Home Novel Komedi/Romantik Komedi Benci ke Sayang? (Oh... My Encik Tunang?)
BAB 17
DR. AIMAN melabuhkan duduk di hadapan Dr. Qasyiful. Dia memandang wajah kawan baiknya itu. Senyuman penuh makna kelihatan terlukis di bibir lelaki itu. “Haa… kau belum cerita lagi apa yang berlaku pada malam tu, Qasy. Cepatlah… aku dah tak sabar nak tahu ni!” desaknya tidak sabar. Keningnya terjungkit sebelah.

Dr. Qasyiful menggeleng. “Kau ni Man, sibuk aje nak tahu. Ala, kau tak payah tahulah. Bukannya ada apa-apa yang berlaku pun.” Seakan sengaja hendak bermain tarik tali dengan kawan baiknya itu.

Dr. Aiman mendengus. Geram mendengar jawapan Dr. Qasyiful. “Kau jangan nak mengada-ngada. Aku luku dengan siku karang! Nak ke, tak nak ke, kau wajib kena beritahu aku sekarang juga!” Sekali lagi dia mendesak.

Dr. Qasyiful mencebik. “Kau ni, tak reti nak sabarlah. Tunggulah… aku nak ceritalah ni.” Dia menggeleng. Hisy mamat ni, sibuk mengalahkan wartawan hiburan aje. Suka sangat mengorek rahsia tau, kutuknya dalam hati.

Senyuman lebar meniti di bibir Dr. Aiman. Dia menjungkit keningnya berulang kali. “Eh, mestilah aku kena ambil tahu kisah kau orang berdua. Kau orang punya kisah ni sweet macam gula-gula kapas, tau tak? Lagipun, kau kan kawan baik aku, Qasy. Haa… tunggu apa lagi? Cepatlah!” desaknya lagi.

Sekali lagi Dr. Qasyiful menggeleng. Man… Man… kelam kabut betul la. “Malam tu, memang agak kelam kabut sikitlah. Tu semua rancangan si Renalah. Beria-ia sangat nak merancang, kononnya nak rosakkan segala-galanya,” ceritanya. Spontan, senyuman penuh makna meniti di bibirnya apabila teringatkan peristiwa semalam.

Kening Dr. Aiman terangkat sebelah. Dahinya berkedut sejuta. “Haa… kelam kabut? Nape pula? Apa yang si Rena tu dah buat?”

Dr. Qasyiful mengukir senyuman penuh makna. Dia masih terbayangkan penampilan Erena pada malam itu. Cantiknya kau, Rena. Dengan baju Tom and Jerry, seluar bunga-bunga pink,rambut bertocang dua. Kau memang comel sangat, Erena, omelnya di dalam hati.

Dr. Aiman menayang muka hairan. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Oii… Dah kenapa pula dengan kau ni, Qasy? Tersengih-sengih mengalahkan budak kecil aje, apa hal?” tanyanya hairan.

Dr. Qasyiful masih lagi tersenyum. “Dia cantik sangat, Man. Tambah-tambah lagi dengan tocang dua dia tu, bertambah comel. Aku jadi geram tau bila tengok dia, Man.”

Mulut Dr. Aiman ternganga luas. Dia terlongo. Hah? Eh, apa pasal pula ni? Sahlah, kawan aku ni memang dah kena penyakit angau. Kasihannya! “Dr. Qasyiful Hakim, betul ke apa yang aku dengar ni?”

Garis senyuman penuh makna masih lagi setia meniti di bibir Dr. Qasyiful, membuat Dr. Aiman menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Teruk betul penyakit angau kawan baik aku ni. Sampaikan boleh termenung jauh. Aku kat depan mata pun, dia boleh buat dek aje. Hisy, ni memang dah kes parah. Haa… boleh masuk wad ICU lagi, bebel Dr. Aiman dalam hati. “Qasy?”

Bisu! Langsung tiada tanda-tanda untuk Dr. Qasyiful membalas. Sebaliknya, lelaki itu masih termenung jauh sambil tersenyum.

