Home Novel Komedi/Romantik Komedi BICARA CINTA TERTANGGUH
Bab 6

MAHU marah tetapi pada masa yang sama, mahu ketawa juga. Tidak pernah dibuat orang, tapi kalau dah namanya Luqman, mana pernah apa yang dibuatnya itu masuk dek akal. Semua pun ikut kehendak dia saja. Ketika dia menolak dengan baik, Luqman tetap tidak mahu menerima keputusannya. Mak Jah yang menjadi pengadil tanpa gaji itu pula mendesak dia supaya menerima. Teruk betul. Dua lawan satu, pastilah dia kalah.

“Bukan ada jampi pun. Makan. Baca bismillah.” Itu pesan Luqman sebentar tadi.

Malu betul. Terasa macam budak-budak pun ada. Mana tidaknya di halaman rumah, mereka tolak menolak bekas makanan itu.

“Ambik.”

“Tak nak.”

“Nanti perut kosong.”

“Saya beli sendiri nanti.”

“Jangan tolak rezeki.” Luqman masih tidak mahu mengalah.

Kalau tolak awak boleh? Tolak jauh-jauh jangan mengacau hidupnya. Soalan itu kuat berlegar di minda. Suriya memeluk tubuh. Tetap tidak mahu mengambil bekas makanan yang Luqman bekalkan apabila tahu Suriya mahu ke Kuala Lumpur. Terasa seperti budak asrama saja dibekalkan makanan untuk perjalanan membuat lawatan sambil belajar.

“Bas pukul berapa Suri?” tanya Mak Jah.

Serta merta Suriya memandang Luqman dan membebel.

“Kalau saya terlepas bas, saya saman awak.”

Luqman hanya senyum dan tangan masih menghulurkan bekas makanan itu. Mahu tidak mahu, Suriya mengambil juga.

ITU kisah sejam yang lepas. Kini, dia sudah di dalam bas. Bekas makanan itu elok terletak di sebelah tempat duduknya yang kosong. Tadi dia cuba mengelak juga dengan memberitahu Mak Jah bagaimana kalau tiada tempat untuk bekas makanan itu diletakkan. Jawapan Mak Jah memang membuat ususnya sakit. Hempedunya perit. Siku? Rasa sengal.

Mak Jah kata, bukan Irma yang belikan tiket tetapi Luqman. Mak Jah memberitahu juga, tempat duduk yang disebelahnya akan kosong kerana Luqman sudah belikan tiket itu juga. Luqman kata, tidak mahu mana-mana lelaki pun berpeluang menemani Suriya sepanjang perjalanan ke Kuala Lumpur. Takut Suriya tergoda dan takut Suriya tidak selesa. Gila sungguh.

“Ada popia sebagai pembuka selera,” pesan Luqman.

“Ada nasi lemak dengan sambal udang dan timun. Mak Jah kata Suri suka sambal udang. Tapi jangan risau, yang ni tak pedas, takut Suri sakit perut pulak.” Itu tambahan pesanan Luqman.

“Pencuci mulut, ada sebiji kek cawan. Perisa limau ada biji popi. Suri sukakan?” Itu menu terakhir yang Luqman umumkan sambil tersenyum.

Waktu itu memang rasa mahu ketawa. Mak Jah memang suka benar memberitahu segala makanan yang menjadi kesukaannya. Kenapalah Luqman bersungguh mahu menyenangkan hatinya? Kenapa Luqman ambil perhatian tentang abdomennya ini? Luqman, jangan begini. Kebaikan itu ada kalanya boleh menjadi sesuatu yang merbahaya. Kerana di atas dasar ingatan itu, dia menjawab dengan selamba dan sinis.

“Saya dah tak suka popia, nasi lemak sambal udang dan kek cawan semenjak seminit yang lalu.”

Fikirnya berkata begitu, Luqman akan terasa hati dan mengambil semula bekas makanan itu. Argh, tanggapan yang salah.

