Home Novel Komedi/Romantik Komedi BICARA CINTA TERTANGGUH
Bab 10

SURIYA berlarian dari kereta. Hujan. Mujur renyai. Berdiri di muka pintu pasar dan tarik nafas dalam-dalam. Hari ini jangan pergi gerai Luqman. Kalau pergi, sila potong kaki sendiri. Ingatan yang sangat ganas untuk diri sendiri. Dia masuk ke dalam pasar dengan istiqamah yang kuat. Tabah. Semangat ibarat seribu soldadu muda yang gagah perkasa. Amboi. Padahal, jika tidak kerana Mak Jah, pasti dia tidak akan ke sini.

"Assalamualaikum. Mak cik ada daun cekur?" tanya Suriya.

"Waalaikumusalam. Oh, Suri. Daun cekur tak ada. Cuba tanya Pak Man tu."

Erk, hisy mak cik ni. Apasal tak jual. Saman baru tahu. Hati Suriya berbicara. Perlahan-lahan dia mengatur langkah. Janganlah jumpa Luqman. Misi beli barang dan balik. Misi yang perlu dilaksanakan dalam gerakan yang pantas.

"Pak Man, ada daun cekur?"

"Daun cekur? Tak adalah. Milah, kau ada daun cekur?" jerit Pak Man.

Aduhai. Pak Man, saya tak mahu kewujudan saya diketahui orang. Kenapa pulak pak cik jerit kuat ni? Aduh. Rasa hati macam kena letrik. Mega watt yang besar nombornya. Mahu tidak mahu dia memandang ke arah wanita bernama Milah itu.

"Suri, marilah sini. Kenapa jauh tu? Cantiknya berbaju kurung hari ni." Milah sudah menjerit pula.

Mereka ini lahir dengan pembesar suarakah? Dari ekor mata dia melihat kelibat Luqman. Mana tidaknya, gerai Milah itu sebelah gerai milik Luqman. Oh kejam. Suriya terasa misinya gagal sama sekali. Bukan dia tidak berusaha. Sebentar tadi dia cuba singgah ke kedai Uncle Leong tetapi lelaki tua itu nama daun cekur pun dia tidak tahu. Maka disinilah arah terpaksa dituju.

"Suri nak apa?" tanya Milah dengan nada yang kuat.

"Nak daun kecur." Perlahan Suriya menjawab. Dengan harapan daun itu ada. Minta-mintalah ada.

"Apa?" Milah sudah ketawa.

"Eh...daun cekur." Aduhai, kenapa mulutnya ini tidak sekolah. Kenapa Mak Jah sibuk

mahu masak ikan pari bercekur bagai? Tidak sedapkah lauk ikan pari jika tidak berdaun cekur? Realitinya dia sudah bertanyakan soalan itu kepada Mak Jah dan jawapan Mak Jah adalah, nasi dipanggil nasikah jika yang dimasak itu pulut? Cis, sungguh berbisa jawapan Mak Jah yang menyebabkan dia terpaksa keluar mencari juga.

"Luqman ada jual." Milah menjawab.

Erk...betulkah?

"Nangka muda?"

"Luqman ada jual." Milah menjawab lagi dengan senyuman.

"Daun kunyit?" Hati Suriya masih lagi penuh dengan harapan.

"Pun Luqman aje yang jual." Jawapan itu membuatkan ruang pasar di sudut itu riuh dengan gelak ketawa.

Suriya merasakan pipinya merah. Telinganya merah. Mereka sengaja mahu mengenakan dia. Apa lagi yang lelaki itu jual? Tayar motor? Bateri kereta? Atau mungkin sepasu bunga kemboja berwarna merah? Angin. Terasa dirinya dipermainkan saja.

"Janganlah marah. Mereka semua nak kejar pahala." Luqman menjawab. Bahan masakan yang disebut Suriya sudah dibungkuskan. Satu plastik diunjukkan kepada gadis itu.

"Pahala apa usik macam tu?" jawab Suriya.

"Pahala dirikan masjid."

Jawapan Luqman menghentam terus ke dalam hati. Sakit. Suriya mengangkat muka. Tangan kanan menghulur wang. Tangan kiri mahu mengambil bungkusan.

"Sah...sah." Beberapa suara kuat berbunyi berselang seli dengan ketawa.

Aduhai...Hati Suriya terasa hilang entah ke mana.

SETUJU. Memang Suriya setuju dengan Mak Jah. Ikan pari bila dimasak lemak cili api dicampurkan dengan daun cekur memang sedap dan nikmat. Rasa yang biasa menjadi begitu luar biasa. Kesannya dia kekenyangan.

“Kata nak jumpa kawan?” tanya Mak Jah yang sedang melipat kain baju.

“Tak tahulah Mak Jah.”

“Cuba ajelah. Jumpa dulu. Tengok macam mana. Mak Jah senang hati kalau Suri ada depan mata Mak Jah.”

Suriya tersengih. Ya, dia tahu Mak Jah sayangkan dirinya sangat-sangat. Dia beruntung kerana semenjak dari kecil wanita ini sudi membela dan membesarkan dirinya tanpa berkira.

