Home Novel Komedi/Romantik Komedi Benci ke Sayang? (Oh... My Encik Tunang?)
BAB 14
NAFASDatin Katrina turun dan naik, menandakan kemarahan sedang menguasai dirinya. Wanita itu kelihatan sedang berdiri di hadapan anaknya yang sedang leka membaca novel. “Haa… puaslah hati Rena sekarang, kan? Malu tau mama dengan papa bila Rena buat perangai gila macam tu,” jerkahnya. Siap bercekak pinggang lagi.

Erena yang sedang membaca buku novel Bicara Cinta Tertangguh karya Lynn Dayana terkejut besar. Spontan, novelnya terjatuh ke lantai. Oii, nenek! Latah Erena dalam hati. Dia mendengus geram. Mukanya cemberut. Hisy… mama ni, hampir melayang jantungnya apabila mendengar jerkahan itu.

“Mana ni… hisy, buat Rena terkejut aje tau. Kenapa mama tak pakai mikrofon aje? Jerit puas-puas, biar satu dunia dengar,” marah Erena sambil menggosok dadanya gara-gara terkejut dengan jerkahan itu. Huhh, semput jadinya dek jerkahan mama.

Datin Katrina menayang senyuman sinis. Keningnya terjungkit sebelah. “Jawab! Rena sengaja buat peragai gila macam tu, kan?”

Dengan selamba badaknya, Erena menjungkit sebelah keningnya. “Apa maksud mama? Apa yang Rena dah buat?” soalnya sambil menayang muka selamba katak lagi. Seolah-olah tidak melakukan sebarang kesalahan. Aku buat salah ke? Aku cuma nak ajar Dr. serioustu aje. Tu pun salah ke?

“Apa yang Rena dah buat? Rena, tolong jangan buat-buat tak tahulah! Jangan tanya soalan bodoh, okey. Rena sendiri tahu apa salah Rena. Kenapa masih nak bertanya lagi?” bidas Datin Katrina.

Erena menayang muka tidak bersalah. Dia mengangkat bahunya tanda tidak tahu. “Rena rasa, Rena tak buat salah apa-apa pun. Mama aje yang suka fikir bukan-bukan,” nafinya.

Datin Katrina menggeleng kepala berulang kali. Subhanallah… sakitnya hati aku dengan budak ni. Merana jiwa aku. Huhh! Sepuluh patah aku bersuara, sepuluh patah jugalah dia menjawab. Masya-ALLAH, sampai bilalah Rena nak berperangai macam ni? Dah nak bergelar isteri pun, tapi perangai mengalahkan budak enam tahun, bebelnya dalam hati.

“Tak buat salah? Dengan pakai baju Tom and Jerry, seluar bunga-bunga pink, ikat tocang dua... kamu kata tak salah? Kamu sedar tak apa yang kamu dah lakukan, Rena? Tu bukan diri kamu yang sebenar tau! Kamu buat semua tu untuk mengelak daripada berkahwin dengan Qasy, kan?”

Erena tergamam. Wajahnya terasa membahang. Terkedu dengan sindiran mama yang umpama pisau tajam itu. Eh, mama ni… macam tau-tau aje. Tak boleh jadi ni! Jangan terkantoi dahlah…

Erena berlagak tenang. Menayang muka tidak bersalahnya. “Kenapa mama cakap macam tu pula? Apa yang Rena buat semalam tu, diri Rena yang sebenarlah. Apalah mama ni, tak pasal-pasal tuduh Rena yang bukan-bukan,” balasnya tidak mengaku kalah.

Datin Katrina mengeluh. “Hisy, mama dah tak tahu nak cakap apa lagi. Pening kepala mama tau! Sakit hati mama dengan perangai kamu ni. Satu mama kata, sepuluh kamu balas. Berperang mulut dengan kamu, memang sentiasa tak menang. Buat sakit hati lagi adalah.”

