Home Novel Seram/Misteri BAYANGAN
BAYANGAN
muRni aQiLa
28/2/2020 10:58:25
61,055
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
BAB 11

SUDAH hampir seminggu Nizam bertugas sebagai pengawal keselamatan di Wisma Hasbullah. Dia sudah boleh biasakan diri. Dan dia mudah faham setiap arahan Kamal padanya. Semua kerja dibuat tanpa rasa kekok.

Ketika di tempat kerja sedaya upaya dia cuba tak fikirkan tentang apa yang berlaku di rumah Irwan. Tentang almari berhentakan dan juga mimpi aneh yang dialami. Buat masa sekarang dia masih tidur di ruang tamu. Belum berani lagi tidur di dalam bilik.

Lagi pula dia sudah tak bermimpi apa-apa selepas malam pertama dia tidur di ruang tamu. Lega sangat rasanya. Malah, fikirannya tenang tak terganggu dengan keanehan yang dialami.

Tepat pukul 10.00 pagi, Nizam membawa motosikalnya meronda di setiap basement. Perlahan-lahan dipandu motosikal itu sambil memeriksa di setiap lot parkir. Ketika turun ke tingkat B2, dia terdengar suara bertelagah. Nadanya tinggi dan saling bertingkah antara satu sama lain. Dicari arah suara itu. Dari jauh dia sudah nampak seorang lelaki dan seorang perempuan sedang bertegang leher.

Lebih memeranjatkannya, lelaki itu dilihat menarik rambut perempuan itu dan kemudian menumbuk mukanya dua kali. Membuntang matanya kerana sangat terkejut. Laju dia datang menghampiri.

“Lepaskan dia!” arah Nizam apabila sudah hampir dekat dengan kedua-dua mereka.

“Kau tak payah nak masuk campur hal oranglah, guard. Blah!” marah lelaki itu. Tetapi dia melepaskan juga rambut perempuan yang ditariknya.

Nizam nampak perempuan yang sudah menangis itu menyeka mata dan pipinya setelah membelakangkan diri.

“Ni apa gaduh-gaduh kat sini?” tegur Nizam dari motosikalnya. Enjin dimatikan.

“Aku cakap jangan masuk campur, janganlah sibuk nak jaga tepi kain orang!” Lelaki itu menyinga sambil bercekak pinggang.

“Saya bukan nak masuk campur, encik. Kat sini saya jaga keselamatan tempat ni.” Nizam bersuara tegas.

Dia tahu, ada segelintir yang memandang rendah pada pengawal keselamatan sepertinya. Lebih-lebih lagi yang berjawatan dan bertaraf lebih tinggi. Sehingga hilang hormat pada orang yang bergaji rendah. Dan dia tak mahu orang memandang rendah padanya.

Dikerling gadis itu yang sedang menghadap telefon bimbitnya. Mukanya masam mencuka. Mesti muka gadis itu kesakitan ditumbuk lelaki itu tadi. Dan jari-jemarinya yang membuat sesuatu pada telefon bimbit kelihatan menggeletar.

“Yang kau tercegat menyibuk kat sini kenapa? Berambuslah!” tengking lelaki itu pada Nizam sekali lagi. Kali ini lebih kuat.

“Kan saya dah kata... saya jaga keselamatan kat tempat ni. Dan saya rasa keselamatan cik puan ni terancam. Saya nampak encik pukul dia tadi.” Nizam tetap takkan beralah. Dia berani kerana benar.

“Sebelum kau pulak yang aku pukul, baik kau berambus. Berambus aku kata!” Seperti petir suara lelaki itu.

“You ni dah kenapa, Luk? Tolonglah hormat sikit orang lain. Jangan nak tunjuk sangat perangai kurang ajar you tu. Baran tak tentu pasal.” Gadis itu memarahi lelaki itu pula. Dia mula berani apabila ada orang lain bersamanya.

Dengan wajah menyinga, lelaki itu memandang gadis yang berambut ikal dan panjang melepasi bahu itu.

“Ni semua sebab you!” Dituding jari telunjuknya betul-betul ke muka gadis tersebut.

“Cukuplah, Lukman! Tak habis-habis salahkan I. Tapi you tak pernah cermin diri sendiri. Perangai you tu bagus sangat ke?”