Aduh, dia ni memang dah tergolong dalam kes ICU tahap krikal ni. Tersengih-sengih… dah macam orang kurang siuman aje. Dasyat betul penangan cinta ni. Huhh! bebel hati Dr. Aiman geram.

“Oii, kau dah sampai mana ni? Afrika ke?” sergah Dr. Aiman sedikit kuat. Siap memetik jari di depan Dr. Qasyiful lagi.

Dr. Qasyiful tersentak. Spontan, lamunannya segera menghilang. Lelaki itu kembali menumpukan perhatian pada Dr. Aiman semula. “Kenapa, Man?” tanyanya dengan muka terpinga-pinga.

Mata Dr. Aiman tidak berkedip memandang Dr. Qasyiful, siap menayang muka hairannya lagi. Mulutnya ternganga luas. “Mak aii… jauh betul menung kau ni, Qasy. Boleh sampai ke planet Pluto gamaknya. Isyh… isyh… dalam betul panahan cinta si Rena tu, siap boleh tembus tepat ke hati kau. Kau dah jatuh cinta pada Rena, kan?” serkapnya jarang.

Dr. Qasyiful tergamam. Dia agak terkejut apabila mendengar soalan cepumas itu. “Kenapa kau tanya macam tu?” tanyanya ingin tahu. Dia menayang memek muka hairan sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

Kening Dr. Aiman terjungkit sebelah. Dia mencebik. Seolah-olah menyindir Dr. Qasyiful. “Yalah… aku jadi pelik. Kau puji si Rena tu melambung tinggi, mana aku tak pelik?” Bola matanya dikecilkan. “Baik kau cakap betul-betul, hati kau dah terkena panah cinta si Rena tu, kan?”

Dr. Qasyiful terdiam. Sekali lagi dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Eh, aku dah terkena panahan cinta si Rena tu ke? Qasy, kau dah jatuh cinta pada Rena ke? Dia menyoal dalam hati.

Dr. Aiman mengukir senyuman penuh makna. Haa… memang sahlah kau dah terjatuh cinta pada Rena, Qasy. Tengok air muka kau pun, aku dah tahu, ngomelnya di dalam hati.

Tiba-tiba, Dr. Aiman ketawa besar.

Muka Dr. Qasyiful terus berkerut seribu. “Yang kau ketawa bagai nak rak tu, kenapa?” soalnya hairan. Terpinga-pinga lelaki itu memandang wajah kawan baiknya itu.

Selamba Dr. Aiman menepuk bahu Dr. Qasyiful. Senyuman penuh makna masih lagi tersungging di bibirnya. “Mengaku aelah, Qasy. Jangan nafikannya lagi. Sebenarnya, kau dah tangkap cintan dengan Rena, kan? Aku boleh nampak dari mata kau. Tak payah nak berselindung lagi. Dah terang lagi bersuluh. Kau dah jatuh cinta pada Rena, Qasy.”

Dr. Qasyiful tergamam. Dia terkedu mendengar kata-kata yang dituturkan oleh Dr. Aiman. Eh, ya ke? Aku dah jatuh cinta pada Erena Amani binti Datuk Harris? Macam tak percaya aje? Biar betul ni?

Dr. Qasyiful tergelak kecil. Sedaya upaya dia cuba menyembunyikan isi hatinya. “Mana ada, Man. Kau ni, merepek ajelah. Pandai-pandai aje kau meneka. Suka sangat buat cerita yang bukan-bukan. Karut semua tu, Man.”

Dr. Aiman menjungkit sebelah keningnya. Dia mencebik. “Eleh, tak payah nak sembunyikannya daripada aku, Qasy. Dah terang lagi bersuluh, semuanya dah jelas di depan mata. Sebenarnya, kau dah terkena panahan cinta Rena. Hah… mengaku ajelah, Dr. Qasyiful Hakim oii.”

Dr. Qasyiful menjeling geram. “Tak payahlah nak tunjuk kehebatan kau meneka isi hati aku, Man. Kau nak jadi Nujum Pak Belalang versi moden ke? Macamlah kau pandai baca apa yang ada dalam hati aku ni.”