“Kalau tak sukakan saya, jangan disiksa perut tu Suri. Kalau benci sekali pun, janganlah membazir. Makanan tu tak berdosa. Baik-baik di Kuala Lumpur. Saya nak balik dulu. Saya tunggu Suri balik sini...saya janji tak nakal dan baik-baik juga.”

Erk...sekali lagi dia kagum dengan lelaki ini. Terpukau dengan kata-katanya yang begitu penuh dos yakin dan semangat waja. Janji tak nakal? Amboi! Siapa pula yang mahu menyuruh lelaki itu berkelakuan sebegitu. Rimas. Jika beginilah hari-hari di masa hadapannya, angan-angan mahu terus duduk bersama Mak Jah tidak akan tercapai. Suriya meneruskan menungnya. Bas atau pemandu bas, bawa jauh-jauh dari koordinat yang ada kena mengena dengan Luqman.

DI GERAI, Luqman duduk termenung. Hari ini, Hairul ada datang membantu maka dapatlah dia berehat sedikit. Dia menghabiskan masanya pagi ini dengan melihat orang lalu lalang. Sesekali apabila Hairul tidak menang tangan, dia bangun untuk membantu. Kepada Hairul, malam tadi dia memberitahu supaya datang menolong hari ini kerana dia mahu membuat akaun. Yang Hairul tidak tahu, satu nombor pun tidak dikira jauh sekali dikemaskini.

Apa yang sedang dilakukan oleh Suriya? Tidur lena? Makan popia? Susah payah dia mengupah jirannya memasak untuk menu itu. Kalau Suriya membuangnya ke tong sampah, argh sayangnya. Rezeki lalat? Atau lipas? Tidak mungkin Suriya membuat begitu bukan? Walaupun Suriya itu buat-buat tidak endah tetapi naluri hati kecilnya memberitahu yang Suriya suka apabila dia mengusik.

“Adoi, dah parah dah kawan kita ni.” Latif menepuk bahu Luqman.

“Mana ada kecederaan. Tak ada apa-apa yang berdarah pun!” Luqman menidakkan kebenaran.

“Senang aje nak tahu kalau betul-betul Suri ni perempuan yang paling kau suka.” Latif sudah mula mahu membuka khidmat nasihat versi tidak berbayar untuk Luqman.

“Macam mana?” tanya Luqman.

“Bila kau bangun tidur, siapa yang kau ingat?”

“Hisy, mestilah kat ALLAH. Syukur, hari ni masih bernyawa.” Luqman sudah tersengih-sengih.

“Yalah, yalah...lepas tu lah. Kau ingat siapa?” Latif mendesak mahukan jawapan.

“Ingat kat sayur-sayurlah.” Luqman membalas lalu ketawa. Seronok mengusik Latif. Mahu menguji kepandaian Latif dalam ilmu cinta.

“Patutlah kau ni tak kahwin-kahwin. Ada ke ingat sayur-sayur! Malam-malam musim hujan ni kau peluklah sawi tu. Kau ciumlah lobak merah tu.” Latif sudah putus asa mahu menolong.

“Ala, buruk rupa lelaki merajuk.” Luqman menarik tangan Latif dan mengajak lelaki itu duduk semula.

“Ok, kalau katalah aku bangun tidur je ingat Kak Milah.” Nama jiran gerainya itu disebut dengan gaya selamba. Mahu menyebut nama Suriya, terasa malu pula. Nanti nampak gelojoh sangat. Lelaki mesti sentiasa ‘gentlemen’. Dan tiba-tiba dia terasa bahunya didebik dengan kuat. Mahu luruh jantung.

“Kau dah lupa ke akak dah kahwin?” tanya Milah sambil bercekak pinggang.

“Erk...contohlah kak.” Luqman mempertahankan diri. Bukan tidak tahu status Kak Milah tetapi bibir ini tersebut juga.

