dia makan sampai habis. Sebab saya kena tahu macam mana tindak balas badan dia pada ubat tu. Bulan depan puan bawa Nizam datang semula ke sini untuk rawatan lanjut."

Tak tertahan, Fauziah menangis. Segera dia menyeka mata dengan hujung lengan baju kurung yang dipakai.

"Puan banyakkan bersabar ya? Memang tak mudah, tapi puan perlu cekalkan semangat dan bagi sokongan pada Nizam mengawal emosi dia." Lembut nada suara Doktor Rufi. Dan sejak dari awal dia sentiasa tersenyum memberi harapan.

Fauziah mengangguk. Apa yang jadi pada Nizam akan cuba difahamkan sebaik-baiknya. Walaupun senyuman Doktor Rufi bagaikan memujuk hatinya agar bertenang, dia tetap kalah dengan air matanya sendiri. Tangan kanan Nizam yang digenggam erat dibawa ke dadanya.

"Dia anak yang baik, doktor. Dia satu-satunya harapan yang saya ada. Kenapa mesti dia yang terima dugaan ni semua? Kenapa mesti dia?" Dan tanpa dapat ditahan lagi, air matanya gugur lagi ke pipi.

"Mesti ada hikmahnya. Percayalah, puan. Tak ada yang sia-sia yang ALLAH cipta. Dari segi sains, masalah kesihatan mental ni terjadi bersebab. Mungkin kerana genetik, kerana keadaan hidup yang sukar atau mungkin juga kerana pengalaman perit yang pernah dia lalui." Doktor Rufi harap dengan kata-katanya itu Fauziah akan mendapat sedikit kekuatan untuk menghadapi dugaan ini.

Fauziah terdiam. Kerana pengalaman perit yang pernah Nizam lalui? Kalau pengalaman yang Nizam pernah lalui menyebabkan anaknya jadi begini, dialah insan yang harus dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan. Nizam jadi begini kerana dia. Semakin banyak air matanya berguguran.


Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.