Home Novel Komedi/Romantik Komedi BICARA CINTA TERTANGGUH
Bab 12

KETIKA kakinya melangkah masuk ke dalam pasar itu, jam sudah menghampiri 12 tengahari. Pagi ini Hairul yang menolongnya meniaga. Dia ke bank membuat urusan perbankan yang lama tertangguh.

“Bos...” Hairul menyeringai.

“Dah kenapa?” sergah Luqman. Wajah Hairul seperti lelaki yang mabuk cinta saja.

“Saya rasa KPS berjaya.”

Luqman menoleh. KPS? Kempen Pikat Suri?

“Betul. Saya ada bukti ni bos.” Hairul menyambung sengihnya. Gaya macam orang menang piala. Baru dapat bonus tahunan enam bulan mungkin?

“Aku ni penat. Tadi kat bank beratur panjang.” Luqman menyambung bebelannya.

Hairul mengunjukkan satu bekas makanan.

“Apa ni?”

“Bukti satu. Kerabu bunga kantan.” Hairul memberitahu.

Perlahan-lahan, Luqman membuka penutupnya. Semerbak bau wangi aroma kerabu bunga kantan bercampur kacang panjang, taugeh dan perahan limau yang mengasyikkan. Serta merta usus perut seperti mengecut kekurangan zat dan meminta diisi.

“Suri hantar ni?” tanya Luqman dengan hati yang sudah seperti mahu meloncat keluar dari dalam dada.

Hairul mengangguk.

“Kerabu ni, Suri yang hantar?”

Soalan itu menyebabkan Hairul ketawa. Kalau sekarang ini dia minta gaji, pasti bos bagi. Kalau minta kerabu, pasti tidak ada harapan. Wajah bosnya kini seperti wajah lelaki yang bulan jatuh ke riba.

“Yalah bos. Kerabu untuk bos.”

“Hoi! Apa citer ni?” sergah Latif.

Luqman hanya senyum.

“Kerabu woh. Nampak sedap. Bagi aku sikit.” Latif mahu mencapai namun Luqman sudah memusingkan badannya dan mengelak.

“Hoi, kedekutnya manusia!” jerit Latif tidak puas hati.

“Kerabu untuk aku!” Luqman membalas.

Kuatnya suara Latif mengundang perhatian penjaja yang lain. Waktu itu kawasan pasar juga sudah mula lengang. Ramai yang dah mula menyusun barangan ke dalam kotak simpanan kerana sebentar lagi mahu pulang.

“Berebut apa tu?” tanya Milah.

“Kerabu...kak. Luq tak nak bagi rasa padahal satu bekas besar.” Latif mengadu.

“Tak baik kedekut Luq.” Milah menegur namun melihat gaya Luqman memeluk bekas makanan itu macam memeluk emas permata sahaja.

“Kerabu untuk aku!” Luqman menjegilkan matanya kepada mereka yang memandang. Latif menepuk dahi. Hairul berbisik ke telinga Latif dan lelaki itu menepuk tangan dan ketawa.

“Oh...” Panjang Latif membunyikan oh setelah faham duduk perkara.

“Suri yang bagi kak...patutlah kedekut.” Latif memberitahu Milah.

“Siapa yang bagi?” Syam pula yang menghampiri.

“Suri!” Tiga orang serentak menyebut nama itu dengan kuat.

Deraian tawa kuat di dalam keriuahan pasar itu. Luqman membuat muka selamba. Apa dia peduli. Kerabu ini Suriya yang buat untuk dia. Suriya yang hantar untuk dia. Bukankah ini satu hari di dalam sejarah? Mana boleh kongsi-kongsi. Kalaulah kerabu ini boleh diberi formula untuk kekal selama-lamanya...pasti dia sanggup menghabiskan wang ringgit untuk mendapatkan formula itu.

“Baru dapat kerabu! Kalau dapat tuan punya kerabu?” Latif menyindir.

Riuh lagi sekali di sudut itu. Orang yang disindir tetaplah memeluk bekas makanan itu dengan erat.

“Kalau dapat Suri, tak keluar rumah seminggu!” Syam membalas lalu ketawa lagi.

“Korang ni tak ada kerja ke? Cakaplah apa yang korang nak, aku tak peduli.” Luqman membalas. Kecil hati langsung tidak. Dia mahu balik. Mahu mencari nasi panas dan ikan goreng untuk dipadankan dengan kerabu ini. Sambal belacan ok juga atau mungkin ikan kering. Pasti indah.

“Bos, nak pergi mana tu?” tanya Hairul.

“Aku nak balik. Kau tutup kedai.”

“Bos...”

“Amender?” Luqman berpaling dengan rasa marah. Dia melihat Hairul sedang melambaikan sesuatu. Surat apa?

“Bukti kedua, KPS berjaya. Kak Suri bagi surat.”

Dan tidak sampai sesaat, surat itu sudah sampai ke tangan Latif dan Luqman melihat lelaki itu melarikan diri. Cis, dajal sungguh.

“Oi, pulang balik.” Luqman menjerit.

“Surat untuk aku.” Latif membalas dan terus berlari.