Sekali lagi Dr. Aiman mencebik. “Kau nafilah macam mana pun Qasy, kenyataannya tetap sama. Tak akan berubah macam cuaca empat musim kat negara luar tu. Kenyataannya, Dr. Qasyiful Hakim dah jatuh cinta pada Erena Amani,” sindirnya selamba.

Dr. Qasyiful mendengus geram. “Dahlah, malaslah aku nak layan kau, Man. Lagi aku layan kau, lagi pening kepala aku dibuatnya. Haa… aku nak keluar kejap, nak jumpa pesakit. Malam sikit aku balik,” balas Dr. Qasyiful geram. Lantas, lelaki itu bangun. Dia berjalan menuju ke rak kunci yang tergantung di tepi pintu.

Dr. Aiman ketawa besar. Seakan sengaja hendak menyindir lelaki itu. “See?Haa… nak lari daripada kenyataanlah tu,” ejek Dr. Aiman selamba.

Dr. Qasyiful menjeling geram. “Kau ni, macam-macamlah!” bentaknya geram.

Dr. Aiman masih lagi ketawa.

Dr. Qasyiful berjalan ke muka pintu. Tiba-tiba, langkahnya mati. Dia memalingkan wajahnya memandang Dr. Aiman. “Man…”

Dr. Aiman mengalihkan pandangannya ke arah Dr. Qasyiful. “Hmm… Kau nak mengaku yang kau dah jatuh cinta ke, Qasy?”

“Banyaklah kau!” marah Dr. Qasyiful geram. Hisy, dia nilah… mereng sungguh! Argh!

Dr. Aiman tidak membalas. Dia hanya menayang muka selamba badak sahaja.

Dr. Qasyiful menggeleng. “Actually,esok aku nak balik kampung. Aku balik dalam tiga hari. Kau tolong coverkerja aku, okey.”

Dr. Aiman mengukir senyuman, lalu mengangguk sebagai jawapan. “No problem. Send my regard to your family.”

“Okey!” balas Dr. Qasyiful ringkas.

Kelihatan Dr. Qasyiful berjalan keluar. Sejurus itu, pintu ditutup sehingga rapat. Lelaki kacak itu berdiri sejenak di muka pintu. Terdetik sesuatu di benak fikirannya. Aku dah jatuh cinta pada Erena ke? soal hatinya.

Dr. Qasyiful menarik nafas panjang. Lalu, menghembusnya secara perlahan-lahan. Ah, tak mungkinlah! Dahlah Qasy, tak payah fikirkan dia lagi. Lantas, dia mengatur langkah menuju ke kereta Toyota Vios miliknya

MULUT Hajah Kamariah ternganga luas. Matanya membulat besar bak huruf O. “Apa? Qasy nak bertunang?” Dia jelas terkejut besar apabila mendengar berita yang baru sahaja disampaikan oleh Dr. Qasyiful sebentar tadi.

Ehem! Ustaz Kamarul berdehem. Memberi amaran pada isterinya untuk memperlahankan nada suaranya. Hajah Kamariah tertunduk ke lantai, memahami deheman suami yang berupa arahan itu tertuju padanya.

Ustaz Kamarul tersenyum. Dia menepuk lembut bahu anak lelakinya. “Siapa gadis bertuah tu, Qasy? Bila Qasy nak bawa dia ke sini untuk berkenalan dengan ayah dan mak?” soalnya ingin tahu. Tidak sabar rasanya mahu berkenalan dengan bakal menantunya itu.

Dr. Qasyiful menghela nafas panjang. Dia menguntum senyuman kelat. “Ayah, Qasy memang nak bawa dia jumpa keluarga. Tapi…” Sekali lagi dia mengeluh panjang. Aduh, macam mana nak cakap ni?

Berkerut dahi Hajah Kamariah. Hairan dengan kata-kata anak lelakinya itu. “Kenapa, Qasy? Ada apa-apa masalah ke?”

Sekali lagi Dr. Qasyiful mengeluh. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Macam mana nak bagitahu ni? Mesti ayah dan mak terkejut badak punyalah. Aduh, kusutnya kepala! desisnya di dalam hati.

