Home Novel Komedi/Romantik Komedi BICARA CINTA TERTANGGUH
Bab 11

PANAS. Suriya mengikat rambutnya tinggi. Dia baru sudah menjirus pokok-pokok tanaman Mak Jah. Bukanlah rajin sangat namun musim panas begini kasihan dengan pokok yang kekeringan. Kasihan juga pada Irma yang sedang sibuk belajar kerana minggu ini minggu periksa. Realitinya, dia kebosanan. Memang sudah sampai masanya untuk dia bekerja. Sudah habis masa unruk main-main. Duit di dalam simpanan pun bukan banyak berbaki.

Dia berjalan ke arah radio. Petang-petang dengar radio, mesti ada banyak lagu yang sedap-sedap. Kalau tidak sedap, nyanyi saja sendiri. Menekan butang punat suara radio dan berkumandanglah lagu Papynka.

Mengapa mudahnya hatimu mendua...

Erk, lagu sedih? Tidak elok untuk kesihatan. Saluran ditukar.

Say something, I’m giving up on you.

Oh, berapa ramai manusia di muka bumi yang patah hatinya? Atau sebenarnya si deejay radio itu yang yang hatinya terluka dan akhirnya menyebarkan segala luka melalui desibel yang mendayu dan meruntun hati. Dan akhirnya Suriya ketawa sendiri. Apa sudah jadi dirinya? Terlalu lama bersenang lenang hingga hilang kewarasan. Bunyi Irma memberikan salam membuatkan Suriya merasa gembira.

“Hai kak.”

“Hai.”

“Coklat siapa ni kak?” tanya Irma. Dia meletakkan begnya dan membelek bakul berisi coklat yang masih tidak berusik. Tidak mungkin untuk Mak Jah bukan? Wow! Hebat. Ada Hershey Kisses. Ada Toblerone. Ada Ferrero Rocher. Kelas!

“Mamat mana bagi ni kak?”

Suriya diam bersahaja. Majalah di atas meja dia pegang dan belek tanpa perasaan. Seolah-olah pekak pun ada juga. Dia sedang mengatur jawapan atau sebenarnya dia tiada jawapan.

“Akak ni ALLAH betul-betul jadikan pekak, baru tahu.” Irma mengambil bakul itu dan meletakkan di atas meja pula.

“Mana ada pekak.”

“Untuk siapa?” Irma masih menagih jawapan.

“Untuk masyarakat dunia kot.”

Irma ketawa. Masyarakat dunia ya. Kad itu dicapai dan dibaca.

“Untuk akaklah.”

“Masih masyarakat duniakan?” tanya Suriya semula. Bukan dia tidak suka coklat tetapi sebakul coklat daripada seorang yang dia masih belum buat keputusan di kategori mana perasaannya adalah sesuatu yang tidak menerujakan.

“Akak ni main tarik tali.”

Suriya mengangkat tangannya. Menunjukkan yang tangannya kosong. Mana ada tali adik oi. Sesentimeter pun tidak ada. Apatah lagi sedepa. Suriya masih dengan wajahnya yang selamba.

“Jangan sampai nanti, tali yang ditarik...sedar-sedar sudah habis panjangnya.” Irma menambah.

Serta merta Suriya memandang Irma dengan tajam. Sinis betul bicara Irma untuk dirinya.

“Yang kita selalu rasa ada, sedar-sedar sudah jauh atau hilang jadi milik orang. Jangan jual mahal sangat kak. Abang Luq tu baik sangat. Akak berjalan sampai ke hujung dunia pun belum tentu, akak jumpa orang macam dia lagi.” Irma mengingatkan.

“Irma ni sengaja nak buat akak rasa bersalah?”

“Manusia selalu mudah lupa...kan kak? Argh, itukan sikap masyarakat dunia, gitu ya kak? Yang pincang, yang salah...yang lemah.” Irma menyambung bicaranya lagi.

Suriya jadi diam. Kenapa pipinya terasa panas dan seperti baru dilempang?

“Mak Jah masak apa ya? Rasa lemah pulak badan ni tak cukup tenaga.” Irma bertanya dengan mata yang bersinar.

Hati. Hati berulam jantung. Terasa mahu menjawab begitu tetapi dia beristighfar sahaja. Kalau tentang isu Luqman, satu dunia pun menyokong lelaki itu dan dia memang kalah teruk. Sungguh tidak adil.

INI kali kedua mereka bertemu. Suriya terasa kagum dengan kegigihan dan tenaga yang dimiliki gadis ini. Hyperaktif sungguh.

“Jangan pening tengok saya. Kerja katering ni memang kena tangkas. Dan bisnes ni memang banyak kena tulang empat kerat kita ni.” Nisa memberitahu. Nisa adalah anak saudara yang Prof perkenalkan kepadanya. Kata Prof, Nisa perlukan rakan kongsi.

“Saya nak buat pengakuan.” Suriya mengangkat tangan.

“Apa dia?”

“Saya tak pandai memasak.”

Dan Nisa ketawa.

“Urusan masak memasak ni biar saya jaga. Saya perlukan rakan kongsi untuk uruskan bahagian pentadbiran. Ambil pesanan, uruskan bayaran, uruskan stok...saya tak cukup kaki tangan nak buat bahagian tu.” Nisa menerangkan.

“Erm...”

“Apa kata kita cuba dulu. Lepas sebulan dua, kalau awak rasa tak selesa...saya tak akan paksa awak. Setuju?” Nisa menghulurkan tangan.

Suriya menarik nafas dan akhirnya menghulurkan tangan. Buat masa ini, peluang ini yang diambil.

PULANG ke rumah, dia melihat Irma dan Mak Jah menyambut dengan senyuman. Meleret senyuman itu.

“Ada apa? Bulan jatuh ke riba ke?”

“Bukan bulan, tapi kantan,” balas Irma.

“Hah?” Suriya tidak faham. Dia melihat Irma mengangkat satu jambangan bunga dan menyerahkan kepadanya. Jambangan bunga kantan? Biar betul.

“Daripada siapa ni?”

Melihat Irma yang mengekeh ketawa, terasa menyesal dia bertanyakan soalan itu. Daripada siapa lagikan? Mestilah dari Luqman. Dia sahaja yang rajin membuat benda-benda pelik seperti ini. Wajah Suriya jadi kelat.

“Orang bagi hadiah, kita kenalah ucap terima kasih.” Mak Jah mengingatkan.

Suriya diam sahaja.

“Unik ni kak.”

“Unik?”

“Yalah. Cantik apa.” Irma membela.

“Amiklah.” Suriya mengambil jambangan itu dan mengunjukkan kepada Irma. Suka sangatkan?

“Untuk akak, ahli masyarakat dunia. Bukan saya.” Irma membalas.

“Esok buat kerabu Suri. Rezeki tu. Ada tujuh batang. Banyak tu.” Mak Jah memberikan cadangan.

“Pulang baliklah kat dia.”

“Mak Jah setuju.”

Cepat-cepat kepala Suriya berpaling. Mak Jah setuju? Biar betul. Bibirnya merkah dengan senyuman. Padan muka Luqman. Ingat comel sangatkah memberikan dia sejambak bunga kantan.

“Esok Suri pulangkan.”

“Bagus. Lepas buat kerabu, kita pulanglah semangkuk pada Luq.” Mak Jah menyambung ayatnya.

“Eh...gitu pulak?”

Mak Jah menyengih.

“Rezeki tak elok ditolak.”

Dan Suriya mula mempersoalkan tindakannya yang bersetuju untuk menolong Nisa. Mahu terus duduk di sinikah?

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lynn Dayana