“Kalau Suri ada tepi mata Mak Jah? Senang hati jugak tak?” usik Suriya.

“Kamu ingat Mak Jah ni ada ketumbit ke?” Mak Jah membalas lalu ketawa.

Mereka sama-sama menyambung tawa. Mak Jah memandang Suriya yang sedang menyusun majalah-majalah yang bersepah ke dalam rak. Irma memang begitu. Membaca rajin. Menyepah juga rajin.

“Mak Jah ni ada-ada aje.”

“Nak tahu tak apa yang boleh buat hati Mak Jah lagi senang?”

“Apa dia?” tanya Suriya.

“Kalau Suriya duduk sini, kerja sini dan kenal-kenal dengan Luqman.”

Permintaan yang sangat besar. Lebih-lebih lagi yang terakhir itu. Suriya mendekati Mak Jah dan tangan wanita itu dicapai. Diusap dengan penuh kasih. Anak mata Mak Jah jelas memaparkan harapan yang sangat tinggi.

“Esok Suriya pergi jumpa dia ya.”

“Luqman?” Mata Mak Jah bercahaya.

“Bukan! Jumpa dengan Aryanti tu.”

Bibir Mak Jah mengukir senyuman. Dia menepuk pipi Suriya perlahan. Argh, rasa kasih untuk anak ini tidak akan pernah habis. Kasih hingga ke alam yang abadi. Setiap kali hati anak ini disakiti, hatinya juga terasa lukanya.

“Ok. Bincang elok-elok. Mana tahu, memang ini rezeki untuk Suri.”

“Tapi Suri mana pandai masak.” Suriya mengeluh.

“Tak tahu boleh belajar. Tak suka boleh belajar suka.” Mak Jah membalas.

Kata-kata itu cuba dicerna Suriya. Mata coklat. Gigi taring. Senyuman yang berbisa. Satu keluhan dilepaskan.

USAI solat. Kopiah dibuka dan diletakkan di atas meja. Suasana sangat sunyi. Hari ini dia solat di rumah saja. Hilang sudah pahala berjemaah. Cadangnya selepas Maghrib tadi, mahu menyambung terus solat Isyak. Cadangnya mahu membaca Al-Quran beberapa helai mukasurat namun dia teringat pula janjinya mahu menghantar bekalan sayur ke rumah Pak Imam sebelum jam sembilan. Esok Pak Imam mahu membuat kenduri. Dan dia berhutang sayur. Awal pagi tadi, bekalan labu yang diminta oleh Pak Imam tiada. Petang tadi baru dapat. Terpaksalah dia tergocoh-gocoh balik.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumusalam.”

Luqman membuka pintu. Hairul tersengih.

“Bos dah makan?”

“Dah lewat malam ni. Dah pukul sembilan.”

Hairul masuk dengan menjinjing beg plastik dan berjalan ke meja makan.

“Bos ni tak menjawab soalan. Ni ada kueytiaw kerang ekstra kerang, ekstra taugeh, ekstra kucai untuk bos.” Hairul mengambil sudu, garpu serta pinggan dan meletakkan ke atas meja.

“Apahal kau rajin sangat malam ni?” tanya Luqman. Memang dia tidak sempat makan lagi. Cadangnya mahu makan biskut saja tadi. Malas hari ini mahu memasak. Malas juga mahu keluar membeli makanan. Hari yang serba serbi malas. Agaknya kenyang kerana penangan makan cendol dengan Suriya. Kenyang 44 hari. Hai, jimatlah duit. Cepatlah ke Mekah. Alhamdulillah.

“Rezeki jangan tolak bos.” Hairul mengambil gelas dan menuangkan air kosong untuk Luqman.

“Makanlah bos.”

Luqman memandang Hairul. Ini mesti ada apa-apa. Tidak. Tidaklah bermakna dia meragui keikhlasan hati Hairul tetapi dia tidak percaya dengan riak wajah Hairul yang nampak seperti penuh strategi. Dari dulu lagi dia mengatakan kepada emaknya si Hairul, anaknya ini patut disuruh belajar lagi. Otak cerdik tetapi sayang tidak disalurkan kepada arah yang betul.

“Kau tak nak makan? Kenyang ke kalau tengok aku makan?” Luqman mencapai garpu. Bau kueytiaw semerbak. Memang ekstra segala-galanya. Udang terbaring seperti sedang menunggu untuk dikunyah, dimamah dan diselongkar segala zat yang ada.

“Dah makan dua pinggan tadi.” Hairul ketawa kecil.

“Kau ada bela saka ke?” tanya Luqman.

“Hisy, bos ni!” Hairul menggeleng. Dia baka yang baik. Mana ada bela saka. Nauzubillah.

“Takut aku tengok kau senyum-senyum. Ingat, hidup biar di jalan yang lurus, jangan bengkang bengkok!” Sempat lagi mengingatkan sambil dia membaca bismillah dan menikmati hidangan yang dibawa Hairul untuk dirinya.

“Bos, kalau nak pergi Cameron atau Genting memanglah jalan tu bengkang bengkok. Kalau kita pilih jalan lurus, ada kemek batang hidung.” Kini Hairul terbahak-bahak ketawa. Terbayang hidung yang diplaster. Pasti tidak kacak.