Dahi Ustaz Kamarul berkerut seribu apabila mendengar keluhan itu. Dia menepuk lembut bahu anak lelakinya itu. “Qasy, kenapa ni? Kamu ada apa-apa masalah ke?” tanyanya ingin tahu. Siap menayang memek muka hairan lagi.

Sekali lagi Dr. Qasyiful melepaskan sebuah keluhan panjang. Entah untuk kali yang ke berapa keluhan itu terluah dari mulutnya? Entahlah! “Sebenarnya, mak, ayah…” Ayatnya tiba-tiba mati di situ. Entah mengapa dia merasakan seolah-olah tiada kekuatan untuk berterus terang? Ya ALLAH…

Ustaz Kamarul menguntum senyuman nipis. “Sebenarnya apa, Qasy?”

“Sebenarnya, Qasy terhutang budi pada Datuk Harris. Datuk Harris dah banyak bantu Qasy dengan Man, ayah, mak,” luah Dr. Qasyiful satu per satu.

Dahi Ustaz Kamarul berkerut seribu. “Jadi, kenapa? Apa kena-mengena Datuk Harris?” Sejujurnya, dia berasa hairan. Apa sebenarnya yang cuba disampaikan oleh Dr. Qasyiful?

Dr. Qasyiful mengukir senyuman kelat. “Ayah, mak, Datuk Harris nak kahwinkan Qasy dengan anak tunggalnya, Erena Amani. Disebabkan Qasy berasa terhutang budi padanya, Qasy terima pinangan dia.” Dikerling sejenak wajah mak dan ayahnya. Sejujurnya, dia berasa bimbang dengan penerimaan mereka. Adakah mereka menerimanya atau menolak? Ya ALLAH…

Hajah Kamariah terkejut apabila mendengar jawapan anak terunanya itu. Ternganga sedikit mulutnya. Hah? “Kenapa pula macam tu, Qasy?” Tiba-tiba terdetik sesuatu di benaknya. “Baik Qasy berterus terang dengan kami. Qasy dengan anak dia dah…” Sekali lagi wanita itu menduga Dr. Qasyiful.

“Awak ni dah kenapa, Mar? Janganlah buat tuduhan melulu, tak baik tau. Saya tahu, anak kita bukan jenis macam tu!” tegur Ustaz Kamarul tegas.

Hajah Kamariah terdiam.

Dr. Qasyiful mengeluh. Dia tersenyum kelat. “Qasy bukan lelaki macam tu, mak. Qasy tahu batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan dalam Islam. Qasy juga masih tahu hukum-hakam agama. Mak dengan ayah dah didik Qasy sesempurnanya. Mak dengan ayah jangan risau, Qasy tahu beza apa yang halal dan apa yang haram. Qasy takkan menconteng arah ke muka keluarga kita.”

Ustaz Kamarul menguntum senyuman lebar. Lega hatinya apabila mendengar jawapan anak terunanya itu. “Tengok, Mar? Awak dah dengar sendiri dari mulut anak kita, Mar. Jadi, tolonglah jangan fikir yang bukan-bukan pada anak kita. Kita dah berikan didikan agama pada semua anak kita. Insya-ALLAH, mereka tahu bezakan apa yang baik dan yang buruk,” celahnya.

Hajah Kamariah tersenyum kelat. Dia menayang muka serba salahnya di hadapan suami dan anaknya. “Maafkan mak kerana berfikir yang bukan-bukan pada kamu, Qasy. Qasy tahukan perangai mak macam mana, cepat gelabah.”

Dr. Qasyiful tersenyum. “Tak apa, mak. Qasy tak ambil hati pun.”

Sejenak mereka terdiam, melayani perasaan masing-masing.

“Qasy?” Tiba-tiba Ustaz Kamarul mencelah. “Haa… bila Qasy nak bawa bakal menantu kami tu ke sini? Kami dah tak sabar nak berkenalan dengan bakal isteri kamu tu,” tanya Ustaz Kamarul ingin tahu.

Sekali lagi Dr. Qasyiful mengeluh. “Tulah masalahnya, ayah.”

“Kenapa pula?” celah Hajah Kamariah hairan. Dahinya berkerut seribu.