Erena tersenyum kelat. Serba salah jadinya apabila mendengar kata-kata mama. Sorrylah, mama… bukan Rena sengaja nak melawan cakap mama. Rena tahu, bersalah bila melawan cakap orang tua kita. Tapi, Rena tetap berkeras dengan keputusan ni. Rena tak nak kahwin dengan Dr. serioustu!

“Tapi…” Tiba-tiba Datin Katrina bersuara. Bibirnya terukir senyuman penuh makna.

Kening Erena terangkat sebelah. Tapi apa? Serta-merta, jantungnya dipalu rasa resah.

Datin Katrina masih lagi tersenyum penuh makna. “Walaupun Rena buat perangai gila masa makan malam tadi, jangan fikir mama dengan papa akan tarik balik keputusan kami untuk kahwinkan Rena dengan Qasy. Kami tetap dengan keputusan, Rena akan kahwin dengan Qasy! Titik!” tegasnya. Dia terus berjalan meninggalkan Erena sendirian.

Erena tergamam. Apa? Argh, aku gagal!

DR. QASYIFUL memarkir kereta Toyota Viosnya di halaman rumah. Serentak itu, enjen kereta itu dimatikan. Dia membolos keluar dari perut kereta. Setelah pintu keretanya dikunci, dia terus melangkah menuju ke muka pintu. Kocek seluarnya diseluk, lalu dia membawa keluar segugus kunci. Daun pintu dikuak dari luar. Dia membolos masuk ke dalam.

Dia melabuhkan duduk di atas sofa. Dia memejam matanya seketika untuk menghilangkan rasa penat. Tidak semena-mena, bayangan Erena menerpa. Serentak itu, dia mengeluh.

“Erena Amani…” Dr. Qasyiful menyeru sebaris nama yang bakal menjadi tunangnya itu. Serta-merta, kata-kata Erena menerjah kembali ke layar ingatannya.

“Tak pernah terdetik walau sedikit pun dalam hati saya untuk berkahwin dengan awak, Dr. Qasyiful. Saya tak teringin nak jadi isteri awak tau. Hisy! Saya tak tahu kenapa papa boleh terfikir untuk kahwinkan saya dengan awak? Punya banyak lelaki yang ada dalam dunia ni, mamat serius macam awak juga yang papa mahukan. Hei, apa yang awak dah buat pada papa saya, hah?”

Dia tersenyum. “Habis tu, awak fikir saya nak sangat ke beristerikan awak, Erena? Kalau bukan disebabkan Uncle Harris dan Auntie Katrina, jawabnya hi hi bye byeajelah.”

Sekali lagi kata-kata Erena menyinggah ke gegendang telinganya. “Saya tak nak kahwin dengan awak! Jadi, awak nak buat apa kat saya? Hei, sikit pun saya tak ada perasaan kat awak tau! Iyyuuu… siapalah nak bersuamikan lelaki serius macam awak? Tak hinginlah!”

Dr. Qasyiful tergelak kecil. Geli hati dengan telatah Erena. Tercuit pula hatinya. “Erena… Erena… awak ni kelakarlah,” gerutunya sendirian.

Senyuman penuh makna terukir di bibir Dr. Qasyiful. “Awak buatlah macam mana sekalipun, saya tak kisah. Awak nak terjun bangunan ke, nak menangis air mata darah ke, nak tergolek-golek ke, it’s up to you. Saya tetap akan teruskan niat suci untuk menikahi awak, Erena. Titik, noktah!”

Tidak semena-mena, kata-kata Datuk Hafsyam menyerbu ke kepala otaknya. “Uncle harap, Qasy tak batalkan niat untuk menikahi Erena. Uncle betul-betul berharap supaya Qasy menjadi suami Erena, menantu kami.”

Sebuah keluhan kecil terhembus keluar dari bibir Dr. Qasyiful. “Tak apalah Qasy, redhakan ajelah. Mungkin, Erena memang sudah tertulis di Luth Mahfuz untuk kau.” Berulang kali dia memujuk hatinya supaya redha dengan suratan yang tertulis buat dirinya.

Previous: BAB 13
Next: BAB 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.