Milah, Pak Man dan Syam hanya menumpang tawa. Macam budak-budak baru lepas kena sunat. Latif dan Luqman sama saja sengalnya. Hairul melopong melihat tingkah mereka berdua. Wah, hebat penangan Suriya. Satu pasar Luqman sanggup berlari mengejar Latif. Ajaib, ajaib!

BADAN dihempaskan ke atas katil. Kerabu yang sedap itu tidak dapat mengubat hati yang sedikit rasa tercalar. Sebaris ayat yang membuat dia berfikir.

Hentikan saja, Luqman. Hentikan semua ini.

Disuruh hentikan semua ini tetapi Suriya sudi menghantar kerabu, bukan? Maksudnya? Luqman menyambung menungnya. Kata Mak Jah, Suriya buat keputusan untuk bekerja di sini. Itukan berita baik. Suriya akan terus berada di sini. Luqman mencapai telefon.

“Assalamualaikum. Pak Ali, saya nak buat kenduri. Hujung minggu ni ada kosong tak?”

“Kenduri apa ni Luqman? Kamu nak bertunang ke?” Pak Ali yang merupakan imam di masjid yang berdekatan.

“Argh, yang tu akan datang.” Luqman ketawa.

“Dah ada calon ya? Alhamdulillah. Jangan lengah-lengah. Kamu tu bukan makin muda.” Pak Ali menasihatkan.

“Ala Pak Ali, kita orang lelaki ni kan sentiasa muda.” Luqman berjenaka dan di hujung talian, telinganya menangkap bunya Pak Ali ketawa kecil.

“Sementara muda nilah kamu kahwin. Dapatkan zuriat yang baik. Sama-sama dengan isteri kamu, cari keberkatan dan rahmat ALLAH. Kalau dah bongkok tiga, nak pegang tangan pun rasa tulang temulang...nak buat apa?” Pak Ali menyambung ceramahnya.

“Erk, Pak Ali doakanlah.”

“InsyaALLAH. Hujung minggu ni nak buat kenduri lepas Maghrib?” tanya Pak Ali.

“Ada kosong ke Pak Ali?” Luqman bertanya dengan harapan. Harap-harap adalah ruang untuk membuat amal dan pahala. Kenduri kesyukuran kerana Suriya akan berada lebih lama di sini. Dekat dengan dirinya. Semoga dia ada peluang untuk mendekatkan hati mereka juga.

“Ada, ada. Untuk kamu selalu ada.” Pak Ali membalas.

“Saya ingat nak sembelih kambing.”

“Alhamdulillah.”

Perbualan itu ditamatkan dan hati Luqman terasa lapang sedikit.

SUASANA di pasar riuh rendah apabila ada kejadian yang tidak diingini berlaku. Drama swasta antara seorang suami yang menemankan isteri mudanya ke pasar dengan isteri tua yang datang menyerang.

“Pergh, sakit tu kena hentak dengan kelapa.” Latif mengusap kepalanya seolah-olah tempurung kepalanya yang kena.

“Itulah kesan dialog...butang baju aku mana, Pah!” Pak Mail ketawa.

“Tak pandai nak bermadu, janganlah nak bermadu.” Sham selamba saja memberikan komentar.

Semua mata berpaling kepadanya.

“Kau ada guna-gunakan bini kau tak?” Latif selamba bertanya.

Satu jelingan tajam dipamerkan Sham. Adakah patut guna-guna pula yang ditanya. Dia menjaga mereka berdua dengan kasih sayang. Adil dan saksama.

“Tak semua orang mahu payung emas.” Milah mencelah.

“Banyak pahala tau kak.” Latif menyampuk juga. Ketawa apabila melihat Milah menunjukkan penumbuk. Memang benar payung emas itu walaupun bayangannya indah tetapi beban yang mahu dibawa bukannya mudah.

“Aku nak buat kenduri malam Jumaat ni.” Tiba-tiba Luqman bersuara.

“Kenduri apa?” tanya Hairul.

“Kenduri kesyukuran.” Luqman tersengih-sengih. Tangan masih laju menyusun sayur-sayuran. Kelopak kobis yang rosak dibuka perlahan-lahan.

“Bos bersyukur pasal apa bos?” tanya Hairul.

“Pasal kau hari ni datang kerja. Pasal Kak Milah pagi tadi sedekah mihun goreng yang sedap... Pasal Pak Mail harijadi dah dekat. Pasal apa lagi ya?” Luqman membuat jenaka.

Semua mata memandang dengan rasa tidak percaya.

“Assalamualaikum. Mesyuarat ke?” Mak Jah menegur mereka semua.

“Waalaikumusalam. Amboi Jah, berserinya muka kamu. Macam bulan dipagar bintang.” Pak Mail menegur.

Mak Jah tersenyum sipu. Gembira, memang hatinya gembira. Dua, tiga hari ini hatinya sangat tenang dan lapang.

“Bintang apanya Mail. Saya ni senang hati sebab Suri nanti tak kerja KL. Dia kerja kat sini dan duduk kat rumah saya. Senang hati saya.” Mak Jah memberitahu berita gembira itu.

“Oh...” Semua mata memandang Luqman. Lelaki itu buat muka tidak tahu. Kantoi!

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Lynn Dayana