“Kalau you dengar cakap I, jaga pergaulan you tak jumpa mana-mana lelaki... I takkan mengamuk macam ni. Ni tak... you asyik nak buat I meradang. Apa yang ada dalam kepala otak you tu sampai susah sangat nak dengar kata? Tak faham bahasa!” Dan kemudian Lukman mencarut.

“You siapa sampai I nak kena dengar cakap you? Hah?! You siapa?”

Nizam dah tak tahan mendengar pekikan demi pekikan. Lantas dia menyelit dan berdiri di tengah-tengah kedua-dua mereka.

“Saya dah suruh encik dan cik puan berdua beredar. Tolong jangan bergaduh kat sini. Ni tempat awam. Pelawat keluar masuk kat sini. Jangan nak buat kecoh.” Nizam memberi amaran kali kedua. Dia berlagak tenang.

Mencerlang mata Lukman merenung Nizam.

“Kau kurang ajar betul dengan aku eh? Kau tu guard aje. Sedar diri sikit! Jangan sampai aku tumbuk muka kau!” Makin naik angin Lukman ketika ini.

Segera Nizam berhubung di walkie-talkie.

“Mohon bantuan, mohon bantuan. Ada pergaduhan di tingkat B2. Tingkat B2. Sekarang.”

Selepas aduan Nizam mendapat respons balas dari walkie-talkie, kendur sedikit wajah bengis Lukman. Tapi dia masih merenung Nizam dengan tajam.

“Kalau aku jumpa kau kat luar, mampus kau aku belasah,” bisik Lukman menggeram.

“Lukman!” Gadis itu bagai meradang.

“Dia tak ada kena-mengena pun sampai you nak ugut dia macam tu. Dia cuma buat kerja dia. You tu yang memang biadap!” sambungnya lagi.

“Ohh... kau back up guard ni nampaknya.” Tersenyum sumbing Lukman kesinisan.

“Phuii!” Kemudian dia meludah ke tepi sebelum pergi dari situ sambil merengus-rengus menuju ke arah lif.

Gadis itu memandang Nizam.

“Jangan pedulikan dia. Dia tu sewel. Cakap macam orang tak ada otak.”

Nizam terangguk walau dalam hati sedikit gusar dengan Lukman. Dipandang gadis yang memakai blazer dan seluar yang sepasang itu menurut pandangan matanya sangat cantik. Tentu berjawatan tinggi.

“Cik puan okey ke? Muka tu tak apa-apa ke?” Nizam meneliti wajah gadis di hadapannya. Tak nampak pula bekas lebam.

Gadis itu menggeleng.

“Saya okey.” Dipegang mukanya. Sakit sebenarnya. Tapi dia berpura-pura tak apa-apa.

Nizam tak rasa gadis itu bercakap jujur. Dia nampak bagaimana kuatnya gadis itu ditumbuk Lukman. Baru saja dia mahu bersuara, seseorang menghampiri mereka. Mereka berpaling.

“Meen...” Gadis itu mendapatkan kawannya.

“Eh, you tak apa-apa ke? Luk tak ada apa-apakan you kan?” Meen meneliti tubuh kawannya dari hingga ke bawah.

Gadis itu menggeleng.

“Lelaki tu tumbuk dia,” beritahu Nizam berterus terang.

“Ya ALLAH... jahat betul Lukman tu!” Meen mengetap gigi kegeraman.

“Tapi I okey. You jangan risau.”

Tergeleng-geleng Nizam melihat gadis itu masih mahu berlagak okey.

“I terserempak dengan dia kat lif tadi. Monyok aje muka dia. Siap hentak-hentak kaki kat dinding lif. I rasa dia memang dah gila. Kalau I tahu dia tumbuk you, I balas dendam tumbuk dia balik tadi.” Meen menumbuk-numbuk tangannya sendiri melepaskan rasa sakit hati.

Ketika ini muncul Kamal menaiki motosikal menghampiri mereka bertiga.

“Siapa yang bergaduh? Ni?” soal Kamal sambil bercekak pinggang memandang kedua-dua gadis itu.

