Home Novel Seram/Misteri BAYANGAN
BAYANGAN
muRni aQiLa
28/2/2020 10:58:25
119,207
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
BAB 8

IRWAN membawa Nizam ke Wisma Hasbullah dengan motosikalnya. Sampai di sana, Irwan membawa Nizam meronda sekeliling wisma itu pula supaya Nizam faham selok-belok bangunan tersebut. Diterangkan juga perkara-perkara yang perlu Nizam perhatikan ketika bertugas.

Wisma 15 tingkat itu mempunyai tiga basement untuk parkir kenderaan selain parkir di sekeliling luar bangunan itu. Tugas Nizam memantau kawasan parkir di situ. Apa saja masalah di situ, Nizam perlu laporkan segera.

Irwan memberhentikan motosikal berhampiran dengan lif di tingkat B1.

Nizam turun dari motosikal itu setelah Irwan mematikan enjin. Matanya meliar ke sekeliling. Tiada walau sebiji kereta pun di situ.

"Kat sini paling banyak kotak parking khas untuk staf yang berjawatan tinggi. Semua dekat dengan lif. Basement lain pun ada. Dekat dengan lif jugak," tunjuk Irwan yang masih di atas motosikalnya pada Nizam.

"Kosong aje tempat ni, bang?"

"Waktu sekarang belum ada staf yang sampai lagi. Kejap lagi kau tengoklah. Penuh dengan kereta."

"Ohh... tak ada yang kerja syif ke?" Nizam fikir bangunan itu beroperasi 24 jam.

"Semua kerja office hour. Tapi ramai jugak yang balik lewat malam siapkan kerja. Kadang-kadang ada staf yang stay back kat ofis sehari suntuk. Tapi tak selalulah."

Nizam mula faham situasi di situ.

"Tak ada masalah sangat jaga parking ni. Nanti kau diberi motor untuk kau guna masa meronda kawasan ni. Walkie-talkie dengan alatan meronda lain pun dibagi nanti. Cuma masalah jaga parking ni kadang-kadang ada pelawat yang parking kat lot khas staf. Padahal dah ada nombor plat tergantung kat atas setiap lot khas tu. Itu pun ada yang tak perasan." Irwan memberitahu.

"Kalau jadi macam tu, saya nak kena buat apa?" Lurus Nizam bertanya.

"So, kau kena check nombor plat kereta tu sama tak dengan yang tergantung kat atas dia. Kalau tak sama, contact penyelia guna walkie-talkie. Dia akan check sama ada tuan punya parking tu bawa kereta lain atau tak. Kalau tu kereta pelawat, kena cari pelawat tu suruh dia parking kat tempat lain. Kalau tuan parking tu nak parking tiba-tiba tengok ada kereta lain, memang mengamuklah dia. Sekuriti jugak yang kena marah nanti." Berjela-jela Irwan menerangkan.

"Macam mana nak cari pelawat tu?" Nizam terasa susah pula. Dahlah bangunan ni besar.

"Sebelum pelawat masuk, dia orang kena mendaftar kat pos pengawal. Ada nombor plat, nama, nombor IC, nak jumpa siapa, kat tingkat berapa. Dari situ kita tahu pelawat tu ada kat mana."

"Ohh..." Nizam terangguk-angguk. Mula faham.

"Tapi kes macam ni jarang jadi. Yang biasa jadi, pelawat tak ingat dia parking kat mana. Kau kenalah carikan untuk dia." Irwan tergeleng-geleng sambil menyengih dengan hal yang dirasakan lucu itu apabila terjadi.

"Insya-ALLAH... boleh, bang."

"Lagi satu, waktu masuk kerja dengan balik kerja laluan keluar masuk jadi jam. So, kau kena handle supaya trafik lancar. Mana kereta yang berhenti kat tepi-tepi laluan sebab nak bayar parking, kau kena suruh dia jangan halang kereta lain nak lalu."

Nizam cuba mengingat setiap kata-kata Irwan walau dirasakan info ini semua terlalu banyak dituang ke ruang ingatannya. Sudahlah dia baru pertama kali menjadi pengawal keselamatan.

"Lain-lain hal semua Encik Yusuf dah ajar masa kursus kelmarin kan? Sebelum rondaan kena buat apa, masa meronda buat apa, lepas meronda pulak kena buat apa... semua dah diajar masa kursus. Kenalah ingat. Kalau tak ingat, tanya penyelia kau. Apa-apa hal yang tak pasti, tanya. Jangan memandai pulak. Kalau nak tanya aku pun boleh. Call ajelah." Irwan menyambung lagi.