Dr. Qasyiful menguntum senyuman kelat. “Datuk Harris nak tunangkan Qasy dengan Erena minggu depan, ayah, mak. Sebab itulah Qasy balik kampung. Qasy nak sampaikan berita ini pada mak dan ayah.”

Ustaz Kamarul menayang muka terkejut. “Jadi, Qasy setuju ikut kemahuan Datuk Harris?” duganya. Sejujurnya, dia benar-benar terkejut dengan berita itu.

Dr. Qasyiful tidak menjawab. Hanya anggukan di kepalanya sahaja menandakan jawapan pada soalan itu.

Hajah Kamariah tergamam. “Kenapa tak bincang dengan kami dulu, Qasy? Budak tu pun, kami belum kenal lagi. Macam mana kami nak setuju?” celahnya perlahan. Wajah itu nampak kecewa. Kecewa dengan tindakan anaknya yang terlalu drastik itu.

Dr. Qasyiful mengeluh lagi. “Mak, ayah, Qasy minta maaf. Qasy tahu, Qasy tak patut bertindak macam ni. Qasy sepatutnya bincang dengan ayah dan mak sebelum membuat apa-apa keputusan,” katanya serba salah.

Ustaz Kamarul tersenyum nipis. “Kalau tahu, kenapa buat keputusan sendiri?” soalnya lembut.

Dr. Qasyiful tersenyum kelat. “Macam yang Qasy cakap tadi, Qasy dah terhutang budi pada Datuk Harris. Dia dah banyak membantu Qasy dan Aiman. Qasy nak balas budi baik dia.”

Kening Ustaz Kamarul terjungkit sebelah. “Dengan mengahwini anaknya?” duganya lagi.

Dr. Qasyiful terdiam. Lama-lama dia mengangguk. “Ya ayah, dengan mengahwini anaknya.”

Hajah Kamariah mengeluh. “Qasy yakin dengan keputusan yang Qasy ambil? Qasy yakin gadis tu pilihan hati Qasy?”

“Qasy cintakan dia?” Giliran Ustaz Kamarul pula mencelah.

Sekali lagi Dr. Qasyiful terdiam. Cintakah aku pada Erena? Yakinkah aku dengan keputusan ni? Benarkah Erena pilihan hati aku? soal hatinya bertubi-tubi. Entahlah… hatinya tidak punya jawapan yang tepat untuk soalan itu.

“Mana yang terbaik untuk Qasy, terbaiklah untuk kami juga. Ayah merestui pilihan hati Qasy.” Tiba-tiba Ustaz Kamarul bersuara.

Dr. Qasyiful menghela nafas lega. “Terima kasih, ayah,” lafaznya lega. Pandangannya jatuh ke arah mak pula, memohon restu.

Hajah Kamariah tersenyum nipis. “Mak merestui apa aje keputusan Qasy. Mak tahu, Qasy dapat berfikir dengan baik.”

Dr. Qasyiful tersenyum. Lega apabila mendapat green lightdari mak dan ayah. Itu yang penting! “Terima kasih, mak, ayah,” lafaznya sekali lagi.

Ustaz Kamarul dan Hajah Kamariah hanya mengangguk sebagai balasan.

“Qasy, nanti bawa bakal tunang kamu datang ke rumah, ya. Bolehlah kami berkenalan dengan bakal menantu kami tu,” celah Hajah Kamariah bersungguh-sungguh.

Dr. Qasyiful tergelak kecil. “Insya-ALLAH, mak, ayah. Qasy akan bawa Rena ke sini nanti,” janjinya.

“Mar, saya nak ke surau. Pak imam nak jumpa saya, ada hal penting katanya,” celah Ustaz Kamarul apabila teringatkan janjinya pada pak imam di masjid.

Hajah Kamariah mengangguk. “Baiklah, bang.”

“Qasy, jom ikut ayah ke surau,” ajak Ustaz Kamarul.

Dr. Qasyiful mengangguk.

Lalu, dua beranak itu berjalan seiringan menuruni tangga sambil berborak kosong. Tinggallah Hajah Kamariah sendirian di rumah.

Previous: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.