“Cakaplah yang kau mabuk kepayang dengan Suriya, kan senang. Kami sokong kau tanpa apa-apa bantahan. K.P.S.” Milah menyebut huruf-huruf itu satu persatu.

Latif dan Luqman berpandangan.

“Kempen Pikat Suri.” Milah ketawa.

“Kak Milah ni main-mainlah.”

“Kita buat mesyuarat. Kita susun strategi. Kita bina masjid.” Milah mengangkat tangan seolah-olah mengisytiharkan akujanji di musim pilihanraya.

“Pak Halim sokong.”

“Aku pun sokong.” Latif mengangkat tangan.

Luqman melihat sekeliling. Pak Halim mengangkat ibu jarinya. Sham juga menjerit mengatakan setuju. Amirul tersengih-sengih. Amboi, mereka ini termakan sarapan apa? Luqman menggeleng.

“Apsal pulak?” Milah bertanya. Tidak berpuashati dengan Luqman yang tidak mahu menerima cadangan geniusnya itu. Tanya dengan Latif buat apa? Bukannya Latif itu tahu tentang hati naluri seorang perempuan. Tanya dirinya ini. Wakil perempuan yang berjaya di dalam kumpulan mereka ini.

Luqman tetap menggeleng.

“Jual mahal pulak. Aku nak tanya ni, kau jawab dengan jujur...kau suka ke tak dekat Suri ni?” Sham pula menghampiri. Bahu Luqman dipeluk erat.

“Aku jual sayur je. Mana ada mahal.”

“Rendah diri pulak. Kau ingat kita orang tak tahu yang kau ni...”

“Ops, cukup.” Luqman memotong kata-kata Sham.

“KPS.” Milah mengulang semula.

“KPS.” Latif bersetuju.

Melihat kesungguhan mereka, Luqman mengangkat kedua-dua tangannya. Sampai nak berkempen-kempen, dia merasa kelakar pula. Macamlah mereka semua tiada kerja hingga mahu meluangkan masa untuk membantu dia,

“Bos...popia, nasi lemak sambal udang dengan kek cawan tu bukan bukti bos suka Kak Suri ke?” Tiba-tiba Hairul yang dari tadi diam kini bersuara. Ketika itu Luqman terasa mahu menunjal kepala Hairul dengan kayu snooker. Biar sakit.

“Popia?” tanya Milah.

“Nasi lemak sambal udang?” Sham ketawa sambil mengusap perut.

“Ok, ok...kek cawan.” Luqman memberitahu sebelum ada lagi seorang yang bertanya. Cis, Hairul membuka rahsia. Memanglah Hairul tahu kerana dia menempah semua itu dengan emaknya Hairul. Huh! Potong gaji 20 peratus.

“Bagi dekat Suri ke?” tanya Latif.

Perlahan-lahan kepala dianggukkan.

“Kau dah jampi ke?”

Serta merta laju tangan Luqman menolak bahu Latif. Ingat dia manusia yang percaya pada perkara syirik? Dijauhkan. Dia masih belum terdesak. Dia masih ada harga diri dalam usaha memikat Suriya.

Latif ketawa. Luqman ikut ketawa. Tidak jadi mahu marah.

“Amboi, macam tu pun masih tak nak mengaku?” Milah menegur.

Dan tanpa diduga, dalam sekelip mata Milah telah menjadi ratu yang berkuasa. Lepas pasar tutup hari ini mereka ada mesyuarat tergempar. Jumpa di Kafe Melati. Luqman akan belanja makan tengahari. Hairul akan menulis minit mesyuarat.

Arahan yang laju dan penuh berkuasa. Apabila Luqman mencuba untuk mengelak, semua bersurai dan balik ke gerai masing-masing. Luqman memerhatikan keadaan sekelilingnya. Kenapa dia merasakan seolah-olah jeritan mereka lebih kuat? Wajah lebih bersemangat? Semangat Kempen Pikat Suriya?

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lynn Dayana