Luqman mencebik. Ada juga anak orang yang dia cucuk matanya dengan garpu. Buat lawak malam-malam buta macam orang tidak ingat akhirat sudah. Ketawa kategori syaitan yang direjam.

“Kejap eh. Lupa pulak.” Hairul bangun dan berlarian keluar.

Ha, kan dah kata. Ada benda yang budak ni dah buat! Hati Luqman berkata-kata. Ini kueytiaw dari daerah mana? Sedap betul! Kuahnya pekat, kerang pula besar-besar saiznya dan taugehnya masih rangup dan hidup.

Hairul masuk semula dan meletakkan satu bakul yang penuh berisi coklat. Luqman membaca kad yang sudah ditulis itu dan dia tersedak. ‘Buat sayangku Suri’. Gila ke apa? Luqman mencapai gelas berisi air. Hairul mencapai tisu dan menyerahkannya kepada Luqman. Bibir terukir senyuman.

“Kau nak buat apa ni?”

“Coklat untuk Kak Suri.”

“Siapa yang bagi?”

“Boslah. Takkanlah saya.”

“Bila masa pulak aku kata nak bagi?”

“Strategi kita hari tu bos buat kertas tandas ke?” tanya Hairul selamba.

Luqman menunjukkan penumbuk. Adakah patut menyebut tandas di depan kueytiaw dari syurga? Kurang ajar betul Hairul malam ini.

“Ok, ok. Bos ni main-mainlah.”

“Aku tengah makan ni. Masa bila pulak aku main-main?” sergah Luqman. Potong selera betul melihat wajah Hairul.

“KPS bos. KPS.”

“Amender!”

“Kempen mesti dibuat berterusan. Bukan sehari ya, sehari tidak. Itu maknanya tidak bersungguh-sungguh. Tak menariklah bos! Ingat, Kempen Pikat Suri!” Hairul memperlekehkan bosnya.

Luqman meletakkan garpu. Argh, budak yang usianya setahun jagung ini memang mahu menyakitkan hatinya. Mengumpan dengan sesuatu yang indah dan kemudiannya memukul hingga rebah. Mafia kampungan betul.

“KPS, KPS...macam kementerian parit dan saliran pulak aku rasa.” Luqman pula membebel. Dan Hairul menyambung tawa. Seronok pula melihat bos mengamuk.

“Aritu ada orang cakap dengan saya, senang ke nak pikat anak orang? Baru sekarang orang tu rasa kot.” Hairul memerli.

Amboi, budak ni menyindir aku! Mahu dihalau pun, Hairul akan balik ke rumah mak dia yang terletak di sebelah rumah sahaja. Membazir sungguh.

“Habis tu sekarang nak apa?” tanya Luqman. Kalau mahu bertarung di mana-mana simpang, dia ok sahaja. Tidak pandai silat, dia bantai tai-chi. Apa susah?

“Ni bilnya.” Hairul menghulurkan sekeping kertas.

“RM100!”

“Cinta tu pelaburan.” Hairul membalas dengan wajah yang serius. Hilang sudah senyum yang tadinya asyik bersarang di bibir. Yalah, seratus itu memang banyak. Kalau Luqman tidak mahu membayar, kopak rabak poketnya. Aniaya.

“Siapalah yang ajar kau semua ni.” Luqman bangun dan mencapai beg duitnya. Dia mengeluarkan 120 ringgit. Menyerahkan wang itu kepada Hairul yang sudah kembali tersenyum lebar. Cinta itu pelaburan konon. Cinta itu kemiskinan kalau begini gayanya. Malah cinta itu hanya kemarahan jika apa yang dicoklat tidak menjadi seperti yang diharapkan.

“Ikhlaskan hati bos. Lapangkan dada. Barulah menjadi.” Hairul mengingatkan.

Aduhai. Ada juga anak orang yang kena tinju! Bertazkirah gaya PU!

“Esok jangan lupa solat Dhuha bos. Kan bos yang ajar, kena selalu solat Dhuha kalau nak murah rezeki.”

“Ya, esok aku buat. Lusa pun aku buat.” Luqman mencapai semula garpu dan mahu menikmati kembali mi yang masih berbaki. Jangan membazir.

“Bos, ada lebih 20 ringgit ni.”

“Upah kau hantar coklat tu esok kat rumah Suri.”

Giliran Hairul yang terkebil-kebil.

“Boslah hantar. Baru berkesan.” Hairul cuba mengelak.

“Tak ada maknanya aku nak bawa bakul ni bagi kat dia.” Luqman menguatkan pendirian.

“Tapi saya dah pergi beli, dah suruh mak hias bakul.” Hairul memberikan alasan.

“Esok aku bagi mak cik sayur, upah hias bakul. Engkau, amik 20 ringgit ni pergi hantar. Ingat, bila tolong orang...hati kena ikhlas. Dada kena lapang.” Luqman menepuk bahu Hairul beberapa kali. Padan muka. Pandai-pandai mahu jayakan KPS, siapa suruh.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lynn Dayana