“Tak apa, Abang Kamal. Dah settle. Ada sorang lelaki staf sini tumbuk muka dia tadi.” Nizam menunjuk ke arah gadis itu.

Bulat mata Kamal.

“Mana dia? Biar aku pulak tumbuk muka dia.”

“Dia dah pergi,” balas Nizam.

“Kamu cedera tak?” Kamal bertanya pada gadis itu pula.

Gadis itu hanya menggeleng.

Kamal memerhati wajah gadis itu. Apabila melihat tiada apa-apa, dia mengangguk.

“Pergilah naik.”

Kedua-dua gadis itu patuh dengan arahan Kamal. Mereka melangkah ke ruang lif.

“Kau okey?” Kamal menyoal Nizam.

“Okey, bang... saya okey.” Nizam tak berniat nak memberitahu ugutan Lukman padanya. Mungkin Lukman sekadar kata begitu kerana dipengaruhi oleh perasaan marah.

**********

“SI LUKMAN tu tak habis-habis dengan perangai bangang dia. Apa lagi dia nak?” gumam Meen merungut setelah mereka masuk ke dalam perut lif untuk ke pejabat mereka di tingkat 8.

“Entahlah, Meen. Susah nak cakap dengan orang yang tak faham bahasa. Makin menjadi-jadi pulak perangai cemburu buta dia tu sekarang ni.”

Meen tergeleng-geleng.

“Dah tujuh bulan kita orang putus tunang. Dia masih tak boleh nak move on.”

“Kalau dia nak get back dengan you... you nak ke, Hajar?”

“Eh, tak naklah I!” cemik Hajar sambil tunjuk muka geli.

“Dengan perangai dia macam tu, taubat I nak terima dia semula. Cemburu tak bertempat, baran, suka mengamuk. Hempas barang, hentak semua benda. Kita orang putus sebab dia yang nak putus. You pun tahu kan?” Hajar tak pernah berahsia dengan Meen. Semua dia cerita pada sahabatnya itu.

“I rasa dia masih sayangkan you.”

“Kalau sayangkan I, ubahlah perangai tak bertamadun tu. Dia dapat tahu I keluar jumpa klien kat hotel. Klien tu CEO, dah tentulah dia pilih hotel. Takkan kat kedai mamak. Kita orang breakfast kat restoran hotel tu sambil discuss sekali. Tapi Lukman mengamuk macam I berzina dengan klien tu dalam bilik hotel. Siap tunggu I balik kat tempat parking kereta I semata-mata nak marah I. Kalau you, you nak ke kahwin dengan lelaki macam tu?” Hajar meluahkan apa yang terbuku di hati.

“Eii... tak ingin!” Meen keseraman.

“Kan...”

“Psikonya dia. Kenapalah dia boleh berperangai macam tu? Nasib baik you mesej I tadi. Kelam-kabut I turun ke parking. Keluar lif bertembung pulak dengan muka tempoyak Luk. I terus rasa nak murung, Hajar.”

Hajar tergelak. Hilang sekejap serabut dalam fikirannya mendengar kata-kata Meen itu.

“You ni... dah kena tumbuk pun boleh ketawa lagi.”

“Dah tu, you nak I meratap hiba?”

“You betul-betul okey ke? Takkan kena tumbuk tak sakit?” Meen tunjuk riak risau pula.

“Gila tak sakit? Lelaki punya penumbuk kot. Mujurlah guard tu datang, Meen. Kalau tak, lunyai muka I kena belasah dengan si gila tu.” Hajar menyentuh mukanya perlahan-lahan. Terasa semakin sakit berbanding awal-awal tadi.

“Kalau sakit jomlah I hantar you pergi klinik.”

Hajar menggeleng.

“Tak payahlah. Tak lebam pun kan?” Hajar membelek mukanya dari biasan dinding lif yang berkilat. Tiada apa-apa kesan pada mukanya walaupun terasa perit.

“Lebam bukan boleh terus nampak, Hajar. Biasanya ambil masa. Lama-lama nanti baru keluar kebiruan merah-merah kat bekas lebam tu.”

“Bila nampak lebam, baru I pergi klinik.”

Meen tergeleng-geleng. Hajar ni pun satu hal jugak. Degil.


Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.