Nizam mengangguk. Dia akan cuba untuk buat kerja sebaik mungkin.

"Waktu rehat kau kena tanya dengan penyelia kau. Sebab rehat kena bergilir-gilir dengan orang lain. Nak makan ke, nak minum... kau pergi aje kat kafe dalam bangunan ni," beritahu Irwan lagi.

Nizam mengangguk faham sekali lagi.

"Bulan ni kau kerja syif siang. Bulan depan tukar syif malam pulak. Lepas tu bulan depannya tukar syif siang semula. Hari Ahad cuti. Tapi kalau kau nak kerja, kira kau OT."

Nizam mendengar dan faham semua yang Irwan terangkan.

"Ada yang kau nak tanya?"

Nizam menggeleng.

"Setakat ni saya faham, bang."

"Okeylah... kita dah round semua tempat. Kau pun dah tahu selok-belok tempat ni. Jomlah..." Irwan menghidupkan enjin motosikalnya semula.

Setelah Nizam membonceng, mereka keluar dari kawasan itu untuk menuju ke pos pengawal. Tetapi semasa melalui sebuah tiang di tengah-tengah tingkat tersebut, ekor matanya seakan-akan tertangkap bayangan hitam di sebalik tiang itu. Dan bayangan hitam itu mengerbang-ngerbang!

Dadanya berderau. Terasa kering mukanya tak berdarah. Dipaksa kepalanya yang terasa kaku itu menoleh untuk melihat apa yang berdiri di sebalik tiang tersebut. Setelah berusaha memaksa kepalanya menoleh, dia memandang ke arah tiang itu. Namun, tiada apa-apa di situ.

Nizam menelan liur. Hendak dikhabarkan kepada Irwan, tetapi mulutnya bagaikan terkunci. Sehingga ke hujung sebelum keluar dari situ, dia masih memandang tiang tersebut. Kepalanya bagaikan tak boleh dipalingkan lagi. Apabila keluar dari bangunan itu, barulah dia berasa lega.

Di luar, langit kelihatan beransur cerah. Nizam melihat jam tangannya. Pukul 6.50 pagi. Lagi 10 minit dia perlu menjalankan tanggungjawabnya pada hari pertama.

Sesampai di pos pengawal, ada dua orang pengawal keselamatan di situ.

"Ni ke sekuriti baru tu, Irwan?" soal lelaki bermisai tebal itu.

Irwan mengangguk sambil tersenyum.

"Zam, ni penyelia kat sini. Abang Kamal. Kenalkanlah diri," arahnya pada Nizam yang tercegat berdiri di sisinya.

Nizam menghulurkan tangan pada Kamal dan mereka bersalaman.

"Nama saya Nizam Tarmizi. Panggil Nizam aje."

"Dia ni sepupu saya, Abang Kamal. Datang dari kampung," perkenal Irwan pula.

Kamal mengangguk.

Nizam memandang lelaki di sebelah Kamal. Mukanya ketat saja. Pandang ke arahnya pun tidak.

"Ni Yon. Sama-sama kerja dengan kau kat sini syif siang." Kamal memberitahu apabila melihat Nizam memandang ke arah Yon.

Nizam mengangguk. Yon dilihat hanya memandangnya sekilas sebelum kembali ralit dengan telefon bimbit.

"Barang-barang kau boleh letak kat sini, Nizam." Kamal memberitahu apabila melihat Nizam membawa beg sandang.

Nizam menanggalkan jaket hitam yang dipakainya. Jaket yang dibeli semalam di kedai bundle itu dimasukkan ke dalam beg sandang. Beg duit dan telefon bimbit dikeluarkan sebelum beg tersebut diletakkan ke bawah meja di situ.

"Okey, Zam... aku pergi dulu. Nak ke tempat lain pulak. Apa-apa hal, kau tanya Abang Kamal." Irwan menepuk-nepuk bahu Nizam. Dia berharap sangat Nizam tak menimbulkan masalah. Walaupun nampak keadaan Nizam sudah okey, terselit juga sedikit rasa risau.

Nizam menguntum senyum. Sedangkan hatinya mula berputik rasa gusar. 


Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.